Tuesday, April 17, 2007

Genap Setahun

17 April, genap setahun Khadijah dilahirkan. Keletahnya semakin lama semakin mencuit hati. Khadijah adalah permata hati kekanda saya. Melihat tumbesarannya mengetuk pintu kenangan setahun yang lalu. Tiga hari selepas kelahirannya, saya menerima berita sedih kematian seorang sahabat maya, Allayarham Lee. Dia meninggal dunia pada hari yang sama dengan kelahiran Khadijah.

Saya diperkenalkan dengan Allahyarham Lee oleh kakak angkat saya di satu ruangan sembang. Arwah mengidap cirrhosis, sejenis penyakit berkaitan hati. Ketika itu sakit Allahyarham sudah berada di tahap kritikal. Atas saranan doktor, di ruangan itu, arwah menjalani terapi mental supaya bersemangat untuk menghadapi penyakitnya. Kakak angkat saya mengajak saya terlibat sama untuk menceriakan arwah. Sejak hari itu bermulalah satu persahabatan maya yang akrab terbina antara kami dan beberapa rakan maya yang lain.

Arwah adalah orang pertama yang memperkenalkan dunia blog kepada saya. Tetapi sayang arwah tidak sempat membaca cetusan idea saya kerana saya agak terlewat melibatkan diri dalam dunia penulisan blog. Ketika menghembuskan nafas terakhir arwah sedang membilang hari meniti kebahagiaan menuju ke gerbang perkahwinan. Dia memilih adik angkatnya yang dijaga oleh keluarganya sejak kecil sebagai calon isteri. Sha, seorang gadis yang comel dan mempunyai wajah seakan-akan Raja Shahirah anak kepada Raja Bahrin yang pernah dilarikan dari jagaan ibunya di Australia suatu ketika dahulu. Sha yang sepuluh tahun lebih muda dari arwah, seorang yang sangat berkebolehan tetapi menjadi bisu dan pekak angkara demam panas ketika kecil. Sayang sekali jodoh mereka tidak panjang kerana Allah lebih menyayangi arwah. Arwah pergi ketika berumur 32 tahun.

Berikut adalah bingkisan terakhir arwah yang pernah dipaparkan di blog beliau atas usaha dua orang sahabat akrab dunia blognya...

Assalamualaikum
Teman-teman, di saat teman-teman membaca apa yang aku tulis ini, aku sudah tiada. Aku sudah pun meninggalkan teman-teman semua. Dari keikhlasan hati dua temanku yang rapat, akhirnya dapat juga teman-teman membaca apa yang ingin aku sampaikan buat kali terakhir. Sebenarnya, aku telah menyediakan catatan ini terlebih dahulu bilamana aku terasa aku perlu mengucapkan selamat tinggal pada semua. Mungkin apa yang aku lakukan ini agak keterlaluan dan tidak diterima akal yg waras, tetapi padaku, aku ingin melakukannya juga. Kerana ketika aku menulis ini, aku dapat merasai yang aku tidak punya banyak waktu lagi.

Dan pada semua bloggers yang lee kenali, terlalu ramai untuk aku tuliskan nama teman-teman satu persatu, aku ingin mengucapkan terimakasih kerana kata sokongan teman-teman. Banyak yang aku pelajari dari teman dan segala doa, ingatan dan semangat dari teman-teman, aku hargai sesungguhnya. Teruskanlah menulis, tulis terus dari hati, kerana apa sahaja datangnya dari hati, merupakan apa yang kita rasa, timbul dari perasaan. Dan ingat selalu, tulislah yang baik-baik, agar ianya dapat menjadikan diri sendiri dan pembaca-pembaca menjadi insan yang lebih mulia lagi.

Kepada pembaca-pembaca blogku ini, terima kasih kerana sudi membaca dan mengikuti kisahku. Seringkali bila menulis, aku sedar yang teman-teman tetap ada, membaca dalam diam,tanpa meninggalkan apa-apa tentang apa yang telah aku tuliskan dan inilah yang benar-benar memberiku semangat untuk menulis lagi. Untuk Hanna, terima kasih atas dorongan yang telah kau berikan selama ini. Akhirnya segala penulisanku di sini, sudahpun menjadi sepertimana blog bluehikari, sudah sampai ke penyudahannya. Cuma di penghujung blogku ini, penutup ceritanya ini mungkin sudah mengecewakan kamu.

Untuk saudaraku Surina, aku harap kau lebih tabah setelah apa yang telah kau lalui kebelakangan ini. Kau perlu lebih tabah dengan segala apa yang muncul di dalam hidupmu. Mungkin ini ujian bagi kau sebenarnya, kerana tanpa ujian sebegini, tidak mungkin kau akan menjadi hambaNya yang lebih beriman. Ingat selalu Su, dalam mengharungi hidupmu nanti,berjalanlah terus ke hadapan, jangan membelok ke mana-mana dan jangan lagi pandang ke belakang lagi.

Untuk saudaraku Hikaru, terima kasih atas persahabatan ini. Terima kasih kerana membolehkan aku untuk menyampaikan catatan terakhir pada teman-temanku di sini. Terimakasih kerana memberi aku semangat untuk bercerita di sini.Kerana di sini, dapatlah aku melepaskan segala rasa sebak dan keliruku. Sekurang-kurangnya tekanan perasaan dapat aku melepaskan di sini.

Dan akhir sekali, untuk Sha tersayang. Maafkan abang kerana menceritakan tentang diri Sha di sini. Maafkan selama ini abang merahsiakan tentang blog ini dari Sha. Maafkan abang kerana selepas abang tiada, barulah abang 'menjemput' Sha untuk membaca apa yang telah abang tuliskan. Bacalah apa yang telah tertulis di sini, kerana di sini, selalunya abang lagukan rasa sayang dan rindu pada Sha. Kerana di sini, apa yang berbicara di hati abang, abang turunkan satu persatu apa yang abang rasai. Dan sekiranya apa yang abang tulis di sini memilukan hati Sha, janganlah menangis lagi. Cukuplah dengan apa yang pernah kita tangisi bersama, cukuplah dengan tangisan apabila abang pergi. Kerana kesedihan yang abang rasakan itu, sudahpun tidak ada lagi. Semuanya telah dibawa pergi bersama abang. Teruskanlah membaca tapi jangan sekali-kali Sha gugurkan airmata lagi.

Terimakasih teman-teman. Jangan bersedih kerana kehilanganku, kerana itu akan membuat aku lebih bersedih kerana aku lagi terasa akan kehilangan orang-orang yang aku sayangi dan teman-teman semua. Dan kumohon ampun dan maa jika ada tingkahlakuku, tulisanku yang menguriskan hati teman-teman.

Selamat tinggal, semua. aku harus pulang dahulu.
Assalamualaikum.


Al-Fatihah untuk Allayarham Ghazali. Semoga rohnya dicucuri rahmat.

Bagaikan bermimpi, masa begitu pantas berlalu. Masih jelas ingatan persahabatan terhadap arwah walaupun dibatasi layar maya. Hati terkenang akan Sha. Selepas kematian arwah, ada sesekali saya bertemu dengannya di ym. Tetapi sekarang tidak lagi. Mungkin dia sibuk meneruskan empayar perniagaan arwah yang diwarisinya. Semoga Allah mengurniakan seribu kekuatan untuknya. Blog arwah telah ditutup oleh Sha. Cukuplah kisahnya pergi bersama arwah. Cukuplah sekadar menjadi iktibar buat kami yang pernah mengenali dan membacanya. Cuma satu nasihat saya jangan sesekali merasa sangat kecewa sehingga merosakkan diri sekiranya cinta sesama manusia terputus di pertengahan jalan. Cinta terhadap Allah jua yang kekal abadi untuk selama-lamanya.

21 comments:

CerminDiri said...

seharusnyalah kita tidak perlu menangisi pemergiannya kerana andalah bakal penyambung cetusan idea dan semangat yang diberi

banggugar said...

salam,
semoga roh beliau dicucuri rahmat.. amin ya rabb..
(",)

achik said...

Alfatihah... semoga roh beliau dicucuri rahmat... amin...

Anonymous said...

andai masih ada kenangan yg menyapa..iringkanlah ia bersama doa, agar dia aman bersemadi di sana..

INDERA KENCANA said...

Terharu membaca kisah ini...
Pergi tidak akan kembali lagi.

blackpurple @ jowopinter said...

Saya membacanya dengan perasaan yang berbaur....

Semoga roh almarhum sentiasa dirahmati Allah....

Juga AlFatihah untuk blogger-blogger lain yang sudah kembali mengadapNya, Allahyarham Pak Teh, Ghaz, Ciknana...

Izariza said...

MasyaAllah iman ... kamu juga pengunjung blog Allahyarham Lee (Ghazali namanya, bukan?)

Saya pernah mengalirkan air mata tatkala membaca keseluruhan isi blog itu .. meski tiada pernah mengenali dia secara nyata, pemergian dia menyentuh nurani saya.

Semoga rohnya dirahmati Allah.

Ohya .. hari lahir Khadijah itu, sama tarikhnya dengan harijadi 'kekasih' saya :)

Iman Mawaddah said...

Hikamis,
Terima kasih. Saya tidak sehebat arwah. Saya sedar yang hidup pastikan mati. Saya lakarkan kisah beliau disini hanya sebagai kenangan kepada sebuah persahabatan.

Bang Gugar,
Amin ya rabbal'amin.

Achik,
Amin.

Indah Sakura,
Setiap kali melihat keletah Khadijah, permata hati kekanda saya..saya pasti terkenangkan arwah. InsyaAllah ingatan itu akan diiringi doa terhadapnya.

Indera,
Memang terharu. Beberapa hari sebelum kematiannya saya bertemu dengannya di ym. Dia asyik bercerita tentang persiapan perkahwinannya.

BP,
Mengenangkan bloggers yang telah pergi, kadang2 saya terfikir..jika maut menjemput saya ada ke rakan2 bloggers yang mengetahui kematian saya :)

Saya pernah menghadiri majlis pengebumian Cik Nana kerana saya kenalan rapat dengan salah seorang ahli keluarganya. Ketika itu saya tidak tahu arwah Nana seorang blogger. Sehinggalah saya terserempak satu blog yang menceritakan tentang kematian Nana.

Kak Iza,
Ya betul..saya silap taip namanya Ghazali. Dikalangan teman2 rapat dia dipanggil Lee. Ada juga yang panggil Ghaz. Saya silent reader blognya. Saya kenal dia sebelum dia terlibat dengan dunia blog lagi. Segala apa yang dia tulis diblognya telah diceritakan kepada kami terlebih dahulu.

Sesiapa yang pernah membaca blognya pasti mudah tersentuh. Tidak dinafikan garapan seni sastera arwah memang hebat.

Selamat hari lahir untuk kekasih akak :)

Pa'chik said...

Al-Fatihah untuk Allayarham Ghazali. Semoga rohnya dicucuri rahmat.
Juga AlFatihah untuk blogger-blogger lain yang sudah kembali mengadapNya, Allahyarham Pak Teh, Ghaz, Ciknana...

iman, atas tu, salin tampal.. hehe..

cuma jangan nanti cuma tulis al-fatihah saja.. baca dan niatkan sekali... ;)

Iman Mawaddah said...

Tak pe la pa'chik, sementara mesin fotostat tu free hehehe.

Ya betul.. baca dan niatkan sekali :)

Purpleheart said...

Marilah kita sedekahkan al-fatihah buatnya, semoga rohnya tenang disisi orang2 yang beriman...

banggugar said...

salam,
saya sudah baca.. dan baca lagi.. niat untuk semua kaum muslimin dan muslimat.. (",)

BaYu SenJa said...

tidak juga hikamis,
sebenarnya sudah naluri manusia mendesak luahkan rasa sedih dengan tangisan bila melepaskan orang yang kita pernah akrab pergi ke sisi-Nya.. Nabi Muhammad juga pernah tangisi pemergian khadijah dan anakanda Baginda Ibrahim :)

iman, bayu terlalu tersentuh dengan wasiat sebegini.. kalau difikir hanya akan menyentuh hati, pasti tidak sanggup untuk membaca tetapi selalunya amanat terakhir seseorang yang mulia adalah terlalu manfaat untuk dipesan kepada manusia yang bakal meneruskan kehidupan...

Iman Mawaddah said...

Purple Heart,
Mudah-mudahan. Amin ya rabbal'alamin.

Bang Gugar,
Kenapa macam rasa bersalah je? Pa'chik tak point sesiapa pun :P

Bayu,
Benar kata Bayu, rasa sedih itu adalah naluri biasa. Cuma, terpulang kepada akal dan iman manusia untuk mengawal kesedihannya. Memang benar pengalaman bersahabat maya dengan arwah banyak memberi pengajaran kepada saya dan rakan-rakan yang pernah bersama-sama dahulu.

Hikamis, sahabat kalian eh?

Anonymous said...

sedih. moga arwah di rahmati ALlah. amin.

RaFFLeSiA MeRaH said...

sebak dan terharu RM membaca kisah2 yg dipaparkan, moga menjadi tauladan pada kita yg masih hidup nihhh...amin...

HEMY said...

sedihnya...sy tak penah lg ilang someone yg rapat or yg sy sgt kenal..mesti sgt sedih..

Iman Mawaddah said...

Akira,
Amin,

RM,
InsyaAllah mudah2an. Jika RM baca blog arwah lagi terharu. Sekurang2nya arwah telah diberi "alarm" yang dia akan pergi. Kita macam mana eh?

Anul,
Saya tidak pernah bertemu dengannya tetapi pernah berborak berkongsi cerita di telefon selain di dunia maya. Sedih..memang sedih.Tapi hendak buat macam mana ajal maut di tangan Allah. Sebagai manusia kena redha atas ketentuanNya.

Pa'chik said...

iman,masih bersedih ke? kalau tidak, bawak-bawak la diketik-ketik papan kekunci tu.. ;)

mana tau ada cerita untuk entri baru.. hiks...

Iman Mawaddah said...

pa'chik cepat sikit je...dah ada entri baru dah :P

Anonymous said...

mohon ambil sesuatu di sini..

jemput singgah,

d-hatikubicara.blogspot.com
mohon ambil sesuatu di sini..

jemput singgah,

d-hatikubicara.blogspot.com