Thursday, August 30, 2007

Erti Kemerdekaan

Merdeka 1
“Merdeka! Merdeka!” Kah..kah..kah ..
“Woi apa korang gelak-gelak.” Sunyi seketika.
“Lain kali kalau nak gelak, ajak aku sekali”

Ketawa beramai-ramai

“Eh kita nak ke tingkat mana?”
“ Tingkat 8 la..”
“Eh tingkat 2 la”
“A’a jom tingkat 2. Belasah je la”

“Tanggal 31, bulan 8.. 57 ..merdeka..merdeka”

Bingit sungguh suara kanak-kanak sekolah itu berbicara dan menyanyi memecah sepi ruang lif yang sempit. Rimas saya dibuatnya. Mereka semua yang masih berpakaian sekolah merayau-rayau sekitar pusat membeli belah. Umur mereka masih lagi hijau, sekitar 9 ke 10 tahun. Jauh di sudut hati saya tertanya, mak ayah adik-adik ini tahu ataupun tidak akan aktiviti anak-anak mereka.

Merdeka 2
Suasana pagi hari di pejabat mulai tenang hari ini. Tiga hari sebelum ini, suasana hinggar bingar dengan jet-jet pejuang yang melintasi ruang udara sempena latihan hari kemerdekaan. Ditambah lagi dengan suara keterujaan kami, maka makin berserilah kekecohan di pagi hari. Asyik memang asyik.

Tiba-tiba terlintas di benak fikiran, jikalah jet pejuang ini melanggar bangunan tempat saya bekerja, maka tragedi seperti 911 akan berulang. Syahid ke saya andai ditakdirkan mati sedemikian rupa?

Kemudian terfikir pula, di Malaysia kita seronok melihat aksi dan bunyi jet pejuang memecah udara. Tetapi jika di bumi Palestin, Iraq dan beberapa negara Islam yang tertindas, bunyi ini adalah amaran yang amat menakutkan. Pasti bertempiaran manusia berlari menyelamatkan diri, anak-anak kecil menangis ketakutan dan banyak nyawa yang akan terkorban angkara jet-jet pejuang tersebut. Saya bermunajat sendirian.

Merdeka 3
Senja telah berarak lalu, saya masih dibelenggu dengan tugasan yang perlu diselesaikan. Perjalanan pulang saya diserikan dengan neon-neon indah malam kemerdekaan. Anak-anak muda pelbagai gaya, berpakaian tidak cukup kain, beriringan dengan pasangan masing-masing telah bersiap sedia menanti detik 12 belas malam.

Sayu sungguh hati ini. Melihat kealpaan dalam mendalami erti kemerdekaan. Sehingga entri ini ditulis, pasti makin ramai yang berpusu-pusu pergi menyambut merdeka ke tempat-tempat yang menjanjikan hiburan kemerdekaan yang mengasyikkan. Terlupakah mereka bahawa malam kemerdekaan jatuh pada malam jumaat. Satu malam yang patut di jaga kesuciannya dengan amal ibadat. Bukankah lebih baik sekiranya malam kemerdekaan dipenuhi dengan doa kesyukuran dan kesejahteraan negara. Hati hanya mampu merintih sendirian.

Salam merdeka untuk semua. Semoga menjadi manusia yang waras dalam menilai erti kemerdekaan.

4 comments:

akirasuri said...

salam merdeka..
buat jiwa-jiwa merdeka :)

Iman Mawaddah said...

merdeka untuk cik ati juga :D

Bunga Rampai said...

Salam Merdeka Iman :)

Tak gi tengok bunga api kat mana-mana?

Iman Mawaddah said...

BR,
Salam merdeka.
Hajat di hati memang hendak tengok. Tapi bunga api yang tengok saya :) ZZzzzZZzz