Tuesday, November 28, 2006

Amplang

Sepanjang hari ini masa di pejabat seakan2 terlampau terhad untuk saya. Belum cukup dengan urusan sendiri. Saya ditimpa dengan urusan yang bukannya termasuk dalam tugasan saya. Rimas juga dibuatnya. Tetapi atas rasa tanggungjawab dan belas ikhsan saya terpaksa membantu untuk kebaikan bersama. Sampai tiada kesempatan untuk menjengah dari blog ke blog seperti biasa yang saya lakukan setiap kali waktu rehat tengah hari.

Salah satu urusan tersebut melibatkan cawangan di Sabah. Menjelang lewat petang baru lah urusan tersebut selesai. Ucapan terima kasih tidak terhingga saya terima dari rakan setugas di Sabah. Dapat saya bayangkan betapa leganya hati dia setelah urusan yang merunsingkan itu dapat di selesaikan hanya dengan perbincangan secara online. Begitu hebatnya teknologi melampaui sempadan.

Sebagai tanda terima kasih, dia berjanji untuk belanja saya Amplang. Pening juga kepala saya memikirkan. .apa benda lah Amplang ni. Sempat saya bergurau yang dia hendak rasuah saya. Katanya dia ikhlas nak belanja walaupun saya beria2 untuk membayarnya. Menurutnya lagi, amplang adalah sejenis keropok yang diperbuat daripada ikan tenggiri..dia samakan amplang dengan keropok lekor di Kelantan. Saya terfikir, kalau keropok lekor tahan ke pos dari Sabah ke Semenanjung. Tapi dia bagi jaminan yang keropok tu tahan dan selamat sampai ke tangan saya. Ntahlah macam mana rupa dan rasa amplang tu..tak terbayang oleh saya..kita tunggu dan lihat sahaja.

Sedang dia gembira..hati mengeluh perlahan..tugasku masih terhutang hari ni. Rasa hendak lari dari kenyataan tapi hendak ke mana..tiada arah tujuan..teringat pesan mak..buat baik ..Insyallah akan dibalas baik. Dalam diam saya bersyukur..sekurang2nya ukhuwah terjalin dalam saat saya sendiri kerunsingan..dan amplang menjadi penghubung sebuah kisah persahabatan tanpa batasan.

Saturday, November 25, 2006

Di Sebalik tabir Iman Mawaddah

Saya telah di tag oleh dua orang antara beberapa orang yang saya respect dalam dunia blog. Mulanya saya malas hendak ambil pusing. Rasanya macam back to school la pula..ibarat mengisi biodata dalam buku autograph kawan2 di zaman sekolah rendah dan menengah dahulu. Tapi bila difikir2kan, apa salahnya sekadar suka2 menceriakan ukhuwah. Untuk sahabat bernama Indera dan AKMA, ini adalah pengakuan ikhlas saya sebagai penghargaan terhadap persahabatan maya kita.

5 Benda atau Perkara yang saya lakukan jika saya seorang jutawan

  1. Bayar semua hutang piutang dan zakat
  2. Beli tanah dan bina kawasan itu macam Ar-Raudhah dalam filem Syukur 21. Semua ahli keluarga duduk bersama di kawasan tersebut.
  3. Buat R&D tentang produk2 Islam (tangible & intangible) dan pasarkan di dalam dan luar negara.
  4. Bina yayasan Mawaddah untuk membantu mereka yang memerlukan.
  5. Bina sebuah Maahad untuk melahirkan ilmuwan Islam dan generasi celik agama.

5 Tabiat buruk

  1. Suka menyakat anak2 buah.
  2. Mudah terlupa kalau banyak sangat arahan dalam satu masa.
  3. Otak jadi blur bila terlampau banyak memikir. Orang buat lawak pun saya buat dek je..hehe
  4. Automatik sakit perut bila terima berita kecemasan seperti kematian dan kemalangan.
  5. Suka membaca majalah atau buku sambil baring.

5 Perkara yang saya benci melakukannya
  1. Kerja lebih masa samada lepas waktu pejabat ataupun di hujung minggu. (Alhamdulillah buat masa ini tidak lagi.. sejak tukar department).
  2. Terpaksa ambil alih tugas orang lain yang ditinggalkan tidak sempurna.
  3. Panjat bukit dan gunung.
  4. Menunggu orang yang tidak menepati janji.
  5. Menghadiri meeting yang tidak capai matlamat dan lari dari matlamat asal.

5 Perkara yang tidak akan saya lakukan

  1. Menyekutukan Allah-mudah2an Allah tidak palingkan hati saya ke arah lain.
  2. Melakukan dosa2 besar-membunuh, merompak dan yang sewaktu dengannya.
  3. Hisap rokok
  4. Masuk disco
  5. Menukar jantina (hentam je la..dah tak idea sebenarnya ni hehe)

5 Perkara yang saya menyesal lakukan

  1. Menyakiti hati mak, abah dan orang yang mengenali saya.
  2. Tengok wayang tak ingat dunia akibat tension belajar dan pengaruh kawan semasa dalam pengajian.
  3. Memakai "bandana" (sapu tangan kecil ikat kepala) gara2 membuat persembahan di kolej kediaman. Itu majlis tertutup untuk siswi tapi entah macam mana ada sebilangan kecil jantina lain yang join sama.
  4. Tidak pulang dari asrama selepas mak meminta saya balik untuk jenguk opah yang sakit dan demam tidak baik2. Saya tidak mahu balik sebab sehari sahaja dan Isninnya saya ada periksa. Esoknya saya menerima berita kematian opah. Ketika itu saya berada dalam tingkatan 5.
  5. Lari bila takut tengok atuk mengigil2 hendak mengusap rambut dan bergurau dengan saya. Arwah atuk parkinson akibat kemalangan sebenarnya. Dan saya ketika itu hanya kanak2 kecil berumur 4 tahun. Kalau la saya berfikiran dewasa ketika itu..pasti saya dapat rasakan kasih sayang atuk kan..

5 Permata Hati Saya

  1. Mak
  2. Abah
  3. Adik beradik2
  4. Anak2 buah
  5. Semua yang mengenali saya in person samada di dunia realiti ataupun dunia maya.

5 Tempat yang saya sukai

  1. Masjidil Haram terutamanya di depan Multazam
  2. Masjidil Nabawi
  3. Rumah saya
  4. Bilik saya
  5. Suasana damai kampung kelahiran mak dan abah

5 Saat yang penuh bermakna

  1. Saat kelahiran saya ke dunia, dikurniakan mak dan abah yang cukup kental dan tabah dalam membentuk peribadi saya dan adik beradik dengan penuh kasih sayang.
  2. Mengerjakan haji bersama mak dan abah ketika berumur 12 tahun.
  3. 2 tahun kemudian, mengerjakan umrah bersama keluarga tercinta dan arwah opah.
  4. Hari konvokesyen
  5. Bercuti dan menghabiskan masa terluang bersama keluarga.

5 Benda/Perkara yang saya sukai

  1. Mawaddah dalam keluarga saya
  2. Masakan mak
  3. Seni sulaman
  4. Kanak2 comel yang keletah
  5. Kasut/Sandals Scholl, Clarks dan Hush Puppies.

5 Perkara tentang diri saya (sesi masuk lif rosak..tekan2 button lif tidak mau naik juga)

  1. Nampak pendiam dan serius jika tidak kenal. Tapi sebaliknya tidak begitu.
  2. Prihatin dan suka menegur untuk kebaikan bersama.
  3. Sensitif bertempat.
  4. Penyayang.
  5. Kelakar bertempat.

5 Orang yang paling saya sukai di dalam Blog

Saya tidak pandai memilih dan meletakkan rating untuk seni karya dalam dunia blog. Kerana saya membaca blog ikut mood saya ketika saya membaca. Kalau mood dan otak perlukan muhasabah diri, saya cari blog yang mempunyai info tentang Islam, puisi Islam..jika perlukan bacaan yang lebih ringan dan santai saya cari dan baca blog yang karyanya lebih ringan..jika perlukan bacaan tentang pengalaman hidup saya cari blog yang menceritakan pahit getir seseorang bertarung dalam kehidupan..macam tu lah seterusnya. Pendek katanya..saya suka dan enjoy baca semua blog.

5 orang yang saya pilih untuk menyambung tag ini

  1. Sunan Jati yang pernah mengebom saya akibat teguran saya
  2. 13 May- musuh @ sahabat baik Sunan Jati
  3. Kak rafflesia merah-seorang kakak yang sedang meniti kebahagian di alam pertunangan
  4. Kak Luna yang suka berinai
  5. Achik yang tidak habis2 beraya dari blog ke blog sampai terlupa nak update blog sendiri.

AKMA,

Untuk pengetahuan AKMA, saya telah "mengenali" AKMA hampir setahun lamanya..tapi sekarang baru meninggalkan jejak di AKMA. Perkenalan bermula dari Bluehikari dan Tipah vogue.

Indera,

Terima kasih, blog Indera banyak memberi ruang kepada saya mengetahui suasana tempat kelahiran datuk saya. Sebenarnya kampung saya di seberang kampung Indera sebab arwah atuk berkahwin dengan opah dan berpindah ke seberang Sungai Perak.


Thursday, November 23, 2006

Dekatnya Tamar Dengan Kita

Tamar menurut kajian sains merupakan buah yang khasiat dan kandungan gulanya cepat meresap ke dalam tubuh. Kita selalu mendengar kisah2 Rasulullah s.a.w. dengan pohon tamar. Nyata pohon tamar punya sejarah yang cukup unik dan masih ramai tidak mengetahuinya. Syukur dengan berkat mengunjungi Makkah dan Madinah untuk mengerjakan umrah semasa pengambaran Drama Cinta Madinah yang bakal disiarkan ceritanya pada saluran RTM bulan ini, saya dan semua krew dan artis memperolehi satu lagi cerita istimewa asal-usul kejadian pokok tamar dari Tuan Haji Isa Darus atau Pak Long (Kisah Pak Long Isa pernah tersiar dalam Anis Julai lalu).

Menurut cerita Pak Long , asal-usul kejadian pokok tamar adalah dari lebihan tanah yang Allah S.W.T. ciptakan Nabi Adam a.s. Pokok tamar betina tumbuh pada zaman Siti Maryam. Selepas Maryam melahirkan anaknya Nabi Isa a.s., Siti Maryam telah diminta oleh Allah s.w.t untuk menggoncangkan pohon tamar yang terdapat di tempat dia melahirkan anaknya lalu gugurlah buah tamar masak dan di makan oleh Siti Maryam. Itulah sejarah yang pertama tamar menjadi ubat berkhasiat kepada manusia. Siti Maryam dapat mengalas perut untuk mengumpul tenaga selepas selamat bersalin hanya dengan makan tamar, tanpa tumbuhan herba yang lain.

Ditakdirkan Allah s.w.t. dengan kelahiran Nabi Isa a.s. itu juga, Allah s.w.t. telah tumbuhkan pokok tamar jantan di sebelah pokok tamar betina. Dan untuk tujuan mendapat hasil buah tamar yang elok ia juga harus dilakukan menerusi kaedah 'kahwin bunga' (melakukan proses pendebungaan betina dengan debu bunga jantan). Untuk mengenali perbezaan di antara tamar jantan dengan tamar betina, tamar jantan lebih tinggi pohonnya, berdaun keras menjulang ke langit. Pokok tamar betina rendah sedikit dan daunnya melintuk ke bawah. Pada bulan Februari pohon tamar jantan berbunga setahun sekali sama dengan tamar betina . Bezanya bunga jantan ia mengeluarkan debu-debu halus. Pada bulan ini ketika tamar betina mengeluarkan bunga, petugas (terdiri dari mereka yang berbangsa Arab) akan memanjat pokok tamar betina dan dijalankan proses kahwin bunga, ditepuk-tepuk,disapu dua tiga ranting bunga jantan kepada setandan bunga betina yang terkembang dari tandannya. Ternyata untuk menghasilkan buah tamar yang elok berkualiti, ia mesti 'disenyawakan' oleh tangan manusia, tidak boleh melalui binatang atau diterbangkan oleh angin. Pokok tamar tidak akan berbuah dengan sempurna jika tidak dicantum oleh tangan manusia. Buah tamar tidak akan masak jika suhu kurang dari 55oC.

Bulan Julai adalah musim tamar masak ranum manakala bulan ogos adalah musim menuai. Menurut Pak Long Haji Isa, bagi sebuah kebun memadai ada beberapa batang sahaja pokok tamar jantan berbanding dengan ratusan pokok tamar betina, kerana debunga pada satu dahan pohon tamar jantan boleh digunakan untuk proses pendebungaan dengan ratusan tandan pada pokok tamar betina . Debu yang perlu digunakan pada setiap pokok terlalu sedikit. Bunga jantan ini juga boleh disimpan di tempat yang kering untuk kegunaan berulang-ulang kali selagi debunganya masih ada. "Allah s.w.t. jadikan buah tamar cukup istimewa. Cuba perhatikan sepanjang ia berada di atas pokok tidak ada seekor binatang atau burung yang mematuk atau merosakkannya. Ini kerana buah tidak berbau. Allah s.w.t pelihara dan memuliakannya. Ia mesti disenyawakan oleh tangan manusia.

Di Madinah hanya bangsa Arab sahaja yang sanggup panjat dan turun naik ke atas pokok tamar untuk lakukan kerja pencantuman ini. Bangsa lain tak mampu, tenaga tak sekuat bangsa ni." jelas Pak Long. Pokok Tamar ayah saudara kita.... Mula-mula kami juga bingung kenapa keunikan ini berlaku pada buah yang istimewa ini, lalu Mak Long Normah Morad, isteri Hj Isa Darus beri kami sentuh debu jantan, "Gosok pada tangan dan cium," katanya. "Masya-Allah bau air mani," kata kami tergamam. "Ya, memang bau air mani, bau ini bukan semua makhluk suka. Pokok tamar kalau mahukan buahnya elok, ia mesti disenyawakaan oleh tangan manusia, sebab pokok ini Allah s.w.t. jadikan dari lebihan tanah kejadian Nabi Adam a.s." "Ringkasnya, dia umpama pak menakan(ayah saudara) kita. Sebab itu kita tak boleh pandang remeh padanya.

Rasulullah s.a.w. dan Nabi-Nabi lain sangat sayang padanya. Sebab itu dikatakan sebaik-baik buah yang serasi dengan badan kita adalah buah tamar kerana ia sebahagian dari kita. Jadi setiap kali menjamah tamar ingat-ingatlah asal kejadiannya. Buah ini tidak berbau kerana Allah s.w.t. nak pelihara kesuciannya di samping mudah untuk kita menguruskannya dengan kelebihan cuaca yang panas kering. Penjual tak risau lalat atau semut kerana bumi barakah ini."Ujar Pak Long dengan senyum lebar.

Petikan artikel dari Majalah Anis keluaran Oktober 2005.


Kisah mengenai buah tamar ini saya terima daripada seorang kawan lama melalui email. Informasi yang sangat menarik yang saya sendiri baru mengetahui mengenainya. Lansung saya bercadang untuk berkongsi info ini di sini pada bulan puasa yang lepas. Tetapi kerana dek kesibukan kerja yang menuntut saya mengejar waktu yang sangat singkat ketika bulan puasa..saya terlupa akan email ini. Baru sekarang saya terjumpa. Selamat membaca..semoga beroleh manfaat daripadanya.

"Musim haji telah pun tiba..selamat mengerjakan ibadah haji buat muslimin dan muslimat yang terpilih menjadi tetamu Allah pada kali ini. Semoga mendapat haji yang mabrur..."

Monday, November 20, 2006

Ada Apa Pada Nama?

Hari Jumaat yang lepas, semasa dalam perjalanan ke kedai buku saya terperangkap dalam sekumpulan remaja. Saya percaya kumpulan remaja terbabit adalah pelajar IPTS yang berdekatan. Tiga orang daripada mereka menghalang laluan saya dengan jalan ala Mak Limah lenggangnya. Dua orang lagi adalah remaja lelaki berjalan di belakang saya. Bersuara seorang remaja lelaki yang berada di belakang saya "Rab..Rab..ishh tak dengar pula dia ni". Saya dapat mengagak dia memanggil salah seorang remaja perempuan yang menghalang laluan saya. "Rabiatul Adawiyah!", jerit remaja lelaki itu dengan sekuat hatinya. Sehingga saya yang berada di depannya pun agak terkejut dengan jeritannya. Maka menolehlah si gadis manis berambut perang, bersubang di hidung, berbaju pendek dan berjeans ketat itu.
"Apa? " soalnya kepada remaja lelaki yang memanggilnya.
"Kau halang jalan akak ni la," sambung remaja lelaki itu.
Gadis itu tersenyum lantas memberi laluan kepada saya. Saya membalas senyumannya dan menoleh senyum ke remaja lelaki itu sebagai tanda terima kasih.

Sambil meneruskan langkah, tergiang2 di fikiran saya korus nasyid nyanyian kumpulan In-team..

Rabiatul Adawiyah
Serikandi yang tercipta
Sungguh agung pengabdianmu
Kau berjaya menjadi ikhtibar


Masyallah sedapnya namamu dik. Tapi sayang nama yang indah tidak seiring dengan perwatakan yang dibawa.
Kenangan lalu mengimbau ingatan saya ketika berada di Tingkatan 2. Waktu itu saya pernah bercita2 menukar nama pemberian abah. Sebabnya saya merasakan nama saya tidak membawa apa2 maksud. Berbanding adik beradik saya yang lain semuanya mempunyai nama yang sedap dan mempunyai maksud. Ketika itu saya amat yakin nama yang baik akan mengundang kepada pebawakan diri yang baik. Semangat untuk menukar nama semakin berkobar2 apabila melihat kawan baik saya dan adiknya menukar nama mereka. Saya utarakan niat saya pada abah dan mak. Abah memang nampak terkejut kerana dalam umur awal remaja saya sudah berani menuntut hak ke atas diri saya. Permintaan saya dibiarkan berlalu walaupun saya sering kali mendesak.

Akhirnya mak mencadangkan supaya nama saya sekarang ditambah Fatimah di belakangnya. Saya tidak berapa setuju dengan cadangan tersebut. Saya lebih gemar nama cadangan mak ketika saya dilahirkan iaitu nama panggilan saya sekarang kemudian diikuti dengan nama salah seorang ibu susuan Nabi Muhammad. Mak hanya diam dan saya masih dengan kemaruk saya untuk menukar nama.

Keadaan hanya menjadi reda apabila saya melihat betapa susahnya kawan saya hendak menukar nama. Pelbagai prosedur yang dia dan adiknya kena ikuti. Lansung saya membatalkan niat saya. Kepada mak dan abah saya pohon maaf. Saya redha nama pemberian abah. Kerana saya percaya pada Qada' dan Qadar' yang semuanya telah tertulis untuk saya. Tersenyum abah mendengar maaf saya dan dengan lembut dia menerangkan kenapa saya menjadi pemilik "nama" tersebut. Aku tersenyum mendengar penjelasan abah. Mak sempat menitipkan nasihat bahawasanya, memberi nama anak yang baik2 sememangnya menjadi kewajipan kedua ibu bapa. Ibu bapa mana yang tidak inginkan yang terbaik untuk anak2nya. Tetapi mendidik dan membentuk anak acuan agama adalah tanggungjawab yang lebih utama. Tiada guna mempunyai nama yang baik2 seandainya perwatakan tidak semulia nama yang dijunjung.Semuanya itu bergantung pada iman kita.

Sejauh mana kebenarannya...cermin diri dan nilai dengan akal fikiran yang waras..wallahualam

Thursday, November 16, 2006

Sinar Cahaya Ayat Kursi

اللَّهُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّومُ لاَ تَأْخُذُهُ سِنَةٌ وَلاَ نَوْمٌ لَهُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الأَرْضِ مَنْ ذَا الَّذِي يَشْفَعُ عِنْدَهُ إِلاَّ بِإِذْنِهِ يَعْلَمُ مَا بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَمَا خَلْفَهُمْ وَلاَ يُحِيطُونَ بِشَيْءٍ مِنْ عِلْمِهِ إِلاَّ بِمَا شَاءَ وَسِعَ كُرْسِيُّهُ السَّمَاو ;َاتِ وَالأَرْضَ وَلاَ يَئُودُهُ حِفْظُهُمَا وَهُوَ الْعَلِيُّ الْعَظِيمُ

Allahu la ilaha illa Huwa, Al-Haiyul-Qaiyum La ta'khudhuhu sinatun wa la nawm, lahu ma fis-samawati wa ma fil-'ard Man dhal-ladhi yashfa'u 'indahu illa bi-idhnihi Ya'lamu ma baina aidihim wa ma khalfahum, wa la yuhituna bi shai'im-min 'ilmihi illa bima sha'a Wasi'a kursiyuhus-samawati wal ard, wa la ya'uduhu hifdhuhuma Wa Huwal 'Aliyul-Adheem

"Allah! There is no god but He - the Living, The Self-subsisting, Eternal. No slumber can seize Him Nor Sleep. His are all things In the heavens and on earth. Who is there can intercede In His presence except As he permitteth? He knoweth What (appeareth to His creatures As) Before or After or Behind them. Nor shall they compass Aught of his knowledge Except as He willeth. His throne doth extend Over the heavens And on earth, and He feeleth No fatigue in guarding And preserving them, For He is the Most High. The Supreme (in glory)."[Surah al-Baqarah 2: 255]

Aku masih ingat lagi sewaktu berumur 9 tahun, aku disuruh hafal ayat kursi. Tension betul rasanya bila ustazah yang mengajar tidak membenarkan kami pulang selagi kami tidak menghafal ayat2 tersebut. Pada mulanya aku buat tidak endah sahaja. Orang lain sibuk menghafal. Aku dan sepupu hafal lebih kurang sahaja, selebihnya main yang banyak. Ustazah nampak perangai kami berdua. Ustazah bagi amaran kedua. Kelam kabut la kami dua orang menghafal dengan bersungguh2. Selepas berjaya menghafal di depan ustazah, ustazah ingatkan kami bahawa ayat Kursi ini penting dijadikan amalan sebagai pendinding apabila usia kami dewasa kelak.

Rasa tidak puas hati di sekolah berbekam sehingga ke rumah. Pada mak aku mengadu. Mak hanya tersenyum membiarkan aku membebel seorang diri. Bila keadaan tenang, malam harinya mak menasihati aku dan bercerita tentang fadhilat ayat Kursi. Kata mak ayat Kursi memang berguna sebagai pendinding. Arwah atuk ada ajar, kalau hendak buat pendinding atau rasa sesuatu mistik yang berlaku amalkan baris terakhir dalam ayat tersebut sebanyak 10 kali. Insyallah "benda" itu akan terbakar dan kita tidak akan diganggu perkara2 pelik. Aku terdiam tanda akur.

Apabila usia menginjak awal remaja, aku terpaksa menjalani kehidupan di asrama. Masa ini barulah aku amalkan betul2 ayat ni. Sebabnya asrama yang aku huni itu banyak sangat kisah2 mistik. Almaklumlah asrama tempatnya jarang sekali terletak di kawasan orang ramai. Pernah terjadi, seorang kawan baik aku diserang histeria. Ketika itu, perasaan kasih terhadap seorang kawan dan perasaan takut berkecamuk dalam diri. Masih segar dalam ingatan aku semasa dia sedang menjadi "sesuatu" yang lain..hampir sepuluh orang pelajar puteri (panggilan untuk pelajar perempuan) dan 2 orang ustaz memegangnya. Punyalah kuat kuasa dia sehinggakan kami yang ramai ini terpaksa berkerja keras memegangnya dari terus meronta.

Sedang seorang ustaz bersoal jawab dengannya...aku usap perlahan tangan kanannya sambil mengamalkan ayat Kursi seperti yang diajar mak. Sebaik sahaja aku habis mengulangi ayat yang terakhir sebanyak sepuluh kali, aku hembuskan pada "dia".Serta merta, "dia" menarik kuat tangan kanannya dan mata merenung tajam ke arah aku sambil berkata "Panaslah bodoh." Aku terkejut tapi masih boleh mengawal perasaan. Aku sedar pandangan mata"nya" itu tidak boleh terus ditatap dan dilawan kelak panahannya terkena pada aku. Atas arahan ustaz aku mengundur ke belakang dan aku tidak sesekali melawan pandangannya. Menurut kawan aku yang lain, mata "dia" tidak habis2 menatap dan menyoroti setiap langkahku. Dalam hati berdegup kencang tapi aku lawan dengan membaca ayat Kursi sebanyak mungkin agar hati aku tidak dikuasai. Dia akhirnya tertidur setelah diberi minum oleh ustaz yang mengubatnya. Pesan ustaz, jangan biarkan dia tidur seorang diri. Rapatkan katil dan dia harus diapit. Ustaz juga berpesan agar kami me"magar" dorm dan katil kami. Sekali lagi antara kami saling menunding jari mencari siapa yang patut mengapitnya. Akhirnya demi sahabat, aku dan seorang lagi sahabat baik kami menyerah diri. Dalam hati Allah sahaja yang Maha mengetahui. Macam-macam bayangan timbul. Takut "dia" terjaga dan mencekik kami lah. Takut "dia" menendang kami lah ...dan paling ditakuti jika kami dikuasai oleh"dia". Aku tidak habis-habis membaca ayat Kursi dan 4 Qul memohon pada Allah yang Maha Esa agar menyelamatkan kami. Ada juga kawan2 yang sama dorm menampal ayat2 kursi di "locker" dan sudut2 tertentu sebagai pendinding. Dan ada juga adik2 form 1 yang ketakutan tidur dalam keadaan mendangkap Al-Quran dan meletakkan ayat Kursi dibawah bantal. Alhamdulillah, berkat kekuasaan Allah, bacaan ayat Kursi dan doa semua, sahabatku yang dikuasai "dia" tadi tidak buat hal pada malam itu. Itulah secebis kisah aku berkaitan dengan fadhilat ayat Kursi.

Di kesempatan ini, ku nyatakan beberapa hikmah ayat Kursi mengikut hadis2 sebagai panduan pembaca Iman Mawaddah

1) Barang siapa membaca ayat Al-Kursi apabila berbaring di tempat tidurnya, Allah SWT mewakilkan dua orang Malaikat memeliharanya hingga subuh.
2) Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir setiap sembahyang Fardhu, dia akan berada
dlm lindungan Allah SWT hingga sembahyang yang lain.
3) Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir tiap sembahyang,tidak menegah akan dia
daripada masuk syurga kecuali maut dan barang siapa membacanya ketika hendak tidur,
Allah SWT memelihara akan dia ke atas rumahnya, rumah jirannya dan ahli rumah-rumah
disekitarnya.
4) Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir tiap2 sembahyang fardhu, Allah SWT
menganugerahkan dia setiap hati orang yg bersyukur,setiap perbuatan orang yg
benar,pahala nabi2 serta Allah melimpahkan padanya rahmat.
5) Barang siapa membaca ayat Al-Kursi sebelum keluar rumahnya, maka Allah SWT
mengutuskan 70,000 Malaikat kepadanya - mereka semua memohon keampunan dan
mendoakan baginya.
6) Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir sembahyang Allah SWT akan mengendalikan
pengambilan rohnya dan dia adalah seperti orang yang berperang bersama Nabi Allah
sehingga mati syahid.
7) Barang siapa yang membaca ayat Al-Kursi ketika dalam kesempitan nescaya Allah SWT
berkenan memberi pertolongan kepadanya.


Dari Abdullah bin 'Amr r.a., Rasulullah S.A.W. bersabda,Sampaikanlah pesanku biarpun satu ayat..."

Saturday, November 11, 2006

Jika Aku Jatuh Cinta

Jika aku jatuh cinta...

Ya Allah, jika aku jatuh cinta,
cintakanlah aku pada seseorang
yang melabuhkan cintanya pada-Mu,
agar bertambah kekuatan ku untuk mencintai-Mu.

Ya Muhaimin, jika aku jatuh cinta,
jagalah cintaku padanya
agar tidak melebihi cintaku pada-Mu
Ya Allah, jika aku jatuh hati,
izinkanlah aku menyentuh hati seseorang
yang hatinya tertaut pada-Mu,
agar tidak terjatuh aku dalam jurang cinta dunia.

Ya Rabbana, jika aku jatuh hati,
jagalah hatiku padanya
agar tidak berpaling pada hati-Mu.

Ya Rabbul Izzati, jika aku rindu,
rindukanlah aku pada seseorang
yang merindui syahid di jalan-Mu.

Ya Allah, jika aku rindu,
jagalah rinduku padanya
agar tidak lalai aku merindukan syurga-Mu.

Ya Allah, jika aku menikmati cinta kekasih-Mu,
janganlah kenikmatan itu melebihi kenikmatan indahnya
bermunajat di sepertiga malam terakhirmu.

Ya Allah, jika aku jatuh hati pada kekasih-Mu,
jangan biarkan aku tertatih dan terjatuh
dalam perjalanan panjang menyeru manusia kepada-Mu.

Ya Allah, jika Kau halalkan aku merindui kekasih-Mu,
jangan biarkan aku melampaui batas
sehingga melupakan aku pada cinta hakiki
dan rindu abadi hanya kepada-Mu.

Ya Allah Engkau mengetahui bahawa hati-hati ini
telah berhimpun dalam cinta pada-Mu,
telah berjumpa pada taat pada-Mu,
telah bersatu dalam dakwah pada-MU,
telah berpadu dalam membela syariat-Mu.

Kukuhkanlah Ya Allah ikatannya. Kekalkanlah cintanya.
Tunjukilah jalan-jalannya.
Penuhilah hati-hati ini dengan Nur-Mu yang tiada pernah pudar.
Lapangkanlah dada-dada kami dengan limpahan keimanan kepada-Mu
dan keindahan bertawakal di jalan-Mu.


Semasa aku menulis entri ini, sambil mengamati bait2 puisi di atas, hati masih lagi berbekam rasa terkilan. Fikiran menerawang jauh pada seseorang yang ku kenal hampir 3 tahun yang lalu. Kasih yang bersemi hanya dalam dunia maya. Sebutir permata yang lahir di tengah2 kelompok adam. Kehadiran yang dinanti penyeri ayah bonda. Manis sekali gadis bernama A itu. Dia telah mengangkat martabat aku sebagai seorang kakak di alam maya lantaran keserasian yang wujud antara kami. Walaupun tidak pernah bersua muka, hanya bertemankan suara dan gambar kaku, antara kami bagai tiada rahsia.Walau sesibuk mana pun ku cuba luangkan sedikit waktu untuknya. Begitu juga dengan dia.

Awal tahun 2006..aku dikhabarkan berita gembira. Dia telah temui penawar lara hatinya. Seorang jejaka dari tanah kelahiran Dato' Bahaman, dikatakan seorang yang bertanggungjawab, menjadi tunggak keluarga setelah kematian ayahanda tercinta. TETAPI ada sedikit kegusaran dihati A. Dikhabarkan kepadaku bahawa si jejaka pilihan hati ini seorang yang "kurang menyembah" (dalam istilah melayu, dalam erti kata lain tidak menunaikan solat). Dia memohon pertolonganku. Aku terdiam seketika. Lama dia menanti jawapan aku. Akhirnya aku bertanya
"A sayangkan dia?".
"Sayang kak, dia baik. A beruntung dapat dia".
Aku diam lagi. Macam2 persoalan berlegar dalam kepala ketika itu.
"Kalau A sayangkan dia, didiklah dia, bimbinglah dia mengerjakan solat".
"Tapi kak, A dah cuba, dia degil. Macam2 alasan dia bagi".
Dalam hatiku, hendak saja aku suruh dia tinggalkan lelaki itu. Tapi aku tak sanggup mencalari hatinya.
"A cuba la lagi, Insyallah pintu hatinya terbuka. Kalau dia sayang A, dia mesti ikut cakap A", jawabku. A hanya diam. Selepas detik itu lama aku tidak ketemu A di alam maya.

Beberapa bulan selepas itu, kami "bertemu" lagi.
"Kak, A dah bertunang".
"Alhamdulillah, dengan yang hari tu ke?"
"A'a kak, dengan dia la".
"Dia dah ok?", soal aku merujuk kepada ibadah solatnya.
"Alhamdulillah kak, dia dah ok".
"Alhamdulillah, tahniah A. Akak doakan kebahagian A".
Aku tumpang gembira. Aku yakin bahagia menjadi miliknya setelah dia diuji Allah dengan cinta pertamanya dulu.

Kesibukan tugas antara aku dan dia membataskan pergaulan kami. Sekali sekala bertemu di alam maya dan bergayut di telefon tapi tidak berkesempatan berbual lama seperti dahulu. Sehinggalah beberapa bulan sebelum Ramadhan menyampaikan salam pertemuan, A menunjukkan gambar dia dan tunangnya kepadaku.
"A ke tu?"
"A,a A dengan tunang la kak."
"Bukan A pakai tudung ke? "
Dia tergelak..Aku celaru...
"Gambar tu masa konvo tunang A kak. Dia minta permission A dan family untuk membenarkan A tidak pakai tudung masa pi tengok konvo dia".
Astaghfirullahal'azim kata hatiku.
"Untuk apa dia suruh A buka tudung?"
"Ntah la kak, may be hendak tunjukkan A pada ex-gf dia kot"
Terkedu aku jadinya. Benarlah kata orang, akal perempuan senipis rambutnya. Jika tidak dibimbing dengan betul, rosaklah dia. Memang tidak dinafikan A dikurniakan Allah rupa paras yang cantik. Tapi sayang kerana cinta dia sanggup mengetepikan pegangannya selama ini.

"A ikut je la ya? Mak ayah tak membantah?" tanyaku lagi.
"Dia pandai ambil hati mak ayah. Tu yang dorang pun setuju."
Seriau darahku membacanya. Mana hilangnya gadis sopan pantai timur yang akak kenal dulu dik. Lelaki yang baik tidak akan minta sedemikian rupa.
"Tapikan akak tengok macam rupa nenek tua je", kataku sinis.
Dia hanya tergelak besar. Entah paham entahkan tidak dengan kenyataanku itu. Ataupun buat-buat tidak faham.

Semenjak dari itu, dia tidak lagi kutemui di alam maya. Cuma kiriman sms selepas umat Islam menyambut aidilfitri yang ku terima darinya. Aku tahu dia telah selamat diijabkabulkan kerana dia membahasakan dirinya sebagai "kami" bukan lagi "A" seperti selalu yang dia ucapkan. Tahniah dik. Akak doakan Allah beri petunjuk pada adik berdua.

Aku sedia maklum jodoh pertemuan di tangan Allah. Salah satu perjanjian antara roh dengan Pencipta sebelum roh ditiupkan ke jasad. Sehebat mana pun tentangan jika Allah dah tentukan, kita tidak mungkin dapat mengelak yang dia tercipta untuk kita dan dia tercipta untuk kita. Cumanya aku berharap ..jika aku jatuh cinta, aku tidak "tergelincir" seperti adikku, A. Ku akui godaan syaitan sememangnya kuat. Sedangkan nabi Allah, Adam dan isterinya Hawa pun boleh tersilap langkah, inikan pula kita manusia biasa. Seandainya aku tergelincir juga dari landasan suci, aku bermohon kepada Allah supaya segera sedarkan aku.

Tuesday, November 07, 2006

Ujian Dahsyat Terhadap Iman

Daripada Abu Hurairah r.a bahawasanya Rasulullah S.A.W bersabda "Bersegeralah kamu beramal sebelum menemui fitnah (ujian berat terhadap iman) seumpama malam yang sangat gelap. Seseorang yang masih beriman di waktu pagi, kemudian di sebelah petang ia sudah menjadi kafir, atau (Syak Perawi Hadis) seseorang yang masih beriman di waktu petang, kemudian esok harinya ia sudah menjadi kafir. Ia telah menjual agamanya dengan sedikit dari mata dunia" H.R Muslim

Begitulah dahsyat dan hebatnya ujian terhadap seseorang muslim di akhir zaman. Siapa boleh menjangka seseorang yang beriman di waktu pagi boleh menjadi kafir di waktu petangnya. Dan seseorang yang beriman pada waktu petang tetiba menjadi kafir pada keesokkan paginya. Begitu pantas masa berlalu memberi perubahan pada iman seseorang. Iman yang mahal harganya boleh berubah sekelip mata hanya kerana godaan dunia dalam masa satu hari. Dunia lebih dicintai dan disanjung tinggi daripada iman yang diasuh sejak azali.

Kerana pertolongan seorang kristian semasa terlibat dalam kemalangan, Azlina Joy memohon untuk digugurkan agama yang dipegangnya selama ini. Kerana panahan cinta sang arjuna kristian, Siti Aishah meninggalkan agama yang membentuk peribadinya selama ini..dan kerana secucuk sate yang ketika itu mungkin berharga 20 sen secucuk, Hartina Kamaruddin jatuh cinta pada pemuda hindu sehingga sanggup menentang bapanya yang beragama Islam. Murahnya harga iman dek kerana cinta dunia. Betapa hebatnya serangan akidah di akhir zaman ini.

Jika di negara2 Asia Barat mereka diserang hebat dalam peperangan..tidakkah kita sedar di negara ini kita sedang diserang dengan akidah. Ramai yang mencintai hiburan dari ceramah agama..ramai yang yang menggilai artis daripada ulama dan ustaz yang berilmu..ramai yang menjadi hamba duit daripada ilmu yang berfaedah dan ramai yang cintakan pangkat untuk disanjung tanpa memikirkan betapa beratnya amanah yang dipikul angkara pangkat yang disandang.

Riwayat Ibnu Majah menambah.."kecuali orang yang hatinya dihidupkan Allah S.W.T dengan ilmu". Mudah-mudahan Allah menjadikan kita tergolong di dalam golongan yang berilmu dan beramal dengan ilmuNya. Hanya ini yang akan menyelamatkan kita dari ujian yang dahsyat ini. Dan jangan sesekali kita menyatakan diri kita ini belum tentu Islamnya...sebaliknya banyakkan berdoa agar Allah memelihara iman kita.

Sunday, November 05, 2006

Sindrom Raya

Sepanjang minggu selepas raya merupakan minggu yang sangat2 sibuk bagiku. Kebetulan pula hujung bulan, sememangnya tanggungjawab aku bertambah bila setiap hujung bulan tiba. Tidak cukup dengan itu, PC di pejabat pun turut buat hal akibat tuannya cuti raya seminggu. Agaknya "dia" kempunan lemang kot. Tunggu doktor dia datang merawat, doktornya pun cuti jugak.. ermm nampak gayanya terpaksa ku teruskan kerja secara manual. Barulah sedar diri, selama ini bergantung sangat pada keupayaan teknologi. Sekarang nah..rasakan ambil..Allah bagi "cash". Mujur lah setakat dua hari je..kalau tidak, mau pening aku dibuatnya.

Hari Sabtu pula, mak menjemput adik beradik dua2 belah pihak datang. Jadinya rumah aku ibarat rumah terbuka tapi terhad kepada VVIP sahaja. Seawal 6.30 pagi tanggungjawab merendang mak dah serahkan pada aku. Tapi nama je aku ni masak rendang walhal mak dah sediakan semua bahan2nya. Selain merendang pelbagai lagi aksi kung fu, karate, silat jenis kuali dan periuk yang mak dan aku adik beradik sediakan. Sehingga akhirnya, aku dan kakak menyambut tetamu yang pertama datang dengan pakaian ala bibik. Mujur lah deme datang berperingkat2 jadinya sempatlah kami bergilir2 bersiap memperkemaskan diri. Penat memang penat tapi cukup puas hati. Alhamdulillah..ternyata hubungan yang erat antara kami mewujudkan mawaddah dalam diri masing2.

Ahad pula, giliran abang buat open house..kebanyakkannya muka2 yang sama datang ke rumah semalam berjumpa lagi hari ni. Bergelak tawa bermesra lagi macam la bertahun tak jumpa. Riuh rendah dibuatnya. Pulang sahaja dari rumah abang, aku selesai tunaikan tanggungjawab seorang muslim..lansung tertidur kepenatan. Dan bila aku tersedar, aku singgah untuk meninggalkan jejak di laman iman mawaddah.

Episod kepenatan aku tak berakhir di sini kerana esok...aku kena mengadap kerja2 aku yang tertangguh angkara PC ku yang mabuk lemang. Sebenarnya otak masih beku untuk update blog..tapi ku cuba juga sedaya mungkin sebab seorang sahabat komplen tiada cerita baru dalam iman mawaddah. Dan seorang yang lain boleh tanya aku hidup lagi ke tidak..hehe..alhamdulillah hidup lagi cuma terkena sindrom raya saja.

Thursday, November 02, 2006

Gempar

Gempar...Sana sini orang mengata
Kamu..engkau..dia dan mereka sama sahaja
Menuding jari telunjuk ke arah pesalah
Tanpa sedar 3 jari yang lain menunding ke arah diri sendiri
Hanya pandai berkata..tanpa menyokong
Tak cukup di warung kopi..bawa ke parlimen

Kawan..jangan kau tunduk dengan orang yang berkata kosong
Kita kene tabah bersatu menghadapinya
Semangat jentayu untuk terus berjuang
Demi agama..demi bangsa

Di paruhmu kemilauan sinar
Menyepuhi sejuta rasa
Kemulian di hatimu
Bening budi terdampar di jagat raya
Di sayap taufan kau jelajahi
Awan gemawan membawa rindu
Kasihmu menentangi kezaliman ketidakadilan
Jentayu patah sayap bertongkat paruh
Jentayu patah paruh bertongkat siku
Jentayu patah siku bertongkat dagu
Jentayu patah dagu bertongkat kuku
Pinjamkanlah hatimu untuk semua

..aku merepek ada makna..bg mereka yang memahaminya.