Showing posts with label Senggang. Show all posts
Showing posts with label Senggang. Show all posts

Tuesday, September 04, 2007

Personaliti Wanita

WANITA TANAH
Wanita tanah dilahirkan di bawah zodiak Taurus (21 April-20 Mei), Virgo (24 Ogos-23 September) dan Capricon (22 Disember-20 Januari).

*Seorang yang boleh dijangka, berwibawa dan praktikal.
*Penyabar dan bertolak ansur, mempunyai kehendak dalaman dari segi emosi dan material.
*Semangat produktif dan gigih yang disertai dengan sikap berhati-hati menjadikan wanita tanah berkemampuan mencapai kejayaan dalam perniagaan.
*Kebijaksanaan dan kepintaran yang diperolehi sering tersembunyi oleh air muka semulajadi yang pendiam dan tenang.
*Sifat marah yang terkawal serta keperluan untuk keteguhan dan kawalan sering terbawa-bawa dalam perhubungan yang amat konservatif, serius dan sederhana.
*Tidak mudah menunjukkan sifat penyayang tetapi wanita tanah adalah seorang kekasih yang setia dan berwibawa.

WANITA API
Wanita api dilahirkan di bawah lambang Aries (21 Mac-20 April), Leo (24 Julai-23 Ogos) dan Sagittarius (23 November-21 Disember).

*Dilahirkan sebagai pemimpin
*Mempunyai kekuatan diri dan biasanya enggan menerima pendapat orang lain walaupun ianya benar.
*Seorang yang artistik dan sukar dijangka, tetapi biasanya romantis dan tidak pemalu.
*Mempunyai personaliti suka menguasai dan mendominasi tetapi boleh mengimbangi sifat-sifat ini dengan sikap yang pemurah, mesra dan menunjukkan sifat yang mendalam terhadap sesuatu yang disukainya.
*Suka berterus terang dan tidak berselindung menyebabkan orang yang dikasihi merasa sedih dan terhiris.
*Jujur dan mahu hubungan peribadi berjalan dengan lancar. Wanita api harus diberikan ruang yang cukup luas untuk menjadikan perhubungan itu terus berkesan.
*Tidak keberatan untuk beralih arah jika berasa tertekan.

WANITA ANGIN
Mereka ini lahir di bawah lambang Gemini (22 Mei-21 Jun), Libra (24 September-23 Oktober) dan Aquarius (21 Januari-19 Februari).

*Berterus terang, berminda aktif dan gemar mencari kepelbagaian dalam setiap aspek kehidupan.
*Berfikiran terbuka, mempunyai daya imaginasi dan inovatif, bagi mereka segalanya boleh dicapai.
*Bergaya, tenang dan tidak cerewet serta mempunyai keinginan semulajadi untuk mengamalkan sikap diplomasi dan saling bekerjasama bersungguh-sungguh.
*Sanggup mengorbankan kehendak atau idea mereka sendiri demi mencapai keharmonian dan mengelakkan perselisihan atau konflik.
*sentiasa gigih untuk mendapatkan cinta yang terunggul, untuk berkonfrantasi.
*Kurang cenderung untuk menyampaikan perasaan sebenar yang terpendam dalam hati mereka.
*Dikenali dan diingati kerana sifat romantis dan manja.

WANITA AIR
Wanita air terdiri daripada mereka yang lahir di bawah zodiak Cancer (22 Jun-23 Julai), Scorpio(24 Oktober-22 November) dan Pisces (20 Februari-20 Mac).

*Mempunyai sifat semulajadi untuk berkembang maju.
*Mereka ini dipandu oleh perasaan hati dan mempunyai sifat mudah bersimpati, berdaya imaginatif, sentimental, mempunyai perasaan yang berubah-ubah dan berhati-hati.
*Tenang dan mudah tersentuh oleh emosi orang-orang yang berada disekeliling dan cepat mengeluarkan air mata dalam sebarang situasi yang menyedihkan.
*Mudah mengikut rentak emosi orang lain dan juga diri sendiri. "


***Wanita-wanita sekalian anda tergolong dalam unsur yang mana? Buat lelaki, kenali wanita di sekeliling anda. Tidak semuanya tepat. Tetapi, sahaja suka-suka sebab sudah lama tidak buat sesi salin dan tampal :D

Friday, August 24, 2007

Alahai kesian dia

Telefon berbunyi, tuannya tiada di tempat. Dia cuba menarik line telefon tersebut dari tempatnya. Malangnya setting yang biasa dilakukan tidak menjadi. Lalu dia kelam kabut berlari-lari anak ke tempat rakan sekerjanya untuk mengangkat telefon tersebut.

"Hello". Tiba-tiba...Gedebuk!!! Semua mata tertumpu ke arah bunyi yang kuat itu. Kemudian masing-masing buat-buat tidak tahu. Walhal masing-masing menahan gelak. Dari tempat saya, kelihatan kepalanya sahaja. Saya yang sedang bercakap telefon terhenti sebentar menahan ketawa. Hendak gelak lebih-lebih tidak baik pula. Seorang rakan lain sibuk mencari kerusi yang baru. Dia masih lagi control macho menjawab panggilan dengan selamba sambil bangun dari tempat jatuhnya.

Usai menjawab telefon, dia menghampiri saya.
"Aduh!!! iman, sakit tulang rusuk aku, " dia mengadu.
"Aku rasakan, kau patut ambil life insurance la," jawab saya selamba.
"Tak kan aku nak amik life insurance semata-mata sebab aku jatuh kerusi kot," katanya sambil menjuihkan bibirnya.

Saya tersengeh sambil tergelak kecil. Terpandang pada wajah rakan-rakan setugas yang lain, semuanya turut tersengeh. Rupa-rupanya ramai yang mencuri dengar perbualan kami.

Alahai kesiannya dia.

Friday, July 20, 2007

Bila lelaki hendak belajar memasak

A, rakan pejabat saya sedang tersengeh-sengeh mengadap pc seorang diri. "Pesal pe tersengeh-sengeh tu?" saya menegur. "Aku nak masaklah weekend ni," katanya antara dengar dengan tidak dengar. "Apa? Kau pandai masak ke?" "Ni aku nak cuba lah ni," katanya tersipu-sipu. Saya tergelak besar dan bertanya lagi, "Nak masak apa?" "Spaghetti," jawabnya ringkas. Saya tergelak lagi. "Ni aku tengok internet ni haa, nak belajar la cara masaknya. Kau nak ke nanti aku forwardkan," jawab dia sambil turut ketawa. "Tak pe..tak pe..aku dah terer bab spaghetti ni," jawab saya selamba. "Nak belajar masak, terus belajar masak spaghetti tu?" sakat saya. A hanya tersengeh.

"Sos dia, kau guna apa?" dia bertanya lagi. "Kalau nak buat sos sendiri, guna tomato puri. Kalau malas, beli je sos spaghetti kimball tu." jawab saya. "Lain-lain bahan kau bubuh apa?" tanya dia lagi. "Nak rasa macam italian tu campurkan keju parmesan. Tapi aku tak suka. Bahan-bahan lain macam biasa lah daging atau ayam cincang, cendawan butang, capsicum, tomato yang dipotong dadu. Ikut je apa yang kau rasa sesuai nak campur. Campak je semuanya. Lagi satu aku suka bubuh cili boh. Rasa macam tradisional sikit."

"Capsicum? Capsicum tu lada sulahkan? " tanya A. Saya dan seorang kawan perempuan, F tergelak besar mendegar pertanyaan tersebut. "Apalah kau ni, capsicum pun tak tau," kata F. "Ala lada benggala, tau tak?" tanya saya. "Lada benggala?" giliran A pula gelakkan saya. Saya dan F saling berpandangan. "Apasal kau gelak?" tanya saya. "Kelakarlah nama dia. Abis tu kalau dekat kedai, minta lada benggala orang tau ke eh?" "Lahai, tanya lah bini kau sure dia tahu punya," F menyampuk. "Macam mana ya rupa dia," tanya A. "Ala, bulat-bulat warna hijau tua yang selalu ada atas pizza tu. Kadang ada yang warna merah," jawab saya. "Ooo yang tu..aku tau la," jawab A. "Abis tu, lada sulah tu macam mana pula rupanya," tanya A lagi. Saya dan F berderai ketawa. "Tu white pepper, black pepper pernah dengar tak?" tanya F. "Ooo yang tu dalam botol macam serbuk," jawab A. Kami ketawa lagi.

"Kalau kau nak rasa sedap lagi, kau ambil sos Prego yang ada daging masin-masin tu," kata F. "A'a ye la, pastu aku bagi kau makan. Tak makan siap kau," jawab A. "Tau pun kau ya benda tu, ingatkan blur lagi," jawab F. Tempat kami berbual meriah sekali lagi dengan gelak ketawa kami.

***Adakalanya ketawa itu pengubat duka, penghibur hati tetapi jangan keterlaluan. Orang yang banyak ketawa akan menjadi orang yang paling banyak menangis di akhirat kelak.

Sunday, July 08, 2007

Kisah Di Petang Jumaat

Kota Lumpur setiap petang Jumaat pasti kesesakkannya luar biasa dari yang biasa. Semua berpusu-pusu untuk pulang segera. Ada dua jalan di tengah kota. Jalan terus dinamakan Jalan A. Jalan yang membelok ke kiri pula dinamakan Jalan B. Kenderaan di Jalan B hanya boleh bergerak sekiranya kenderaan di Jalan A bergerak. Pendek kata, kenderaan-kenderaan di Jalan A dan B ini pasti seiring dan sejalan.

Petang itu bapak polisi sibuk mengawal lalu lintas. Dengan kuasa lambaiannya, kenderaan di Jalan A dibenarkan berjalan tanpa menghiraukan cahaya merah bergemerlapan di tiang jalanan. Tetapi kenderaan di Jalan B masih lagi patuh menanti saat cahaya hijau merasmikan perjalanan. Seorang perempuan dengan selamba telah melintas Jalan B tatkala melihat kenderaan-kenderaan di Jalan B masih tidak berjalan kerana begitu patuh dengan sang lampu. Tanpa disedarinya, seorang mat motor menegur "Cepatlah jalan, orang nak jalan ni." Perempuan itu melihat ke arah mat motor. Rupa-rupanya mat motor tersebut adalah rakan sepejabatnya.

"Siapa suruh berhenti. Dah orang sana polis suruh jalan. Jalan je la." Dengan selamba, perempuan itu melambai-lambaikan tangan sebagai isyarat menyuruh jalan. Kenderaan-kenderaan di Jalan B pun berjalan setelah melihat lambaian tangan perempuan tersebut. Maka terciptalah sejarah, polis traffik pertama seorang perempuan berbaju kurung dan bertas tangan. "Kau memang selamba," kata si mat motor sambil tergelak sakan. "Dah tu nak tunggu sampai bila. Dah memang sah-sah boleh jalan," jawab perempuan itu sambil tergelak sama. Si mat motor hanya menggeleng-geleng kepala dengan gelak yang masih bersisa, melambai tangan ke arah perempuan tersebut dan meneruskan perjalanannya.

***Dalam hati perempuan itu, jangan orang fikir dia gila sudahlah.

Monday, June 18, 2007

Kalut

Situasi I
F sedang kusyuk membuat kerja. Tiba-tiba telefonnya berdering. F kelam kabut mengangkat telefon pejabatnya dan menjawab "Hello, abc department." Telefonnya masih lagi berdering. Orang sekeliling memandang kehairanan. "Astaghfirullahala'zim, handphone aku rupanya," F mengomel sendirian. "Aku hairan juga, hebat benar ring tone telefon office kau tu," sambut M diikuti gelak tawa yang lainnya. F control macho buat-buat tidak faham.

Situasi II
N sibuk berkemas untuk balik awal. Alasannya hendak kejar lrt. Tepat waktu balik, dengan kalutnya dia mengambil access cardnya dan touch pintu pejabat. Tetapi malangnya pintu tidak boleh dibuka. Dia naik geram dan dicubanya lagi. Masih lagi tidak berjaya. Dia membelek kadnya. "Lahai patutlah, kad touch n go ," katanya perlahan. Semua yang ada di situ angkat gelakkan N. N pun turut tergelak sendirian mengenangkan kekalutannya.

Alahai, sahabat-sahabat saya. Kalut sungguh saat-saat ini :)

Tuesday, May 22, 2007

Ayam dan Itik

Di satu sudut kawasan Masjidil Haram saya duduk berteleku di kelilingi muslimat Turki dan Pakistan. Malam itu malam Jumaat. Alunan surah yassin, al-kahfi dan al-sajadah silih berganti. Tanpa saya sedari ada mata yang memandang, ada telinga yang merapat dengar. Tidak senang menjadi perhatian, mata melihat pada empunya mata yang melihat dan mendengar. Senyuman berbalas. Dia menanti sehingga saya selesai mengaji. Usai mengaji dia menegur.
Dia: Indonesi?
Saya: La', Malizia.
Dia: Mesr?
Saya: Malizia (sambil menunjukkan bendera yang tertera pada kad nama).
Dia mengangguk-angguk.
Saya: Turk?
Dia mengangguk sambil bercakap Turki.
Saya tersengeh...tidak faham.
Saya : Angkara?
Dia bercakap-cakap mengunakan bahasa dia lagi.
Saya sengeh lagi. Dia membalas sengehan saya.

Dia bertanya dalam bahasa Turki sambil menunjuk kitab suci Al-Quran.
Saya: English?
Dia menggeleng.
Saya: Arabic? (macam pandai cakap arab sangat..)
Dia menggeleng.
Dia: Turk..Turk... (seterusnya bertanya lagi dalam bahasa Turki.)
Saya: Saya tak faham bahasa Turki (sambil menunjukkan bahasa isyarat ciptaan sendiri).
Dia menunjukkan Al-Qurannya dalam bahasa Turki sambil menunjukkan isyarat yang dia tidak pandai membaca Al-Quran dalam bahasa Arab.
Saya: Oooo macam tu ke. Kami orang Malaysia baca Al-Quran bahasa Arab. Walaupun kebanyakkan kami tidak faham arabic.
Dia menunjukkan isyarat bagus. Saya ketawa kecil. Dia turut ketawa seolah-olah dia faham apa yang saya kata.

Tidak lama kemudian sulaman telekung saya, kad nama saya, gelang tangan saya dibeleknya. Dia berkata-kata lagi dalam bahasa Turki.
Saya: Awak cakaplah apa-apa saja..saya tak faham sambil mengangkat bahu.
Dia cuba menerangkan lagi. Saya hanya mampu mengangkat bahu lagi sambil tertawa kecil. Dia turut ketawa sama. Akhirnya kami berbicara menggunakan bahasa isyarat.
Saya: Apa nak buat..ayam dan itik berborak..ketawa je la ya..faham tak faham belakang kira.
Dia ketawa lagi..sambil mencuit-cuit dagu saya persis seorang ibu. Saya turut gelihati dengan gelagatnya.

Setelah solat isyak dan beriktikaf seketika, saya mohon izin untuk pulang. Salam bertaut, kedua-dua belah pipi saya dikucupnya mengikut budaya orang Turki. Saya terkejut. Lantas saya memeluknya sambil memberi isyarat "Saya Malaysia...awak Turki..tapi Tuhan kita tetap sama..La'illa haillallah Muhammadur Rasulullah" Dia turut mengucap bersama-sama saya. Gengaman tangan kami terasa betapa kuatnya ukhuwah yang baru sebentar terjalin.

Wednesday, May 16, 2007

Satu Kisah

AWAS! Entri ini panjang. Jika malas baca lupakan sahaja.

Sedang dia berjalan-jalan menuruni anak tangga di sebuah pasar tani, kedengaran sayup-sayup namanya dipanggil. "Cikgu XYZ!." Langkahnya terhenti mencari-cari dari mana arah datangnya suara tersebut. Yang kelihatan di sekelilingnya ketika itu adalah seorang budak lelaki, seorang budak perempuan dan seorang remaja perempuan duduk minum di gerai berhampiran dengan selambanya. Dia keliru dan meneruskan langkah tanpa menghiraukan suara tadi. "Cikgu XYZ!" dia menoleh geram. "Betul ke Cikgu XYZ?" tanya suara itu lagi. "Dah kamu panggil nama saya, saya menoleh, betul la tu maknanya," jawab dia ke arah kumpulan yang duduk minum tadi. Lantas budak lelaki itu bangun mendekati dia sambil menghulurkan tangannya. Dia serba salah. Memikirkan budak lelaki itu masih lagi bergelar budak, dia menyambut tangannya. Tangannya dicium oleh budak lelaki tersebut. Kemudian disusuri pula oleh salam dari budak perempuan yang ada bersama-samanya.

"Apa khabar cikgu? Masih ingat saya lagi?" tanya budak lelaki tersebut sambil membuka topinya. "MasyaAllah, Afiq ya," tanya dia. "Ya betul," balas Afiq. "Awak apa khabar?" tanya dia. "Baik. Saya tidak akan lupa cikgu." Dia ketawa sambil bertanya "Kenapa?". "Sebab cikgu, cikgu pertama yang buat saya menangis," sambung budak lelaki itu penuh hormat. Ayah si dia yang ada bersama ketika itu sempat menjeling ke arahnya. Ketawa dia semakin besar. "Lamanya saya tidak jumpa cikgu. Saya ingat tak jumpa cikgu lagi dah. Datanglah sekolah cikgu boleh jumpa kami," balas Afiq ramah. "Saya sejak tinggalkan sekolah tu, lansung saya tak jengah sana dah. Kamu pun dah tinggi sekarang ya. Dah makin hensem cikgu tengok. Tahun berapa sekarang?," dia membalas sambil menyakat Afiq. "Tahun 6 cikgu. Doakanlah saya berjaya. Saya hendak berjaya, masuk universiti macam yang cikgu kata dulu," jawab Afiq. "InsyaAllah saya doakan. Saya pasti kamu boleh lakukan. Nanti boleh apply asrama penuh, merasa hidup di asrama pula," dia menjawab tenang. "Tu lah ingat nak apply MRSM," jawab Afiq penuh yakin. "Apa-apa hal pun score UPSR dulu. Kemudian baru fikir hendak ke mana-mana," dia membalas. "Oklah Afiq, saya terpaksa jalan dulu. Sampaikan salam saya buat kawan-kawan yang lain ya," dia mohon undur diri. "Ok cikgu, panjang umur InsyaAllah kita jumpa lagi." Tangan dia disalami dan dikucupi sekali lagi oleh Afiq.


Kenangan lalu.
Di sebuah kelas di Tahun 4, Afiq sedang asyik bermain mengacau rakan sekelasnya sambil menjengkek-jengkekkan kerusinya. "Afiq!!! Kamu bangun." Tubuh kecil itu bangun mengadap guru yang mengajar. Mata bertentang mata. "Kamu ingat kamu dah pandai sangat boleh tak buat kerja? Kamu ingat saya tidak tahu kamu buat apa dekat belakang tu!" kata dia marah. Afiq terdiam mungkin kerana dia tidak pernah melihat gurunya marah sedemikian rupa. "Kalau macam ini lah perangai kamu saya tidak teragak-agak untuk report pada cikgu kelas dan turunkan kamu ke kelas lain." Mata Afiq sudah mula berair.Dia ingin duduk. "Siapa suruh kamu duduk?" Afiq berdiri kembali. Kali ini matanya merah. Selama lima minit berdiri dia menahan tangisannya dalam diam. "Baik Afiq, kamu boleh duduk. Saya nak tengok kerja yang saya bagi di dalam kelas hari ini sampai di meja saya sebelum balik kamu balik tengah hari. Faham?" Afiq tunduk lemah tidak berani menentang mata gurunya.

Sewaktu rehat, dia melintasi kelas Afiq. Afiq kelihatan duduk menghabiskan kerja di mejanya. Dalam diam dia menghampirinya lansung duduk di sebelahnya.
"Assalamualaikum." Afiq menjeling sambil menjawab salam dengan nada yang perlahan. "Tak keluar rehat?" tanya dia. Afiq menggeleng. "Ermm kamu marah saya?...kalau kamu masih marah saya minta maaf." Sunyi. Dia menyambung "Saya buat begitu sebab saya sayang kamu." Afiq mengangkat mukanya. Masih ada bekas air mata di kelopak matanya. "Saya yang patut minta maaf cikgu. Saya dah buat cikgu marah," balas Afiq. Dia senyum. "Baguslah kalau kamu dah tau kesilapan kamu," kata dia. "Lagipun..orang lelaki tidak elok menangis, tak macho tau," sambung dia lagi sambil menumbuk manja bahu Afiq dan memberinya sekeping tisu. Afiq ketawa dan mengelap air matanya dengan tisu yang dia berikan. Dia turut sama ketawa. "Kamu dah makan?" tanya dia. "Tu ha mak ada bekalkan roti," jawab Afiq. "Oklah. Kalau begitu cikgu pergi dulu, nanti dah siap hantar atas meja cikgu, ok." Afiq senyum mengangguk. Dia berlalu sambil menepuk-nepuk bahu Afiq.

Realiti Kehidupan
Ah..sungguh singkat masa berlalu. Pengalaman setahun menjadi guru benar-benar menguji kesabaran saya. Afiq antara murid yang rapat dengan saya. Dia bijak berbanding rakan-rakan yang lain. Tapi dia dari keluarga yang berpendapatan sederhana. Tidak seperti rakan-rakan yang lain yang lebih bergaya dari segi penampilan mereka. Almaklumlah anak-anak orang berada. Oleh sebab itu, saya cuba membimbingnya kerana saya nampak potensi yang ada dalam diri dia setiap kali saya membincangkan isu-isu semasa yang agak mencabar bagi murid-murid tahun 4. Afiq sangat terkejut apabila saya hanya mengumumkan perletakan jawatan saya di kelasnya pada hari terakhir saya di sekolah itu. "Kenapa cikgu bagi tahu lewat?" dia memulakan pertanyaan. "Cikgu hendak kerja di mana," tanya seorang murid yang lain. "Jika cikgu bagi tahu awal, boleh kami bagi hadiah" "Kenapa cikgu hendak tinggalkan kami?" "Jika saya ada kuasa, saya tahan cikgu di sini" "Cikgu tidak sayangkan kami, cikgu tipu kami!" Cikgu itu cikgu ini..satu demi satu pertanyaan dan tuduhan dilemparkan pada saya. Hanya Allah sahaja yang tahu betapa hebatnya saya berperang dengan perasaan saya ketika itu. Bagaikan orang menyerah kalah saya mengangkat kedua-dua tangan saya menenangkan suasana yang tegang. "Saya minta maaf, jika diizinkan memang saya ingin terus bersama kamu semua. Saya hendak tengok kamu berjaya. Tetapi ada amanah lain yang memerlukan perhatian saya. Saya tidak mahu hadiah. Cukup dengan doa dan kejayaan kamu semua mengiringi saya. Jika saya diizinkan Allah, saya ingin melihat kamu semua berjaya menjadi insan yang berguna untuk agama dan bangsa," jawab saya menahan sebak. Suasana sepi seketika. Afiq bangun sambil bersuara "Cikgu, janganlah sedih. Pergilah cikgu tapi jangan lupakan kami. Nanti raya haji boleh kami datang rumah cikgu..rasa masakan cikgu kan kawan-kawan?" dia cuba menceriakan suasana yang hiba. Kami semua ketawa jadinya melihat gelagat dia. Di akhir kelas itu seorang demi seorang menyalami dan menciumi tangan saya. Tetapi genggaman tangan Afiq meninggalkan kesan air matanya di tangan saya. Dia pantas berlalu pergi tanpa menatap saya. Saya tergamam.

Semasa saya kelam kabut untuk menghadiri jamuan perpisahan saya, Afiq dan dua orang rakannya datang ke bilik guru memanggil saya keluar. "Ada apa Afiq?" "Ini ada kad dan hadiah untuk cikgu sebagai kenangan," jawab dia. "Ya Allah, buat susah-susah saje. Pakai duit siapa ni?" tanya saya. "Kami share duit 3 orang cikgu,"sambut rakannya. "Dah tu kamu ada duit tak nak makan ni?" tanya saya sambil mencari-cari dompet duit di dalam tas tangan. "Dah cikgu jangan risau. Ambillah sebagai tanda hati dari kami," jawab Afiq. "Terima kasih semua. Maaf saya kena pergi jamuan sekarang. Ok ya panjang umur kita bertemu lagi," kata saya sambil memulakan langkah hendak berlalu pergi. "Cikgu! nanti sekejap," Afiq memanggil. "Ada apa lagi?" tanya saya. "Nak salam cikgu lagi," jawab Afiq. Tiga orang sahabat itu menyalami dan menciumi tangan saya lagi. "Selamat jalan cikgu, kami harap boleh jumpa cikgu lagi," Afiq bersuara bagi pihak rakan-rakannya. Redup matanya saya pandang. Terpancar sebuah kejujuran dan keikhlasan. Saya hanya mampu tersenyum kosong menahan sebak di hati.

Pulang dari sekolah saya membelek-belek hadiah pemberian Afiq dan rakan-rakannya. Hadiahnya adalah sekeping kad yang dibuat sendiri daripada kertas A4 dan buku nota kecil bergambar winnie the pooh. Antara bait-bait yang mereka tulis Salam perpisahan buat cikgu yang kami sayangi. Jangan lupakan kami. Selamat hari raya Aidiladha cikgu, nanti bolehlah kami datang rumah cikgu dan makan rendang masakan cikgu.Saya tersenyum sendirian.

*********************************************

"Mulakan dengan bismillah. Melangkahlah ke kelas dengan kaki kanan. Niat di dalam hati aku ingin mencelikkan anak didikku dengan penuh keikhlasan. Sentiasa berdoa agar ilmu yang diberikan bakal memberi manfaat di akhirat kelak. Tugas ini tugas yang murni jangan dicalari dengan ilmu-ilmu yang tidak berguna"- abah.
Jauh di sudut hati adakalanya datang keinginan untuk kembali ke dunia pendidikan. Mendidik anak-anak kecil yang masih hijau adalah lebih mudah dari mendidik orang dewasa yang keras kerikil. Tapi saya tidak menyalahi takdir. Perjalanan hidup ini Allah yang menentukan. Selamat hari guru buat semua insan yang bergelar pendidik. Semoga usaha murni kalian diberkati Allah.

Friday, May 04, 2007

Cinta Si Cilik

Suatu hari ketika bersarapan,
"Mak nak tahu, Ros bagi tahu yang anak dia suka Biha." kekanda sulung saya memulakan cerita. "Iye ke..wah Biha dah ada peminat," saya menyampuk menyakat Biha."Bukan Hilman aje, Faiz pun minat dia. Ros cerita lagi Hilman selalu gaduh dengan Faiz sebab Biha," sambung kekanda lagi. Semua yang ada di meja itu angkat gelak.

Biha tersipu-sipu malu sambil menepuk dahinya. "Betul ke Nabihah," mak bertanya lembut. "Ala...mana ada," Nabihah masih lagi mengcontrol ayu. Semua yang ada di meja masih giat menyakat Nabihah. "Roti canai ini beli dekat mana Ma," Nabihah menyambung. "Eleh..pandai ya tukar topik," saya berkata sambil mencuit pinggangnya. "Alahh...," jawap Biha sambil menepuk dahinya lagi sambil tertunduk malu.

Suatu malam ketika duduk menonton,
Entah macam mana kekanda kedua saya membuka cerita. "Aishah ni ada peminat dekat school," sambil menjeling anaknya. "A'ah, budak tu sama kelas dengan Shah. Nama dia Aqil," sampuk Abang Man anak sulung kekanda saya. Semua orang tergelak. Aishah mengetap bibirnya geram. "Bapak dia sendiri tahu anak dia suka Shah. Anak dia kata Shah baik," sambung kekanda saya. "Iye Shah, Shah ada boyfriend ya," tanya saya. Kegeraman Aishah tidak dapat dikawal lansung dia menjawab dengan suara nyaringnya "Mana ada, dia yang nak kawan dengan kita. Kita tak suka dia." Semua orang gelak lagi. Aishah yang pada mulanya marah lansung tergelak sama.

Budak-budak sekarang sudah pandai mengerti akan cinta. Fatimah Nabihah baru berumur 5 tahun dan Aishah Hadhirah 6 tahun. Kedua-duanya bersahabat baik lantaran perbezaan umur yang hanya 3 bulan. Pasti ada keletah-keletah mereka yang mencuit hati tatkala menyakat kedua-duanya.

Thursday, April 19, 2007

Telefon Tangan

Semalam, ada tiga panggilan tidak dijawab muncul di skrin telefon tangan saya. Saya tahu itu panggilan dari dia kerana awalan nombor-nombor telefon talian tetap tersebut menunjukkan kawasan Putrajaya. Hari ini dia telefon lagi. Tetapi kali ini saya sempat menekan tetapi dia terlebih dahulu meletakkan panggilan. Entah apa yang dia hendaknya..macam penting sahaja, lalu saya cuba menghubungi balik tetapi dia tak dapat dikesan. Saya rasa dia sedia maklum yang saya bukan jenis yang suka jawab telefon tangan ketika saya di pejabat.

Saya tahu dia pernah mengomel pada kawan saya yang seorang itu tentang saya yang susah hendak jawab telefon. Saya sedia maklum yang dia suka menggunakan telefon pejabat sebab tidak perlu bayar (tidak amanah sungguh :P ...hehe). Dan saya juga sudah tahu yang dia sudah tahu tentang iman mawaddah ini saya yang punya juga dari kawan saya itu. Oleh kerana dia pembaca senyap iman mawaddah, saya hendak tulis tentang ketidak fahaman bahasa dia hari ini...hehe

Sememangnya telefon tangan saya jarang berada dekat dengan saya ketika saya bekerja. Kawan itu bukan orang yang pertama komplen. Kakak angkat saya dan arwah Lee juga pernah komplen benda yang sama. Bukanlah bermakna saya sombong tidak mahu menghargai panggilan kawan-kawan. Tetapi saya memang kurang gemar berbual-bual kosong di telefon tangan di kala orang lain sedang sibuk buat kerja. Lagipun saya sedar yang saya ini bila dah bercakap telefon terutamanya kena dengan kawan-kawan yang satu kepala memang susah hendak berhenti. Jadi dari saya bercakap secara formal acuh tidak acuh..baik saya tidak jawab telefon tersebut hehe. Itu sebab saya lebih selesa jika kawan-kawan menelefon saya di luar waktu pejabat. InsyaAllah saya jawab..jika tidak jawab itu maknanya saya telah ditembak komunis - istilah yang biasa saya gunakan di kalangan kawan-kawan sebagai tanda saya telah berada di alam mimpi ZZzzZZZzz :) Walau bagaimanapun, kadang-kadang saya angkat juga. Manalah tahu jika ada perkara-perkara penting yang hendak dibincangkan. Tetapi nada suara saya formal sehinggakan ada yang tidak percaya bahawa saya lah yang mejawab panggilan tersebut..hehe

Entri senggang ini hanya sekadar suka-suka. Sorry kawan Putrajaya...gurau-gurau sahaja. Jangan marah haa hehehe

=============================================
Nota Kaki Bangku
Dalam metro hari ini ada seorang wanita membuat laporan polis kerana gangguan sms berunsur 18sx yang diterimanya. Kenapalah dia cerdik sangat bubuh nombor telefon di blognya suatu ketika dahulu. Tidak ke sekarang ini dirinya sendiri yang merana.

Sunday, April 15, 2007

Akhirnya Yin ditemui

Alhamdulillah, akhirnya Yin bertemu semula dengan keluarganya setelah hilang selama 2 minggu. Berita gembira ini saya ketahui melalui Buletin Utama. Sepanjang kehilangannya, Yin dijaga oleh sepasang suami isteri berketurunan Myanmar. Sayu bercampur gembira melihat wajah anak comel itu di dalam dakapan ayahnya sambil menyalami dan mencium Ketua Polis Negara serta beberapa pegawai polis yang lain.

Pada hari kejadian, pasangan tersebut telah menjumpai Yin keseorangan dan terus membawanya ke rumah mereka. Mereka tidak tahu untuk menghubungi pihak tertentu sehinggalah mereka terjumpa risalah mengenai kehilangan Yin. Lantas menghubungi keluarga Yin dan dipulangkan Yin kepada mereka petang tadi di Balai Polis Dang Wangi.

Sedikit kemusykilan di hati kecil melihat penampilan Yin yang botak licin. Hairan jika benar ikhlas, mengapa mesti tunggu sampai 2 minggu untuk diserahkan. Alasan tiada tv di rumah macam tidak berapa logik. Walau apa pun syukur ke hadrat Allah berkat doa dan usaha berpanjangan dari semua pihak akhirnya Yin pulang ke pangkuan keluarga dalam keadaan selamat.

Friday, April 13, 2007

Sudut rezeki

Setiap hari Jumaat, sudut tu pasti dipenuhi dengan pelbagai jenis kerepek. Ada seorang mak cik tua yang agak daif menjualnya. Sesiapa yang lalu di sudut itu pasti akan disapa untuk diajak beli kerepek-kerepeknya.

Suatu hari saya dan kawan saya disapa oleh makcik tersebut. Lalu kami membeli beberapa jenis kerepek darinya. Wajahnya sayu sekali. Bila kami bertanya samada dia sudah makan tengah hari atau belum. Dia hanya mampu menggeleng perlahan sambil menahan air matanya. Atas dasar simpati kami membayar lebih sedikit supaya dia dapat membeli makanan tengah hari dengan duit tersebut.

Hari Jumaat yang lainnya, saya melintasi kawasan perniagaan makcik tersebut seorang diri. "Beli kerepek nak." Saya hanya tersenyum memandangnya sambil mengeleng kepala. "Kenapa sombong benar? Suh beli kerepek barang sebungkus pun tak mo." Saya terpempan memandang wajah tua yang sama tetapi berlainan pula sikapnya hari ini. Mata kami bertentangan. Belum sempat dia membuka mulut untuk meneruskan bicara, saya pergi meninggalkannya mengomel seorang diri. Dari kejauhan kedengaran suaranya yang masih lagi mengomel. Dalam hati saya terdetik, ada juga orang macam ini. Boleh pula main paksa-paksa dan marah-marah. Tapi fikir positif aja, mungkin dia tertekan agaknya.

Sunday, April 08, 2007

Etika warna

Seorang rakan sejawat bertanyakan sesuatu melalui email. Memandangkan saya bercuti Khamis lepas, saya menjawab pertanyaannya lewat sehari. Seterusnya dia membalas dengan ucapan terima kasih sambil menforwardkan apa yang saya jawap ke staff beliau. Apa yang menyakitkan hati saya jawapan yang saya berikan telah di warnakan dengan warna merah dan font size nya telah dibesarkan dari font size biasa. Jika orang yang menerima email tersebut faham akan etika berurusan secara rasmi pasti saya akan teruk dihentam.

Setahu saya dalam etika kerjaya, adalah pantang sama sekali menggunakan font warna merah dan bersaiz besar. Melainkan kerjaya sebagai seorang guru. Itu pun setakat menanda buku bagi pelajar sekolah rendah dan menengah sahaja. Kalau tidak silap saya, seseorang yang terlibat dengan kerjaya di awan biru juga menggunakan pen merah untuk tanda tangan dokumen tertentu sekiranya berlaku sebarang kemungkinan sepanjang menjalankan tugas di awam biru. Untuk kerjaya lain, seseorang yang menggunakan font warna merah bermakna dia seorang yang sedang marah. Dan ia seolah-olah mencerminkan peribadi seseorang yang bersifat diktator.

Untuk menyedarkan rakan sejawat saya tentang apa yang dibuatnya, saya menggunakan reverse psychology. Email beliau saya balas dalam bahasa senggang supaya nampak lebih sempoi tapi bermakna.

"Encik S, sebentar tadi saya hantar email guna font color RED ke? Sorry, saya tak perasan saya terguna warna tu."

Setengah jam kemudian dia membalas.

"Tak lah. Saya yang tukar font color tu dan besarkan supaya orang lain boleh nampak dan faham. I'm sorry. Saya patut guna warna lain."

Ermm faham pun dia..puas hati saya. Niat saya hendak menegur dia bukan untuk melawan balik. Saya cuma teringat, bos saya dulu pernah teruk menjawab dari pihak atasan lantaran sikap seseorang menghantar email urusan kerja menggunakan font warna merah. Rasa hendak tergelak pun ada juga sebab soal yang kecil boleh diperbesarkan. Tapi itu lah manusia, kadang-kadang kita tidak ambil perhatian penggunaan warna dalam urusan-urusan rasmi kerjaya.

Friday, April 06, 2007

Hilang


Semasa membeli belah di Jusco semalam, ramai juga ibu bapa membawa anak-anak kecil mereka shopping bersama. Sudah menjadi perangai kanak-kanak, ibu bapa sibuk memilih mereka pun sibuk juga tidak mahu duduk diam. Fikiran saya lansung teringat kepada adik Muhammad Nazrin (gambar di atas), 5 tahun yang masih belum ditemui lagi sehingga kini. Berita tentang kehilangannya telah tersebar luas di ibu kota sepanjang minggu ini.

Nazrin telah hilang ketika dia dan keluarganya pergi membeli belah di Sogo hari Sabtu yang lepas. Esok, genaplah seminggu kehilangan Nazrin. Pasti kedua ibu bapanya tidak lena tidur memikirkan nasib anak sulung kesayangan mereka. Jika kita kehilangan barang-barang kesayangan pasti kita sudah mengeluh dan mengelabah. Inikan pula kehilangan permata hati yang dikandung selama 9 bulan dan dibesarkan dengan sempurna. Jika mati sekalipun pasti kita tahu di mana kuburnya. Ini tidak. Mereka tidak tahu nasib Nazrin sepanjang seminggu kehilangannya.

Dari pembacaan saya, ada ustaz yang menyatakan Nazrin sekarang sedang dijaga oleh seseorang yang berketurunan Melayu. Jika ya benar, saya berdoa agar orang Melayu tersebut tidak mengapa-apakan Nazrin dan memulangkan Nazrin ke pangkuan ibu bapanya dalam keadaan selamat. Dunia sekarang ini terlampau banyak jenayah yang kita tidak sangkakan. Bimbang sekali jika anak ini menjadi mangsa sindiket-sindiket yang tidak bertanggungjawab yang memeras tenaga kanak-kanak kecil. Juga amat dibimbangkan jika ada yang cuba ambil kesempatan untuk memesongkan akidah kanak-kanak ini.

Apa yang terjadi kepada Nazrin adalah satu ujian yang hebat buat ibu bapanya. Jadi, ambillah ikhtibar. Jangan biarkan anak-anak lepas bebas semasa membeli belah. Antara berita tentang kehilangan Nazrin boleh di baca di sini dan di sini.
=============================================
Nota kaki bangku
Maklumat ringkas :
Muhammad Nazrin bin Shamsul (4 tahun 10 bulan)
Hilang pada 31/3/2007, jam 2.00 petang di Sogo
Sewaktu hilang berkemeja kelabu berkotak dan berjeans biru.
Sekiranya ada maklumat hubungi:
En Shamsul (012-5090451)
Puan Noramizah (012-3749647)
Atau mana-mana balai polis berhampiran.

Sunday, April 01, 2007

Nasi beriani Oman



Ngeri pula tengok gambar ni. Agak-agaknya kalau disedekahkan pada fakir miskin di Malaysia ni, berapa negeri la boleh cover ya?

Thursday, March 29, 2007

Ayat-Ayat Cinta sebuah novel pembangun jiwa



Penulis : Habiburrahman El Shirazy, penulis muda lulusan Sarjana Al-Azhar
Harga : RM 22.90
Pemenang Pena Award Novel Terpuji Nasional 2005 (Indonesia)
Pemenang Anugerah Penghargaan The Most Favourite Book 2005

Pertama kali berkenalan dengannya adalah melalui penulisan Dayah. Namun begitu, saya fikir Ayat-ayat Cinta adalah novel biasa yang mengutarakan konflik-konflik jiwa dunia percintaan antara teruna dan dara. Saya sememangnya sudah lama meninggalkan novel-novel berunsur cinta kerana bagi saya persoalan dan konflik yang ditimbulkan dari satu novel ke novel yang lain lebih kurang sama sahaja tiada banyak bezanya. Hasrat saya untuk mencari Ayat-Ayat Cinta di kedai buku saya batalkan. Beberapa bulan kemudian, saya menerima email dari kawan-kawan sepengajian dahulu yang turut menceritakan perihal novel yang sama. Dalam hati saya..tidak boleh jadi, saya mesti cari untuk mengetahui keunikkannya. Masa senggang saya sempena menghabiskan cuti tahunan yang lepas, saya habiskan dengan projek khas bersama bonda dan membaca Ayat-ayat Cinta.

Ayat-ayat Cinta sebuah kisah cinta yang unik yang diungkai penuh Islamik. Ia tidak terikat dengan kisah cinta teruna dan dara sahaja. Ia lebih bersifat universal meliputi cinta hamba kepada Penciptanya dan Rasulnya, cinta persaudaraan sesama Muslim dan cinta kepada budaya bangsa. Selain dari itu ia merungkai sifat-sifat Rasulullah yang perlu ada dalam jiwa seorang Muslim ketika menghadapi ujian-ujian Allah. Ia juga dilengkapkan dengan petikan ayat-ayat suci Al-Quran, Al-Hadith, sajak-sajak motivasi diri dan diserikan lagi dengan ilmu-ilmu dunia seperti dunia perubatan, perundangan dan psikologi yang menjadikan Ayat-ayat Cinta amat berkesan bagi yang menghayatinya.

Ringkasnya ia sebuah kisah penuh simbolik antara 3 watak utama yang berlatar belakangkan suasana kehidupan di Cairo. Fahri, graduan Al-Azhar berpekerti mulia berasal dari desa terpencil di Indonesia. Aisha seorang muslimah berdarah campuran Turki dan Palestin dan membesar di Jerman. Maria seorang penganut setia Kristian koptik tetapi banyak mengamalkan budaya Islam dalam hidupnya serta menghafal Surah Maryam dengan baik.

Siapa yang berminat, bolehlah beli. Mau pinjam?. Jangan haraplah. Kalau nak juga.. sewa bolehlah hehe.

"...ternyata ia sebuah novel yang sangat memujuk dan menghiburkan," A. Samad Said.

==========================================
Nota Kaki Bangku:
Buat saudaraku si penjual cendol , inilah novel yang pernah saya ceritakan dahulu. Cubalah membacanya sebagai salah satu agen pembangun jiwa. Redhalah setiap insan yang dilahirkan ke dunia ini mempunyai latar kehidupan yang berbeza. Jangan dikeluhkan akan nasib diri kerana Allah itu lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hambaNya. Bersyukurlah dengan rahmat dan kasih sayangNya awak terpilih untuk memberi khidmat kepada insan yang memerlukan. Hulurkan kasih sayang buat mereka. Salam tenang dan hadapinya dengan senyuman. Semoga diredhai Allah.

Hadapi dengan senyuman
Semua yang terjadi
Biar terjadi…
Hadapi dengan tenang jiwa
Semua...kan baik baik saja

Bila ketetapan Tuhan
Sudah ditetapkan
Tetaplah sudah…
Tak ada yang bisa merubah
Dan takkan bisa berubah

Relakanlah saja ini
Bahwa semua yang terbaik
Terbaik untuk kita semua
Menyerahlah untuk menang
- Ahmad Dhani Dewa

Tuesday, March 27, 2007

Alhamdulillah..siap juga akhirnya





...Sekadar memenuhi permintaan Bayu dan Zwit..maka ditayangkan projek mega bonda dan saya tahun ini- sarung tilam dan bantal untuk si kecil...(bonda yang banyak terlibat sebenarnya..hehe)

Friday, March 23, 2007

Dia datang...


...dengan lenggang lengguknya...pandai pula dia ni merayap dari kotak izinni

Riwayat Ibn Abi Dunya :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya “Tidak ada keberanian yang paling disukai oleh Allah S.W.T selain dari keberanian hamba menahan kemarahan. Tidaklah seorang hamba itu menahan kemarahannya melainkan Allah S.W.T. akan mengisi dadanya dengan keimanan.”

Sakura, saya telah menjawab tag awak ya. Buat masa ini, spider tu la pet kesayangan saya hehe. Alahai..saya terpaksa 'berkejar-kejaran' dengan masa lagi. Bonda telah memberi dateline untuk projek khas kami.

Monday, March 12, 2007

Kerana Aku Seorang Perempuan

Ini dia projek saya sempena cuti malas 2 hari...


Jaja, sepupu rapat saya bakal melahirkan cahayamata sulungnya InsyaAllah bulan Mei akan datang. Sudah menjadi kewajipan mak setiap kali kelahiran cucunya pasti sibuk menyiapkan sarung tilam dan bantal si kecil dengan sentuhan seni sulaman tangannya. Dan saya pastinya akan menolong mana yang patut walaupun tahap kecekapan menyulam masih berada di "bawah paras laut" berbanding dengan mak.


Memandangkan Jaja sudah kematian ibu semenjak berada di tingkatan tiga, mak merasa simpati lansung ingin menghadiahkan Jaja seni sulaman tangannya sebagai tribute kepada Allahyarhamah Mak Lang saya. Dan sekali lagi saya tidak terkecuali terlibat dalam projek khas ini.Walaupun mak hanya mengamanahkan saya tugasan yang sedikit untuk disulam (sebab mak tahu tahap kecekapan saya masih belum dipercayai sepenuhnya hehe), saya tetap berpuas hati kerana dapat menghadiahkan sesuatu yang istimewa untuk sepupu merangkap sahabat akrab saya.


Dan gambar yang ini pula adalah antara projek sulaman saya di awal penglibatan saya dalam seni sulaman. Kalau anda hendak tahu, sulaman kusyen di atas saya ambil masa 2 tahun untuk menyiapkannya. Itupun ketika saya terlontar jauh di pantai timur. Kalau saya berada di Kuala Lumpur entah berapa tahun la agaknya masa yang diambil untuk menyiapkannya.

Ada sesiapa berminat untuk memilikinya? Silalah buat tempahan sekarang jika anda mahu menggunakannya di tahun 2009 hehehe

Terkenang

Terlakar sudah sejarah diri,
Terubat sudah rindu yang mencengkam,
Kini yang hadir bukan lagi mimpi,
Tetapi harapan masa depan yang gemilang.

Selamat pulang ke tanah air Andai Kau Menjadi Aku..kau akan mengerti. Tahniah atas pengorbanan dalam menyusuri lautan ilmu..

Renung diri sendiri mencari-cari kekuatan.

Saturday, March 10, 2007

Virus tag lagi...

Saya di'serang' balas oleh Indah Sakura lantaran tag pelik yang saya kenakan ke atasnya dahulu...hehe macam-macam jenis virus tag ini rupanya. Kali ini tag untuk tengok dekstop pula. Sebenarnya desktop wallpaper saya penuh dengan wajah-wajah kesayangan saya. Memandangkan wajah-wajah itu adalah sumber inspirasi dan kekuatan saya..makanya saya tidak rela ia dijadikan bahan kongsi di Iman Mawaddah. Namun begitu sebagai menghargai persahabatan maya saya dengan Sakura, saya tampilkan desktop wallpaper saya dengan sebuah wajah yang pernah membuat saya tertawa tatkala saya menerimanya daripada seorang sahabat. Wajah ini pernah saya jadikan wallpaper suatu ketika dahulu.


Resolution : 1024 by 768 pixel (right clik/properties/setting)
Laptop, LCD or CRT monitor : PC & LCD monitor
Been using this desktop since : since 12.10 am (10/3/2007)
Kaedah (untuk sesiapa yang tidak tahu) :
Hit “Print Scrn” button (sblh F12) > paste di paint/adobe photoshop..:)


Sebagai meneruskan virus ini supaya merebak ke seluruh kotak-kotak..saya ingin sekali melihat desktop:

1) Khairyn - pencinta German Muslim Caucasian.
2) Indera Kencana - kumpulan tidak boleh makan ikan tapah.
3) Zwit - yang mencari keseimbangan.
4) Izinni - akak ikan keli pemantau keyboard terbakar.
5) 13 May - penyumbang terbesar asap naga.
6) Bayu Senja - yang sedang berusaha mendelete memori silam bersama si dia.
7) Hakim Dirani - sahabat Bayu Senja.
8) Achik - yang terhutang cheese cake dengan saya :)
9) Black Purple - jawo pinter yang menanti Rosnah Mat Aris menjawab tag peliknya.
10) Bunga Rampai - harumnya bisa mengertak bapak polisi.
11) Lindosh- yang runsing dengan permukaan bulan.
12) Purple Heart - moga diberikan ketenangan hati dan fikiran.
13) Hani Sumayyah - seorang ibu yang kuat semangat.
14) Inilah saya - seseorang yang baru menerima orang baru dalam keluarganya.
15) Jerangkung - tetamu baru Iman Mawaddah.

Ramainya??? Biarlah sesekali mengetag orang apa salahnyakan sementelah semua nama di atas ini belum lagi di tag oleh sesiapa :)