Friday, March 30, 2007

11 Rabiulawal 1428

Hari ini genaplah setahun Atuk Y pergi mengadap Illahi. Masih segar di ingatan saya betapa kelam kabutnya saya di pejabat apabila mendapat panggilan telefon dari abah untuk pulang segera tengah hari itu. Atuk Y adalah adik kepada opah saya sebelah mak. Satu-satunya atuk yang saya ada setelah saya kehilangan kedua-dua belah atuk sejak berumur 12 tahun. Atuk Y dan isterinya Opah S adalah sumber rujukan agama keluarga. Mak pula merupakan anak saudara kesayangan atuk.

Atuk Y mengidap penyakit angin ahmar. Dia telah terbaring selama 10 tahun lamanya. Isteri atuk, Opah S adalah insan yang paling banyak berjasa sepanjang atuk sakit. Saya memang “tabik spring” melihat ketabahan Opah S. Sesiapa yang pernah menziarahi arwah atuk semasa hayatnya pasti kagum dengan cara Opah S menjaga atuk. Ibarat menjaga seorang bayi begitulah kasih dan setianya opah menjaga atuk. Tidak ada sedikit pun kudis akibat pembaringan yang lama terlekat di badan arwah atuk.

Hari itu, ketika saya sampai di rumah arwah, opah masih tenang memimpin tangan saya melihat wajah arwah atuk di pembaringan. Maha suci Allah, wajah atuk sangat cantik. Sepanjang pengurusan jenazah, opah tidak sedikit pun menangis mahupun meraung. Hujan yang turun lewat petang itu bagaikan berkongsi kesedihan dengan kami. Kini, semuanya hanya tinggal kenangan. Tiada lagi insan yang bergelar atuk dalam hidup saya. Al-Fatihah.

Thursday, March 29, 2007

Ayat-Ayat Cinta sebuah novel pembangun jiwa



Penulis : Habiburrahman El Shirazy, penulis muda lulusan Sarjana Al-Azhar
Harga : RM 22.90
Pemenang Pena Award Novel Terpuji Nasional 2005 (Indonesia)
Pemenang Anugerah Penghargaan The Most Favourite Book 2005

Pertama kali berkenalan dengannya adalah melalui penulisan Dayah. Namun begitu, saya fikir Ayat-ayat Cinta adalah novel biasa yang mengutarakan konflik-konflik jiwa dunia percintaan antara teruna dan dara. Saya sememangnya sudah lama meninggalkan novel-novel berunsur cinta kerana bagi saya persoalan dan konflik yang ditimbulkan dari satu novel ke novel yang lain lebih kurang sama sahaja tiada banyak bezanya. Hasrat saya untuk mencari Ayat-Ayat Cinta di kedai buku saya batalkan. Beberapa bulan kemudian, saya menerima email dari kawan-kawan sepengajian dahulu yang turut menceritakan perihal novel yang sama. Dalam hati saya..tidak boleh jadi, saya mesti cari untuk mengetahui keunikkannya. Masa senggang saya sempena menghabiskan cuti tahunan yang lepas, saya habiskan dengan projek khas bersama bonda dan membaca Ayat-ayat Cinta.

Ayat-ayat Cinta sebuah kisah cinta yang unik yang diungkai penuh Islamik. Ia tidak terikat dengan kisah cinta teruna dan dara sahaja. Ia lebih bersifat universal meliputi cinta hamba kepada Penciptanya dan Rasulnya, cinta persaudaraan sesama Muslim dan cinta kepada budaya bangsa. Selain dari itu ia merungkai sifat-sifat Rasulullah yang perlu ada dalam jiwa seorang Muslim ketika menghadapi ujian-ujian Allah. Ia juga dilengkapkan dengan petikan ayat-ayat suci Al-Quran, Al-Hadith, sajak-sajak motivasi diri dan diserikan lagi dengan ilmu-ilmu dunia seperti dunia perubatan, perundangan dan psikologi yang menjadikan Ayat-ayat Cinta amat berkesan bagi yang menghayatinya.

Ringkasnya ia sebuah kisah penuh simbolik antara 3 watak utama yang berlatar belakangkan suasana kehidupan di Cairo. Fahri, graduan Al-Azhar berpekerti mulia berasal dari desa terpencil di Indonesia. Aisha seorang muslimah berdarah campuran Turki dan Palestin dan membesar di Jerman. Maria seorang penganut setia Kristian koptik tetapi banyak mengamalkan budaya Islam dalam hidupnya serta menghafal Surah Maryam dengan baik.

Siapa yang berminat, bolehlah beli. Mau pinjam?. Jangan haraplah. Kalau nak juga.. sewa bolehlah hehe.

"...ternyata ia sebuah novel yang sangat memujuk dan menghiburkan," A. Samad Said.

==========================================
Nota Kaki Bangku:
Buat saudaraku si penjual cendol , inilah novel yang pernah saya ceritakan dahulu. Cubalah membacanya sebagai salah satu agen pembangun jiwa. Redhalah setiap insan yang dilahirkan ke dunia ini mempunyai latar kehidupan yang berbeza. Jangan dikeluhkan akan nasib diri kerana Allah itu lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hambaNya. Bersyukurlah dengan rahmat dan kasih sayangNya awak terpilih untuk memberi khidmat kepada insan yang memerlukan. Hulurkan kasih sayang buat mereka. Salam tenang dan hadapinya dengan senyuman. Semoga diredhai Allah.

Hadapi dengan senyuman
Semua yang terjadi
Biar terjadi…
Hadapi dengan tenang jiwa
Semua...kan baik baik saja

Bila ketetapan Tuhan
Sudah ditetapkan
Tetaplah sudah…
Tak ada yang bisa merubah
Dan takkan bisa berubah

Relakanlah saja ini
Bahwa semua yang terbaik
Terbaik untuk kita semua
Menyerahlah untuk menang
- Ahmad Dhani Dewa

Tuesday, March 27, 2007

Alhamdulillah..siap juga akhirnya





...Sekadar memenuhi permintaan Bayu dan Zwit..maka ditayangkan projek mega bonda dan saya tahun ini- sarung tilam dan bantal untuk si kecil...(bonda yang banyak terlibat sebenarnya..hehe)

Sunday, March 25, 2007

Mukjizat terulung Rasulullah



Siti Fatimah Mukhtar tiba-tiba muncul sebagai pelajar terbaik SPM 2006 mengalahkan Nadiah Amirah Jamil, calon yang dijangkakan terpilih sebagai pelajar terbaik sekaligus memadamkan rekod yang dipegang oleh Nur Amalina Che Bakri. Berita kejayaan pelajar-pelajar SPM sebelum ini bagi saya hanya berita semasa yang hanya "mencuri" perhatian saya untuk seketika. Tetapi berlainan pula dengan kejayaan Siti Fatimah, ada sesuatu yang menarik perhatian saya mengenai rahsia di sebalik kejayaannya adalah tekadnya untuk menghafaz Al-Quran. “Setiap hari saya mengulang kaji pelajaran dan masa selebihnya menghafaz al-Quran. Ibu bapa dan guru sering menasihatkan saya menghafaz al-Quran kerana memudahkan ingatan terhadap pelajaran,” kata pelajar Sekolah Agama Mahaad Muhammadi Perempuan, Siti Fatimah Mukhtar, 17 . Sehingga kini beliau telah menghafaz sebanyak 13 juz Al-Quran. Subhanallah...hebat bukan?

Terlintas di fikiran saya akan didikan bonda yang tidak jemu-jemu menasihati supaya membaca kalam Allah tersebut saban hari. Pesan bonda, Al-Quran itu bukan sahaja pengubat jiwa tetapi penuh hikmah yang tersembuyi. Mengimbau kenangan lalu, semasa zaman persekolahan saya, ustazah dan ustaz juga menggalakkan kami membaca Al-Quran ketika menghadapi peperiksaan besar. Jika tidak berupaya menghafal, cukup sekadar membacanya setiap hari. Sebab apa? Sebab di situ ada ketenangan dan semangat ke atas pembawakan rohani kita. Apabila jiwa dan rohani kita kuat, insyaAllah kita mampu menghadapi apa jua rintangan di hadapan.

Membaca Al-Quran dapat membersihkan hati kita dari segala kotoran kejahatan. Bagaimana hendak membersihkan hati yang kotor? Dalam hal ini, Rasulullah SAW pernah bersabda maksudnya: "Bahawa hati itu berkarat, seperti berkaratnya besi." Lalu orang bertanya, "Wahai Rasulullah, bagaimana membersihkannya?" Jawab Rasulullah: "Membaca al-Quran dan mengingati mati." Membaca al-Quran dijelaskan di sini bagi membersihkan kekotoran di jantung yang di datangkan syaitan mengikut saluran darah. Sabda Rasulullah lagi bermaksud: "Tiadalah antara yang memberi syafaat yang lebih utama kedudukannya pada Allah daripada al-Quran. Tidak nabi, tiada malaikat dan tidak lainnya." Baginda bersabda lagi: "Yang terbaik daripada kamu ialah yang mempelajari
al-Quran dan mengajarkannya".

Sabda Rasulullah: "Jantung Al-Quran adalah surah Yassin. Tidaklah dibaca akan dia oleh seseorang melainkan menghendaki keredaan Allah dan keselamatan pada hari akhirat dan Allah mengampuni dosanya." Ayat terbesar dan digelar raja segala ayat dalam al-Quran ialah ayat Kursi. Hadis Nabi: "Sebesar-besar ayat di kitab Allah ialah ayat Kursi. "Ada satu ayat yang menjadi penghulu daripada segala ayat. "Jika dibaca ayat itu dalam sebuah rumah, sedangkan di dalamnya ada syaitan, maka keluarlah syaitan itu dari rumah itu. "Ayat itu ialah ayat Kursi." (Hadis riwayat Tirmizi). Firman Allah bermaksud: "Tidak akan diseksa hati yang terbendung dalamnya ayat-ayat suci al-Quran pada akhirat nanti."


Memang benar Al-Quran adalah sumber pembersihan hati dan ketenangan jiwa. Apabila hati telah bersih InsyaAllah otak tidak mudah dikuasai oleh akal dan nafsu. Apabila kita dirundung masalah dan ujian Allah yang bertimpa-timpa jangan dikesali. Tingkatkan usaha mendekatiNya dan antaranya adalah dengan membaca Al-Quran. InsyaAllah ilham Allah akan sampai kepada kita. Apa yang terjadi ke atas Siti Fatimah adalah hikmah Allah ke atas dirinya yang berusaha menghafal Al-Quran. Di samping keistimewaan Allah ke atas kecerdikan akalnya. Tetapi sayangnya, orang Islam hari ini banyak yang tidak pandai membaca Al-Quran dengan betul. Apa yang lebih menyedihkan lagi kebanyakkannya masih tidak mengenal huruf walaupun usia sudah dewasa. Hairan bukan? Kita percaya pada Al-Quran sebagai rukun iman tetapi kita tidak beramal dengannya. Bagaimana kita hendak peroleh syafaatnya di akhirat kelak? Oleh itu kawan-kawan, mulakanlah dari sekarang. Didik diri kita, keluarga kita dan orang-orang yang berhampiran dengan kita untuk mencintai Al-Quran. Carilah peluang sementara umur masih bersisa. Jangan malu untuk memulakan sesuatu yang mulia. Janji Allah itu adalah benar. Jangan biarkan usia berlalu tanpa kita merebut peluang untuk mendekatiNya.

=============================================
Nota kaki bangku :
Hairan dengan sikap manusia hari ini yang suka buat benda-benda pelik dengan menanam kitab suci Al-Quran. Mujur ada sebutir permata di kalangan kaca yang berani melarang tindakan tidak masuk akal manusia itu.

"Sekadar berpesan-pesan pada kebenaran dan kesabaran..wallahualam". Entri ini sepatutnya dipublishkan minggu lepas ketika pengumuman keputusan SPM masih hangat diperkatakan. Tetapi disebabkan peristiwa dengan teman Ahad lepas, lansung terlupa hendak publish walaupun draftnya telah tersedia.

Friday, March 23, 2007

Dia datang...


...dengan lenggang lengguknya...pandai pula dia ni merayap dari kotak izinni

Riwayat Ibn Abi Dunya :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya “Tidak ada keberanian yang paling disukai oleh Allah S.W.T selain dari keberanian hamba menahan kemarahan. Tidaklah seorang hamba itu menahan kemarahannya melainkan Allah S.W.T. akan mengisi dadanya dengan keimanan.”

Sakura, saya telah menjawab tag awak ya. Buat masa ini, spider tu la pet kesayangan saya hehe. Alahai..saya terpaksa 'berkejar-kejaran' dengan masa lagi. Bonda telah memberi dateline untuk projek khas kami.

Monday, March 19, 2007

Bicara sepi buat teman

Teman,
Hampir setahun lamanya kita tidak berjumpa,
Ketika kau menyatakan hasrat untuk bertemu dengan ku semalam,
Hatiku berbunga riang,
Pasti banyak kenangan lama yang akan kita coretkan semula.

Teman,
Pertemuan yang dinanti tiba jua,
Indahnya persahabatan kita dapat ku rasakan,
Jarak tidak memisahkan kita,
Kemesraan yang terjalin masih tidak berubah.

Teman,
Hadirmu membawa pengkhabaran,
Kau bakal berhijrah mengikut suamimu ke luar negara,
Kita bakal terpisah lama,
Tiga tahun bakal mencatat sejarah.

Teman,
Ku sangkakan itu sahaja pengkhabaran yang kau bawa,
Rupa-rupanya hadirmu membongkar satu rahsia,
Satu rahsia yang lama kau pendam,
Rahsia yang memusnahkan erti persahabatan,
Rahsia yang mencemari kejujuran dan keikhlasan yang ku hulurkan.

Teman,
Aku terpempan saat kau menceritakan,
Tergamak kau melakukan sedemikian rupa,
Menikam sahabatmu dari belakang,
Aku benar-benar kecewa.

Teman,
Entah mengapa hati ini begitu tegar,
Saat kau menangis memohon maaf,
Tiada sedikit pun kata yang mampu ku lafazkan,
Tiada setitis pun air mata yang mampu ku alirkan.

Teman,
Aku jadi keliru dengan kejujuran yang kau berikan selama ini,
Aku jadi bingung memikir satu demi satu lakonan yang kau tonjolkan,
Aku jadi hampa dengan setiap tindakan yang kau ambil,
Aku jadi kalut dengan warna hitam yang kau palitkan pada warna-warna indah persahabatan kita.

Teman,
Maafkan aku kerana meninggalkanmu sendirian,
Aku terpaksa pergi kerana aku bimbang,
Hati yang tegar akan rapuh di depan mata mu,
Aku tidak izinkan kau menjadi penonton kekalahan ku.

Teman,
Ternyata kau tersilap percaturan,
Aku bukan seperti yang kau sangkakan,
Andai kau berterus terang dahulu,
Aku sedia mengalah dan menerima,
Tidak perlu kau aturkan konspirasi menjadikan aku boneka,
Pasti persahabatan kita menjadi lebih indah.

Teman,
Berilah walau seribu alasan,
Masa tidak dapat diundur,
Apa yang terjadi sudah terjadi,
Kau yang memilih mencoret garisan duka pada persahabatan ini.

Teman,
Maafkan aku,
Aku perlu masa untuk memaafkan,
Aku perlu masa untuk memulihkan kepercayaanku terhadapmu,
Aku sedar sebagai orang Islam aku tidak berhak menghukum,
Apatah lagi untuk berdendam ke atas apa yang kau lakukan,
Kerana aku tahu ada yang Maha Berkuasa,
Yang lebih berhak ke atas segala-segalanya.

Teman,
Terima kasih atas persahabatan yang kau hulurkan,
Terima kasih kerana meletakkan aku di tempat yang “terlalu istimewa”,
Terima kasih kerana mengajar aku bahawa penilaian mata hati tidak semestinya tepat,
Terima kasih kerana berjaya menikamku dalam senyap,
Terima kasih menjadikan aku boneka di pentas lakonan mu.

Teman,
Mungkin juga ada khilafku,
Aku diuji dengan kehadiran mu,
Menghulur kasih sayangku sebagai seorang sahabat,
Pada manusia yang bertopengkan kejujuran dan keikhlasan,
Aku pasrah jika ini adalah ketentuanNya ke atas diriku.

Teman,
Walau apa pun aku tetap bersyukur,
Akhirnya aku temui kebenaran,
Atas pengakuan ikhlas mu,
Walaupun ia sudah menjadi luka parah dalam jiwa ku.

Teman,
Cukuplah aku seorang menjadi mangsa ketidak jujuran mu,
Jangan diulangi lagi perkara yang sama,
Mohonlah keampunan dari Allah Yang Maha Esa,
Insaflah di atas segala kesilapan diri,
Ingatlah jika kita pernah buat orang tidak mustahil orang lain akan buat kita,
Allah itu Maha Adil ke atas umatnya,
Jadilah seorang sahabat yang berpaksi atas landasan kejujuran dan keikhlasan.

Teman,
Walau apa terjadi kau tetap ku anggap sahabat,
Sahabat yang berjaya melakar kenangan pahit dalam hidup ku,
Sahabat yang berjaya mengugat kepercayaanku,
Selamat jalan sahabatku,
Semoga kau tidak mengalami peristiwa pahit dalam persahabatan sepertiku.

Teman,
Sekali lagi maafkan aku,
Coretan duka ini ku lakarkan di sini,
Buat pedoman insan yang membaca,
Agar berhati-berhati dalam menilai erti kejujuran dan keikhlasan dalam sebuah persahabatan,
Agar menjadi seorang sahabat yang tidak mengharap balasan yang setimpal.

Aku tak percaya lagi
Dengan apa yang kau beri
Aku terdampar disini
Tersudut menunggu mati
Aku tak percaya lagi
Akan guna matahari
Yang dulu mampu terangi
Sudut gelap hati ini

Aku pulang…
Tanpa dendam
Ku terima kekalahanku
Aku pulang…
Tanpa dendam
Ku salutkan kemenanganmu

Kau ajarkan aku bahagia
Kau ajarkan aku derita
.....berhenti berharap

Friday, March 16, 2007

Kudrat Si Kecil

“Akak hendak beli surah yassin ni,” tanya si kecil.
“Tak pe dik,” jawab akak pertama sambil menggeleng.

Si kecil beralih pandang ke arah akak yang seorang lagi.

“Akak mau?,” tanya sekecil pada akak yang kedua.
Mata bertemu mata. Ada sinar harapan pada mata si kecil.
“Adik dah makan? " tanya akak tersebut tanpa menjawab soalan si kecil itu.
“Kalau belum mari makan sekali, mau? " akak itu terus bertanya.

Kelu. Pandangan mata bertemu lagi. Akhirnya sekecil menggeleng lalu berlari pergi. Mata akak kedua menyoroti tiap langkah si kecil comel itu.

“Awak jangan berani-berani, dia ada yang memerhati tu,” akak pertama memberitahu seolah-olah memberi peringatan kepada akak kedua.
“Saya bukan buat apa-apa, saya cuma ajak dia makan sekali,” akak kedua menjawab.
“Memanglah, tapi nanti kalau dia makan dia yang kena.”
“Kalau macam tu, nak elakkan dia dari terkena, saya bagilah duit kat dia sekali.”
“Dia tetap terkena. Yelah jualan tak de, alih-alih dapat duit. Dorang pun ada target sales jugak. Lagipun duit tu bukannya dapat kat dia pun.”
“Ooohooo dia pun ada rangkaian network macam buat MLM juga lah ya.”

Ketawa… diam sambil isi perut.

“Awak, awak rasa umur dia berapa” tanya akak kedua kepada akak yang pertama memecah sepi.
“Rasa-rasanya belum pun sampai 7 tahun”
“Kesian kan..kalau tengok wajahnya, wajah orang kita kan. Bukan orang luarkan?”
“A’ahh saya rasa memang orang kita.”

Menung..

Adik,
Di sini bukan tempat mu
Tempatmu di rumah bersama kasih ayah bonda
Bukan di tengah-tengah kota yang penuh pancaroba ini

Adik,
Kesian sungguh nasib dirimu
Di saat kanak-kanak lain sebayamu riang bermain
Kau membelah langit tengah hari
Mencari rezeki tanpa erti segan dan juga silu
Mengharap simpati tetamu yang hadir untuk memenuhi irama perut

Terfikir…
Apakah suatu hari nanti bumi bertuah ini
Akan hilang serinya lantaran jurang sosio ekonomi yang berbeza?
Yang kaya semakin kaya dan semakin senang
Yang miskin semakin miskin dan semakin tertindas

Apakah nanti akan wujud suasana yang sama seperti di Jakarta dan Delhi?
Di mana kudrat si kecil terpaksa diguna pakai demi untuk menagih kehidupan sempurna..

Sayu.


Maha Karya Cinta



Kau bagaikan udara
Yang membantu aku
Untuk terus hidup di atas dunia
Tanpamu ku lemah
Pasti aku tak berdaya
Kerna Kau Maha Karya Cinta


Pesan seorang sahabat, "Apabila seseorang diamanahkan dengan sesuatu tanggungjawab dunia maka bersiap sedialah kerana orang itu sedang diuji sejauh mana kekuatannya mengimbangkan masa untuk keperluan dunia dan akhirat."

Duhai hati, jangan kau cuba palingkan aku dari mengingati DIA ketika masa amat menyesakkan pemikiranku.

Monday, March 12, 2007

Kerana Aku Seorang Perempuan

Ini dia projek saya sempena cuti malas 2 hari...


Jaja, sepupu rapat saya bakal melahirkan cahayamata sulungnya InsyaAllah bulan Mei akan datang. Sudah menjadi kewajipan mak setiap kali kelahiran cucunya pasti sibuk menyiapkan sarung tilam dan bantal si kecil dengan sentuhan seni sulaman tangannya. Dan saya pastinya akan menolong mana yang patut walaupun tahap kecekapan menyulam masih berada di "bawah paras laut" berbanding dengan mak.


Memandangkan Jaja sudah kematian ibu semenjak berada di tingkatan tiga, mak merasa simpati lansung ingin menghadiahkan Jaja seni sulaman tangannya sebagai tribute kepada Allahyarhamah Mak Lang saya. Dan sekali lagi saya tidak terkecuali terlibat dalam projek khas ini.Walaupun mak hanya mengamanahkan saya tugasan yang sedikit untuk disulam (sebab mak tahu tahap kecekapan saya masih belum dipercayai sepenuhnya hehe), saya tetap berpuas hati kerana dapat menghadiahkan sesuatu yang istimewa untuk sepupu merangkap sahabat akrab saya.


Dan gambar yang ini pula adalah antara projek sulaman saya di awal penglibatan saya dalam seni sulaman. Kalau anda hendak tahu, sulaman kusyen di atas saya ambil masa 2 tahun untuk menyiapkannya. Itupun ketika saya terlontar jauh di pantai timur. Kalau saya berada di Kuala Lumpur entah berapa tahun la agaknya masa yang diambil untuk menyiapkannya.

Ada sesiapa berminat untuk memilikinya? Silalah buat tempahan sekarang jika anda mahu menggunakannya di tahun 2009 hehehe

Terkenang

Terlakar sudah sejarah diri,
Terubat sudah rindu yang mencengkam,
Kini yang hadir bukan lagi mimpi,
Tetapi harapan masa depan yang gemilang.

Selamat pulang ke tanah air Andai Kau Menjadi Aku..kau akan mengerti. Tahniah atas pengorbanan dalam menyusuri lautan ilmu..

Renung diri sendiri mencari-cari kekuatan.

Saturday, March 10, 2007

Virus tag lagi...

Saya di'serang' balas oleh Indah Sakura lantaran tag pelik yang saya kenakan ke atasnya dahulu...hehe macam-macam jenis virus tag ini rupanya. Kali ini tag untuk tengok dekstop pula. Sebenarnya desktop wallpaper saya penuh dengan wajah-wajah kesayangan saya. Memandangkan wajah-wajah itu adalah sumber inspirasi dan kekuatan saya..makanya saya tidak rela ia dijadikan bahan kongsi di Iman Mawaddah. Namun begitu sebagai menghargai persahabatan maya saya dengan Sakura, saya tampilkan desktop wallpaper saya dengan sebuah wajah yang pernah membuat saya tertawa tatkala saya menerimanya daripada seorang sahabat. Wajah ini pernah saya jadikan wallpaper suatu ketika dahulu.


Resolution : 1024 by 768 pixel (right clik/properties/setting)
Laptop, LCD or CRT monitor : PC & LCD monitor
Been using this desktop since : since 12.10 am (10/3/2007)
Kaedah (untuk sesiapa yang tidak tahu) :
Hit “Print Scrn” button (sblh F12) > paste di paint/adobe photoshop..:)


Sebagai meneruskan virus ini supaya merebak ke seluruh kotak-kotak..saya ingin sekali melihat desktop:

1) Khairyn - pencinta German Muslim Caucasian.
2) Indera Kencana - kumpulan tidak boleh makan ikan tapah.
3) Zwit - yang mencari keseimbangan.
4) Izinni - akak ikan keli pemantau keyboard terbakar.
5) 13 May - penyumbang terbesar asap naga.
6) Bayu Senja - yang sedang berusaha mendelete memori silam bersama si dia.
7) Hakim Dirani - sahabat Bayu Senja.
8) Achik - yang terhutang cheese cake dengan saya :)
9) Black Purple - jawo pinter yang menanti Rosnah Mat Aris menjawab tag peliknya.
10) Bunga Rampai - harumnya bisa mengertak bapak polisi.
11) Lindosh- yang runsing dengan permukaan bulan.
12) Purple Heart - moga diberikan ketenangan hati dan fikiran.
13) Hani Sumayyah - seorang ibu yang kuat semangat.
14) Inilah saya - seseorang yang baru menerima orang baru dalam keluarganya.
15) Jerangkung - tetamu baru Iman Mawaddah.

Ramainya??? Biarlah sesekali mengetag orang apa salahnyakan sementelah semua nama di atas ini belum lagi di tag oleh sesiapa :)

Wednesday, March 07, 2007

Renung-renungkan

Subhanallah
Alhamdulillah
Allahuakhbar

Pernah suatu ketika Sayidatina Fatimah yang amat keletihan keperitan hidupnya mengadu kepada Rasulullah SAW. Betapa dirinya teruk bekerja, mengisar tepung, mengangkat air, memasak serta melayan anak-anak. Dia berharap agar Rasulullah dapat menyampaikan kepada Sayidina Ali, kalau mungkin boleh disediakan untuknya seorang pembantu rumah. Rasulullah SAW merasa belas terhadap penanggungan anakandanya itu. Namun baginda amat tahu, sesungguhnya Allah memang menghendaki kesusahan bagi hamba-Nya sewaktu di dunia untuk membeli kesenangan di akhirat. Mereka yang rela bersusah payah dengan ujian di dunia demi mengharapkan keredhaan-Nya, mereka inilah yang mendapat tempat di sisi-Nya. Lalu dipujuknya Fatimah r.ha sambil memberikan harapan dengan janji-janji Allah. Baginda mengajarkan zikir, tahmid dan takbir yang apabila diamalkan, segala penanggungan dan bebanan hidup akan terasa ringan.

Saya sedang bermarathon dengan masa menyiapkan tugasan-tugasan saya. Mujur ada yang sudi memberi pinjam keyboardnya kepada saya menggantikan keyboard saya yang "terbakar" dan juga buat yang sudi menunjukkan butang "new post" pada saya..hehe..hanya saya dan mereka itu yang memahami. Pa'chik terima kasih mp3 tu..kalau ada yang best lagi jangan lupa attachkan sekali.

Wanita

Wajah selembut bayu
Lenggang dan lenggokmu
Keperibadian wanita
Ayu

Di dalam keayuan
Ada kekuatan
Engkaulah racun
Kau penawar
Insan

Bagai dermaga di pelabuhan
Diri gagah sendirian
Hadapi gelora kehidupan
Kau memberi
Menerima
Menempuhi segala dengan rela

Tapi ada masanya
Engkau api panas membakar
Ada ketikanya
Kau penawar bisa
Kaum wanita ciptaan istemewa

Suka duka berganti
Rahsia tersembunyi di hati
Tabahnya hatimu
Beriman berilmu
Wanita sumber ilham selalu

Wanita...
Engkau bulan, engkau juga suria
Wanita
Kerana keistimewaanmu
Terpikul segala amanah di bahumu..Selamat Hari Wanita


Hanya Suatu Kebetulan...

Saturday, March 03, 2007

Keluh si hati kecil

Malam tadi saya pulang lewat. Jarum jam sudah menginjak ke pukul 1.00 pagi. Orang lain sedang enak dibuai mimpi.. dan saya baru sahaja pulang ke rumah dengan pakaian kerja yang seharian tidak tukar-tukar. Saya tahu mak dan abah pasti risau kerana saya tidak pernah pulang selewat ini. Ya Allah.. saya sangat menyesal tatkala melihat wajah-wajah kesayangan saya tidak tidur menanti kepulangan saya.

Mengapalah kali ini saya terpedaya dengan ajakan kawan. Selalunya saya berupaya mengelak. Tapi kali ini saya gagal...gagal untuk mengelak...gagal dengan kata-kata manis seorang kawan. Benarlah kata orang, sekuat mana hati kita, syaitan pasti akan membisikkan. Anda..jangan salah faham. Saya tidak melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan agama. Saya hanya terpedaya dengan plan pemasaran sebuah jualan lansung.

Asalnya saya sudah menolak terang-terangan. Tetapi dua orang kawan mengajak saya. Lantaran sedikit teruja untuk melihat seorang jutawan berjaya menjalankan strategi jualan lansungnya, akhirnya saya mengalah. Hebat memang hebat. Dalam masa setahun pendapatan bulanan sudah mencapai puluhan ribu sebulan. Dan dalam masa empat tahun pendapatan bulanannya sudah mencecah ratusan ribu sebulan. Kereta mewah sudah banyak yang dimenanginya. Memang amat mengagumkan melihat seorang wanita beragama Islam gah berucap sebagai seorang jutawan.

Jam sudah menunjukkan pukul 11.30 malam. Saya sudah gelisah. Akhirnya bagai terpukau saya dihampiri untuk menjadi ahli. Puas memujuk..akhirnya saya bersetuju. Setelah dipujuk menjadi ahli, saya dipujuk secara halus untuk membeli produk keluaran syarikat tersebut. Lebih menyakitkan, rantai tangan pemberian emak yang sudah lama tidak saya tanggalkan di"pujuk" untuk di tolak dan diganti dengan pembelian barang-barang syarikat tersebut. Mujur saya berkeras. Sempat saya meninggikan suara menentang perbuatan mereka. Tapi entah macam mana..akhirnya saya terpedaya juga dengan menghulurkan kad kredit yang jarang saya gunakan.

Apa yang saya buat ini. Entahlah..keluh si hati kecil. Saya akui memang saya mengagumi wanita-wanita yang berjaya mencapai pendapatan bulanan puluhan ribu dan ratusan ribu. Juga mampu memiliki kereta-kereta mewah hasil pendapatan mereka. Tetapi saya bukan jenis itu..tahap materialistik saya tidak sampai ke situ. Saya tidak impikan pendapatan sebegitu banyak kerana saya tahu ada harga yang perlu dibayar untuk memiliki pendapatan segitu rupa. Dalam Al-Quran dan Al-Hadith telah menyatakan, orang yang kaya adalah orang yang paling lambat masuk ke syurga kerana mereka perlu dihisab satu persatu dari mana sumber kekayaan yang mereka miliki dan ke mana aliran harta yang mereka miliki seperti sahabat nabi Abdul Rahman bin Auf dan juga Nabi Allah Sulaiman (maaf jika saya tersilap fakta, adik-adik saya di Damsyik jika silap betulkan saya).

Memang tidak dinafikan, dunia hari ini semuanya memerlukan wang untuk meneruskan kehidupan. Lebih-lebih lagi di Kuala Lumpur ini. Dengan kos sara hidup yang serba meningkat pasti amat menyeksakan golongan-golongan tertentu. Memang benar apabila ada wang urusan pembelian kereta, rumah dan lain-lain asset mudah dilakukan tanpa memeningkan kepala.Tetapi bagi saya kebahagiaan seseorang insan itu tidak bergantung kepada banyak atau sedikitnya wang yang mereka miliki. Kebahagiaan itu datangnya dari hati. Jika kita meletakkan Allah di dalam hati pasti kebahagiaan itu kita miliki tidak kira kita seorang yang miskin atau pun kaya. Saya sangat-sangat tidak setuju apabila jutawan itu mengatakan apabila ada wang maka hidup pun aman damai. Ibaratnya wang adalah punca ketenangan hati. Si dia menyatakan yang dia tidak pernah bergaduh dengan suaminya sejak bergelar jutawan. Boleh percaya ke? Ibarat kata pak ramlee sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula suami isteri. Bahagiakah sang suami dan anak-anak apabila si isteri sibuk menguruskan perniagaan yang bukan sahaja tertumpu di Kuala Lumpur malahan di serata pelosok negeri juga di Brunei dan Singapura? Ah..tidak..semua ini karut...keluh si hati kecil lagi. Tertunaikah tanggungjawab seorang isteri dan seorang ibu apabila hampir setiap malam sibuk melatih downliner hingga hampir larut malam? Maniskah seorang wanita yang belum berkahwin bekerja dan ke hulu hilir menghantar dan mengambil kumpulan sasaran hingga larut malam? Itu belum ditambah dengan aktiviti syarikat di setiap hujung minggu...ah karut!

Lagi satu perkara saya tidak puas hati...Sesungguhnya manusia hari ini menjadi terlampau materialistik! Sanggup mengejar kekayaan tanpa mengambil kira asal usul sumber kekayaan atau pekerjaan yang diperolehi. Malam tadi, setelah mendaftar sebagai ahli, baru saya terperasan yang pengarahnya adalah seorang yang berbangsa lain dari melayu. Ah!..saya terperangkap!..keluh si hati kecil. Saya kurang senang apabila melihat bangsa sendiri yang beragama Islam bersungguh-sungguh memperjuangkan sebuah syarikat milik bangsa lain yang bukan beragama Islam. Selama ini saya cukup berhati-hati dengan ajakan rayuan seumpama ini samada yang nyata atau yang tidak nyata seperti swiss cash, abb fund dan em-pay. Tapi kali ini saya benar-benar terkena. Duit dan kekayaan bagi saya adalah ujian Allah pada seseorang. Berhati-hatilah bila melibatkan diri dengan perkara-perkara yang berkaitan pendapatan. Bukan mudah untuk menguruskan dan jangan biarkan darah yang mengalir di tubuh anda dan keluarga anda terjebak dengan unsur-unsur yang diragui. Lagipun perniagaan seumpama ini bukan mudah untuk dijaga kerana saya sendiri pernah mengikuti kisah kegemilangan seseorang. Namun akibat tersilap langkah, duit hilang entah ke mana, keluarga berpecah entah ke mana dan diri akhirnya tinggal sebatang kara.

Untuk pengetahuan (sekali lagi saya mohon jika tersilap fakta betulkan saya), di dalam Islam ada empat tahap kepengunaan
1. Daruriyyat - keperluan asas seperti makanan, tempat tinggal dan pakaian
2. Hajjiat - keperluan yang melengkapi keperluaan asas contohnya kereta untuk memudahkan bergerak dari satu ke tempat ke tempat lain
3. Kamaliat - keperluan yang lebih baik dari hajjiat contohnya jika sebelum ini pakai kereta Perodua Kancil kini pakai kereta Toyota Vios.
4. Tarafiyyat - Barangan yang melampaui batas umpamanya gelas dari emas.

Tahap tarafiyyat adalah haram dalam Islam. Apabila seseorang Islam itu sampai ke tahap Kamaliat, maka berhati-hatilah kerana ujian demi ujian akan datang ke atas anda. Ujian yang paling hebat adalah perasaan riak dalam diri seseorang itu.

Tidak salah untuk menjalankan sebuah perniagaan..tetapi pastikan sumbernya halal dan tidak terlibat dengan sebarang unsur yang mencurigakan. Sirah telah membuktikan bahawasanya Saiditina Khadijah juga seorang peniagawati yang hebat. Tidak salah untuk menjadi mata duitan. Tetapi berpada-padalah kerana pada saya apa gunanya berpendapatan puluhan ribu dan ratusan ribu jika hubungan dengan DIA semakin berkurangan.. Apa guna menjadi jutawan jika sinar kebahagiaan sebenar tidak terpancar di sebuah wajah mulus sekalipun ianya dihiasi indah dengan lapisan warna-warna pelangi bergemelapan. Yang kita kejar adalah akhirat sana yang kekal abadi. Islam tidak menggalakkan kekayaan yang melampau. Islam itu serba sederhana merangkumi kejayaan seluruh ummah.

Maafkan saya andai ada yang terasa dengan bicara tanpa suara dalam rentak irama yang agak keras ini. Bukan kerana saya ingin menunjuk pandai tapi kerana kekesalan yang terdetik di hati kecil. Kesal kerana termakan pujukan kawan dan kesal membiarkan wajah-wajah kesayangan saya menanti penuh kerisauan. Saya juga manusia biasa yang mudah tersilap dan sentiasa dalam proses membetulkan kesilapan. Kebahagiaan, kekayaan dan ketenangan adalah terletak pada jiwa dan rohani yang bersih bukan pada kekayaan duniawi…itu yang saya cuba kejar sebenarnya..ah hati kecil ini mengeluh lagi…