Sedang dia berjalan-jalan menuruni anak tangga di sebuah pasar tani, kedengaran sayup-sayup namanya dipanggil. "Cikgu XYZ!." Langkahnya terhenti mencari-cari dari mana arah datangnya suara tersebut. Yang kelihatan di sekelilingnya ketika itu adalah seorang budak lelaki, seorang budak perempuan dan seorang remaja perempuan duduk minum di gerai berhampiran dengan selambanya. Dia keliru dan meneruskan langkah tanpa menghiraukan suara tadi. "Cikgu XYZ!" dia menoleh geram. "Betul ke Cikgu XYZ?" tanya suara itu lagi. "Dah kamu panggil nama saya, saya menoleh, betul la tu maknanya," jawab dia ke arah kumpulan yang duduk minum tadi. Lantas budak lelaki itu bangun mendekati dia sambil menghulurkan tangannya. Dia serba salah. Memikirkan budak lelaki itu masih lagi bergelar budak, dia menyambut tangannya. Tangannya dicium oleh budak lelaki tersebut. Kemudian disusuri pula oleh salam dari budak perempuan yang ada bersama-samanya.
"Apa khabar cikgu? Masih ingat saya lagi?" tanya budak lelaki tersebut sambil membuka topinya. "MasyaAllah, Afiq ya," tanya dia. "Ya betul," balas Afiq. "Awak apa khabar?" tanya dia. "Baik. Saya tidak akan lupa cikgu." Dia ketawa sambil bertanya "Kenapa?". "Sebab cikgu, cikgu pertama yang buat saya menangis," sambung budak lelaki itu penuh hormat. Ayah si dia yang ada bersama ketika itu sempat menjeling ke arahnya. Ketawa dia semakin besar. "Lamanya saya tidak jumpa cikgu. Saya ingat tak jumpa cikgu lagi dah. Datanglah sekolah cikgu boleh jumpa kami," balas Afiq ramah. "Saya sejak tinggalkan sekolah tu, lansung saya tak jengah sana dah. Kamu pun dah tinggi sekarang ya. Dah makin hensem cikgu tengok. Tahun berapa sekarang?," dia membalas sambil menyakat Afiq. "Tahun 6 cikgu. Doakanlah saya berjaya. Saya hendak berjaya, masuk universiti macam yang cikgu kata dulu," jawab Afiq. "InsyaAllah saya doakan. Saya pasti kamu boleh lakukan. Nanti boleh apply asrama penuh, merasa hidup di asrama pula," dia menjawab tenang. "Tu lah ingat nak apply MRSM," jawab Afiq penuh yakin. "Apa-apa hal pun score UPSR dulu. Kemudian baru fikir hendak ke mana-mana," dia membalas. "Oklah Afiq, saya terpaksa jalan dulu. Sampaikan salam saya buat kawan-kawan yang lain ya," dia mohon undur diri. "Ok cikgu, panjang umur InsyaAllah kita jumpa lagi." Tangan dia disalami dan dikucupi sekali lagi oleh Afiq.
Kenangan lalu.
Di sebuah kelas di Tahun 4, Afiq sedang asyik bermain mengacau rakan sekelasnya sambil menjengkek-jengkekkan kerusinya. "Afiq!!! Kamu bangun." Tubuh kecil itu bangun mengadap guru yang mengajar. Mata bertentang mata. "Kamu ingat kamu dah pandai sangat boleh tak buat kerja? Kamu ingat saya tidak tahu kamu buat apa dekat belakang tu!" kata dia marah. Afiq terdiam mungkin kerana dia tidak pernah melihat gurunya marah sedemikian rupa. "Kalau macam ini lah perangai kamu saya tidak teragak-agak untuk report pada cikgu kelas dan turunkan kamu ke kelas lain." Mata Afiq sudah mula berair.Dia ingin duduk. "Siapa suruh kamu duduk?" Afiq berdiri kembali. Kali ini matanya merah. Selama lima minit berdiri dia menahan tangisannya dalam diam. "Baik Afiq, kamu boleh duduk. Saya nak tengok kerja yang saya bagi di dalam kelas hari ini sampai di meja saya sebelum balik kamu balik tengah hari. Faham?" Afiq tunduk lemah tidak berani menentang mata gurunya.
Sewaktu rehat, dia melintasi kelas Afiq. Afiq kelihatan duduk menghabiskan kerja di mejanya. Dalam diam dia menghampirinya lansung duduk di sebelahnya.
"Assalamualaikum." Afiq menjeling sambil menjawab salam dengan nada yang perlahan. "Tak keluar rehat?" tanya dia. Afiq menggeleng. "Ermm kamu marah saya?...kalau kamu masih marah saya minta maaf." Sunyi. Dia menyambung "Saya buat begitu sebab saya sayang kamu." Afiq mengangkat mukanya. Masih ada bekas air mata di kelopak matanya. "Saya yang patut minta maaf cikgu. Saya dah buat cikgu marah," balas Afiq. Dia senyum. "Baguslah kalau kamu dah tau kesilapan kamu," kata dia. "Lagipun..orang lelaki tidak elok menangis, tak macho tau," sambung dia lagi sambil menumbuk manja bahu Afiq dan memberinya sekeping tisu. Afiq ketawa dan mengelap air matanya dengan tisu yang dia berikan. Dia turut sama ketawa. "Kamu dah makan?" tanya dia. "Tu ha mak ada bekalkan roti," jawab Afiq. "Oklah. Kalau begitu cikgu pergi dulu, nanti dah siap hantar atas meja cikgu, ok." Afiq senyum mengangguk. Dia berlalu sambil menepuk-nepuk bahu Afiq.
Realiti Kehidupan
Ah..sungguh singkat masa berlalu. Pengalaman setahun menjadi guru benar-benar menguji kesabaran saya. Afiq antara murid yang rapat dengan saya. Dia bijak berbanding rakan-rakan yang lain. Tapi dia dari keluarga yang berpendapatan sederhana. Tidak seperti rakan-rakan yang lain yang lebih bergaya dari segi penampilan mereka. Almaklumlah anak-anak orang berada. Oleh sebab itu, saya cuba membimbingnya kerana saya nampak potensi yang ada dalam diri dia setiap kali saya membincangkan isu-isu semasa yang agak mencabar bagi murid-murid tahun 4. Afiq sangat terkejut apabila saya hanya mengumumkan perletakan jawatan saya di kelasnya pada hari terakhir saya di sekolah itu. "Kenapa cikgu bagi tahu lewat?" dia memulakan pertanyaan. "Cikgu hendak kerja di mana," tanya seorang murid yang lain. "Jika cikgu bagi tahu awal, boleh kami bagi hadiah" "Kenapa cikgu hendak tinggalkan kami?" "Jika saya ada kuasa, saya tahan cikgu di sini" "Cikgu tidak sayangkan kami, cikgu tipu kami!" Cikgu itu cikgu ini..satu demi satu pertanyaan dan tuduhan dilemparkan pada saya. Hanya Allah sahaja yang tahu betapa hebatnya saya berperang dengan perasaan saya ketika itu. Bagaikan orang menyerah kalah saya mengangkat kedua-dua tangan saya menenangkan suasana yang tegang. "Saya minta maaf, jika diizinkan memang saya ingin terus bersama kamu semua. Saya hendak tengok kamu berjaya. Tetapi ada amanah lain yang memerlukan perhatian saya. Saya tidak mahu hadiah. Cukup dengan doa dan kejayaan kamu semua mengiringi saya. Jika saya diizinkan Allah, saya ingin melihat kamu semua berjaya menjadi insan yang berguna untuk agama dan bangsa," jawab saya menahan sebak. Suasana sepi seketika. Afiq bangun sambil bersuara "Cikgu, janganlah sedih. Pergilah cikgu tapi jangan lupakan kami. Nanti raya haji boleh kami datang rumah cikgu..rasa masakan cikgu kan kawan-kawan?" dia cuba menceriakan suasana yang hiba. Kami semua ketawa jadinya melihat gelagat dia. Di akhir kelas itu seorang demi seorang menyalami dan menciumi tangan saya. Tetapi genggaman tangan Afiq meninggalkan kesan air matanya di tangan saya. Dia pantas berlalu pergi tanpa menatap saya. Saya tergamam.
Semasa saya kelam kabut untuk menghadiri jamuan perpisahan saya, Afiq dan dua orang rakannya datang ke bilik guru memanggil saya keluar. "Ada apa Afiq?" "Ini ada kad dan hadiah untuk cikgu sebagai kenangan," jawab dia. "Ya Allah, buat susah-susah saje. Pakai duit siapa ni?" tanya saya. "Kami share duit 3 orang cikgu,"sambut rakannya. "Dah tu kamu ada duit tak nak makan ni?" tanya saya sambil mencari-cari dompet duit di dalam tas tangan. "Dah cikgu jangan risau. Ambillah sebagai tanda hati dari kami," jawab Afiq. "Terima kasih semua. Maaf saya kena pergi jamuan sekarang. Ok ya panjang umur kita bertemu lagi," kata saya sambil memulakan langkah hendak berlalu pergi. "Cikgu! nanti sekejap," Afiq memanggil. "Ada apa lagi?" tanya saya. "Nak salam cikgu lagi," jawab Afiq. Tiga orang sahabat itu menyalami dan menciumi tangan saya lagi. "Selamat jalan cikgu, kami harap boleh jumpa cikgu lagi," Afiq bersuara bagi pihak rakan-rakannya. Redup matanya saya pandang. Terpancar sebuah kejujuran dan keikhlasan. Saya hanya mampu tersenyum kosong menahan sebak di hati.
Pulang dari sekolah saya membelek-belek hadiah pemberian Afiq dan rakan-rakannya. Hadiahnya adalah sekeping kad yang dibuat sendiri daripada kertas A4 dan buku nota kecil bergambar winnie the pooh. Antara bait-bait yang mereka tulis Salam perpisahan buat cikgu yang kami sayangi. Jangan lupakan kami. Selamat hari raya Aidiladha cikgu, nanti bolehlah kami datang rumah cikgu dan makan rendang masakan cikgu.Saya tersenyum sendirian.
*********************************************
"Mulakan dengan bismillah. Melangkahlah ke kelas dengan kaki kanan. Niat di dalam hati aku ingin mencelikkan anak didikku dengan penuh keikhlasan. Sentiasa berdoa agar ilmu yang diberikan bakal memberi manfaat di akhirat kelak. Tugas ini tugas yang murni jangan dicalari dengan ilmu-ilmu yang tidak berguna"- abah.Jauh di sudut hati adakalanya datang keinginan untuk kembali ke dunia pendidikan. Mendidik anak-anak kecil yang masih hijau adalah lebih mudah dari mendidik orang dewasa yang keras kerikil. Tapi saya tidak menyalahi takdir. Perjalanan hidup ini Allah yang menentukan. Selamat hari guru buat semua insan yang bergelar pendidik. Semoga usaha murni kalian diberkati Allah.
14 comments:
duhh iman..mmg panjang betul
entri kali ini.
Apapun Selamat Hari Guru buat semua guru2. Jasanya mendidik tetap di kenang sepanjang hayat :)
ooo.. pernah jd cikgu.;).teringin nak ngajar bdk kecik
macam Michelle Pfeiffer dalam Dangerous mind..
selamat hari guru kepada semua pendidik..i'm sorry teacher :)
rasa cam nak makan rendang plak..
selamat hari guru.. :)
saya pun pernah merasa jadi cikgu 3 minggu..
slmt hari guru :)
peluang menjadi guru pelatih hampir 6 bulan di sekolah dulu sangat memberi erti dalam hidup.
baru paham keadaan seorang guru.
Selamat Untuk semua guru dan pendidik.. andalah aset penting negara :)
Indah Sakura,
Hehe dah lama tak buat esei..so lepas geram la.
Zwit,
Budak kecik peringat tahun 4,5 dan 6 paling senang nak layan...hehe
Pa'chik,
Haha.. kalau nak tahu lagu Gangsta' Paradise dalam filem tu cukup synonym dengan geng2 saya zaman belajar dulu.
Dawai,
Kalau nak makan rendang tunggu awal bulan 6 nanti ya..di rompin.. kuang...kuang hahaha kan dah kena.
Achik,
Amacam best ke jadi cikgu? Saya bab mengajar saya suka..bab kerja2 admin, panatia, derma, majlis2 sekolah..aduhh...sungguh meletihkan.
Bulan,
Hai bulan..siapakah gerangan tuan hamba. Selamat hari guru untuk bulan juga :)..hentam je la ya.
Bayu Senja,
Jadi guru ini jika ikhlas, insyaAllah besar ganjarannya di akhirat sana. Itu sebab saya rindukan profession perguruan :)
Sata pernah jadi guru, sekejap ja. tak layak dipanggil guru pun.
Iman memang pandai cerita. tersentuh perasaan saya membaca entri kali ini.
pandaila iman suruh orang bace...manusia nie kalau dilarang lagi dia akan lakukan, cam pakar psikologi lak...entri yg menyentuh hati dan tulang sumsum...
Hakim,
Saya bercerita ikut acuan saya sahaja. Kalau orang yang arif bahasa tengok mesti banyak kena komplen :) Untuk pengetahuan Hakim, semasa menulis entri ini, air mata saya gugur tanpa saya sedari. Ketika itu saya benar-benar berada di persimpangan samada untuk meneruskan kerjaya dalam bidang pendidikan atau bidang saya sekarang. PadaNya jua saya memohon petunjuk maka datanglah ilham untuk meninggalkan dunia pendidikan.
Achik Sufi
Tiada paksaan dalam agama hehehe. Saya memang suka psiko orang walaupun akhirnya saya yang di psiko hehe. Kalau ada tulang sum-sum lebih boleh la derma pada pesakit leukimia eh.
just nak ucapkan slmt hari guru, x sempat nak baca abih pun lagi ni tadi....sori yerk...
Manusia secara semulajadinya itu memang dilahirkan sebagi seorang pendidik. Kalaupun bukan mendidik anak murid, mendidik anak-anak sendiri... :)
RM,
Hehe kasi habis baca dulu..saya bukan guru lagi dah.
BP,
Macam2 ada bau2 nak jemput kami semua makan nasi ambeng je hehehe
Post a Comment