Wednesday, November 12, 2008

Diari buat Abah

Ahad 12 Oktober 2008
Hari ini Mak Andak buat jamuan Aidilfitri. Mak dan Abah dah pergi lebih awal dengan budak-budak. Saya dan kakak menyusur setengah jam kemudian. Masa nak masuk rumah Mak Andak, abah tergesa-gesa keluar. Tanpa pesan dia memandu seorang diri. Tak dapat dikenal pasti arah tujuan.

Orang dah mula ramai memenuhi rumah Mak Andak. Pak Andak berharap sangat abah dapat kepalai majlis doa selamat. Jenuh call abah, tidak dapat-dapat. Sms bertalu-talu. Akhirnya dapat juga, katanya dia solat zuhur dekat masjid di kawasan itu. Pelik tak pernah abah buat perangai begini.

Usai doa selamat, mulalah acara makan-makan. Abah hilang lagi. Cari punya cari, rupanya dia tidur dalam kereta. Tengah hari tu dia tidak makan. Perut tak selesa alasannya.

Pulang ke rumah, dia makan makanan yang Mak Andak bekalkan. Dia makan sekadar mengisi perut. Belum pun lama makanan bertamu di perut, dia muntah-muntah. Cirit-birit silih berganti. Abah jadi lembik.

Isnin 13 Oktober 2008
Tengah hari semasa di pejabat, mak telefon. Abah masih lemah, tak lalu nak bangun. Saya nekad minta keluar awal.

Maghrib itu, dalam keadaan hujan lebat, saya nekad bawa abah ke klinik. Doktor bagi ubat cirit-birit dan tahan muntah.

Selasa 14 Oktober 2008
Alhamdulillah muntah abah dah tiada. Hanya tinggal cirit birit. Tapi abah masih tiada selera makan. Dia minta dibelikan 100 plus supaya dia ada tenaga.

Malam hari, Mak Andak dan keluarga datang ziarah. Mereka terkejut tengok abah kurus sangat.

Rabu 15 Oktober 2008
Awal pagi abah dah bangun. Wajahnya ceria. Gaya jalannya pun sudah semakin pulih. Abah dah rasa sihat hari ini. Lega rasa hati tengok abah.

Tengah hari mak telefon. Abah tidak sihat lagi. Lansung tidak makan. Terbaring lemah je, kata mak. Malam harinya, Pak Andak datang bawa ke klinik lain. Abah makan ubat klinik tanpa menjamah sebarang makanan malam itu.

Khamis 16 Oktober 2008
Awal pagi ini abah asyik berulang ke tandas. Cirit biritnya makin menjadi. Pukul 4.30 pagi, abah minta milo o dan sekeping roti. Dia makan tapi tak lama lepas tu cirit lagi. Badannya terlalu lemah. Berjalan pun melayang-layang. Saya nekad ambil Emergency Leave hendak bawa abah ke hospital.

Pukul 6 pagi, abah minta kawalkan dia. Dia hendak ambil wudhu untuk solat subuh. Pintu bilik air saya renggangkan sedikit untuk mudah saya lihat dia. Abah letih. Dia duduk di lantai bilik air. Sempat mandi dan berwudhu. Dia cuba paut kolah di bilik air untuk dia bangun, tapi akhirnya dia terbaring lemah. Mujur tidak kena kepala. Saya panggil mak untuk betulkan kain abah.

Kemudian saya angkat abah dari belakang bawa ke ruang keluarga. Dia sangat-sangat lemah. Macam kekejangan. Matanya tengok ke atas. Abah pengsan! Allahuakhbar..Allah je tahu hati kami. Mak lafazkan La 'illahailallah di telinga kanan. Saya bergegas ambil air zamzam untuk sedarkan abah. Selawat syifa saya baca sambil tangan meratakan air zam zam ke badan abah. Kemudian kelam kabut telefon Mak Andak, Pak Andak dan abang. 30 minit kemudian abah sedar. Tapi dia masih lemah. Mulutnya kumat kamit menyebut Allah.

Pukul 6.40 pagi, Mak Andak dan Pak Andak sampai. Pak Andak tolong abah tukar baju. Saya dan mak bersiap untuk ke hospital. Tak lama lepas itu, abang sampai. Dia dan pak andak cuba angkat abah. Tapi tak terdaya. Abah lemah semula. Badannya lembik di muka pintu. Mukanya mula kejang. Matanya tengok ke atas semula. Dia pengsan lagi. Berhamburan air mata kami. Mak Andak dan Pak Andak bergegas ambil surah yassin dan baca tepi abah. Abang lafazkan kalimah La 'illahailallah. Mak nekad, andai abah terseksa begini, mak redha abah "pergi". Saya sibuk menelefon ambulance. Along kebetulan telefon abang. Abang on speaker bagi peluang Along cakap. "Abah ini Along. Abah mesti tabah dan kuat semangat. Kami sayang abah. Ingat Allah." Sayu suara Along melafazkan.


...bersambung

Sunday, July 06, 2008

Cahaya di Hujung Nyawa

Tika "seseorang" merisik khabar
Akur roh meninggalkan jasad
Menghitung hari saat berpisah
Tinggal semua yang ada di dunia

Sedih pilu sang pencinta
Akhirat tempat perjanjian setia
Doa taubat wasiah amanah
Pelindung kekalutan di padang masyhar

Kuasa Illahi mengatasi segala
Berkat pada hamba yang setia
Tiada jemu sujud menyerah
Terasa indah kasih yang Esa

Roh dan nyawa akhirnya kembali bersatu
Syukur masih ada peluang kedua

Saturday, January 12, 2008

Hanya sampai di sini

Hanya sampai di sini. Iman mawaddah mengundur diri. Salah dan silap harap dimaafi. Terima kasih atas segala sokongan dan dorongan yang diberikan. Sebagai peringatan bersama, terimalah titipan terakhir yang sudah biasa kita baca dan kita lihat tapi jarang sekali kita hayati dalam kehidupan kita.

Ingat akan 5 perkara sebelum datangnya 5 perkara yang lain
Kaya sebelum Miskin
Muda sebelum Tua
Lapang sebelum Sempit
Sihat sebelum Sakit
Hidup sebelum Mati...

Jaga diri, jangan mudah terleka dengan ragam dunia. Jaga hubungan kita dengan Allah kerana Dialah yang menguasai segalanya. Jaga hubungan kita sesama manusia agar tidak menyakiti antara satu sama lain. Semoga kita semua berjaya berhijrah menjadi insan yang paling tinggi kedudukannya di sisi Allah S.W.T.

Jadilah..
Yang tebal itu iman,
Yang nipis itu lidah,
Yang tajam itu akal,
Yang lembut itu hati,
Yang ringan itu solat,
Yang halus itu suara,
Yang luas itu ilmu dan
Yang manis itu kenangan...

Dunia hanya persinggahan sementara, akhirat jua yang kekal abadi. Salam mawaddah.