Monday, April 30, 2007

Fikir-fikir



Cuba perhatikan kedua-dua gambar di atas dengan teliti. Apa yang dapat anda fikirkan tentang gambar-gambar tersebut?


Gambar-gambar di atas diambil oleh seorang jurugambar wanita tidak bertauliah semasa orang lain sedang sibuk mengerjakan solat Jumaat. Sehinggakan tarikh yang di set pada buah hatinya pun boleh tersilap hehe. Insiden ini berlaku di salah sebuah masjid di Tanjung Karang. Rasa kesal di hati tatkala melihat remaja-remaja ini duduk selamba sambil menghisap rokok tanpa sedikit pun rasa bersalah. Solat Jumaat yang seminggu sekali pun susah hendak dilakukan, apatah lagi solat 5 waktu sehari semalam...wallahualam.


Rasulullah S.A.W. telah bersabda yang bermaksud : “Sesiapa yang memelihara solat, maka solat itu sebagai cahaya baginya, petunjuk dan jalan selamat dan barangsiapa yang tidak memelihara solat, maka sesungguhnya solat itu tidak menjadi cahaya, dan tidak juga menjadi petunjuk dan jalan selamat baginya.” (Tabyinul Mahaarim)


Nota Kaki Bangku
Terima kasih kerana sudi meneka. Menarik juga idea-idea yang dilontarkan. Sebenarnya mood untuk menulis ketika itu tidak ada. Sebab itu saya membiarkan kawan-kawan meneka dahulu :)

Wednesday, April 25, 2007

Kisah Hitam dan Putih


Hitam: Aku hitam, kau putih. Kau nak ke kawan dengan aku?
Putih: Oklah la tu kita ibarat taik cicak. Bila orang tengok aku, dia mesti nampak kau.

Hitam: Ceh! ada ke taik cicak kau jadikan perbandingan…hahaha
Putih : Hehe betul la. Kalau taik cicak tak kaler macam tu, susah la siak surau.

Hitam: Asal lak? Apa kaitan dengan siak surau.
Putih: Siak surau banyaknya bukan ke warga emas.
Hitam: So?
Putih: So, pandangan kurang jelas. Kalau nampak seketul benda berwarna hitam dan putih atas carpet surau..confirm benda tu taik cicak. Senang la dia nak bersihkan.
Hitam: Ye tak ye jugak. Macam-macam la kau ni.

Hitam dan Putih..hahaha..


p/s: Penjual cendol, gambar ni ada tak macam rupa momok kekenyangan?..hehe

Saturday, April 21, 2007

Akhirnya dia pergi jua

Pagi tadi, abah menerima panggilan telefon yang menyatakan Pakcik A telah kembali ke rahmatullah malam tadi. Tamatlah sudah kisah kehidupan pakcik A. Abah banyak termenung. Dia kesal kerana tidak sempat melawat pakcik A di saat-saat penghujung usianya. Ajal maut tiada siapa yang boleh menetapkan.

Baru sahaja beberapa minggu lepas, abah mendengar berita daripada kawan-kawannya yang keadaan Pakcik A tidak menentu. Tambah menyedihkan rumah yang didiami oleh Pakcik A sekarang telah ditukar kunci oleh anak tirinya. Pakcik A tidak dibenarkan pulang ke rumah tersebut. Oleh sebab itu Pakcik A meminta jika dia meninggal dunia, jenazahnya dibawa ke surau taman perumahan kami untuk diuruskan oleh sahabat-sahabatnya.

Namun begitu, apabila tika saat ajalnya sampai Pakcik A sememangnya seorang yang sangat bertuah. Anak-anak yang dinafikan haknya selama ini datang menguruskan jenazah arwah ayahanda mereka. Air yang dicincang tidak akan putus. Darah yang mengalir dari tubuh yang sama pasti berkongsi naluri yang serupa.

Kisah mengenai Pakcik A pernah saya ceritakan disini. Al-Fatihah untuk Pakcik A. Semoga Allah menerima segala taubatnya. Mudah-mudahan menjadi pedoman buat semua yang masih bernyawa.

Thursday, April 19, 2007

Telefon Tangan

Semalam, ada tiga panggilan tidak dijawab muncul di skrin telefon tangan saya. Saya tahu itu panggilan dari dia kerana awalan nombor-nombor telefon talian tetap tersebut menunjukkan kawasan Putrajaya. Hari ini dia telefon lagi. Tetapi kali ini saya sempat menekan tetapi dia terlebih dahulu meletakkan panggilan. Entah apa yang dia hendaknya..macam penting sahaja, lalu saya cuba menghubungi balik tetapi dia tak dapat dikesan. Saya rasa dia sedia maklum yang saya bukan jenis yang suka jawab telefon tangan ketika saya di pejabat.

Saya tahu dia pernah mengomel pada kawan saya yang seorang itu tentang saya yang susah hendak jawab telefon. Saya sedia maklum yang dia suka menggunakan telefon pejabat sebab tidak perlu bayar (tidak amanah sungguh :P ...hehe). Dan saya juga sudah tahu yang dia sudah tahu tentang iman mawaddah ini saya yang punya juga dari kawan saya itu. Oleh kerana dia pembaca senyap iman mawaddah, saya hendak tulis tentang ketidak fahaman bahasa dia hari ini...hehe

Sememangnya telefon tangan saya jarang berada dekat dengan saya ketika saya bekerja. Kawan itu bukan orang yang pertama komplen. Kakak angkat saya dan arwah Lee juga pernah komplen benda yang sama. Bukanlah bermakna saya sombong tidak mahu menghargai panggilan kawan-kawan. Tetapi saya memang kurang gemar berbual-bual kosong di telefon tangan di kala orang lain sedang sibuk buat kerja. Lagipun saya sedar yang saya ini bila dah bercakap telefon terutamanya kena dengan kawan-kawan yang satu kepala memang susah hendak berhenti. Jadi dari saya bercakap secara formal acuh tidak acuh..baik saya tidak jawab telefon tersebut hehe. Itu sebab saya lebih selesa jika kawan-kawan menelefon saya di luar waktu pejabat. InsyaAllah saya jawab..jika tidak jawab itu maknanya saya telah ditembak komunis - istilah yang biasa saya gunakan di kalangan kawan-kawan sebagai tanda saya telah berada di alam mimpi ZZzzZZZzz :) Walau bagaimanapun, kadang-kadang saya angkat juga. Manalah tahu jika ada perkara-perkara penting yang hendak dibincangkan. Tetapi nada suara saya formal sehinggakan ada yang tidak percaya bahawa saya lah yang mejawab panggilan tersebut..hehe

Entri senggang ini hanya sekadar suka-suka. Sorry kawan Putrajaya...gurau-gurau sahaja. Jangan marah haa hehehe

=============================================
Nota Kaki Bangku
Dalam metro hari ini ada seorang wanita membuat laporan polis kerana gangguan sms berunsur 18sx yang diterimanya. Kenapalah dia cerdik sangat bubuh nombor telefon di blognya suatu ketika dahulu. Tidak ke sekarang ini dirinya sendiri yang merana.

Tuesday, April 17, 2007

Genap Setahun

17 April, genap setahun Khadijah dilahirkan. Keletahnya semakin lama semakin mencuit hati. Khadijah adalah permata hati kekanda saya. Melihat tumbesarannya mengetuk pintu kenangan setahun yang lalu. Tiga hari selepas kelahirannya, saya menerima berita sedih kematian seorang sahabat maya, Allayarham Lee. Dia meninggal dunia pada hari yang sama dengan kelahiran Khadijah.

Saya diperkenalkan dengan Allahyarham Lee oleh kakak angkat saya di satu ruangan sembang. Arwah mengidap cirrhosis, sejenis penyakit berkaitan hati. Ketika itu sakit Allahyarham sudah berada di tahap kritikal. Atas saranan doktor, di ruangan itu, arwah menjalani terapi mental supaya bersemangat untuk menghadapi penyakitnya. Kakak angkat saya mengajak saya terlibat sama untuk menceriakan arwah. Sejak hari itu bermulalah satu persahabatan maya yang akrab terbina antara kami dan beberapa rakan maya yang lain.

Arwah adalah orang pertama yang memperkenalkan dunia blog kepada saya. Tetapi sayang arwah tidak sempat membaca cetusan idea saya kerana saya agak terlewat melibatkan diri dalam dunia penulisan blog. Ketika menghembuskan nafas terakhir arwah sedang membilang hari meniti kebahagiaan menuju ke gerbang perkahwinan. Dia memilih adik angkatnya yang dijaga oleh keluarganya sejak kecil sebagai calon isteri. Sha, seorang gadis yang comel dan mempunyai wajah seakan-akan Raja Shahirah anak kepada Raja Bahrin yang pernah dilarikan dari jagaan ibunya di Australia suatu ketika dahulu. Sha yang sepuluh tahun lebih muda dari arwah, seorang yang sangat berkebolehan tetapi menjadi bisu dan pekak angkara demam panas ketika kecil. Sayang sekali jodoh mereka tidak panjang kerana Allah lebih menyayangi arwah. Arwah pergi ketika berumur 32 tahun.

Berikut adalah bingkisan terakhir arwah yang pernah dipaparkan di blog beliau atas usaha dua orang sahabat akrab dunia blognya...

Assalamualaikum
Teman-teman, di saat teman-teman membaca apa yang aku tulis ini, aku sudah tiada. Aku sudah pun meninggalkan teman-teman semua. Dari keikhlasan hati dua temanku yang rapat, akhirnya dapat juga teman-teman membaca apa yang ingin aku sampaikan buat kali terakhir. Sebenarnya, aku telah menyediakan catatan ini terlebih dahulu bilamana aku terasa aku perlu mengucapkan selamat tinggal pada semua. Mungkin apa yang aku lakukan ini agak keterlaluan dan tidak diterima akal yg waras, tetapi padaku, aku ingin melakukannya juga. Kerana ketika aku menulis ini, aku dapat merasai yang aku tidak punya banyak waktu lagi.

Dan pada semua bloggers yang lee kenali, terlalu ramai untuk aku tuliskan nama teman-teman satu persatu, aku ingin mengucapkan terimakasih kerana kata sokongan teman-teman. Banyak yang aku pelajari dari teman dan segala doa, ingatan dan semangat dari teman-teman, aku hargai sesungguhnya. Teruskanlah menulis, tulis terus dari hati, kerana apa sahaja datangnya dari hati, merupakan apa yang kita rasa, timbul dari perasaan. Dan ingat selalu, tulislah yang baik-baik, agar ianya dapat menjadikan diri sendiri dan pembaca-pembaca menjadi insan yang lebih mulia lagi.

Kepada pembaca-pembaca blogku ini, terima kasih kerana sudi membaca dan mengikuti kisahku. Seringkali bila menulis, aku sedar yang teman-teman tetap ada, membaca dalam diam,tanpa meninggalkan apa-apa tentang apa yang telah aku tuliskan dan inilah yang benar-benar memberiku semangat untuk menulis lagi. Untuk Hanna, terima kasih atas dorongan yang telah kau berikan selama ini. Akhirnya segala penulisanku di sini, sudahpun menjadi sepertimana blog bluehikari, sudah sampai ke penyudahannya. Cuma di penghujung blogku ini, penutup ceritanya ini mungkin sudah mengecewakan kamu.

Untuk saudaraku Surina, aku harap kau lebih tabah setelah apa yang telah kau lalui kebelakangan ini. Kau perlu lebih tabah dengan segala apa yang muncul di dalam hidupmu. Mungkin ini ujian bagi kau sebenarnya, kerana tanpa ujian sebegini, tidak mungkin kau akan menjadi hambaNya yang lebih beriman. Ingat selalu Su, dalam mengharungi hidupmu nanti,berjalanlah terus ke hadapan, jangan membelok ke mana-mana dan jangan lagi pandang ke belakang lagi.

Untuk saudaraku Hikaru, terima kasih atas persahabatan ini. Terima kasih kerana membolehkan aku untuk menyampaikan catatan terakhir pada teman-temanku di sini. Terimakasih kerana memberi aku semangat untuk bercerita di sini.Kerana di sini, dapatlah aku melepaskan segala rasa sebak dan keliruku. Sekurang-kurangnya tekanan perasaan dapat aku melepaskan di sini.

Dan akhir sekali, untuk Sha tersayang. Maafkan abang kerana menceritakan tentang diri Sha di sini. Maafkan selama ini abang merahsiakan tentang blog ini dari Sha. Maafkan abang kerana selepas abang tiada, barulah abang 'menjemput' Sha untuk membaca apa yang telah abang tuliskan. Bacalah apa yang telah tertulis di sini, kerana di sini, selalunya abang lagukan rasa sayang dan rindu pada Sha. Kerana di sini, apa yang berbicara di hati abang, abang turunkan satu persatu apa yang abang rasai. Dan sekiranya apa yang abang tulis di sini memilukan hati Sha, janganlah menangis lagi. Cukuplah dengan apa yang pernah kita tangisi bersama, cukuplah dengan tangisan apabila abang pergi. Kerana kesedihan yang abang rasakan itu, sudahpun tidak ada lagi. Semuanya telah dibawa pergi bersama abang. Teruskanlah membaca tapi jangan sekali-kali Sha gugurkan airmata lagi.

Terimakasih teman-teman. Jangan bersedih kerana kehilanganku, kerana itu akan membuat aku lebih bersedih kerana aku lagi terasa akan kehilangan orang-orang yang aku sayangi dan teman-teman semua. Dan kumohon ampun dan maa jika ada tingkahlakuku, tulisanku yang menguriskan hati teman-teman.

Selamat tinggal, semua. aku harus pulang dahulu.
Assalamualaikum.


Al-Fatihah untuk Allayarham Ghazali. Semoga rohnya dicucuri rahmat.

Bagaikan bermimpi, masa begitu pantas berlalu. Masih jelas ingatan persahabatan terhadap arwah walaupun dibatasi layar maya. Hati terkenang akan Sha. Selepas kematian arwah, ada sesekali saya bertemu dengannya di ym. Tetapi sekarang tidak lagi. Mungkin dia sibuk meneruskan empayar perniagaan arwah yang diwarisinya. Semoga Allah mengurniakan seribu kekuatan untuknya. Blog arwah telah ditutup oleh Sha. Cukuplah kisahnya pergi bersama arwah. Cukuplah sekadar menjadi iktibar buat kami yang pernah mengenali dan membacanya. Cuma satu nasihat saya jangan sesekali merasa sangat kecewa sehingga merosakkan diri sekiranya cinta sesama manusia terputus di pertengahan jalan. Cinta terhadap Allah jua yang kekal abadi untuk selama-lamanya.

Sunday, April 15, 2007

Akhirnya Yin ditemui

Alhamdulillah, akhirnya Yin bertemu semula dengan keluarganya setelah hilang selama 2 minggu. Berita gembira ini saya ketahui melalui Buletin Utama. Sepanjang kehilangannya, Yin dijaga oleh sepasang suami isteri berketurunan Myanmar. Sayu bercampur gembira melihat wajah anak comel itu di dalam dakapan ayahnya sambil menyalami dan mencium Ketua Polis Negara serta beberapa pegawai polis yang lain.

Pada hari kejadian, pasangan tersebut telah menjumpai Yin keseorangan dan terus membawanya ke rumah mereka. Mereka tidak tahu untuk menghubungi pihak tertentu sehinggalah mereka terjumpa risalah mengenai kehilangan Yin. Lantas menghubungi keluarga Yin dan dipulangkan Yin kepada mereka petang tadi di Balai Polis Dang Wangi.

Sedikit kemusykilan di hati kecil melihat penampilan Yin yang botak licin. Hairan jika benar ikhlas, mengapa mesti tunggu sampai 2 minggu untuk diserahkan. Alasan tiada tv di rumah macam tidak berapa logik. Walau apa pun syukur ke hadrat Allah berkat doa dan usaha berpanjangan dari semua pihak akhirnya Yin pulang ke pangkuan keluarga dalam keadaan selamat.

Friday, April 13, 2007

Sudut rezeki

Setiap hari Jumaat, sudut tu pasti dipenuhi dengan pelbagai jenis kerepek. Ada seorang mak cik tua yang agak daif menjualnya. Sesiapa yang lalu di sudut itu pasti akan disapa untuk diajak beli kerepek-kerepeknya.

Suatu hari saya dan kawan saya disapa oleh makcik tersebut. Lalu kami membeli beberapa jenis kerepek darinya. Wajahnya sayu sekali. Bila kami bertanya samada dia sudah makan tengah hari atau belum. Dia hanya mampu menggeleng perlahan sambil menahan air matanya. Atas dasar simpati kami membayar lebih sedikit supaya dia dapat membeli makanan tengah hari dengan duit tersebut.

Hari Jumaat yang lainnya, saya melintasi kawasan perniagaan makcik tersebut seorang diri. "Beli kerepek nak." Saya hanya tersenyum memandangnya sambil mengeleng kepala. "Kenapa sombong benar? Suh beli kerepek barang sebungkus pun tak mo." Saya terpempan memandang wajah tua yang sama tetapi berlainan pula sikapnya hari ini. Mata kami bertentangan. Belum sempat dia membuka mulut untuk meneruskan bicara, saya pergi meninggalkannya mengomel seorang diri. Dari kejauhan kedengaran suaranya yang masih lagi mengomel. Dalam hati saya terdetik, ada juga orang macam ini. Boleh pula main paksa-paksa dan marah-marah. Tapi fikir positif aja, mungkin dia tertekan agaknya.

Tuesday, April 10, 2007

Dakwah itu perlu berhikmah

Yaletown, Canada

Seorang pelajar, ustaz Azhari namanya pergi ke Canada utk menyambung pelajaran. Dia diminta memperkenalkan dirinya. Seorang Canada bertanya adakah dia seorang muslim. Ustaz itu mengiyakan sebelum orang Canada itu berkata, "I hate muslim, I really hate muslim!". (Bayangkan kali pertama anda memperkenalkan diri, orang berkata begitu pada anda,terkejut bukan?

Namun ustaz Azhari tetap berbaik dengan orang Canada itu, mengajak ke rumah, makan bersama hingga mereka jadi kawan yang baik. Ketika orang Canada itu menerima jemputan dinner di rumah ustaz Azhari dia minta satu kaset & lagu tradisional dari ustaz Azhari. Ustaz Azhari akhirnya memberi satu kaset dan mengenakan syarat, kaset ini mesti didengari 15 minit sebelum tidur.

Malam itu, selepas 5 minit mendengar kaset, Canada itu menelefon ustaz Azhari, "Azhari, why this song there is no music instruments, but it really nice," Ustaz Azhari suruh dia mendengar kaset tersebut sehingga akhirnya Canada itu tertidur. Keesokkannya orang Canada tersebut datang berjumpa ustaz Azhari dan memberitahu dia bermimpi satu mimpi yang aneh dan menceritakan mimpi tersebut. Ustaz Azhari terkejut, mengurut dadanya, pantas mulutnya terucap kalimah "MasyaAllah!". Tuhan itu Maha Pemberi Hidayah.

Rupa-rupanya orang Canada itu mimpi kisah Nabi Yusuf dan Zulaikha dan yang ajaibnya kaset yang diberi olehnya ialah bacaan ayat Quran surah Yusuf. Dan akhirnya Canada tersebut memeluk islam. Selepas itu, dia berjumpa lagi dengan ustaz Azhari, menceritakan yang dia punya 3 kesukaan, arak, perempuan dan malas nak mengerjakan solat. Ustaz Azhari berkata kepadanya yang dia boleh minum arak, bergaul dengan perempuan dan tidak mengerjakan solat, dengan syarat ketika dia hendak minum arak, dia hendaklah berkata, "Ya Allah, aku tahu arak ini kau larang, tapi aku suka amat akan arak ini,aku tak dapat nak tinggal, oleh itu ampunlah aku".

Perbuatan yang sama untuk perkara-perkara yang lain. "That's easy, islam is easy kata Canada itu". Tapi seminggu selepas itu, Canada itu datang jumpa Ustaz Azhari dan menyatakan dia malu kepada Allah, minum arak, bergaul dengan perempuan,tidak mengerjakan solat, dalam diri memohon ampun pada Allah.
Dipendekkan cerita akhirnya, orang Canada itu menjadi muslim yang menghambakan dirinya pada Allah. Bayangkan apa yang terjadi andai ustaz Azhari menyuruh dia meninggalkan kebiasaannya yang dulu, pada saat ketika dia mula-mula memeluk islam? Apa yang akan berlaku? Begitulah pentingnya kemahiran dalam berdakwah.


Cerita ini saya terima dari email yang diforwardkan oleh seorang sahabat saya. Mudah-mudahan dapat memberi pengajaran kepada kita. Membaca kisah ini membuatkan saya terkenang akan persahabatan saya dengan seorang pemuda berbangsa tiong hua. Dia seorang free thinker tetapi menunjukkan minat tentang Islam. Sehinggakan tesis masternya ia menulis tentang salah satu konsep berteraskan Islam. Tetapi persahabatan kami tidak lama kerana dia pulang ke negeri kelahirannya dan saya juga bertukar ke tempat lain. Kini, apabila menerima sms darinya soalan yang sering saya tanyakan "Sudah masuk Islam?" dan dia dengan selamba menjawab "InsyaAllah..". Jauh di hati kecil, saya berdoa mudah-mudahan nur Islam menyinari dirinya...bukan hanya omongan kosong semata-mata.

Sunday, April 08, 2007

Etika warna

Seorang rakan sejawat bertanyakan sesuatu melalui email. Memandangkan saya bercuti Khamis lepas, saya menjawab pertanyaannya lewat sehari. Seterusnya dia membalas dengan ucapan terima kasih sambil menforwardkan apa yang saya jawap ke staff beliau. Apa yang menyakitkan hati saya jawapan yang saya berikan telah di warnakan dengan warna merah dan font size nya telah dibesarkan dari font size biasa. Jika orang yang menerima email tersebut faham akan etika berurusan secara rasmi pasti saya akan teruk dihentam.

Setahu saya dalam etika kerjaya, adalah pantang sama sekali menggunakan font warna merah dan bersaiz besar. Melainkan kerjaya sebagai seorang guru. Itu pun setakat menanda buku bagi pelajar sekolah rendah dan menengah sahaja. Kalau tidak silap saya, seseorang yang terlibat dengan kerjaya di awan biru juga menggunakan pen merah untuk tanda tangan dokumen tertentu sekiranya berlaku sebarang kemungkinan sepanjang menjalankan tugas di awam biru. Untuk kerjaya lain, seseorang yang menggunakan font warna merah bermakna dia seorang yang sedang marah. Dan ia seolah-olah mencerminkan peribadi seseorang yang bersifat diktator.

Untuk menyedarkan rakan sejawat saya tentang apa yang dibuatnya, saya menggunakan reverse psychology. Email beliau saya balas dalam bahasa senggang supaya nampak lebih sempoi tapi bermakna.

"Encik S, sebentar tadi saya hantar email guna font color RED ke? Sorry, saya tak perasan saya terguna warna tu."

Setengah jam kemudian dia membalas.

"Tak lah. Saya yang tukar font color tu dan besarkan supaya orang lain boleh nampak dan faham. I'm sorry. Saya patut guna warna lain."

Ermm faham pun dia..puas hati saya. Niat saya hendak menegur dia bukan untuk melawan balik. Saya cuma teringat, bos saya dulu pernah teruk menjawab dari pihak atasan lantaran sikap seseorang menghantar email urusan kerja menggunakan font warna merah. Rasa hendak tergelak pun ada juga sebab soal yang kecil boleh diperbesarkan. Tapi itu lah manusia, kadang-kadang kita tidak ambil perhatian penggunaan warna dalam urusan-urusan rasmi kerjaya.

Friday, April 06, 2007

Hilang


Semasa membeli belah di Jusco semalam, ramai juga ibu bapa membawa anak-anak kecil mereka shopping bersama. Sudah menjadi perangai kanak-kanak, ibu bapa sibuk memilih mereka pun sibuk juga tidak mahu duduk diam. Fikiran saya lansung teringat kepada adik Muhammad Nazrin (gambar di atas), 5 tahun yang masih belum ditemui lagi sehingga kini. Berita tentang kehilangannya telah tersebar luas di ibu kota sepanjang minggu ini.

Nazrin telah hilang ketika dia dan keluarganya pergi membeli belah di Sogo hari Sabtu yang lepas. Esok, genaplah seminggu kehilangan Nazrin. Pasti kedua ibu bapanya tidak lena tidur memikirkan nasib anak sulung kesayangan mereka. Jika kita kehilangan barang-barang kesayangan pasti kita sudah mengeluh dan mengelabah. Inikan pula kehilangan permata hati yang dikandung selama 9 bulan dan dibesarkan dengan sempurna. Jika mati sekalipun pasti kita tahu di mana kuburnya. Ini tidak. Mereka tidak tahu nasib Nazrin sepanjang seminggu kehilangannya.

Dari pembacaan saya, ada ustaz yang menyatakan Nazrin sekarang sedang dijaga oleh seseorang yang berketurunan Melayu. Jika ya benar, saya berdoa agar orang Melayu tersebut tidak mengapa-apakan Nazrin dan memulangkan Nazrin ke pangkuan ibu bapanya dalam keadaan selamat. Dunia sekarang ini terlampau banyak jenayah yang kita tidak sangkakan. Bimbang sekali jika anak ini menjadi mangsa sindiket-sindiket yang tidak bertanggungjawab yang memeras tenaga kanak-kanak kecil. Juga amat dibimbangkan jika ada yang cuba ambil kesempatan untuk memesongkan akidah kanak-kanak ini.

Apa yang terjadi kepada Nazrin adalah satu ujian yang hebat buat ibu bapanya. Jadi, ambillah ikhtibar. Jangan biarkan anak-anak lepas bebas semasa membeli belah. Antara berita tentang kehilangan Nazrin boleh di baca di sini dan di sini.
=============================================
Nota kaki bangku
Maklumat ringkas :
Muhammad Nazrin bin Shamsul (4 tahun 10 bulan)
Hilang pada 31/3/2007, jam 2.00 petang di Sogo
Sewaktu hilang berkemeja kelabu berkotak dan berjeans biru.
Sekiranya ada maklumat hubungi:
En Shamsul (012-5090451)
Puan Noramizah (012-3749647)
Atau mana-mana balai polis berhampiran.

Thursday, April 05, 2007

Kosong


...Alahai rasa macam nak sambung cuti je esok.

Apa tu?



Hari ini cuti malas lagi hehehe.

Tuesday, April 03, 2007

Lahirnya bawa cahaya

Sempena bulan kelahiran Nabi Muhammad S.A.W saya paparkan sebahagian kisah baginda untuk kita renung dan fikir-fikirkan.

Kisah Rasulullah SAW dengan seorang pengemis Yahudi
Di sudut pasar Madinah Al-Munawarah, seorang pengemis Yahudi buta yang hari demi hari apabila ada orang yang mendekatinya, dia selalu berkata "Wahai saudaraku jangan dekati Muhammad, dia itu orang gila, dia itu pembohong, dia itu tukang sihir, apabila kalian mendekatinya kalian akan dipengaruhinya". Setiap pagi Rasulullah saw mendatanginya dengan membawa makanan, dan tanpa berkata sepatah kata pun Rasulullah saw menyuapi makanan yang dibawanya kepada pengemis itu walaupun pengemis itu selalu berpesan agar tidak mendekati orang yang bernama Muhammad. Rasulullah saw melakukanya hingga baginda wafat.

Setelah kewafatan Rasulullah saw, suatu hari Abu Bakar r.a. berkunjung ke rumah anaknya Aisyah r.ha. Beliau bertanya kepada anaknya, "Anakku adakah sunnah kekasihku Rasulullah saw yang belum aku kerjakan", Aisyah r.ha menjawab pertanyaan ayahnya, "Wahai ayah engkau adalah seorang ahli sunnah hampir tidak ada satu sunnah pun yang belum ayah lakukan kecuali satu sunnah saja". "Apakah itu?", tanya Abu Bakar r.a." Setiap pagi Rasulullah saw selalu pergi ke hujung pasar dengan membawakan makanan untuk seorang pengemis Yahudi buta yang berada di sana", kata Aisyah r.ha. Keesokan harinya, Abu Bakar r.a. pergi ke pasar dengan membawa makanan untuk diberikannya kepada pengemis itu. Abu Bakar r.a.mendatangi pengemis itu dan memberikan makanan itu kepadanya. ketika Abu Bakar r.a. mulai menyuapinya, si pengemis marah sambil berteriak, "Siapakah kamu?". Abu Bakar r.a. menjawab, "Aku orang yang biasa". "Bukan! Engkau bukan orang yang biasa mendatangiku" jawab si pengemis itu. Apabila dia datang kepadaku tidak susah tangan ini memegang dan tidak susah mulut ini mengunyahnya. Orang yang biasa mendatangiku itu selalu menyuapku, tapi terlebih dahulu dihaluskannya makanan itu", pengemis itu melanjutkan perkataannya.

Abu Bakar r.a. tidak dapat menahan air matanya, ia menangis sambil berkata kepada pengemis itu, "Aku memang bukan orang yang biasa datang kepadamu, aku adalah salah seorang dari sahabatnya, orang yang mulia itu telah tiada. Ia adalah Muhammad Rasulullah saw". Setelah pengemis itu mendengar cerita Abu Bakar r.a. dia pun menangis dan kemudian berkata, "Benarkah demikian? Selama ini aku selalu menghinanya, memfitnahnya, dia tidak perrnah memarahiku sedikitpun, dia tetap mendatangiku dengan membawa makanan setiap pagi, dia begitu mulia. Akhirnya pengemis Yahudi buta itu melafazkan Syahadad di hadapan Abu Bakar r.a.

============================================
Wahai umat Muhammad,
Apakah engkau terfikir,
Rasulmu contoh pekerti mulia,
Tetapi kamu masih lagi alpa,
Alpa dengan godaan dunia.

Ah!!..dia Rasullullah bersifat ma'asum,
Terpelihara dari sifat keji,
Kita?.. hanya insan biasa,
Itulah jawapan selamba,
Yang sering keluar bila berbicara,
Tanpa setitis pun rasa insaf,
Untuk memperbaiki diri,
Di sisi DIA yang Maha Esa.

Saya bermonolog sendirian. Renung diri saya sendiri..masih jauh.Ya, masih terlalu jauh.

Dalam keadaan yatim anak mulia. Lahirnya bawa cahaya lengkap dengan bercelak, sudah dikhatankan, terputus tali pusatnya, badan berminyak, disambut bidadari dan dalam keadaan suci bersih. Dialah Muhammad, Rasul terakhir pembawa risalah umat di akhir zaman.

Sunday, April 01, 2007

Nasi beriani Oman



Ngeri pula tengok gambar ni. Agak-agaknya kalau disedekahkan pada fakir miskin di Malaysia ni, berapa negeri la boleh cover ya?