Showing posts with label Personal. Show all posts
Showing posts with label Personal. Show all posts

Monday, September 10, 2007

Suatu Ketika Dahulu

Suatu ketika dahulu.
Lelaki Cina: Kakak, ini siapa? Anak kakak?
Kakak tersenyum dan mengangguk.

Lelaki Cina: Betul ke? (memandang kepada sepupu kakak tersebut untuk dapatkan kepastian)
Sepupu kakak: Betullah.

Lelaki Cina: Bila kakak dapat anak?
Kakak: Minggu lepas.

Lelaki Cina: Anak lelaki ke perempuan?
Kakak: Perempuan

Lelaki Cina: Kakak, tunggu sikijap haa. Saya keluar sikijap. Jangan kunci ini gate.
Tidak lama kemudian, lelaki Cina itu kembali sambil membawa enam hamper set barangan bayi jenama baby Johnson.

Kakak: Apa ni Ko Hey. Buat susah-susah aje.
Lelaki Cina: Ini hadiah untuk baby kakak. Saya sangat suka kakak dan abang dapat anak lagi.
Kakak: Terima kasih Ko Hey.

***************************************************
"Orang tua-tua kampung kata, masa kamu lahir, tapak kaki kamu berisi penuh, bermakna rezeki kamu murah. Mak tidak percaya pada telekkan orang tetapi mak anggap apa yang dikatakan itu adalah doa orang untuk kamu." -bonda

p/s: Achik, rasanya sudah terjawab kot, saya wanita unsur apa :D

Monday, July 16, 2007

Lagu untuk Adindaku, Aliyya

Dekat DiHatiku
Hatiku kembali tersentuh
Membisik untukku pulang ke sana
Di bayu pergunungan itu
Di laman kedamaian kita

Biar pun ku jauh di sini
Namun tak pernah lupakanmu
Itulah sebagai tandanya
Tidak selalu dari ini
Hanya kau yang sangat ku sayang

Andai kau dengar lagu ini
Walau di mana dikau berada
Yang hidup atau yang telah tiada
Mengertilah wahai saudaraku
Dikaulah yang amat ku rindu
Yang ku sayang buat selamanya

Tapi apalah daya diriku
Tak terucap lagi di bibir
Walau airmata mengalir
Ku tabahkan demi mereka
Kernaku tahu ku kan pulang jua

Andai kau dengar lagu ini
Walau di mana dikau berada
Yang hidup atau yang telah tiada
Mengertilah wahai saudaraku
Dikaulah yang amat ku rindu
Yang ku sayang buat selamanya

Kerna ku tahu ku kan pulang jua
Kerna ku tahu ku kan pulang jua
Kerna ku tahu ku kan pulang jua
-Nazrey Johari

Wednesday, July 04, 2007

Mungkinkah kiamat sudah hampir?

Kisah ini berlaku ketika saya menuntut di negara matahari terbit. Suatu hari, saya bersama dua orang rakan baik saya, Erma dan Ina pergi bersiar-siar di tepian pantai. Cuaca ketika itu sangat panas. Namun begitu ia tidak mengugat ketenangan kami bertiga untuk berbual-bual di sebuah wakaf yang dibina berhampiran pantai. Beberapa orang bangsa Jepun sibuk dengan aktiviti riadah di petang hari. Dalam kepanasan itu, datang angin sempoi-sempoi bahasa menyerpa suasana pantai. Damai dan nyaman sekali. Percikan air yang dipukul ombak terkena pada wakaf kami. Bangsa-bangsa Jepun yang berhampiran kami seronok tidak terkira. Saya pada mulanya turut merasa gembira. Tetapi merasa tidak sedap hati apabila saya melihat air di dalam kolam yang berhampiran wakaf menggelegak perlahan.

Cuaca semakin sejuk. "Sejuk sangat ni lain macam je aku rasa. Jom kita balik asrama," usul saya ketika melihat keadaan itu. Sebaik sahaja habis bercakap, saya melihat ombak besar memukul pantai. "Tsunamilah, lari! " perintah Ina. Semua yang ada di situ kelam kabut lari menyelematkan diri. Geledakan air kolam yang berhampiran semakin lama semakin kuat. "Kita balik asramalah," pinta saya. "Jangan. Bahaya kena lalu kawasan pantai. Kita ke Pusat Islam," sambung Ina. Kami bertiga berlari sekuat-kuat hati menuju ke Pusat Islam yang berhampiran. Ombak makin lama semakin mengganas. Suara deruannya amat menyeramkan. Wakaf yang kami duduk habis musnah. Bumi yang kami pijak terasa gegarannya. Takutnya Allah sahaja yang Maha Mengetahui.

Saya terjaga dari lena yang panjang. "Syukur alhamdulillah, kau dah sedar." "Kita di mana ni?" tanya saya. "Kita masih di Pusat Islam. Kau terkejut sangat hingga pengsan 2 hari setelah peristiwa Ahad lepas," sambut Erma. "Erma, aku nak balik Malaysia, aku rindukan mak," pinta saya. "Sabarlah dalam keadaan begini kita semua hendak balik," jawab Erma. "Kau makan la dulu, nanti kau tak de tenaga," pinta Ina. "Kenapa kita tidak boleh balik asrama kita?" soal saya. "Asrama itu sudah dibiarkan kosong. Seorang pelajar kita hilang, kemungkinan besar dia mati," jawap Ina. "Bersiaplah, lepas ini kita ke tempat Kak Su. Pusat Islam ini juga sudah terputus bekalan air dan api. Tempat Kak Su tu lebih selamat" Petang itu kami bergerak ke tempat Kak Su, salah seorang senior kami.

Suasana sekeliling kelam kabut sekali. Kesan dari pukulan ombak tsunami jelas kelihatan. Benar-benar seperti tamatnya sebuah peperangan. Di rumah Kak Su, kami mengambil kesempatan menyucikan diri. Saya sempat menghantar sms ke Malaysia, "Mak jangan risau, saya selamat di sini." Hati saya ketika itu sangat sayu. Saya bimbang saya tidak dapat berjumpa dengan keluarga saya lagi selepas ini. Sedang asyik melayan perasaan, tiba-tiba ada arahan dari pihak berkuasa tempatan untuk berpindah. Kami berkumpul di satu kawasan lapang. Macam-macam keadaan manusia yang saya lihat. Masing-masing sibuk dengan hal masing-masing. Persis bayangan di padang masyar, hati kecil saya terdetik. Dalam keadaan berkumpul itu, bumi tiba-tiba terasa bergegar lagi. Semuanya termasuk kami kelam kabut lari ke kawasan yang tinggi. Siren berbunyi menandakan ombak tsunami yang kedua datang. Kami sempat sampai ke kawasan bukit. Saya dapat lihat dengan jelas, ombak tsunami menarik mereka yang tidak sempat lari ke atas bukit. Seorang demi seorang di telannya. Kereta menjadi tunggang terbalik. Kami bertiga menangis sambil berpelukan. Tidak lama kemudian suasana kembali tenang. Ada beberapa mayat yang bergelimpangan di bawah bukit.

Dalam keadaan tenang itu, tiba-tiba bukit tempat kami berlindung pula bergegar dan hujan turun selebat-lebatnya. Cuaca menjadi sangat gelap. "Lari!!!," jerit rakan-rakan dari Malaysia. Kelam kabut kami turun menuju ke bahagian yang bukit yang sebelah lagi. Masing-masing sibuk menyelamatkan diri. Saya, Erma dan Ina terpisah. Puas saya menjerit nama mereka tapi bayangan mereka tidak kelihatan. Tidak lama kemudian saya ternampak kelibat Erma. Kami berpegangan tangan, sambil mata melilau-lilau mencari Ina. Akhirnya Ina kami temui dalam keadaan yang sangat-sangat kepenatan. Kami berusaha membawa dia untuk menyelamatkan diri. "Pergi lari, tinggalkan aku," pinta Ina perlahan. Kami berdegil masih lagi cuba mengheretnya sedangkan kami sendiri kepenatan. Setelah puas berusaha, kami terpaksa tinggalkan Ina. Tiada kata yang dapat diucap hanya linangan air mata yang memahami situasi itu.

Saya dan Erma meneruskan perjalanan. Ina, kami tinggalkan di bawah perlindungan Allah. Kami terserempak dengan Kak Su dan rakan-rakannya. Mereka mengajak kami berlindung bersama-sama mereka hingga hujan lebat reda. Setelah hampir sejam menunggu, keadaan menjadi tenang seketika. Seorang senior lelaki mencadangkan agar kami menaiki bas untuk keluar dari kawasan tersebut. Maka, berebut-rebutlah kami semua menaiki sebuah bas. Jalan raya di tepi lereng bukit itu begitu sesak sekali. Tidak lama kemudian, siren amaran tsunami dan gempa bumi yang ketiga berbunyi. Lalu, kami berpusu-pusu turun dari bas dan menyelamatkan diri.

Saya dan Erma memilih untuk berlindung di sebuah lereng bukit. Sebahagian pelajar-pelajar senior lelaki cuba berselindung di kawasan lereng yang berhadapan kami. Saya dan Erma nampak ada gegaran kecil di bahagian atas tempat mereka berlindung. Tetapi kami tidak berupaya untuk memberitahu. Perasaan bercampur baur. "Ya Allah, musibah apakah ini? Apakah dosa kami ya Allah sehingga bumi ini tiada lagi ketenangannya," detik hati kecil saya. Bagaikan mendengar suara hati saya, tiba-tiba satu suara menjelma di sebalik awan yang kelam "Kamu semua adalah manusia yang tidak mengenang budi. Kamu mengaku Islam tapi kamu tidak mengamalkannya. Kamu melakukan kecelakaan di muka bumi. Kamu tidak menunaikan solat. Kamu berzina tanpa segan silu. Kamu anak derhaka. Sekarang rasakan kamu semua. Bumi ini sudah tidak dapat lagi menerima kamu." Semua yang mendengar suara itu terasa kecut perut. Tidak lama kemudian, berlaku gegaran yang amat kuat di kawasan lereng yang berhadapan kami. Habis semua pelajar-pelajar senior lelaki tersebut mati di timpa batu-batu besar bukit. Saya dan Erma menangis berpelukan tatkala menyaksikan kejadian tragis itu.

Hari sudah menjelang maghrib. Kami berdua mengambil keputusan turun dari lereng bukit tersebut dan berjalan-jalan mencari tempat yang sesuai untuk berlindung. Keadaan diri pula semakin lemah. Kuasa Allah, kami bertemu dengan rakan lama yang juga menuntut di bumi asing itu. Namanya Tini. Dia membawa kami ke tempat perlindungannya yang dijaga oleh seorang ustaz. Tempat itu terletak di celah-celah runtuhan bukit, sungguh sederhana tetapi cukup mendamaikan. Ada beberapa pelajar lelaki dan perempuan yang berlindung sama. Pelajar perempuan diletakkan ke bahagian dalam bukit manakala pelajar lelaki di bahagian luar bukit. "Ustaz, ini sahabat-sahabat saya. Boleh ke mereka tinggal di sini?" Tini memperkenalkan kami kepada ustaz sambil meminta izin daripada ustaz tersebut. Ustaz melihat kami sambil berkata "Anak berdua tinggallah di sini. Bersabar dan bertenanglah menghadapi ujian Allah ini," kata ustaz tersebut. "Sekarang pergi cucikan diri dan bersolat. Di sini ada kedamaian, jangan risau. Orang yang beriman tidak akan gentar untuk mati."

Saya terjaga dari mimpi yang panjang. Jam sudah menunjukkan pukul 4.30 pagi. Astaghfirullahalzim..saya bermimpi rupanya. Ya Allah, itukah bayangan hari kiamat? Ngerinya ya Allah. Saya benar-benar merasainya. Sepanjang hayat saya, ini kali pertama saya bermimpi seumpama ini. Syukur alhamdulillah ya Allah kerana ianya hanya sebuah mimpi. Syukur jua kerana diri ini masih lagi berkesempatan memperbaiki kelemahan iman dalam diri.

Mungkin juga saya terbawa-bawa dengan kisah kaunseling seorang rakan saya dengan seorang suami orang yang menjalinkan hubungan terlarang dengan isteri orang. Atau mungkin juga saya terbawa-bawa dengan kisah seorang remaja perempuan yang membelakangkan ibu bapa dan bergaul tanpa batasan dengan mat-mat rempit. Terlampau memikirkan "keberanian" mereka sehingga terbawa-bawa ke alam mimpi yang sungguh menginsafkan.

***Terfikir...andai kiamat sudah tiba, bersediakah kita menghadapinya?

Saturday, June 30, 2007

"Tanda harga" untuk kebajikan

      Saya telah di "tanda harga" oleh akak reporter. Tetapi kali ini tujuannya adalah lebih kepada amal jariah ke rumah anak-anak yatim Darul Izzah. Hendak tahu cerita lanjut bolehlah jenguk di sini.

      Okey, this is the rule. If you are tagged, you need to write an entry related to the meme. At the end of your entry you just need to tag as many person as you like. You will then leave a comment in their blog to let them know they have been tagged. And to include this message, "By doing this meme you are contributing rm127 to the Darul Izzah Orphanage".

      A person is only as good as malaikat when he/she realizes that Allah is watching.

      Friendship is always referring to honesty and sincerity.

      To love is to appreciate and accept the loved ones as they are.

      Money makes me rich, richer and richest...hehe

      I miss my teaching profession, my friends during my tertiary education, my adopted grandma, Kak Ja, Aliyya, Penjual Cendol, Pros and Bro Hadi. Haiyaaa..so many names to mention here.

      My way of saying I care is by showing them that I care.

      I try to spread love and happiness by being nice to everyone I meet and close.

      Pick the flowers whenever it is permissible to pick. Tapi tak de kerja lah hendak petik bunga.

      To love someone is to accept him/her with good-faith.

      Beauty is too subjective to explain.

      When I was thirteen, what I remember the most was the time I had to leave my house and stayed at hostel.

      When I was twenty-one, I remember struggling to improve my CGPA :D

      I am most happy when my family happy.

      Nothing makes me happier than being with my family.

      If I can change one thing, I will change conventional laws to Islamic laws.

      Wouldn’t it be nice if we could live in peace without any prejudice.

      If you want to be accepted then you have to be nice to others.

      Money is not everything that makes life happier and merrier.

      The most touching moments I have experienced were when first time I stepped into the Masjidil Haram and saw Kaabah right in front of me.

      I smile when people smile at me.

      When I am happy, I will ensure peoples surrounding me are happy too.

      The best thing I did yesterday was going home early and escaped from overtime. My mind wasn’t functioning well at that time :D

      If I ever write a book, I will give it this title, “Wadah Seorang Insan" which purposely dedicated to all my fans here...he he he...perasan.

      One thing I must do before I die is to ensure my iman is up to the highest level...insyaAllah.

      Doing this meme, I feel like I've done my part to support the charity project. Jazakallahu Khayran (May Allah reward you for the good) to Bro Idham for his effort.

      Seterusnya saya mewariskan tag berikut kepada Cik Rafflesia Merah, Encik Buta Seni, Puan Izariza, Encik AriaPertama, Cik Indah Sakura, Encik Bang Gugar dan sesiapa sahaja yang berkenan hendak buat.

      Tiada paksaan semuanya hanya untuk kebajikan. Dah sudah nanti, jangan lupa tinggalkan jejak di sini. Senang Bro Idham hendak kira.

      Sekian, wassalam.

      Wednesday, June 27, 2007

      Suatu kisah di masa lalu

      Hari itu dia akan memulakan tugasnya di tempat baru. Memandangkan pejabatnya berhampiran dengan stesen sistem aliran transit ringan, dia memilih untuk menggunakan kemudahan tersebut. Ini kerana dia kurang gemar dengan kesesakan jalan raya di kota lumpur.

      Manakala di pejabat barunya, persiapan untuk menyambutnya telah dilakukan. Bakal ketuanya sudah bersedia menunggu di pejabat. Pengawal keselamatan pula sudah bersedia di parkir menanti kehadirannya. Lif khas sudah dikosongkan untuk memudahkan dia naik ke pejabatnya. Semuanya hanya menunggu masa dia sampai sahaja.

      Dia akhirnya sampai ke bangunan itu. Dia berjalan tenang masuk ke bangunan itu tanpa kawalan pengawal keselamatan dan tanpa menggunakan kemudahan lif khas. Tidak seorang pun mengenalinya. Di pejabat pula, bakal ketuanya resah menunggu dia yang tidak kunjung tiba. Ketuanya turun ke parkir khas untuk turut menanti. Akhirnya ketuanya mendapat panggilan telefon dari kakitangan pejabatnya memaklumkan yang dia sudah tiba dan bersedia untuk melaporkan diri di pejabatnya.

      Kisah ini, sekali imbas ada lucunya. Namun apabila dihayati, terselit sifat zuhud dalam diri dia. Dia yang diceritakan bukan calang-calang orangnya. Tetapi semua itu tidak menjadikan dia alpa pada dzat yang memilikinya.

      Monday, June 18, 2007

      Kalut

      Situasi I
      F sedang kusyuk membuat kerja. Tiba-tiba telefonnya berdering. F kelam kabut mengangkat telefon pejabatnya dan menjawab "Hello, abc department." Telefonnya masih lagi berdering. Orang sekeliling memandang kehairanan. "Astaghfirullahala'zim, handphone aku rupanya," F mengomel sendirian. "Aku hairan juga, hebat benar ring tone telefon office kau tu," sambut M diikuti gelak tawa yang lainnya. F control macho buat-buat tidak faham.

      Situasi II
      N sibuk berkemas untuk balik awal. Alasannya hendak kejar lrt. Tepat waktu balik, dengan kalutnya dia mengambil access cardnya dan touch pintu pejabat. Tetapi malangnya pintu tidak boleh dibuka. Dia naik geram dan dicubanya lagi. Masih lagi tidak berjaya. Dia membelek kadnya. "Lahai patutlah, kad touch n go ," katanya perlahan. Semua yang ada di situ angkat gelakkan N. N pun turut tergelak sendirian mengenangkan kekalutannya.

      Alahai, sahabat-sahabat saya. Kalut sungguh saat-saat ini :)

      Sunday, June 10, 2007

      Biarkan aku dengan agamaku

      Di dalam kawasan bilik air di sebuah restoran yang menyediakan kemudahan beribadat untuk orang Islam, dia sibuk mengambil wudhu' di ruang yang disediakan tanpa menghiraukan minah-minah salleh yang beratur menanti giliran ke bilik-bilik kecil.

      Dalam keadaan begitu, wudhu' diambil dengan begitu berhati-hati agar aurat tidak diperlihatkan di hadapan mata minah-minah salleh tersebut. Dia tahu hukum aurat antara wanita muslim dengan wanita kafir adalah sama dengan hukum aurat antara wanita muslim dengan lelaki ajnabi.

      Tanpa sedar, ada yang asyik memerhati setiap perlakuan dia ketika mengambil wudhu'. Selesai berwudhu' dia perkemaskan pakaiannya. Terdengar satu suara, "Excuse me, are you in line? " tanya minah salleh yang di belakang kepada minah salleh yang di hadapannya. Bagaikan tersedar dari lamunan, minah salleh yang di hadapan sekali terkejut lalu berjalan melintasi dia dan menuju ke bilik kecil yang telah dikosongkan. Sebuah senyuman dan anggukan hormat dihulurkan kepada dia. Dia membalas senyuman tersebut.

      "Katakanlah: Wahai orang-orang yang menyangkal kebenaran (kafir)!. Aku tidak menyembah apa yang kamu sembah, Dan kamu tidak menyembah apa yang aku sembah, Dan aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah, Dan kamu pun tidak akan menyembah apa yang aku sembah. Untukmu agamamu dan untukku agamaku! "- Surah Al-Kafirun

      "Hanya Engkaulah yang kami ibadahi dan hanya kepada Engkaulah kami mohon pertolongan. Tunjukkanlah kami ke jalan yang lurus, (Yaitu) jalan orang-orang yang telah Engkau anugerahkan nikmat kepada mereka; bukan (jalan) mereka yang Kau murkai dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat." - Surah Al-Fatihah ayat 5 -7

      Friday, May 25, 2007

      Terlupa

      Dalam hidup ini kita sering terlupa,
      Untuk belajar menghargai apa yang ada,
      Samada kita sedar atau tidak sedar,
      Samada kita tahu atau tidak tahu,
      Kita kadang-kadang terlupa mengsyukuri nikmat Tuhan.

      Kita lalui hidup kita, Ikut acuan kita,
      Ikut kata hati kita, Sehingga kita terlupa,
      Menjaga hati mereka yang di sekeliling kita,
      Menghargai kenikmatan hidup yang diberi pada kita.

      Sehingga tiba satu masa, Apabila musibah datang menduga,
      Apabila kita pergi meninggalkan, Atau ditinggalkan,
      Baru kita tersedar, Yang kita telah kehilangan.

      Sebelum terlewat, Belajarlah menjadi insan yang menghargai,
      Ingat lima perkara sebelum datangnya lima perkara,
      Sihat sebelum sakit, Hidup sebelum mati, Muda sebelum tua,
      Kaya sebelum miskin, Lapang sebelum sempit,
      Mudah-mudah kita tidak tergolong,
      Dalam golongan orang yang menyesal di kemudian hari.


      *** Saya akan berehat seketika. Saya tinggalkan Zikir Munajat dari Dr Badrul Amin untuk dihayati bersama. "Mesin fotostat" saya kini boleh salin tampal video lagi tu :)



      ...doakan..doakan yang baik-baik saja. Mudah-mudahan kita bertemu lagi. Salam mawaddah dari saya.


      P/s: Pa'chik, karya di atas sekali tu karya saya sendiri..bukan salin tampal ya :P

      Wednesday, May 16, 2007

      Satu Kisah

      AWAS! Entri ini panjang. Jika malas baca lupakan sahaja.

      Sedang dia berjalan-jalan menuruni anak tangga di sebuah pasar tani, kedengaran sayup-sayup namanya dipanggil. "Cikgu XYZ!." Langkahnya terhenti mencari-cari dari mana arah datangnya suara tersebut. Yang kelihatan di sekelilingnya ketika itu adalah seorang budak lelaki, seorang budak perempuan dan seorang remaja perempuan duduk minum di gerai berhampiran dengan selambanya. Dia keliru dan meneruskan langkah tanpa menghiraukan suara tadi. "Cikgu XYZ!" dia menoleh geram. "Betul ke Cikgu XYZ?" tanya suara itu lagi. "Dah kamu panggil nama saya, saya menoleh, betul la tu maknanya," jawab dia ke arah kumpulan yang duduk minum tadi. Lantas budak lelaki itu bangun mendekati dia sambil menghulurkan tangannya. Dia serba salah. Memikirkan budak lelaki itu masih lagi bergelar budak, dia menyambut tangannya. Tangannya dicium oleh budak lelaki tersebut. Kemudian disusuri pula oleh salam dari budak perempuan yang ada bersama-samanya.

      "Apa khabar cikgu? Masih ingat saya lagi?" tanya budak lelaki tersebut sambil membuka topinya. "MasyaAllah, Afiq ya," tanya dia. "Ya betul," balas Afiq. "Awak apa khabar?" tanya dia. "Baik. Saya tidak akan lupa cikgu." Dia ketawa sambil bertanya "Kenapa?". "Sebab cikgu, cikgu pertama yang buat saya menangis," sambung budak lelaki itu penuh hormat. Ayah si dia yang ada bersama ketika itu sempat menjeling ke arahnya. Ketawa dia semakin besar. "Lamanya saya tidak jumpa cikgu. Saya ingat tak jumpa cikgu lagi dah. Datanglah sekolah cikgu boleh jumpa kami," balas Afiq ramah. "Saya sejak tinggalkan sekolah tu, lansung saya tak jengah sana dah. Kamu pun dah tinggi sekarang ya. Dah makin hensem cikgu tengok. Tahun berapa sekarang?," dia membalas sambil menyakat Afiq. "Tahun 6 cikgu. Doakanlah saya berjaya. Saya hendak berjaya, masuk universiti macam yang cikgu kata dulu," jawab Afiq. "InsyaAllah saya doakan. Saya pasti kamu boleh lakukan. Nanti boleh apply asrama penuh, merasa hidup di asrama pula," dia menjawab tenang. "Tu lah ingat nak apply MRSM," jawab Afiq penuh yakin. "Apa-apa hal pun score UPSR dulu. Kemudian baru fikir hendak ke mana-mana," dia membalas. "Oklah Afiq, saya terpaksa jalan dulu. Sampaikan salam saya buat kawan-kawan yang lain ya," dia mohon undur diri. "Ok cikgu, panjang umur InsyaAllah kita jumpa lagi." Tangan dia disalami dan dikucupi sekali lagi oleh Afiq.


      Kenangan lalu.
      Di sebuah kelas di Tahun 4, Afiq sedang asyik bermain mengacau rakan sekelasnya sambil menjengkek-jengkekkan kerusinya. "Afiq!!! Kamu bangun." Tubuh kecil itu bangun mengadap guru yang mengajar. Mata bertentang mata. "Kamu ingat kamu dah pandai sangat boleh tak buat kerja? Kamu ingat saya tidak tahu kamu buat apa dekat belakang tu!" kata dia marah. Afiq terdiam mungkin kerana dia tidak pernah melihat gurunya marah sedemikian rupa. "Kalau macam ini lah perangai kamu saya tidak teragak-agak untuk report pada cikgu kelas dan turunkan kamu ke kelas lain." Mata Afiq sudah mula berair.Dia ingin duduk. "Siapa suruh kamu duduk?" Afiq berdiri kembali. Kali ini matanya merah. Selama lima minit berdiri dia menahan tangisannya dalam diam. "Baik Afiq, kamu boleh duduk. Saya nak tengok kerja yang saya bagi di dalam kelas hari ini sampai di meja saya sebelum balik kamu balik tengah hari. Faham?" Afiq tunduk lemah tidak berani menentang mata gurunya.

      Sewaktu rehat, dia melintasi kelas Afiq. Afiq kelihatan duduk menghabiskan kerja di mejanya. Dalam diam dia menghampirinya lansung duduk di sebelahnya.
      "Assalamualaikum." Afiq menjeling sambil menjawab salam dengan nada yang perlahan. "Tak keluar rehat?" tanya dia. Afiq menggeleng. "Ermm kamu marah saya?...kalau kamu masih marah saya minta maaf." Sunyi. Dia menyambung "Saya buat begitu sebab saya sayang kamu." Afiq mengangkat mukanya. Masih ada bekas air mata di kelopak matanya. "Saya yang patut minta maaf cikgu. Saya dah buat cikgu marah," balas Afiq. Dia senyum. "Baguslah kalau kamu dah tau kesilapan kamu," kata dia. "Lagipun..orang lelaki tidak elok menangis, tak macho tau," sambung dia lagi sambil menumbuk manja bahu Afiq dan memberinya sekeping tisu. Afiq ketawa dan mengelap air matanya dengan tisu yang dia berikan. Dia turut sama ketawa. "Kamu dah makan?" tanya dia. "Tu ha mak ada bekalkan roti," jawab Afiq. "Oklah. Kalau begitu cikgu pergi dulu, nanti dah siap hantar atas meja cikgu, ok." Afiq senyum mengangguk. Dia berlalu sambil menepuk-nepuk bahu Afiq.

      Realiti Kehidupan
      Ah..sungguh singkat masa berlalu. Pengalaman setahun menjadi guru benar-benar menguji kesabaran saya. Afiq antara murid yang rapat dengan saya. Dia bijak berbanding rakan-rakan yang lain. Tapi dia dari keluarga yang berpendapatan sederhana. Tidak seperti rakan-rakan yang lain yang lebih bergaya dari segi penampilan mereka. Almaklumlah anak-anak orang berada. Oleh sebab itu, saya cuba membimbingnya kerana saya nampak potensi yang ada dalam diri dia setiap kali saya membincangkan isu-isu semasa yang agak mencabar bagi murid-murid tahun 4. Afiq sangat terkejut apabila saya hanya mengumumkan perletakan jawatan saya di kelasnya pada hari terakhir saya di sekolah itu. "Kenapa cikgu bagi tahu lewat?" dia memulakan pertanyaan. "Cikgu hendak kerja di mana," tanya seorang murid yang lain. "Jika cikgu bagi tahu awal, boleh kami bagi hadiah" "Kenapa cikgu hendak tinggalkan kami?" "Jika saya ada kuasa, saya tahan cikgu di sini" "Cikgu tidak sayangkan kami, cikgu tipu kami!" Cikgu itu cikgu ini..satu demi satu pertanyaan dan tuduhan dilemparkan pada saya. Hanya Allah sahaja yang tahu betapa hebatnya saya berperang dengan perasaan saya ketika itu. Bagaikan orang menyerah kalah saya mengangkat kedua-dua tangan saya menenangkan suasana yang tegang. "Saya minta maaf, jika diizinkan memang saya ingin terus bersama kamu semua. Saya hendak tengok kamu berjaya. Tetapi ada amanah lain yang memerlukan perhatian saya. Saya tidak mahu hadiah. Cukup dengan doa dan kejayaan kamu semua mengiringi saya. Jika saya diizinkan Allah, saya ingin melihat kamu semua berjaya menjadi insan yang berguna untuk agama dan bangsa," jawab saya menahan sebak. Suasana sepi seketika. Afiq bangun sambil bersuara "Cikgu, janganlah sedih. Pergilah cikgu tapi jangan lupakan kami. Nanti raya haji boleh kami datang rumah cikgu..rasa masakan cikgu kan kawan-kawan?" dia cuba menceriakan suasana yang hiba. Kami semua ketawa jadinya melihat gelagat dia. Di akhir kelas itu seorang demi seorang menyalami dan menciumi tangan saya. Tetapi genggaman tangan Afiq meninggalkan kesan air matanya di tangan saya. Dia pantas berlalu pergi tanpa menatap saya. Saya tergamam.

      Semasa saya kelam kabut untuk menghadiri jamuan perpisahan saya, Afiq dan dua orang rakannya datang ke bilik guru memanggil saya keluar. "Ada apa Afiq?" "Ini ada kad dan hadiah untuk cikgu sebagai kenangan," jawab dia. "Ya Allah, buat susah-susah saje. Pakai duit siapa ni?" tanya saya. "Kami share duit 3 orang cikgu,"sambut rakannya. "Dah tu kamu ada duit tak nak makan ni?" tanya saya sambil mencari-cari dompet duit di dalam tas tangan. "Dah cikgu jangan risau. Ambillah sebagai tanda hati dari kami," jawab Afiq. "Terima kasih semua. Maaf saya kena pergi jamuan sekarang. Ok ya panjang umur kita bertemu lagi," kata saya sambil memulakan langkah hendak berlalu pergi. "Cikgu! nanti sekejap," Afiq memanggil. "Ada apa lagi?" tanya saya. "Nak salam cikgu lagi," jawab Afiq. Tiga orang sahabat itu menyalami dan menciumi tangan saya lagi. "Selamat jalan cikgu, kami harap boleh jumpa cikgu lagi," Afiq bersuara bagi pihak rakan-rakannya. Redup matanya saya pandang. Terpancar sebuah kejujuran dan keikhlasan. Saya hanya mampu tersenyum kosong menahan sebak di hati.

      Pulang dari sekolah saya membelek-belek hadiah pemberian Afiq dan rakan-rakannya. Hadiahnya adalah sekeping kad yang dibuat sendiri daripada kertas A4 dan buku nota kecil bergambar winnie the pooh. Antara bait-bait yang mereka tulis Salam perpisahan buat cikgu yang kami sayangi. Jangan lupakan kami. Selamat hari raya Aidiladha cikgu, nanti bolehlah kami datang rumah cikgu dan makan rendang masakan cikgu.Saya tersenyum sendirian.

      *********************************************

      "Mulakan dengan bismillah. Melangkahlah ke kelas dengan kaki kanan. Niat di dalam hati aku ingin mencelikkan anak didikku dengan penuh keikhlasan. Sentiasa berdoa agar ilmu yang diberikan bakal memberi manfaat di akhirat kelak. Tugas ini tugas yang murni jangan dicalari dengan ilmu-ilmu yang tidak berguna"- abah.
      Jauh di sudut hati adakalanya datang keinginan untuk kembali ke dunia pendidikan. Mendidik anak-anak kecil yang masih hijau adalah lebih mudah dari mendidik orang dewasa yang keras kerikil. Tapi saya tidak menyalahi takdir. Perjalanan hidup ini Allah yang menentukan. Selamat hari guru buat semua insan yang bergelar pendidik. Semoga usaha murni kalian diberkati Allah.

      Sunday, April 08, 2007

      Etika warna

      Seorang rakan sejawat bertanyakan sesuatu melalui email. Memandangkan saya bercuti Khamis lepas, saya menjawab pertanyaannya lewat sehari. Seterusnya dia membalas dengan ucapan terima kasih sambil menforwardkan apa yang saya jawap ke staff beliau. Apa yang menyakitkan hati saya jawapan yang saya berikan telah di warnakan dengan warna merah dan font size nya telah dibesarkan dari font size biasa. Jika orang yang menerima email tersebut faham akan etika berurusan secara rasmi pasti saya akan teruk dihentam.

      Setahu saya dalam etika kerjaya, adalah pantang sama sekali menggunakan font warna merah dan bersaiz besar. Melainkan kerjaya sebagai seorang guru. Itu pun setakat menanda buku bagi pelajar sekolah rendah dan menengah sahaja. Kalau tidak silap saya, seseorang yang terlibat dengan kerjaya di awan biru juga menggunakan pen merah untuk tanda tangan dokumen tertentu sekiranya berlaku sebarang kemungkinan sepanjang menjalankan tugas di awam biru. Untuk kerjaya lain, seseorang yang menggunakan font warna merah bermakna dia seorang yang sedang marah. Dan ia seolah-olah mencerminkan peribadi seseorang yang bersifat diktator.

      Untuk menyedarkan rakan sejawat saya tentang apa yang dibuatnya, saya menggunakan reverse psychology. Email beliau saya balas dalam bahasa senggang supaya nampak lebih sempoi tapi bermakna.

      "Encik S, sebentar tadi saya hantar email guna font color RED ke? Sorry, saya tak perasan saya terguna warna tu."

      Setengah jam kemudian dia membalas.

      "Tak lah. Saya yang tukar font color tu dan besarkan supaya orang lain boleh nampak dan faham. I'm sorry. Saya patut guna warna lain."

      Ermm faham pun dia..puas hati saya. Niat saya hendak menegur dia bukan untuk melawan balik. Saya cuma teringat, bos saya dulu pernah teruk menjawab dari pihak atasan lantaran sikap seseorang menghantar email urusan kerja menggunakan font warna merah. Rasa hendak tergelak pun ada juga sebab soal yang kecil boleh diperbesarkan. Tapi itu lah manusia, kadang-kadang kita tidak ambil perhatian penggunaan warna dalam urusan-urusan rasmi kerjaya.

      Thursday, April 05, 2007

      Kosong


      ...Alahai rasa macam nak sambung cuti je esok.

      Apa tu?



      Hari ini cuti malas lagi hehehe.

      Thursday, March 29, 2007

      Ayat-Ayat Cinta sebuah novel pembangun jiwa



      Penulis : Habiburrahman El Shirazy, penulis muda lulusan Sarjana Al-Azhar
      Harga : RM 22.90
      Pemenang Pena Award Novel Terpuji Nasional 2005 (Indonesia)
      Pemenang Anugerah Penghargaan The Most Favourite Book 2005

      Pertama kali berkenalan dengannya adalah melalui penulisan Dayah. Namun begitu, saya fikir Ayat-ayat Cinta adalah novel biasa yang mengutarakan konflik-konflik jiwa dunia percintaan antara teruna dan dara. Saya sememangnya sudah lama meninggalkan novel-novel berunsur cinta kerana bagi saya persoalan dan konflik yang ditimbulkan dari satu novel ke novel yang lain lebih kurang sama sahaja tiada banyak bezanya. Hasrat saya untuk mencari Ayat-Ayat Cinta di kedai buku saya batalkan. Beberapa bulan kemudian, saya menerima email dari kawan-kawan sepengajian dahulu yang turut menceritakan perihal novel yang sama. Dalam hati saya..tidak boleh jadi, saya mesti cari untuk mengetahui keunikkannya. Masa senggang saya sempena menghabiskan cuti tahunan yang lepas, saya habiskan dengan projek khas bersama bonda dan membaca Ayat-ayat Cinta.

      Ayat-ayat Cinta sebuah kisah cinta yang unik yang diungkai penuh Islamik. Ia tidak terikat dengan kisah cinta teruna dan dara sahaja. Ia lebih bersifat universal meliputi cinta hamba kepada Penciptanya dan Rasulnya, cinta persaudaraan sesama Muslim dan cinta kepada budaya bangsa. Selain dari itu ia merungkai sifat-sifat Rasulullah yang perlu ada dalam jiwa seorang Muslim ketika menghadapi ujian-ujian Allah. Ia juga dilengkapkan dengan petikan ayat-ayat suci Al-Quran, Al-Hadith, sajak-sajak motivasi diri dan diserikan lagi dengan ilmu-ilmu dunia seperti dunia perubatan, perundangan dan psikologi yang menjadikan Ayat-ayat Cinta amat berkesan bagi yang menghayatinya.

      Ringkasnya ia sebuah kisah penuh simbolik antara 3 watak utama yang berlatar belakangkan suasana kehidupan di Cairo. Fahri, graduan Al-Azhar berpekerti mulia berasal dari desa terpencil di Indonesia. Aisha seorang muslimah berdarah campuran Turki dan Palestin dan membesar di Jerman. Maria seorang penganut setia Kristian koptik tetapi banyak mengamalkan budaya Islam dalam hidupnya serta menghafal Surah Maryam dengan baik.

      Siapa yang berminat, bolehlah beli. Mau pinjam?. Jangan haraplah. Kalau nak juga.. sewa bolehlah hehe.

      "...ternyata ia sebuah novel yang sangat memujuk dan menghiburkan," A. Samad Said.

      ==========================================
      Nota Kaki Bangku:
      Buat saudaraku si penjual cendol , inilah novel yang pernah saya ceritakan dahulu. Cubalah membacanya sebagai salah satu agen pembangun jiwa. Redhalah setiap insan yang dilahirkan ke dunia ini mempunyai latar kehidupan yang berbeza. Jangan dikeluhkan akan nasib diri kerana Allah itu lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hambaNya. Bersyukurlah dengan rahmat dan kasih sayangNya awak terpilih untuk memberi khidmat kepada insan yang memerlukan. Hulurkan kasih sayang buat mereka. Salam tenang dan hadapinya dengan senyuman. Semoga diredhai Allah.

      Hadapi dengan senyuman
      Semua yang terjadi
      Biar terjadi…
      Hadapi dengan tenang jiwa
      Semua...kan baik baik saja

      Bila ketetapan Tuhan
      Sudah ditetapkan
      Tetaplah sudah…
      Tak ada yang bisa merubah
      Dan takkan bisa berubah

      Relakanlah saja ini
      Bahwa semua yang terbaik
      Terbaik untuk kita semua
      Menyerahlah untuk menang
      - Ahmad Dhani Dewa

      Monday, March 19, 2007

      Bicara sepi buat teman

      Teman,
      Hampir setahun lamanya kita tidak berjumpa,
      Ketika kau menyatakan hasrat untuk bertemu dengan ku semalam,
      Hatiku berbunga riang,
      Pasti banyak kenangan lama yang akan kita coretkan semula.

      Teman,
      Pertemuan yang dinanti tiba jua,
      Indahnya persahabatan kita dapat ku rasakan,
      Jarak tidak memisahkan kita,
      Kemesraan yang terjalin masih tidak berubah.

      Teman,
      Hadirmu membawa pengkhabaran,
      Kau bakal berhijrah mengikut suamimu ke luar negara,
      Kita bakal terpisah lama,
      Tiga tahun bakal mencatat sejarah.

      Teman,
      Ku sangkakan itu sahaja pengkhabaran yang kau bawa,
      Rupa-rupanya hadirmu membongkar satu rahsia,
      Satu rahsia yang lama kau pendam,
      Rahsia yang memusnahkan erti persahabatan,
      Rahsia yang mencemari kejujuran dan keikhlasan yang ku hulurkan.

      Teman,
      Aku terpempan saat kau menceritakan,
      Tergamak kau melakukan sedemikian rupa,
      Menikam sahabatmu dari belakang,
      Aku benar-benar kecewa.

      Teman,
      Entah mengapa hati ini begitu tegar,
      Saat kau menangis memohon maaf,
      Tiada sedikit pun kata yang mampu ku lafazkan,
      Tiada setitis pun air mata yang mampu ku alirkan.

      Teman,
      Aku jadi keliru dengan kejujuran yang kau berikan selama ini,
      Aku jadi bingung memikir satu demi satu lakonan yang kau tonjolkan,
      Aku jadi hampa dengan setiap tindakan yang kau ambil,
      Aku jadi kalut dengan warna hitam yang kau palitkan pada warna-warna indah persahabatan kita.

      Teman,
      Maafkan aku kerana meninggalkanmu sendirian,
      Aku terpaksa pergi kerana aku bimbang,
      Hati yang tegar akan rapuh di depan mata mu,
      Aku tidak izinkan kau menjadi penonton kekalahan ku.

      Teman,
      Ternyata kau tersilap percaturan,
      Aku bukan seperti yang kau sangkakan,
      Andai kau berterus terang dahulu,
      Aku sedia mengalah dan menerima,
      Tidak perlu kau aturkan konspirasi menjadikan aku boneka,
      Pasti persahabatan kita menjadi lebih indah.

      Teman,
      Berilah walau seribu alasan,
      Masa tidak dapat diundur,
      Apa yang terjadi sudah terjadi,
      Kau yang memilih mencoret garisan duka pada persahabatan ini.

      Teman,
      Maafkan aku,
      Aku perlu masa untuk memaafkan,
      Aku perlu masa untuk memulihkan kepercayaanku terhadapmu,
      Aku sedar sebagai orang Islam aku tidak berhak menghukum,
      Apatah lagi untuk berdendam ke atas apa yang kau lakukan,
      Kerana aku tahu ada yang Maha Berkuasa,
      Yang lebih berhak ke atas segala-segalanya.

      Teman,
      Terima kasih atas persahabatan yang kau hulurkan,
      Terima kasih kerana meletakkan aku di tempat yang “terlalu istimewa”,
      Terima kasih kerana mengajar aku bahawa penilaian mata hati tidak semestinya tepat,
      Terima kasih kerana berjaya menikamku dalam senyap,
      Terima kasih menjadikan aku boneka di pentas lakonan mu.

      Teman,
      Mungkin juga ada khilafku,
      Aku diuji dengan kehadiran mu,
      Menghulur kasih sayangku sebagai seorang sahabat,
      Pada manusia yang bertopengkan kejujuran dan keikhlasan,
      Aku pasrah jika ini adalah ketentuanNya ke atas diriku.

      Teman,
      Walau apa pun aku tetap bersyukur,
      Akhirnya aku temui kebenaran,
      Atas pengakuan ikhlas mu,
      Walaupun ia sudah menjadi luka parah dalam jiwa ku.

      Teman,
      Cukuplah aku seorang menjadi mangsa ketidak jujuran mu,
      Jangan diulangi lagi perkara yang sama,
      Mohonlah keampunan dari Allah Yang Maha Esa,
      Insaflah di atas segala kesilapan diri,
      Ingatlah jika kita pernah buat orang tidak mustahil orang lain akan buat kita,
      Allah itu Maha Adil ke atas umatnya,
      Jadilah seorang sahabat yang berpaksi atas landasan kejujuran dan keikhlasan.

      Teman,
      Walau apa terjadi kau tetap ku anggap sahabat,
      Sahabat yang berjaya melakar kenangan pahit dalam hidup ku,
      Sahabat yang berjaya mengugat kepercayaanku,
      Selamat jalan sahabatku,
      Semoga kau tidak mengalami peristiwa pahit dalam persahabatan sepertiku.

      Teman,
      Sekali lagi maafkan aku,
      Coretan duka ini ku lakarkan di sini,
      Buat pedoman insan yang membaca,
      Agar berhati-berhati dalam menilai erti kejujuran dan keikhlasan dalam sebuah persahabatan,
      Agar menjadi seorang sahabat yang tidak mengharap balasan yang setimpal.

      Aku tak percaya lagi
      Dengan apa yang kau beri
      Aku terdampar disini
      Tersudut menunggu mati
      Aku tak percaya lagi
      Akan guna matahari
      Yang dulu mampu terangi
      Sudut gelap hati ini

      Aku pulang…
      Tanpa dendam
      Ku terima kekalahanku
      Aku pulang…
      Tanpa dendam
      Ku salutkan kemenanganmu

      Kau ajarkan aku bahagia
      Kau ajarkan aku derita
      .....berhenti berharap

      Saturday, March 03, 2007

      Keluh si hati kecil

      Malam tadi saya pulang lewat. Jarum jam sudah menginjak ke pukul 1.00 pagi. Orang lain sedang enak dibuai mimpi.. dan saya baru sahaja pulang ke rumah dengan pakaian kerja yang seharian tidak tukar-tukar. Saya tahu mak dan abah pasti risau kerana saya tidak pernah pulang selewat ini. Ya Allah.. saya sangat menyesal tatkala melihat wajah-wajah kesayangan saya tidak tidur menanti kepulangan saya.

      Mengapalah kali ini saya terpedaya dengan ajakan kawan. Selalunya saya berupaya mengelak. Tapi kali ini saya gagal...gagal untuk mengelak...gagal dengan kata-kata manis seorang kawan. Benarlah kata orang, sekuat mana hati kita, syaitan pasti akan membisikkan. Anda..jangan salah faham. Saya tidak melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan agama. Saya hanya terpedaya dengan plan pemasaran sebuah jualan lansung.

      Asalnya saya sudah menolak terang-terangan. Tetapi dua orang kawan mengajak saya. Lantaran sedikit teruja untuk melihat seorang jutawan berjaya menjalankan strategi jualan lansungnya, akhirnya saya mengalah. Hebat memang hebat. Dalam masa setahun pendapatan bulanan sudah mencapai puluhan ribu sebulan. Dan dalam masa empat tahun pendapatan bulanannya sudah mencecah ratusan ribu sebulan. Kereta mewah sudah banyak yang dimenanginya. Memang amat mengagumkan melihat seorang wanita beragama Islam gah berucap sebagai seorang jutawan.

      Jam sudah menunjukkan pukul 11.30 malam. Saya sudah gelisah. Akhirnya bagai terpukau saya dihampiri untuk menjadi ahli. Puas memujuk..akhirnya saya bersetuju. Setelah dipujuk menjadi ahli, saya dipujuk secara halus untuk membeli produk keluaran syarikat tersebut. Lebih menyakitkan, rantai tangan pemberian emak yang sudah lama tidak saya tanggalkan di"pujuk" untuk di tolak dan diganti dengan pembelian barang-barang syarikat tersebut. Mujur saya berkeras. Sempat saya meninggikan suara menentang perbuatan mereka. Tapi entah macam mana..akhirnya saya terpedaya juga dengan menghulurkan kad kredit yang jarang saya gunakan.

      Apa yang saya buat ini. Entahlah..keluh si hati kecil. Saya akui memang saya mengagumi wanita-wanita yang berjaya mencapai pendapatan bulanan puluhan ribu dan ratusan ribu. Juga mampu memiliki kereta-kereta mewah hasil pendapatan mereka. Tetapi saya bukan jenis itu..tahap materialistik saya tidak sampai ke situ. Saya tidak impikan pendapatan sebegitu banyak kerana saya tahu ada harga yang perlu dibayar untuk memiliki pendapatan segitu rupa. Dalam Al-Quran dan Al-Hadith telah menyatakan, orang yang kaya adalah orang yang paling lambat masuk ke syurga kerana mereka perlu dihisab satu persatu dari mana sumber kekayaan yang mereka miliki dan ke mana aliran harta yang mereka miliki seperti sahabat nabi Abdul Rahman bin Auf dan juga Nabi Allah Sulaiman (maaf jika saya tersilap fakta, adik-adik saya di Damsyik jika silap betulkan saya).

      Memang tidak dinafikan, dunia hari ini semuanya memerlukan wang untuk meneruskan kehidupan. Lebih-lebih lagi di Kuala Lumpur ini. Dengan kos sara hidup yang serba meningkat pasti amat menyeksakan golongan-golongan tertentu. Memang benar apabila ada wang urusan pembelian kereta, rumah dan lain-lain asset mudah dilakukan tanpa memeningkan kepala.Tetapi bagi saya kebahagiaan seseorang insan itu tidak bergantung kepada banyak atau sedikitnya wang yang mereka miliki. Kebahagiaan itu datangnya dari hati. Jika kita meletakkan Allah di dalam hati pasti kebahagiaan itu kita miliki tidak kira kita seorang yang miskin atau pun kaya. Saya sangat-sangat tidak setuju apabila jutawan itu mengatakan apabila ada wang maka hidup pun aman damai. Ibaratnya wang adalah punca ketenangan hati. Si dia menyatakan yang dia tidak pernah bergaduh dengan suaminya sejak bergelar jutawan. Boleh percaya ke? Ibarat kata pak ramlee sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula suami isteri. Bahagiakah sang suami dan anak-anak apabila si isteri sibuk menguruskan perniagaan yang bukan sahaja tertumpu di Kuala Lumpur malahan di serata pelosok negeri juga di Brunei dan Singapura? Ah..tidak..semua ini karut...keluh si hati kecil lagi. Tertunaikah tanggungjawab seorang isteri dan seorang ibu apabila hampir setiap malam sibuk melatih downliner hingga hampir larut malam? Maniskah seorang wanita yang belum berkahwin bekerja dan ke hulu hilir menghantar dan mengambil kumpulan sasaran hingga larut malam? Itu belum ditambah dengan aktiviti syarikat di setiap hujung minggu...ah karut!

      Lagi satu perkara saya tidak puas hati...Sesungguhnya manusia hari ini menjadi terlampau materialistik! Sanggup mengejar kekayaan tanpa mengambil kira asal usul sumber kekayaan atau pekerjaan yang diperolehi. Malam tadi, setelah mendaftar sebagai ahli, baru saya terperasan yang pengarahnya adalah seorang yang berbangsa lain dari melayu. Ah!..saya terperangkap!..keluh si hati kecil. Saya kurang senang apabila melihat bangsa sendiri yang beragama Islam bersungguh-sungguh memperjuangkan sebuah syarikat milik bangsa lain yang bukan beragama Islam. Selama ini saya cukup berhati-hati dengan ajakan rayuan seumpama ini samada yang nyata atau yang tidak nyata seperti swiss cash, abb fund dan em-pay. Tapi kali ini saya benar-benar terkena. Duit dan kekayaan bagi saya adalah ujian Allah pada seseorang. Berhati-hatilah bila melibatkan diri dengan perkara-perkara yang berkaitan pendapatan. Bukan mudah untuk menguruskan dan jangan biarkan darah yang mengalir di tubuh anda dan keluarga anda terjebak dengan unsur-unsur yang diragui. Lagipun perniagaan seumpama ini bukan mudah untuk dijaga kerana saya sendiri pernah mengikuti kisah kegemilangan seseorang. Namun akibat tersilap langkah, duit hilang entah ke mana, keluarga berpecah entah ke mana dan diri akhirnya tinggal sebatang kara.

      Untuk pengetahuan (sekali lagi saya mohon jika tersilap fakta betulkan saya), di dalam Islam ada empat tahap kepengunaan
      1. Daruriyyat - keperluan asas seperti makanan, tempat tinggal dan pakaian
      2. Hajjiat - keperluan yang melengkapi keperluaan asas contohnya kereta untuk memudahkan bergerak dari satu ke tempat ke tempat lain
      3. Kamaliat - keperluan yang lebih baik dari hajjiat contohnya jika sebelum ini pakai kereta Perodua Kancil kini pakai kereta Toyota Vios.
      4. Tarafiyyat - Barangan yang melampaui batas umpamanya gelas dari emas.

      Tahap tarafiyyat adalah haram dalam Islam. Apabila seseorang Islam itu sampai ke tahap Kamaliat, maka berhati-hatilah kerana ujian demi ujian akan datang ke atas anda. Ujian yang paling hebat adalah perasaan riak dalam diri seseorang itu.

      Tidak salah untuk menjalankan sebuah perniagaan..tetapi pastikan sumbernya halal dan tidak terlibat dengan sebarang unsur yang mencurigakan. Sirah telah membuktikan bahawasanya Saiditina Khadijah juga seorang peniagawati yang hebat. Tidak salah untuk menjadi mata duitan. Tetapi berpada-padalah kerana pada saya apa gunanya berpendapatan puluhan ribu dan ratusan ribu jika hubungan dengan DIA semakin berkurangan.. Apa guna menjadi jutawan jika sinar kebahagiaan sebenar tidak terpancar di sebuah wajah mulus sekalipun ianya dihiasi indah dengan lapisan warna-warna pelangi bergemelapan. Yang kita kejar adalah akhirat sana yang kekal abadi. Islam tidak menggalakkan kekayaan yang melampau. Islam itu serba sederhana merangkumi kejayaan seluruh ummah.

      Maafkan saya andai ada yang terasa dengan bicara tanpa suara dalam rentak irama yang agak keras ini. Bukan kerana saya ingin menunjuk pandai tapi kerana kekesalan yang terdetik di hati kecil. Kesal kerana termakan pujukan kawan dan kesal membiarkan wajah-wajah kesayangan saya menanti penuh kerisauan. Saya juga manusia biasa yang mudah tersilap dan sentiasa dalam proses membetulkan kesilapan. Kebahagiaan, kekayaan dan ketenangan adalah terletak pada jiwa dan rohani yang bersih bukan pada kekayaan duniawi…itu yang saya cuba kejar sebenarnya..ah hati kecil ini mengeluh lagi…

      Monday, February 12, 2007

      Tuhan, Berikan Dia Kekuatan

      Malam minggu yang lalu, kantung sms saya diketuk dengan mesej dari seorang sahabat lama. Sudah lama kami tidak berhubung. Seingat saya, kali terakhir saya bercakap telefon dengannya adalah ketika saya meminta panduan jalan ketika sesat semasa menghadiri kenduri saudara sepupu di Penang iaitu lebih kurang kira-kira 6 bulan yang lepas. Dan sms terakhir yang saya terima darinya adalah ucapan ringkas sempena Hari Raya Aidilfitri yang lalu. Selepas dari itu ada sesekali saya cuba menghubunginya atas beberapa urusan tetapi semuanya tidak berjaya. Hati sudah mula syak sesuatu tetapi saya biarkan ia berlalu.

      Sehinggalah malam itu, dia menghubungi saya melalui kiriman sms. Dia mohon maaf kerana menyepi lama. Sms nya kali ini bernada serius. Sedangkan dia yang saya kenal selama ini adalah seorang yang ceria walaupun dalam ruangan sms yang terhad. Rupa-rupanya dia menghadapi masalah keluarga. Sahabat saya ini berdarah campuran Jawa-Siam dan Cina. Ayahnya berbangsa Cina dan memeluk Islam ketika berkahwin dengan ibunya. Sekarang ini ayahnya menetap di Australia bersama adiknya kerana menguruskan perniagaan keluarga di sana. Sepatutnya tanggungjawab urusan perniagaan keluarga jatuh ke tangannya sebagai anak sulung. Tetapi dia lebih suka berdikari sendiri dan tanggungjawab tersebut diserahkan kepada adiknya. Aidilfitri yang lalu merupakan satu mimpi ngeri baginya. Ayahnya pulang bersama-sama dengan isteri dan anak-anak baru. Rupa-rupanya ayahnya telah berkahwin lain. Tetapi apa yang lebih menyakitkan, kepulangan ayahnya ibarat ombak tsunami yang memusnahkan kemeriahan Aidilfitri.
      "And the big problem is they are not Muslim"
      "My dad married with the aussie in church"

      Nauzubillah, terpempan saya membaca mesejnya. Satu demi satu saya membaca luahan kekesalan hatinya.

      Perkara ini terjadi 10 tahun yang lalu ketika ibunya mengerjakan haji. Ibunya sekarang menghadapi tekanan yang teramat sangat. Dan adiknya, satu-satunya anak yang diharap untuk menjaga kebajikan ayahnya di Australia, tahu tentang perkara ini tetapi bersikap tutup mulut dengan ibunya sendiri semata-mata hanya kerana duit yang disogokkan oleh ayahnya. Punyalah dahsyat dugaan sampai goyah iman. Saya sendiri ragu tentang status agama adiknya. Malas untuk bertanya banyak kerana bimbang pertanyaan demi pertanyaan yang saya ajukan bakal menambah luka hatinya.

      Sekarang ayah dan ibunya telah berpisah. Sahabat saya ini sangat-sangat kesal dengan apa yang terjadi. Dia sama sekali tidak menyangka yang ayahnya sanggup berbuat demikian. Alasan ayahnya sangat mudah. Perkahwinan ini terjadi lantaran ayahnya tidak mempunyai anak perempuan dan urusan perkahwinan dilakukan di gereja kerana ia lebih mudah.

      Sebenarnya apa yang saya bimbangkan terjadi jua. Saya pernah bertanyakan dia, tidak risau ke membiarkan ayah yang berbangsa Cina tinggal di Australia. Dia kata ayahnya sudah berusia hampir 60 tahun hidup dalam Islam. Takan dia ingin kembali ke agama asalnya. Lagipun adiknya ada bersama. Sekarang apa yang terjadi sudah terjadi. Dalam negara sibuk membicarakan tentang isu orang melayu murtad. Tetapi di luar negara sana, seseorang yang bukan berbangsa Melayu telah keluar dari agama Islam. Persepsi Islam bukan hanya untuk orang Melayu sahaja seharusnya diberikan penekanan yang meluas agar Islam tidak diperlekehkan dan diambil mudah.

      Kepada Allah saya panjatkan doa agar dia ditetapkan iman dan beroleh ketenangan jiwa. Saya juga ada mencadangkan untuk dia bertukar semula ke Kuala Lumpur bagi memberi sokongan moral kepada ibunya. Mudah-mudahan Allah mempermudahkan segala urusannya.

      "Ya Allah, ya Tuhanku, berikan dia kekuatan rahmat dan hidayah-Mu"

      Thursday, January 11, 2007

      Bila Amanah diambil Mudah....

      Kelmarin, rakan sekerja saya di Negeri Sembilan menelefon saya. Dia bertanyakan perihal seorang rakan kami di sini yang dengar khabarnya diberhentikan kerja. Wahh.. heran saya, macam mana orang di Negeri Sembilan boleh tahu dulu berita perihal orang di KL. Tergelak2 kecil rakan saya itu apabila saya bertanya padanya. Dia menyuruh saya menyiasat duduk perkara tersebut. Saya bukannya pandai hendak siasat menyiasat ini.

      Tetapi tadi, akhirnya berita tersebut sampai juga ke pengetahuan saya tanpa saya menyiasatnya. K, seorang perempuan disyaki menyalah gunakan kemudahan "claim" yang diberikan. Tugasnya memerlukan ia sering ke luar daerah. Khabarnya setiap kali ke luar daerah dia akan menyewa hotel yang murah harganya. Kemudian, apabila pulang ke ibu pejabat dia akan claim duit hotel mengikut kelayakan jawatan yang jauh lebih tinggi dari harga hotel yang disewanya.

      Sepandai2 tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua. Kegiatan dia akhirnya dapat dikesan. Dia akhirnya diberhentikan. Termenung saya mendengar ceritanya. Sungguh tidak saya sangka dia tergamak melakukan sedemikian rupa. Dahulu hubungan kami rapat. Saya, dia, rakan yang di Negeri Sembilan tadi dan beberapa orang rakan kami yang lain adalah "produk" yang dilahirkan di bawah satu projek khas organisasi. Sehinggalah kami dipisahkan mengikut department yang diarahkan.

      Mengapalah sampai jadi macam ni ya. Saya terfikir, mengapa manusia ini kadang2 suka mengambil kesempatan akan amanah yang dipertanggungjawabkan. Orang selalu fikir PECAH AMANAH sudah semestinya menggelapkan wang. Tapi bagi saya pecah amanah ini merangkumi semua aspek. Semasa kerja..timbang diri kita adakah kita gunakan sepenuh masa kerja kita untuk menjalankan amanah kita? Waktu rehat tengah hari kita panjang2kan. Bagi yang ada kemudahan minum pagi, pergi minum kemudian dilengah2kan. Campur tolak waktu semua hanya beberapa jam sahaja yang diperuntukkan untuk kerja. Tidak terlintas ke di fikiran kita yang kita mengalas amanah di bahu kita? Tidak terlintas ke di fikiran kita akan duit yang diambil akan menjadi darah daging? Tidak terlintas ke kita akan persoalan2 di hari kemudian?Entahlah..saya bimbang..kerana saya juga tidak terlepas dari kelalaian melaksanakan amanah.