Showing posts with label Keluarga. Show all posts
Showing posts with label Keluarga. Show all posts

Monday, July 16, 2007

Lagu untuk Adindaku, Aliyya

Dekat DiHatiku
Hatiku kembali tersentuh
Membisik untukku pulang ke sana
Di bayu pergunungan itu
Di laman kedamaian kita

Biar pun ku jauh di sini
Namun tak pernah lupakanmu
Itulah sebagai tandanya
Tidak selalu dari ini
Hanya kau yang sangat ku sayang

Andai kau dengar lagu ini
Walau di mana dikau berada
Yang hidup atau yang telah tiada
Mengertilah wahai saudaraku
Dikaulah yang amat ku rindu
Yang ku sayang buat selamanya

Tapi apalah daya diriku
Tak terucap lagi di bibir
Walau airmata mengalir
Ku tabahkan demi mereka
Kernaku tahu ku kan pulang jua

Andai kau dengar lagu ini
Walau di mana dikau berada
Yang hidup atau yang telah tiada
Mengertilah wahai saudaraku
Dikaulah yang amat ku rindu
Yang ku sayang buat selamanya

Kerna ku tahu ku kan pulang jua
Kerna ku tahu ku kan pulang jua
Kerna ku tahu ku kan pulang jua
-Nazrey Johari

Sunday, June 24, 2007

Ayam dan Itik II - Beijing

Saya dan bonda sedang sibuk menawar harga untuk baju askar-askar puteri saya dengan seorang penjual wanita. Tiba-tiba rakan si penjual wanita itu menegur, "Do you like silk scarf?" sambil memegang kain tudung yang saya pakai. Saya memandang ke arahnya sambil mencari-cari bayang scarf sutera yang dimaksudkan. Dalam hati terdetik kedai ini jual baju kanak-kanak, tiada pun jual tudung. Kenapa lah minah ini menyibuk. Saya menjawab acuh tak acuh "No,thanks" dan teruskan aktiviti tawar menawar saya dengan rakannya.

"Hallo miss..do you like silk scarf?" penjual wanita itu bertanya soalan yang sama sambil menunjuk ke arah rambutnya. Saya hanya mampu menggeleng, dalam hati dok mengomel tidak faham bahasa ke dia ni. Matanya bulat melihat gelengan saya. Dia berkata sesuatu dalam bahasa Mandarin. Saya tidak faham. Rakannya bertanya "How long?" sambil mengusap rambutnya. Otak saya yang sememangnya tengah blur dengan gangguan tersebut lansung menggeleng. Mata kedua-duanya bulat. Saya masih selamba.

Gelagat kami rupa-rupanya diperhatikan oleh kekanda saya. "Perasan tak yang dia orang tu ingat awak tu botak," kata kekanda saya. "Huh..iye ke. Manalah orang faham ayam dan itik bercakap. Dia tanya soalan lain tapi dia maksudkan lain. Otak pula tengah mikir nak turunkan harga." "Tu la pasal, along dok perhati juga apa yang sebenarnya dia nak tahu." "He..he..he dorang ingat botak la ya, sebab tu kena pakai tudung," balas saya. Geledakan tawa kami bersatu. Mereka berpandangan kebingungan.

Bila saya tengok gambar si botak itu, saya teringat kisah ini. Siapa sangka dalam saya dok tergelakkan wanita Beijing itu, ada juga perempuan Melayu dan Islam yang tergamak membotakkan kepalanya sendiri.

Sunday, June 17, 2007

Abah

Dia seorang lelaki yang bertanggungjawab, tegas dan adakalanya sangat kelakar. Dia sangat setia bersama PenciptaNya di kala dinihari. Dia juga seorang pencinta sastera. Tetapi dia kurang pandai menunjukkan kasih sayangnya. Walau apapun dia tetap dia. Tetap bersemangat teguh dan kental menjalani hidup atas prinsipnya tersendiri.

Selamat Hari Bapa untuk Abah dan semua insan yang bergelar bapa. Al-Fatihah bagi bapa-bapa yang telah pergi.

Tuesday, June 05, 2007

Beijing 2007


Lorong basikal dan polis trafiknya


Tempat letak basikal


Sungai yang bersih di tengah-tengah kota



Bangunan unik



Stadium bola untuk Beijing 2008



Terlena dalam bas



Stadium utama untuk Olympic-Beijing 2008. Katanya ala sangkar burung, tapi tengok macam sarang burung je



Sebahagian tinggalan tembok yang melingkari kota Beijing



Salah sebuah masjid di Beijing

Sunday, May 13, 2007

Kau Anugerah Istimewa

Lunak suara mendamai rasa,
Lembut sentuhan penenang jiwa,
Halus sungguh budi bahasa,
Anugerah istimewa yang Maha Esa.

Mutiara berharga yang malap sinarnya,
Kerana rentetan peradaban lama,
Sepandai mana seorang wanita,
Layaknya hanya di dapur sahaja.

Akur nasihat bonda tercinta,
Cita-cita tinggi terpaksa dilupa,
Dalam hati membungkam rasa,
Ketidak samaan antara jantina.

Lamaran sang arjuna telah diterima,
Merapatkan jurang sesama saudara,
Tinggallah ayahanda dan juga bonda,
Ke Kota Lumpur destinasi ia.

Semangat srikandi tersemai di jiwa,
Tekad dan azam dibawa bersama,
Mengharungi badai hidup di kota,
Cita-cita terabai pasti dilaksana.

Permata anugerah Allah tidak dipersia,
Di gilap di jaga penuh sempurna,
Ilmu dunia dan akhirat sama adanya,
Penyambung cita yang tergendala.

******************************************
Duhai Bonda,
Aku bersyukur kerana terpilih menjadi anakmu. Aku berdoa supaya di hari kebangkitan nanti, aku tidak menyalahkanmu kerana gagal mendidikku. Bagiku kau telah menjalankan tanggungjawabmu dengan sempurna. Segala khilaf yang berlaku dalam hidupku adalah kerana diriku sendiri. Bukan kerana kesilapan didikan ayahanda dan bonda. Sememangnya kau anugerah istimewa. Aku berdoa semoga kau jua akan dianugerahkan tempat yang istimewa disisiNya yang Maha Esa. Selamat hari ibu buatmu yang ku sayang.

Thursday, May 10, 2007

Terapi minda

Kisah budak 5 tahun
Biha meminta untuk dicuci rambutnya. Memandangkan syampoo bayi johnson dan johnson sudah habis dia mengambil sedikit syampoo "kepala dan bahu".
"Haa..tak mo laa..Biha tak de kutu"
"Aiyokk..Ni bukan syampoo kutu laa..ni syampoo kelumumur"
Ketawa

Kisah budak 9 tahun
"Pupuk rini..pupuk rini"
"Kalau enggak dipupuk nanti digeget nyamuk."
Sambil menepuk-nepuk untuk menidurkan adiknya. Dia ketawa. Hebat betul penangan drama Indonesia "Mutiara Hati"

Kisah budak 3 tahun
"Ok Maira, meh salam"
"Tak mo, Maira nak balik juga," sambil menyorok tangannya ke belakang
"Maira nak pusing," katanya perlahan.
"Apa dia?"kata dia sambil mendekat telinga ke Maira.
"Maira nak pusing-pusing."
Aiyok kena denda la dia.

Kisah budak 5 tahun
"Cantiknya dia..dah makin putih sekarang ni," tegur dia.
Budak itu tersipu ayu.
"Makan apa sampai putih ni?" tanya dia.
"Makan telur"
Ketawa.

********************************************
Itu sebahagian kisah askar-askar saya. Kerunsingan memenuhi tuntutan kerja adakalanya hilang melayan keletah-keletah si kecil. Minggu ini, rumah ini bakal meriah dengan perangai askar-askar yang berkumpul meraikan hari lahir Yong yang ke-12 (7/5/2007), cucunda sulung keluarga. Maka bersiap sedialah..rumah ini bakal menjadi kapal pecah.. hehe. Apa yang pasti komputer saya ini bakal menjadi rebutan antara power rangers, barbie, garfield, sponge bob, bob the builder, spiderman dan yang sewaktu dengannya.

Friday, May 04, 2007

Cinta Si Cilik

Suatu hari ketika bersarapan,
"Mak nak tahu, Ros bagi tahu yang anak dia suka Biha." kekanda sulung saya memulakan cerita. "Iye ke..wah Biha dah ada peminat," saya menyampuk menyakat Biha."Bukan Hilman aje, Faiz pun minat dia. Ros cerita lagi Hilman selalu gaduh dengan Faiz sebab Biha," sambung kekanda lagi. Semua yang ada di meja itu angkat gelak.

Biha tersipu-sipu malu sambil menepuk dahinya. "Betul ke Nabihah," mak bertanya lembut. "Ala...mana ada," Nabihah masih lagi mengcontrol ayu. Semua yang ada di meja masih giat menyakat Nabihah. "Roti canai ini beli dekat mana Ma," Nabihah menyambung. "Eleh..pandai ya tukar topik," saya berkata sambil mencuit pinggangnya. "Alahh...," jawap Biha sambil menepuk dahinya lagi sambil tertunduk malu.

Suatu malam ketika duduk menonton,
Entah macam mana kekanda kedua saya membuka cerita. "Aishah ni ada peminat dekat school," sambil menjeling anaknya. "A'ah, budak tu sama kelas dengan Shah. Nama dia Aqil," sampuk Abang Man anak sulung kekanda saya. Semua orang tergelak. Aishah mengetap bibirnya geram. "Bapak dia sendiri tahu anak dia suka Shah. Anak dia kata Shah baik," sambung kekanda saya. "Iye Shah, Shah ada boyfriend ya," tanya saya. Kegeraman Aishah tidak dapat dikawal lansung dia menjawab dengan suara nyaringnya "Mana ada, dia yang nak kawan dengan kita. Kita tak suka dia." Semua orang gelak lagi. Aishah yang pada mulanya marah lansung tergelak sama.

Budak-budak sekarang sudah pandai mengerti akan cinta. Fatimah Nabihah baru berumur 5 tahun dan Aishah Hadhirah 6 tahun. Kedua-duanya bersahabat baik lantaran perbezaan umur yang hanya 3 bulan. Pasti ada keletah-keletah mereka yang mencuit hati tatkala menyakat kedua-duanya.

Friday, March 30, 2007

11 Rabiulawal 1428

Hari ini genaplah setahun Atuk Y pergi mengadap Illahi. Masih segar di ingatan saya betapa kelam kabutnya saya di pejabat apabila mendapat panggilan telefon dari abah untuk pulang segera tengah hari itu. Atuk Y adalah adik kepada opah saya sebelah mak. Satu-satunya atuk yang saya ada setelah saya kehilangan kedua-dua belah atuk sejak berumur 12 tahun. Atuk Y dan isterinya Opah S adalah sumber rujukan agama keluarga. Mak pula merupakan anak saudara kesayangan atuk.

Atuk Y mengidap penyakit angin ahmar. Dia telah terbaring selama 10 tahun lamanya. Isteri atuk, Opah S adalah insan yang paling banyak berjasa sepanjang atuk sakit. Saya memang “tabik spring” melihat ketabahan Opah S. Sesiapa yang pernah menziarahi arwah atuk semasa hayatnya pasti kagum dengan cara Opah S menjaga atuk. Ibarat menjaga seorang bayi begitulah kasih dan setianya opah menjaga atuk. Tidak ada sedikit pun kudis akibat pembaringan yang lama terlekat di badan arwah atuk.

Hari itu, ketika saya sampai di rumah arwah, opah masih tenang memimpin tangan saya melihat wajah arwah atuk di pembaringan. Maha suci Allah, wajah atuk sangat cantik. Sepanjang pengurusan jenazah, opah tidak sedikit pun menangis mahupun meraung. Hujan yang turun lewat petang itu bagaikan berkongsi kesedihan dengan kami. Kini, semuanya hanya tinggal kenangan. Tiada lagi insan yang bergelar atuk dalam hidup saya. Al-Fatihah.

Tuesday, March 27, 2007

Alhamdulillah..siap juga akhirnya





...Sekadar memenuhi permintaan Bayu dan Zwit..maka ditayangkan projek mega bonda dan saya tahun ini- sarung tilam dan bantal untuk si kecil...(bonda yang banyak terlibat sebenarnya..hehe)

Monday, March 12, 2007

Kerana Aku Seorang Perempuan

Ini dia projek saya sempena cuti malas 2 hari...


Jaja, sepupu rapat saya bakal melahirkan cahayamata sulungnya InsyaAllah bulan Mei akan datang. Sudah menjadi kewajipan mak setiap kali kelahiran cucunya pasti sibuk menyiapkan sarung tilam dan bantal si kecil dengan sentuhan seni sulaman tangannya. Dan saya pastinya akan menolong mana yang patut walaupun tahap kecekapan menyulam masih berada di "bawah paras laut" berbanding dengan mak.


Memandangkan Jaja sudah kematian ibu semenjak berada di tingkatan tiga, mak merasa simpati lansung ingin menghadiahkan Jaja seni sulaman tangannya sebagai tribute kepada Allahyarhamah Mak Lang saya. Dan sekali lagi saya tidak terkecuali terlibat dalam projek khas ini.Walaupun mak hanya mengamanahkan saya tugasan yang sedikit untuk disulam (sebab mak tahu tahap kecekapan saya masih belum dipercayai sepenuhnya hehe), saya tetap berpuas hati kerana dapat menghadiahkan sesuatu yang istimewa untuk sepupu merangkap sahabat akrab saya.


Dan gambar yang ini pula adalah antara projek sulaman saya di awal penglibatan saya dalam seni sulaman. Kalau anda hendak tahu, sulaman kusyen di atas saya ambil masa 2 tahun untuk menyiapkannya. Itupun ketika saya terlontar jauh di pantai timur. Kalau saya berada di Kuala Lumpur entah berapa tahun la agaknya masa yang diambil untuk menyiapkannya.

Ada sesiapa berminat untuk memilikinya? Silalah buat tempahan sekarang jika anda mahu menggunakannya di tahun 2009 hehehe

Friday, February 23, 2007

Virus apakah ini?

Bermula dengan si cilik Aishah dan Humaira, penyakit ini datang menyerang. Sehingga habis ikhtiar, dirujuk pula ke pakar kerana dikhuatiri serangan denggi. Syukur alhamdulillah, tiada jangkitan pada darah dan organ dalaman. Hanya demam biasa. Tetapi ngeri juga mendengar cerita emak tatkala jarum-jarum halus menyalurkan air menebusi badan si cilik anak-anak buah saya yang dua orang itu.

Selepas si cilik berdua itu, giliran abah pula. Kemudian giliran Yong. Tidak lama selepas itu tiba pula giliran emak. Kini, giliran saya pula. Virus apakah ini? Demam yang menyerang selepas asar dan berlarutan hingga ke maghrib. Tekak terasa sangat perit. Sehinggakan tidak mampu untuk meneruskan entri semalam walaupun ilham itu ada tapi tiada daya untuk mengolah. Akhirnya hanya mampu menyalin tampal.

Tetapi saya online juga dari saya bermalas-malasan, adalah lebih baik saya memerhati rakan-rakan maya saya berbual-bual di dunia tanpa sempadan. Sedikit sebanyak terhibur juga hati ini. Dua biji panadol actifast telah saya telan dalam tempoh kurang satu jam. Nasib baik tidak tidur selamanya. Menjelang malam kebah sekejap kemudian menyerang lagi. Esok paginya sihat seperti biasa. Abah, mak dan anak-anak buah saya juga seperti itu. Rakan-rakan pejabat juga menceritakan pengalaman yang serupa. Hairan..virus apakah ini?

Jangan biarkan masamu berlalu tanpa pengorbanan
Sepanjang roh masih setia menemani jasad
Kegembiraan tak selamanya menemani hari-harimu
Terkadang datangnya kesedihan
Tidak boleh kamu tolak
Sabar itu indah....La Tahzan

Monday, January 29, 2007

Doa Orang Teraniaya

Salam semua,
Hari ini genap 10 hari kita berada di bulan Hijrah. Sudah seminggu saya menyepikan diri dari dunia blog lantaran bercuti ke kampung bonda dan pulang ke Kuala Lumpur dengan bebenan dan tekanan kerja yang menyukarkan saya membahagikan masa dengan sempurna. Terima kasih atas ucapan2 Maal Hijrah dalam entri yang terdahulu. Semoga kita semua beroleh rahmat dan kasih sayang daripada Allah S.W.T.

Entri kali ini saya ingin bercerita mengenai kisah ibu mertua abang saya dan anaknya yang teraniaya semasa umat Islam menyambut Aidiladha baru-baru ini. Makcik Z tinggal bersama-sama dengan anak bongsunya yang belum berkahwin di sebuah daerah di negeri Perak. Sejak kematian ayahnya, anak makcik Z iaitu S menjalankan perniagaan direct selling sebagai pendapatan tambahan. Aidiladha yang lepas, S telah menerima duit daripada pelanggan-pelanggannya untuk urusan perniagaannya. Duit tersebut S letakkan di dalam sampul surat di celahan buku-buku di atas kabinet di satu sudut rumah mereka. Jumlah kesemuanya adalah lebih kurang RM 260.

Malam selepas umat Islam menyambut Aidiladha, S mencari duit yang disimpannya. Dia amat terkejut apabila mendapati sampul surat tersebut telah hilang. Maka kelam kabut lah S memikir-mikir di mana duit yang disimpan. S juga berkira-kira jika ada tetamu yang datang terambil akan sampul suratnya itu. Rumahnya hanya di datangi oleh 2 buah keluarga. Keluarga terakhir yang datang adalah sepupu S, Kak A yang mempunyai 3 orang hero yang semuanya "baik-baik" belaka. S cuba menelefon sepupunya bertanyakan perihal sampul duitnya itu. Tetapi sepupunya kata dia dan keluarganya tidak mengambilnya. S terasa sangat sedih. Risau hatinya hanya Allah yang tahu.

Melihat anaknya bersedih, Makcik Z nekad melakukan solat hajat. Tiga malam berturut-turut Makcik Z melakukan solat hajat dengan penuh kusyuk dan tawaddhu' memohon petunjuk Allah. Malam berikutnya lebih kurang pukul 11 malam, Kak A menelefon Makcik Z. Anak kedua Kak A, yang berumur lebih kurang 8 tahun tiba-tiba menjerit kepanasan lantas mengaku sambil teresak-esak yang dia telah mengambil duit tersebut. Kak A memohon maaf dan berjanji akan memasukkan duit tersebut ke dalam akaun S pada keesokkan harinya. Kepanasan yang dialami oleh anak Kak A hanya reda apabila Makcik Z dan S memaafkannya.

Subhanallah, seram saya mendengar cerita tersebut dari mulut Makcik Z sendiri. Maha suci Allah...doa orang yang teraniaya termakbul. Tapi malangnya dalam kes ini, Kak A masih menyalahkan S kerana meletakkan duit di dalam sampul yang menjadi perhatian budak-budak. Walhal sampul itu hanya sampul surat biasa, tiada lakaran menarik di atasnya. Sepatutnya Kak A bersyukur, kejadian ini membuka matanya untuk menilai anaknya. Tetapi entahlah manusia ini kadang-kadang suka menunding jari telunjuk ke arah orang lain tanpa menyedari 3 jari yang lain menunding ke arah dirinya sendiri.

Sunday, January 14, 2007

Sains Islam Mendahului Zaman


Sabtu lepas, saya berpeluang menjengah Pameran Kegemilangan Sains Dalam Tamadun Islam di KL Convention Centre. Memang best.. Tidak rugi pergi. Walaupun pada mulanya cuak juga sebab terpaksa bersesak2 dengan ribuan pengunjung. Tambahan pula bawa 3 orang askar Along yang "rajin2" belaka. Tapi alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar apabila pihak urusetia berjaya mengawal keadaan. Sebabnya pihak urusetia sendiri tidak jangka sambutan orang awam sebegini rupa.

Banyak tokoh2 ilmuwan Islam yang selama ini ideanya diceduk oleh pemikir2 Barat didedahkan dalam pameran tersebut. Kalau di sekolah dahulu, kita banyak kenal nama2 barat tapi di pameran ini kita boleh bezakan siapa pencetus idea sebenar ilmu2 yang kita belajar di sekolah. Usaha ini saya pandang sebagai usaha yang murni untuk mengetengahkan semula ilmuwan2 Islam bukan sahaja di kalangan orang Islam sendiri bahkan untuk golongan bukan Islam. Rasa sangat berbangga apabila terserempak dengan golongan2 bukan Islam membelek artifak2 ilmuwan Islam, berbincang sambil mengambil gambar artifak2 tersebut. Pameran ini juga sesuai untuk memupuk minat anak2 kecil, remaja2 sekolah dan pelajar2 universiti mendalami ilmu Sains Islam.

Bayaran masuk? Jangan bimbang semuanya percuma. Siap ada lucky draw lagi..antara hadiah2nya hamper, pen drive, hand phone dan lap top. Tetapi almaklumlah ramai sangat orangnya..siapa yang dapat tu kira betul2 bertuah lah. Oh ya..ada door gift juga diberikan. Claim door gift tersebut dengan menunjukkan tiket masuk di kaunter keluar. Semasa saya datang tu, saya diberi pilihan hendak pen ke note book kecil. Sudah semestinya saya pilih pen. Sebab note book kecil sudah terlampau kecil kepentingannya dengan kerjaya saya.

Jika ada kesempatan pergilah ke sana bersama keluarga. Pameran ini dipanjangkan lagi tempohnya sehingga 14 Februari 2007. Ia dibuka pukul 10 pagi ke 10 malam. Jadi, jangan lepaskan peluang hayati sirah kegemilangan ilmuwan Islam.

Ada tokoh macam promoter program tak? hehe..Tapi memang best. Jika ada kelapangan dan diizinkan Allah saya ingin pergi lagi..sebab tidak puas kelmarin. Tumpuan lebih kepada pengawalan askar2 Along. Apa2 pun terima kasih pada Nyah Mi yang bagi pass kami masuk lunch bersama urusetia2 program.

Thursday, December 28, 2006

Bayangan Masyhar

Hari ini selepas waktu asar di Mekah iaitu lewat 5 jam dari waktu Malaysia, seluruh jemaah haji akan berangkat ke Arafah untuk bermalam satu hari di sana. Bertuahnya jemaah haji tahun ini kerana hari wukuf jatuh pada hari Jumaat. Fikiran saya lansung teringat kepada mama dan baba Bayu Senja dan juga ibunda Kak RM. Pahala mengerjakan 1 kali haji ketika hari wukuf di Arafah jatuh pada hari Jumaat, Insyallah akan digandakan kepada 70. Itu sebab ia dinamakan Haji Akhbar. Mudah2an ibu bapa Bayu Senja dan Kak RM mendapat haji yang mabrur.

Saya masih ingat lagi dulu ketika berpeluang mengerjakan haji bersama mak dan abah, wukuf dan melontar di tiga jumrah merupakan saat yang paling mencabar keimanan setiap jemaah haji. Petang sebelum berangkat ke Arafah, semua jemaah berihram dan bermaaf2an di antara satu sama lain. Suasana petang itu sangat sibuk. Jalan raya penuh sesak dengan bas2 yang membawa jemaah2 haji dari seluruh pelusuk dunia. Tidak cukup dengan itu, kenderaan2 awam penduduk tempatan turut menuju ke arah yang sama. Bagi musafir yang tegar mereka memilih untuk berjalan kaki ke Arafah. Sepanjang perjalanan, laungan talbiah tidak putus2 dilaungkan..

Labbaika Allaahumma labbaik,
labbaika laa syariika laka labbaik,
innal hamda wan-ni'mata laka wal-mulka, laa syariikalak.

(Saya penuhi panggilan-Mu, ya Allah saya penuhi,
saya penuhi panggilan-Mu, tidak sekutu bagi-Mu,
saya datang memenuhi panggilan-Mu, sesungguhnya segala puji,
nikmat, dan kekuasaan milik-Mu, tidak sekutu bagi-Mu).


Bermacam2 perasaan yang bermain di jiwa. Sayu, hiba dan pilu bercampur aduk. Perjalanan yang sepatutnya mengambil masa yang singkat terpaksa dilalui dalam satu tempoh masa yang agak lama lantaran jutaan umat manusia berhimpun di tempat dan waktu yang sama. Setibanya kami di padang Arafah, waktu sudah hampir menjelang maghrib. Rezeki kami baik kerana kami antara kumpulan jemaah yang sampai awal di khemah jemaah haji Malaysia.Malam itu kami lalui dalam keadaan dingin yang kering. Tekak sudah terasa perit. Selepas Isyak saya hanya tidur keletihan. Sesekali saya terjaga apabila terdengar suara mak mengaji. Malam itu saya lalui dengan tabah. Tiba pula siangnya. Ya Allah kuatnya cabaran. Panasnya Allah sahaja yang mengetahui.Tekak makin terasa perit, bibir sudah merekah kekeringan dan kulit muka seakan2 bersisik. Kami tidak boleh memakai pelembab kerana dikhuatiri melanggar pantang larang ihram iaitu memakai bahan yang berbau wangi. Namun begitu, walaupun cuaca yang dilalui sangat panas tetapi Maha suci Allah tidak ada sedikit pun bau peluh yang melekit. Kami dinasihatkan minum air yang banyak. Ketika itu umur saya baru 11 tahun 10 bulan. Sebagai kanak2 sudah pasti wujud sedikit kerimasan di tengah2 ujian di bumi Arafah. Mak banyak memainkan peranan mendidik kesabaran saya. Di suatu sudut yang lain pula, kelihatan beberapa orang doktor, pegawai kesihatan dan petugas Tabung Haji sibuk bergerak dari suatu khemah ke khemah yang lain mengagih2kan air garam kepada jemaah haji. Ketika ini jugaklah pelbagai ragam manusia yang kita akan lihat. Saya tidak mahu bercerita lanjut berkenaan ragam manusia ini, kerana Insyallah setiap daripada kita akan merasai pengalaman di bumi Arafah. Maka lihatlah dan rasailah sendiri bayangan masyhar di Arafah.

Semalaman di bumi Arafah, tibalah masa bertolak ke Mina melalui Muzdhalifah. Kami bertolak selepas waktu maghrib. Jemaah haji masih dalam keadaan berihram. Sebaik sampai di Mina, semua jemaah haji Malaysia dinasihatkan tidak terus melakukan ibadah melontar. Kami akan dibawa melontar ketiga2 jumrah pada malam berikutnya. Tujuannya bagi keadaan tenang dan tidak berebut2 dengan jemaah haji dari negara lain. Tetapi entah mengapa setelah solat subuh pada pagi sesudah sampai di Mina, abah mengajak mak dan saya melontar di ketiga2 jumrah. Alasannya boleh buka ihram cepat dan malam nanti boleh terus rehat sahaja. Maka pergilah kami tiga beranak berjalan kaki melalui 2 buah terowong. Salah satu terowongnya adalah terowong Muassem, terowong yang pernah mencatat tragedi sedih apabila beribu2 jemaah meninggal dunia akibat berasak2an di dalam terowong tersebut.

Sampai di kawasan Jumrah, mentari pagi baru menyinari bumi Mina. Kami meneruskan ibadah melontar di kedua2 jumrah yang terawal iaitu Jumratul Ula dan Jumrahtul Wusta dalam keadaan yang tenang. Manakala di jumrah terakhir iaitu Jumratul Aqabah keadaan agak sesak. Pada masa dulu, Jumratul Aqabah ada satu bahagian sahaja (separuh bulatan). Jadi jemaah terpaksa berhimpit di satu bahagian. Macam jumrah2 yang lain jemaah boleh melontar di sekeliling jumrah tersebut sebab jumrah2 lain berbentuk bulatan penuh. Keadaan sesak di Jumrahtul Aqabah menyebabkan kami terpaksa berpecah. Entah macam mana mak dapat memboloskan diri ke hadapan akibat tolakan orang. Saya dan abah pulak tertolak ke arah yang lain. Ketika hendak keluar dari kawasan Jumrahtul Aqabah setelah selesai melontar, tiba2 saya dan abah diasak oleh jemaah haji yang berkulit hitam. Kami cuba keluar dari sudut yang lain.. sekali lagi kami diasak oleh sekumpulan jemaah haji dari negara lain pula. Keadaan menjadi sangat kelam kabut. Genggaman tangan kami terlepas. Abah tertolak ke belakang. Dan saya berada seorang diri di tengah2 kelompok jemaah haji yang mengasak. Asakan yang kuat menjadikan saya terapung2 tidak menjejak tanah. Nafas sudah tersekat2 menjerit nama abah. Hanya bayangan kematian yang terlintas di fikiran. Sayup2 kedengaran suara abah menjerit, "Subhanallah..binti"..berulang2 kali. Pandangan saya semakin kelam. Akhirnya saya terdengar seorang jemaah dari Iran (kalau tidak silap saya)..menjerit sekuat2 hatinya.."Subhanallah hajjah saqhir" sambil mendepangkan tangannya menghalang asakan jemaah2 lain. Kuasa Allah, jemaah lain bagai terpukau dengan jeritan jemaah Iran tersebut, lalu berhenti mengasak seketika. Saya terjelepuk..mujur abah sempat menyambut saya dari terus rebah.Abah membawa saya keluar. Mak yang sudah menunggu di satu sudut sedang menangis terkejut melihat keadaan saya ketika diasak tadi. Alhamdulillah, semuanya selamat. Jika tidak mungkin saya sudah bersemadi di Ma'ala bersama2 isteri Rasulullah, Siti Khadijah. Abah betul2 kesal kerana tidak mendengar nasihat Tabung Haji. Tetapi bagi saya pula, saya percaya,tragedi itu ada hikmahnya kerana saya yakin Allah berkuasa jika Dia berkehendakkan sesuatu untuk menguji hambanya.

Panjang pula celoteh saya kali ni. Sekadar berkongsi sedikit pengalaman berkenaan bayangan Masyhar ketika di Arafah, Muzdhalifah dan Mina. Ujian datang dalam pelbagai bentuk dan rupa. Samada baik ataupun sebaliknya kita kenalah lalui dengan penuh sabar dan keimanan yang tinggi. Mulut kena berhati2 dalam mengeluarkan kata. Sebab semuanya "akan dibayar secara cash in total tanpa ansuran bulanan" :)

Ok, cukuplah sampai di sini. Kalau hendak diikutkan kisahnya memang banyak yang hendak diceritakan. Tapi saya perlu menjaga hati insan2 tertentu. Lagipun saya tidak pandai mengolah lebih panjang. Selamat Menyambut Hari Raya Aidiladha. Semoga kita beroleh rahmat hasil daripada pengorbanan yang dilakukan..wassalam. Jumpa lagi di tahun hadapan..Insyallah