Friday, May 25, 2007

Terlupa

Dalam hidup ini kita sering terlupa,
Untuk belajar menghargai apa yang ada,
Samada kita sedar atau tidak sedar,
Samada kita tahu atau tidak tahu,
Kita kadang-kadang terlupa mengsyukuri nikmat Tuhan.

Kita lalui hidup kita, Ikut acuan kita,
Ikut kata hati kita, Sehingga kita terlupa,
Menjaga hati mereka yang di sekeliling kita,
Menghargai kenikmatan hidup yang diberi pada kita.

Sehingga tiba satu masa, Apabila musibah datang menduga,
Apabila kita pergi meninggalkan, Atau ditinggalkan,
Baru kita tersedar, Yang kita telah kehilangan.

Sebelum terlewat, Belajarlah menjadi insan yang menghargai,
Ingat lima perkara sebelum datangnya lima perkara,
Sihat sebelum sakit, Hidup sebelum mati, Muda sebelum tua,
Kaya sebelum miskin, Lapang sebelum sempit,
Mudah-mudah kita tidak tergolong,
Dalam golongan orang yang menyesal di kemudian hari.


*** Saya akan berehat seketika. Saya tinggalkan Zikir Munajat dari Dr Badrul Amin untuk dihayati bersama. "Mesin fotostat" saya kini boleh salin tampal video lagi tu :)



...doakan..doakan yang baik-baik saja. Mudah-mudahan kita bertemu lagi. Salam mawaddah dari saya.


P/s: Pa'chik, karya di atas sekali tu karya saya sendiri..bukan salin tampal ya :P

Thursday, May 24, 2007

10 Jenis Solat Yang Tidak Diterima Oleh ALLAH S.W.T

Rasulullah S.A.W. telah bersabda yang bermaksud : "Sesiapa yang memelihara solat, maka solat itu sebagai cahaya baginya, petunjuk dan jalan selamat dan barangsiapa yang tidak memelihara solat, maka sesungguhnya solat itu tidak menjadi cahaya, dan tidak juga menjadi petunjuk dan jalan selamat baginya." (Tabyinul Mahaarim) Rasulullah S.A.W telah bersabda bahwa :
"10 orang solatnya tidak diterima oleh Allah S.W.T, antaranya :
1. Orang lelaki yang solat sendirian tanpa membaca sesuatu.
2. Orang lelaki yang mengerjakan solat tetapi tidak mengeluarkan zakat.
3. Orang lelaki yang menjadi imam, padahal orang yang menjadi makmum
membencinya.
4. Orang lelaki yang melarikan diri.
5. Orang lelaki yang minum arak tanpa mahu meninggalkannya (Taubat).
6. Orang perempuan yang suaminya marah kepadanya.
7. Orang perempuan yang mengerjakan solat tetapi tidak menutup aurat.
8. Imam atau pemimpin yang sombong dan zalim menganiaya.
9. Orang-orang yang suka makan riba'.
10. Orang yang solatnya tidak dapat menahannya dari melakukan perbuatan
yang keji dan mungkar."

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : "Barang siapa yang solatnya itu tidak dapat menahannya dari melakukan perbuatan keji dan mungkar, maka sesungguhnya solatnya itu hanya menambahkan kemurkaan Allah S.W.T dan jauh dari Allah." Hassan r.a berkata : "Kalau solat kamu itu tidak dapat menahan kamu dari melakukan perbuatan mungkar dan keji, maka sesungguhnya kamu dianggap orang yang tidak mengerjakan solat. Dan pada hari kiamat nanti solatmu itu akan dilemparkan semula ke arah mukamu seperti satu bungkusan kain tebal yang buruk."

Fikir-fikirkan adakah kita termasuk dalam 10 golongan di atas. Saya? muhasabah diri sendiri.

Wednesday, May 23, 2007

Sakitnya Mati


Allah merahsiakan saat kematian kita adalah untuk melihat sejauh mana kita melaksanakan amalan yang telah ditetapkan kepada kita dan sedalam mana pula kita meninggalkan larangannya.

Manusia yang hatinya sentiasa ingatkan mati, akan melaksanakan tugas yang telah diamanahkan kepadanya dengan lebih jujur, bersungguh-sungguh dan ikhlas untuk mendapat keredhaan Allah s.w.t. Manusia begini sentiasa merasai setiap tingkah lakunya diperhatikan oleh Allah s.w.t. . Dan ia juga mengetahui setiap tanggungjawab dan amanah yang dipikul akan ditanya satu persatu oleh Allah swt di akhirat kelak.

Kesakitan bila nyawa dicabut oleh malaikatulmaut tidak dapat dibayangkan sama sekali. Walau bagaimanapun Nabi bersabda, maksudnya :

“ Bahawa Rasulullah saw mengingatkan tentang mati dan keseksaannya, maka sabda Baginda: Iaitulah sakitnya tiga ratus kali tetakan pedang.”

Bayangkanlah jika kita ditetak atau dipukul dengan kayu, dapat digambarkan kesakitannya. Inikan pula ditetak dengan tiga ratus tetakan. Bayangkanlah sendiri. Cuba kita tanggalkan pula kuku daripada isinya, pastinya sakit tidak tertahan. Daging disiat-siat dan dilapah hidup-hidup, dahaga yang amat sangat sehingga air lautan di dunia ini tidak mampu menghilangkan dahaganya. Semuanya ini cuma secebis dari perbandingan kesakitan maut, malah beribu-ribu kali lebih sakitnya daripada itu. Oleh itu, untuk meringankan keseksaan roh ketika dicabut oleh malaikat maut, maka digariskan beberapa amalan tertentu yang perlu diamalkan.

Antaranya :-

Sebelum tidur :

1) Bacalah Surah Al-Ikhlas tiga kali
2) Selawat ke atas Nabi s.a.w.
3) Membaca Tasbih

Amalan Harian :

1) Sentiasa membaca Al-Quran
2) Memelihara solat terutama solat fardhu
3) Menghormati waktu azan
4) Membaca tasbih
5) Membanyakkan sedekah
6) Sentiasa berzikir menyebut Allah

Amalan yang perlu dijauhi :

1) Dusta
2) Khianat
3) Mengadu domba
4) Buang air kecil berdiri -

Sabda Rasullulah saw yang bermaksud :-

“Bersuci kamu sekalian dari buang air kecil kerana sesungguhnya kebanyakan seksa kubur itu dari sebab buang air kecil.”

Pada suatu hari malaikatulmaut datang untuk bertemu dengan Nabi Idris a.s. lalu Nabi Idris a.s. mengetahui kesakitan sakaratulmaut agar taqwanya lebih mendalam dan teguh lagi. Maka Allah s.a.w. memberikan wahyu kepada malakaitulmaut supaya mencabut nyawa Nabi Idris dan meninggalkan ketika itu juga. Malaikatulmaut menangis dan memohon kepada Allah s.a.w. supaya Dia (Allah s.a.w. ) menghidupkan kembali Nabi Idris lalu dimakbulkan Allah. Setelah didapati Nabi Idris a.s. sudah hidup kembali, malaikutul maut bertanya :-

“Ya saudaraku bagaimana rasanya kesakitan maut?”

Jawab Nabi Idris a.s. :-

“Sesungguhnya ibarat terkelupasnya kulit dalam keadaan hidup-hidup, maka rasa sakit menghadapi maut itu lebih dari 1000 kali sakitnya. “

Kata malakatulmaut : -

“Secara berhati-hati dan tidak kasar yang telah saya lakukan khusus mencabut nyawa engkau itu, belumlah pernah aku lakukan terhadap seseorang pun.”

Diriwayatkan lagi bahawa Nabi Isa a.s. telah menghidupkan beberapa orang yang telah mati dengan keizinan Allah s.w.t.

Maka sebahagian orang kafir berkata :

“Sesungguhnya engkau telah menghidupkan orang-orang yang telah mati yang masih baru, yang mungkin mereka itu belum benar-benar mati. Maka hidupkan untuk kami orang yang telah mati seperti zaman awal dulu.”

Kata Nabi Isa a.s. : -

“Cubalah kamu pilihkan...”

Mereka berkata :-

“Hidupkanlah untuk kami anak Nabi Nuh a.s. (Saam bin Nuh).”

Maka Nabi Isa a.s. pergi ke kuburnya, lalu mengerjakan solat dua rakaat dan berdoa kepada Allah s.w.t. Dan Sam bin Nuh dihidupkan kembali, tetapi rambut dan janggutnya sudah beruban. Nabi Isa a.s. hairan kenapa jadi begitu.

Berkata Sam bin Nuh:

“Saya telah mendengar panggilanmu dan saya mengira hari kiamat telah tiba, maka rambut dan janggut saya berubah menjadi putih seperti ini dari sebab takutnya hari kiamat.

Berkata Nabi Isa a.s. :- “Sudah berapa tahun kau meninggal dunia?”

Kata Sam : - “Semenjak 4000 tahun lalu maka belumlah hilang sakit dari sakaratul maut.”

***lagi-lagi salin dan tampal

Tuesday, May 22, 2007

Ayam dan Itik

Di satu sudut kawasan Masjidil Haram saya duduk berteleku di kelilingi muslimat Turki dan Pakistan. Malam itu malam Jumaat. Alunan surah yassin, al-kahfi dan al-sajadah silih berganti. Tanpa saya sedari ada mata yang memandang, ada telinga yang merapat dengar. Tidak senang menjadi perhatian, mata melihat pada empunya mata yang melihat dan mendengar. Senyuman berbalas. Dia menanti sehingga saya selesai mengaji. Usai mengaji dia menegur.
Dia: Indonesi?
Saya: La', Malizia.
Dia: Mesr?
Saya: Malizia (sambil menunjukkan bendera yang tertera pada kad nama).
Dia mengangguk-angguk.
Saya: Turk?
Dia mengangguk sambil bercakap Turki.
Saya tersengeh...tidak faham.
Saya : Angkara?
Dia bercakap-cakap mengunakan bahasa dia lagi.
Saya sengeh lagi. Dia membalas sengehan saya.

Dia bertanya dalam bahasa Turki sambil menunjuk kitab suci Al-Quran.
Saya: English?
Dia menggeleng.
Saya: Arabic? (macam pandai cakap arab sangat..)
Dia menggeleng.
Dia: Turk..Turk... (seterusnya bertanya lagi dalam bahasa Turki.)
Saya: Saya tak faham bahasa Turki (sambil menunjukkan bahasa isyarat ciptaan sendiri).
Dia menunjukkan Al-Qurannya dalam bahasa Turki sambil menunjukkan isyarat yang dia tidak pandai membaca Al-Quran dalam bahasa Arab.
Saya: Oooo macam tu ke. Kami orang Malaysia baca Al-Quran bahasa Arab. Walaupun kebanyakkan kami tidak faham arabic.
Dia menunjukkan isyarat bagus. Saya ketawa kecil. Dia turut ketawa seolah-olah dia faham apa yang saya kata.

Tidak lama kemudian sulaman telekung saya, kad nama saya, gelang tangan saya dibeleknya. Dia berkata-kata lagi dalam bahasa Turki.
Saya: Awak cakaplah apa-apa saja..saya tak faham sambil mengangkat bahu.
Dia cuba menerangkan lagi. Saya hanya mampu mengangkat bahu lagi sambil tertawa kecil. Dia turut ketawa sama. Akhirnya kami berbicara menggunakan bahasa isyarat.
Saya: Apa nak buat..ayam dan itik berborak..ketawa je la ya..faham tak faham belakang kira.
Dia ketawa lagi..sambil mencuit-cuit dagu saya persis seorang ibu. Saya turut gelihati dengan gelagatnya.

Setelah solat isyak dan beriktikaf seketika, saya mohon izin untuk pulang. Salam bertaut, kedua-dua belah pipi saya dikucupnya mengikut budaya orang Turki. Saya terkejut. Lantas saya memeluknya sambil memberi isyarat "Saya Malaysia...awak Turki..tapi Tuhan kita tetap sama..La'illa haillallah Muhammadur Rasulullah" Dia turut mengucap bersama-sama saya. Gengaman tangan kami terasa betapa kuatnya ukhuwah yang baru sebentar terjalin.

Monday, May 21, 2007

Abadi

Ku tulis namamu di langit...hilang ditiup angin,
Ku tulis namamu di pasir...hilang dihempas ombak,
Ku tulis namamu di hati... kekal abadi hingga mati.
Kawan..selama-lamanya abadi.

Andai nadi berhenti berdenyut,
Andai mata terpenjam rapat,
Andai tubuh terbujur kaku,
Andai nyawa tinggalkan jasad,
Tidak sesekali aku kesalkan,
Kerana aku cukup gembira,
Punyai sahabat seperti kamu.

***Hanya aku, kau dan dia yang mengerti pengabdian ini.

Thursday, May 17, 2007

Kisah Selembar Bulu Mata

Diceritakan di Hari Pembalasan kelak, ada seorang hamba Allah sedang diadili. Ia dituduh bersalah, menyia-nyiakan umurnya di dunia untuk berbuat maksiat. Tetapi ia berkeras membantah. "Tidak. Demi langit dan bumi sungguh tidak benar. Saya tidak melakukan semua itu." "Tetapi saksi-saksi mengatakan engkau betul-betul telah menjerumuskan dirimu sendiri ke dalam dosa," jawab malaikat. Orang itu menoleh ke kiri dan ke kanan, lalu ke segenap penjuru. Tetapi anehnya, ia tidak menjumpai seorang saksi pun yg sedang berdiri.

Di situ hanya ada dia sendirian. Makanya ia pun menyanggah, "Manakah saksi-saksi yg kau maksudkan? Di sini tdk ada siapa kecuali aku dan suaramu." "Inilah saksi-saksi itu," ujar malaikat. Tiba-tiba mata angkat bicara, "Saya yang memandangi." Disusul oleh telinga, "Saya yg mendengarkan." Hidung pun tidak ketinggalan, "Saya yang mencium." Bibir mengaku, "Saya yang merayu." Lidah menambah, "Saya yang mengisap." Tangan meneruskan, "Saya yang meraba dan meremas." Kaki menyusul, "Saya yang dipakai lari ketika ketahuan."

"Nah kalau kubiarkan, seluruh anggota tubuhmu akan memberikan kesaksian tentang perbuatan aibmu itu", ucap malaikat. Orang tersebut tidak dapat membuka sanggahannya lagi. Ia putus asa dan amat berduka, sebab sebentar lagi bakal dihumbankan ke dalam jahanam. Padahal, rasa-rasanya ia telah terbebas dari tuduhan dosa itu. Tatkala ia sedang dilanda kesedihan itu, sekonyong-konyong terdengar suara yg amat lembut dari selembar bulu matanya: "Saya pun ingin juga mengangkat sumpah sebagai saksi."

"Silakan", kata malaikat. "Terus terang saja, menjelang ajalnya, pada suatu tengh malam yg lengang, aku pernah dibasahinya dengan air mata ketika ia sedang menangis menyesali perbuatan buruknya. Bukankah nabinya pernah berjanji, bahwa apabila ada seorang hamba kemudian bertaubat, walaupun selembar bulu matanya saja yg terbasahi air matanya, namun sudah diharamkan dirinya dari ancaman api neraka? Maka saya, selembar bulu matanya, berani tampil sebagai saksi bahwa ia telah melakukan tobat sampai membasahi saya dengan air mata penyesalan."

Dengan kesaksian selembar bulu mata itu, orang tersebut dibebaskan dari neraka dan diantarkan ke syurga. Sampai terdengar suara bergaung kepada para penghuni syurga: "Lihatlah, Hamba Tuhan ini masuk surga kerana pertolongan selembar bulu mata."

Firman Allah swt,
"Demi masa, sesungguhnya manusia itu benar-benar berada di dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, yang ingat-mengingati supaya mentaati kebenaran, dan yang ingat-mengingati dengan kesabaran." Surah Al-Ashr

Dari Abdullah bin 'Amr R.A, Rasulullah S.A.W bersabda: " Sampaikanlah pesanku biarpun satu ayat..."


*** Sesi salin dan tampal lagi.

Renung dan nilai diri sendiri tertanya-tanya di mana kedudukan di akhir nanti.

Wednesday, May 16, 2007

Satu Kisah

AWAS! Entri ini panjang. Jika malas baca lupakan sahaja.

Sedang dia berjalan-jalan menuruni anak tangga di sebuah pasar tani, kedengaran sayup-sayup namanya dipanggil. "Cikgu XYZ!." Langkahnya terhenti mencari-cari dari mana arah datangnya suara tersebut. Yang kelihatan di sekelilingnya ketika itu adalah seorang budak lelaki, seorang budak perempuan dan seorang remaja perempuan duduk minum di gerai berhampiran dengan selambanya. Dia keliru dan meneruskan langkah tanpa menghiraukan suara tadi. "Cikgu XYZ!" dia menoleh geram. "Betul ke Cikgu XYZ?" tanya suara itu lagi. "Dah kamu panggil nama saya, saya menoleh, betul la tu maknanya," jawab dia ke arah kumpulan yang duduk minum tadi. Lantas budak lelaki itu bangun mendekati dia sambil menghulurkan tangannya. Dia serba salah. Memikirkan budak lelaki itu masih lagi bergelar budak, dia menyambut tangannya. Tangannya dicium oleh budak lelaki tersebut. Kemudian disusuri pula oleh salam dari budak perempuan yang ada bersama-samanya.

"Apa khabar cikgu? Masih ingat saya lagi?" tanya budak lelaki tersebut sambil membuka topinya. "MasyaAllah, Afiq ya," tanya dia. "Ya betul," balas Afiq. "Awak apa khabar?" tanya dia. "Baik. Saya tidak akan lupa cikgu." Dia ketawa sambil bertanya "Kenapa?". "Sebab cikgu, cikgu pertama yang buat saya menangis," sambung budak lelaki itu penuh hormat. Ayah si dia yang ada bersama ketika itu sempat menjeling ke arahnya. Ketawa dia semakin besar. "Lamanya saya tidak jumpa cikgu. Saya ingat tak jumpa cikgu lagi dah. Datanglah sekolah cikgu boleh jumpa kami," balas Afiq ramah. "Saya sejak tinggalkan sekolah tu, lansung saya tak jengah sana dah. Kamu pun dah tinggi sekarang ya. Dah makin hensem cikgu tengok. Tahun berapa sekarang?," dia membalas sambil menyakat Afiq. "Tahun 6 cikgu. Doakanlah saya berjaya. Saya hendak berjaya, masuk universiti macam yang cikgu kata dulu," jawab Afiq. "InsyaAllah saya doakan. Saya pasti kamu boleh lakukan. Nanti boleh apply asrama penuh, merasa hidup di asrama pula," dia menjawab tenang. "Tu lah ingat nak apply MRSM," jawab Afiq penuh yakin. "Apa-apa hal pun score UPSR dulu. Kemudian baru fikir hendak ke mana-mana," dia membalas. "Oklah Afiq, saya terpaksa jalan dulu. Sampaikan salam saya buat kawan-kawan yang lain ya," dia mohon undur diri. "Ok cikgu, panjang umur InsyaAllah kita jumpa lagi." Tangan dia disalami dan dikucupi sekali lagi oleh Afiq.


Kenangan lalu.
Di sebuah kelas di Tahun 4, Afiq sedang asyik bermain mengacau rakan sekelasnya sambil menjengkek-jengkekkan kerusinya. "Afiq!!! Kamu bangun." Tubuh kecil itu bangun mengadap guru yang mengajar. Mata bertentang mata. "Kamu ingat kamu dah pandai sangat boleh tak buat kerja? Kamu ingat saya tidak tahu kamu buat apa dekat belakang tu!" kata dia marah. Afiq terdiam mungkin kerana dia tidak pernah melihat gurunya marah sedemikian rupa. "Kalau macam ini lah perangai kamu saya tidak teragak-agak untuk report pada cikgu kelas dan turunkan kamu ke kelas lain." Mata Afiq sudah mula berair.Dia ingin duduk. "Siapa suruh kamu duduk?" Afiq berdiri kembali. Kali ini matanya merah. Selama lima minit berdiri dia menahan tangisannya dalam diam. "Baik Afiq, kamu boleh duduk. Saya nak tengok kerja yang saya bagi di dalam kelas hari ini sampai di meja saya sebelum balik kamu balik tengah hari. Faham?" Afiq tunduk lemah tidak berani menentang mata gurunya.

Sewaktu rehat, dia melintasi kelas Afiq. Afiq kelihatan duduk menghabiskan kerja di mejanya. Dalam diam dia menghampirinya lansung duduk di sebelahnya.
"Assalamualaikum." Afiq menjeling sambil menjawab salam dengan nada yang perlahan. "Tak keluar rehat?" tanya dia. Afiq menggeleng. "Ermm kamu marah saya?...kalau kamu masih marah saya minta maaf." Sunyi. Dia menyambung "Saya buat begitu sebab saya sayang kamu." Afiq mengangkat mukanya. Masih ada bekas air mata di kelopak matanya. "Saya yang patut minta maaf cikgu. Saya dah buat cikgu marah," balas Afiq. Dia senyum. "Baguslah kalau kamu dah tau kesilapan kamu," kata dia. "Lagipun..orang lelaki tidak elok menangis, tak macho tau," sambung dia lagi sambil menumbuk manja bahu Afiq dan memberinya sekeping tisu. Afiq ketawa dan mengelap air matanya dengan tisu yang dia berikan. Dia turut sama ketawa. "Kamu dah makan?" tanya dia. "Tu ha mak ada bekalkan roti," jawab Afiq. "Oklah. Kalau begitu cikgu pergi dulu, nanti dah siap hantar atas meja cikgu, ok." Afiq senyum mengangguk. Dia berlalu sambil menepuk-nepuk bahu Afiq.

Realiti Kehidupan
Ah..sungguh singkat masa berlalu. Pengalaman setahun menjadi guru benar-benar menguji kesabaran saya. Afiq antara murid yang rapat dengan saya. Dia bijak berbanding rakan-rakan yang lain. Tapi dia dari keluarga yang berpendapatan sederhana. Tidak seperti rakan-rakan yang lain yang lebih bergaya dari segi penampilan mereka. Almaklumlah anak-anak orang berada. Oleh sebab itu, saya cuba membimbingnya kerana saya nampak potensi yang ada dalam diri dia setiap kali saya membincangkan isu-isu semasa yang agak mencabar bagi murid-murid tahun 4. Afiq sangat terkejut apabila saya hanya mengumumkan perletakan jawatan saya di kelasnya pada hari terakhir saya di sekolah itu. "Kenapa cikgu bagi tahu lewat?" dia memulakan pertanyaan. "Cikgu hendak kerja di mana," tanya seorang murid yang lain. "Jika cikgu bagi tahu awal, boleh kami bagi hadiah" "Kenapa cikgu hendak tinggalkan kami?" "Jika saya ada kuasa, saya tahan cikgu di sini" "Cikgu tidak sayangkan kami, cikgu tipu kami!" Cikgu itu cikgu ini..satu demi satu pertanyaan dan tuduhan dilemparkan pada saya. Hanya Allah sahaja yang tahu betapa hebatnya saya berperang dengan perasaan saya ketika itu. Bagaikan orang menyerah kalah saya mengangkat kedua-dua tangan saya menenangkan suasana yang tegang. "Saya minta maaf, jika diizinkan memang saya ingin terus bersama kamu semua. Saya hendak tengok kamu berjaya. Tetapi ada amanah lain yang memerlukan perhatian saya. Saya tidak mahu hadiah. Cukup dengan doa dan kejayaan kamu semua mengiringi saya. Jika saya diizinkan Allah, saya ingin melihat kamu semua berjaya menjadi insan yang berguna untuk agama dan bangsa," jawab saya menahan sebak. Suasana sepi seketika. Afiq bangun sambil bersuara "Cikgu, janganlah sedih. Pergilah cikgu tapi jangan lupakan kami. Nanti raya haji boleh kami datang rumah cikgu..rasa masakan cikgu kan kawan-kawan?" dia cuba menceriakan suasana yang hiba. Kami semua ketawa jadinya melihat gelagat dia. Di akhir kelas itu seorang demi seorang menyalami dan menciumi tangan saya. Tetapi genggaman tangan Afiq meninggalkan kesan air matanya di tangan saya. Dia pantas berlalu pergi tanpa menatap saya. Saya tergamam.

Semasa saya kelam kabut untuk menghadiri jamuan perpisahan saya, Afiq dan dua orang rakannya datang ke bilik guru memanggil saya keluar. "Ada apa Afiq?" "Ini ada kad dan hadiah untuk cikgu sebagai kenangan," jawab dia. "Ya Allah, buat susah-susah saje. Pakai duit siapa ni?" tanya saya. "Kami share duit 3 orang cikgu,"sambut rakannya. "Dah tu kamu ada duit tak nak makan ni?" tanya saya sambil mencari-cari dompet duit di dalam tas tangan. "Dah cikgu jangan risau. Ambillah sebagai tanda hati dari kami," jawab Afiq. "Terima kasih semua. Maaf saya kena pergi jamuan sekarang. Ok ya panjang umur kita bertemu lagi," kata saya sambil memulakan langkah hendak berlalu pergi. "Cikgu! nanti sekejap," Afiq memanggil. "Ada apa lagi?" tanya saya. "Nak salam cikgu lagi," jawab Afiq. Tiga orang sahabat itu menyalami dan menciumi tangan saya lagi. "Selamat jalan cikgu, kami harap boleh jumpa cikgu lagi," Afiq bersuara bagi pihak rakan-rakannya. Redup matanya saya pandang. Terpancar sebuah kejujuran dan keikhlasan. Saya hanya mampu tersenyum kosong menahan sebak di hati.

Pulang dari sekolah saya membelek-belek hadiah pemberian Afiq dan rakan-rakannya. Hadiahnya adalah sekeping kad yang dibuat sendiri daripada kertas A4 dan buku nota kecil bergambar winnie the pooh. Antara bait-bait yang mereka tulis Salam perpisahan buat cikgu yang kami sayangi. Jangan lupakan kami. Selamat hari raya Aidiladha cikgu, nanti bolehlah kami datang rumah cikgu dan makan rendang masakan cikgu.Saya tersenyum sendirian.

*********************************************

"Mulakan dengan bismillah. Melangkahlah ke kelas dengan kaki kanan. Niat di dalam hati aku ingin mencelikkan anak didikku dengan penuh keikhlasan. Sentiasa berdoa agar ilmu yang diberikan bakal memberi manfaat di akhirat kelak. Tugas ini tugas yang murni jangan dicalari dengan ilmu-ilmu yang tidak berguna"- abah.
Jauh di sudut hati adakalanya datang keinginan untuk kembali ke dunia pendidikan. Mendidik anak-anak kecil yang masih hijau adalah lebih mudah dari mendidik orang dewasa yang keras kerikil. Tapi saya tidak menyalahi takdir. Perjalanan hidup ini Allah yang menentukan. Selamat hari guru buat semua insan yang bergelar pendidik. Semoga usaha murni kalian diberkati Allah.

Sunday, May 13, 2007

Kau Anugerah Istimewa

Lunak suara mendamai rasa,
Lembut sentuhan penenang jiwa,
Halus sungguh budi bahasa,
Anugerah istimewa yang Maha Esa.

Mutiara berharga yang malap sinarnya,
Kerana rentetan peradaban lama,
Sepandai mana seorang wanita,
Layaknya hanya di dapur sahaja.

Akur nasihat bonda tercinta,
Cita-cita tinggi terpaksa dilupa,
Dalam hati membungkam rasa,
Ketidak samaan antara jantina.

Lamaran sang arjuna telah diterima,
Merapatkan jurang sesama saudara,
Tinggallah ayahanda dan juga bonda,
Ke Kota Lumpur destinasi ia.

Semangat srikandi tersemai di jiwa,
Tekad dan azam dibawa bersama,
Mengharungi badai hidup di kota,
Cita-cita terabai pasti dilaksana.

Permata anugerah Allah tidak dipersia,
Di gilap di jaga penuh sempurna,
Ilmu dunia dan akhirat sama adanya,
Penyambung cita yang tergendala.

******************************************
Duhai Bonda,
Aku bersyukur kerana terpilih menjadi anakmu. Aku berdoa supaya di hari kebangkitan nanti, aku tidak menyalahkanmu kerana gagal mendidikku. Bagiku kau telah menjalankan tanggungjawabmu dengan sempurna. Segala khilaf yang berlaku dalam hidupku adalah kerana diriku sendiri. Bukan kerana kesilapan didikan ayahanda dan bonda. Sememangnya kau anugerah istimewa. Aku berdoa semoga kau jua akan dianugerahkan tempat yang istimewa disisiNya yang Maha Esa. Selamat hari ibu buatmu yang ku sayang.

Thursday, May 10, 2007

Terapi minda

Kisah budak 5 tahun
Biha meminta untuk dicuci rambutnya. Memandangkan syampoo bayi johnson dan johnson sudah habis dia mengambil sedikit syampoo "kepala dan bahu".
"Haa..tak mo laa..Biha tak de kutu"
"Aiyokk..Ni bukan syampoo kutu laa..ni syampoo kelumumur"
Ketawa

Kisah budak 9 tahun
"Pupuk rini..pupuk rini"
"Kalau enggak dipupuk nanti digeget nyamuk."
Sambil menepuk-nepuk untuk menidurkan adiknya. Dia ketawa. Hebat betul penangan drama Indonesia "Mutiara Hati"

Kisah budak 3 tahun
"Ok Maira, meh salam"
"Tak mo, Maira nak balik juga," sambil menyorok tangannya ke belakang
"Maira nak pusing," katanya perlahan.
"Apa dia?"kata dia sambil mendekat telinga ke Maira.
"Maira nak pusing-pusing."
Aiyok kena denda la dia.

Kisah budak 5 tahun
"Cantiknya dia..dah makin putih sekarang ni," tegur dia.
Budak itu tersipu ayu.
"Makan apa sampai putih ni?" tanya dia.
"Makan telur"
Ketawa.

********************************************
Itu sebahagian kisah askar-askar saya. Kerunsingan memenuhi tuntutan kerja adakalanya hilang melayan keletah-keletah si kecil. Minggu ini, rumah ini bakal meriah dengan perangai askar-askar yang berkumpul meraikan hari lahir Yong yang ke-12 (7/5/2007), cucunda sulung keluarga. Maka bersiap sedialah..rumah ini bakal menjadi kapal pecah.. hehe. Apa yang pasti komputer saya ini bakal menjadi rebutan antara power rangers, barbie, garfield, sponge bob, bob the builder, spiderman dan yang sewaktu dengannya.

Wednesday, May 09, 2007

Kisah Sufi dan Puteri

Sufi: Kamu seorang yang berbudi pekerti. Bahasa yang kamu bicarakan boleh menjadi penawar kepada yang mendengar. Terima kasih kerana menerimaku sebagai sahabat kamu.
Puteri: Tinggi benar penghargaan kamu wahai sufi. Tidak perlu berterima kasih. Aku juga manusia biasa.
Sufi: Aku tahu kamu seorang yang baik. Kamu bijak menyembunyikan hati yang terluka dengan keramahanmu.

Puteri terdiam.

Sufi: Kamu sedang membenci seseorang bukan?
Puteri : Maksud kamu?
Sufi: Hilangkan kebencian itu dari diri kamu wahai sahabatku. Muslim yang baik adalah muslim yang jauh dari penyakit kebencian. Biarkan sahaja ia berlalu. Kamu tidak berhak mengadilinya. Biarkan Allah yang Maha Esa mengadilinya.

Puteri: Bagaimana kamu boleh berkata sedemikian rupa sedangkan kamu baru sahaja mengenaliku.
Sufi: Aku mendalami ilmu firasat. Setiap kata-katamu dapat ku fahami sehalus-halusnya. Mungkin telahan aku tidak tepat tapi itulah yang aku rasakan ketika aku berbicara denganmu.

Puteri terdiam lagi. Jauh di sudut hatinya membenarkan apa yang dikatakan oleh Sufi.

***Sesi mengadaptasi dan mengedit dari kisah dongeng budak-budak kecil.

Tuesday, May 08, 2007

Jangan Mengeluh

Kita selalu bertanya dan Al-Quran sudah menjawabnya.

KITA BERTANYA : KENAPA AKU DIUJI?
QURAN MENJAWAB
"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," ("I am full of faith to Allah") sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji org2 yg sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui org2 yg benar dan, sesungguhnya Dia mengetahui org2 yg dusta."
-Surah Al-Ankabut ayat 2-3

KITA BERTANYA : KENAPA AKU TAK DAPAT APA YG AKU IDAM-IDAMKAN?
QURAN MENJAWAB
"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui."
- Surah Al-Baqarah ayat 216

KITA BERTANYA : KENAPA UJIAN SEBERAT INI?
QURAN MENJAWAB
"Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya."
- Surah Al-Baqarah ayat 286

KITA BERTANYA : KENAPA RASA FRUST?
QURAN MENJAWAB
"Jgnlah kamu bersikap lemah, dan jgnlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah org2 yg paling tinggi darjatnya, jika kamu org2 yg beriman."
- Surah Al-Imran ayat 139

KITA BERTANYA : BAGAIMANA HARUS AKU MENGHADAPINYA?
QURAN MENJAWAB
"Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan) , dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah (be fearfull of Allah The Almighty) kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan)."

KITA BERTANYA : BAGAIMANA HARUS AKU MENGHADAPINYA?
QURAN MENJAWAB
"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk"
- Surah Al-Baqarah ayat 45

KITA BERTANYA : APA YANG AKU DAPAT DARIPADA SEMUA INI?
QURAN MENJAWAB
"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mu'min, diri, harta mereka dengan memberikan syurga utk mereka... ?
- Surah At-Taubah ayat 111

KITA BERTANYA : KEPADA SIAPA AKU BERHARAP?
QURAN MENJAWAB
"Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain dari Nya. Hanya kepadaNya aku bertawakkal."
- Surah At-Taubah ayat 129

KITA BERKATA : AKU TAK DAPAT TAHAN!!!
QURAN MENJAWAB
"... ..dan jgnlah kamu berputus asa dr rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dr rahmat Allah melainkan kaum yg kafir."
- Surah Yusuf ayat 12

Jika hendak mengeluh lagi bawa-bawalah mengaji.

***Sesi salin dan tampal.

Friday, May 04, 2007

Cinta Si Cilik

Suatu hari ketika bersarapan,
"Mak nak tahu, Ros bagi tahu yang anak dia suka Biha." kekanda sulung saya memulakan cerita. "Iye ke..wah Biha dah ada peminat," saya menyampuk menyakat Biha."Bukan Hilman aje, Faiz pun minat dia. Ros cerita lagi Hilman selalu gaduh dengan Faiz sebab Biha," sambung kekanda lagi. Semua yang ada di meja itu angkat gelak.

Biha tersipu-sipu malu sambil menepuk dahinya. "Betul ke Nabihah," mak bertanya lembut. "Ala...mana ada," Nabihah masih lagi mengcontrol ayu. Semua yang ada di meja masih giat menyakat Nabihah. "Roti canai ini beli dekat mana Ma," Nabihah menyambung. "Eleh..pandai ya tukar topik," saya berkata sambil mencuit pinggangnya. "Alahh...," jawap Biha sambil menepuk dahinya lagi sambil tertunduk malu.

Suatu malam ketika duduk menonton,
Entah macam mana kekanda kedua saya membuka cerita. "Aishah ni ada peminat dekat school," sambil menjeling anaknya. "A'ah, budak tu sama kelas dengan Shah. Nama dia Aqil," sampuk Abang Man anak sulung kekanda saya. Semua orang tergelak. Aishah mengetap bibirnya geram. "Bapak dia sendiri tahu anak dia suka Shah. Anak dia kata Shah baik," sambung kekanda saya. "Iye Shah, Shah ada boyfriend ya," tanya saya. Kegeraman Aishah tidak dapat dikawal lansung dia menjawab dengan suara nyaringnya "Mana ada, dia yang nak kawan dengan kita. Kita tak suka dia." Semua orang gelak lagi. Aishah yang pada mulanya marah lansung tergelak sama.

Budak-budak sekarang sudah pandai mengerti akan cinta. Fatimah Nabihah baru berumur 5 tahun dan Aishah Hadhirah 6 tahun. Kedua-duanya bersahabat baik lantaran perbezaan umur yang hanya 3 bulan. Pasti ada keletah-keletah mereka yang mencuit hati tatkala menyakat kedua-duanya.