Wednesday, July 04, 2007

Mungkinkah kiamat sudah hampir?

Kisah ini berlaku ketika saya menuntut di negara matahari terbit. Suatu hari, saya bersama dua orang rakan baik saya, Erma dan Ina pergi bersiar-siar di tepian pantai. Cuaca ketika itu sangat panas. Namun begitu ia tidak mengugat ketenangan kami bertiga untuk berbual-bual di sebuah wakaf yang dibina berhampiran pantai. Beberapa orang bangsa Jepun sibuk dengan aktiviti riadah di petang hari. Dalam kepanasan itu, datang angin sempoi-sempoi bahasa menyerpa suasana pantai. Damai dan nyaman sekali. Percikan air yang dipukul ombak terkena pada wakaf kami. Bangsa-bangsa Jepun yang berhampiran kami seronok tidak terkira. Saya pada mulanya turut merasa gembira. Tetapi merasa tidak sedap hati apabila saya melihat air di dalam kolam yang berhampiran wakaf menggelegak perlahan.

Cuaca semakin sejuk. "Sejuk sangat ni lain macam je aku rasa. Jom kita balik asrama," usul saya ketika melihat keadaan itu. Sebaik sahaja habis bercakap, saya melihat ombak besar memukul pantai. "Tsunamilah, lari! " perintah Ina. Semua yang ada di situ kelam kabut lari menyelematkan diri. Geledakan air kolam yang berhampiran semakin lama semakin kuat. "Kita balik asramalah," pinta saya. "Jangan. Bahaya kena lalu kawasan pantai. Kita ke Pusat Islam," sambung Ina. Kami bertiga berlari sekuat-kuat hati menuju ke Pusat Islam yang berhampiran. Ombak makin lama semakin mengganas. Suara deruannya amat menyeramkan. Wakaf yang kami duduk habis musnah. Bumi yang kami pijak terasa gegarannya. Takutnya Allah sahaja yang Maha Mengetahui.

Saya terjaga dari lena yang panjang. "Syukur alhamdulillah, kau dah sedar." "Kita di mana ni?" tanya saya. "Kita masih di Pusat Islam. Kau terkejut sangat hingga pengsan 2 hari setelah peristiwa Ahad lepas," sambut Erma. "Erma, aku nak balik Malaysia, aku rindukan mak," pinta saya. "Sabarlah dalam keadaan begini kita semua hendak balik," jawab Erma. "Kau makan la dulu, nanti kau tak de tenaga," pinta Ina. "Kenapa kita tidak boleh balik asrama kita?" soal saya. "Asrama itu sudah dibiarkan kosong. Seorang pelajar kita hilang, kemungkinan besar dia mati," jawap Ina. "Bersiaplah, lepas ini kita ke tempat Kak Su. Pusat Islam ini juga sudah terputus bekalan air dan api. Tempat Kak Su tu lebih selamat" Petang itu kami bergerak ke tempat Kak Su, salah seorang senior kami.

Suasana sekeliling kelam kabut sekali. Kesan dari pukulan ombak tsunami jelas kelihatan. Benar-benar seperti tamatnya sebuah peperangan. Di rumah Kak Su, kami mengambil kesempatan menyucikan diri. Saya sempat menghantar sms ke Malaysia, "Mak jangan risau, saya selamat di sini." Hati saya ketika itu sangat sayu. Saya bimbang saya tidak dapat berjumpa dengan keluarga saya lagi selepas ini. Sedang asyik melayan perasaan, tiba-tiba ada arahan dari pihak berkuasa tempatan untuk berpindah. Kami berkumpul di satu kawasan lapang. Macam-macam keadaan manusia yang saya lihat. Masing-masing sibuk dengan hal masing-masing. Persis bayangan di padang masyar, hati kecil saya terdetik. Dalam keadaan berkumpul itu, bumi tiba-tiba terasa bergegar lagi. Semuanya termasuk kami kelam kabut lari ke kawasan yang tinggi. Siren berbunyi menandakan ombak tsunami yang kedua datang. Kami sempat sampai ke kawasan bukit. Saya dapat lihat dengan jelas, ombak tsunami menarik mereka yang tidak sempat lari ke atas bukit. Seorang demi seorang di telannya. Kereta menjadi tunggang terbalik. Kami bertiga menangis sambil berpelukan. Tidak lama kemudian suasana kembali tenang. Ada beberapa mayat yang bergelimpangan di bawah bukit.

Dalam keadaan tenang itu, tiba-tiba bukit tempat kami berlindung pula bergegar dan hujan turun selebat-lebatnya. Cuaca menjadi sangat gelap. "Lari!!!," jerit rakan-rakan dari Malaysia. Kelam kabut kami turun menuju ke bahagian yang bukit yang sebelah lagi. Masing-masing sibuk menyelamatkan diri. Saya, Erma dan Ina terpisah. Puas saya menjerit nama mereka tapi bayangan mereka tidak kelihatan. Tidak lama kemudian saya ternampak kelibat Erma. Kami berpegangan tangan, sambil mata melilau-lilau mencari Ina. Akhirnya Ina kami temui dalam keadaan yang sangat-sangat kepenatan. Kami berusaha membawa dia untuk menyelamatkan diri. "Pergi lari, tinggalkan aku," pinta Ina perlahan. Kami berdegil masih lagi cuba mengheretnya sedangkan kami sendiri kepenatan. Setelah puas berusaha, kami terpaksa tinggalkan Ina. Tiada kata yang dapat diucap hanya linangan air mata yang memahami situasi itu.

Saya dan Erma meneruskan perjalanan. Ina, kami tinggalkan di bawah perlindungan Allah. Kami terserempak dengan Kak Su dan rakan-rakannya. Mereka mengajak kami berlindung bersama-sama mereka hingga hujan lebat reda. Setelah hampir sejam menunggu, keadaan menjadi tenang seketika. Seorang senior lelaki mencadangkan agar kami menaiki bas untuk keluar dari kawasan tersebut. Maka, berebut-rebutlah kami semua menaiki sebuah bas. Jalan raya di tepi lereng bukit itu begitu sesak sekali. Tidak lama kemudian, siren amaran tsunami dan gempa bumi yang ketiga berbunyi. Lalu, kami berpusu-pusu turun dari bas dan menyelamatkan diri.

Saya dan Erma memilih untuk berlindung di sebuah lereng bukit. Sebahagian pelajar-pelajar senior lelaki cuba berselindung di kawasan lereng yang berhadapan kami. Saya dan Erma nampak ada gegaran kecil di bahagian atas tempat mereka berlindung. Tetapi kami tidak berupaya untuk memberitahu. Perasaan bercampur baur. "Ya Allah, musibah apakah ini? Apakah dosa kami ya Allah sehingga bumi ini tiada lagi ketenangannya," detik hati kecil saya. Bagaikan mendengar suara hati saya, tiba-tiba satu suara menjelma di sebalik awan yang kelam "Kamu semua adalah manusia yang tidak mengenang budi. Kamu mengaku Islam tapi kamu tidak mengamalkannya. Kamu melakukan kecelakaan di muka bumi. Kamu tidak menunaikan solat. Kamu berzina tanpa segan silu. Kamu anak derhaka. Sekarang rasakan kamu semua. Bumi ini sudah tidak dapat lagi menerima kamu." Semua yang mendengar suara itu terasa kecut perut. Tidak lama kemudian, berlaku gegaran yang amat kuat di kawasan lereng yang berhadapan kami. Habis semua pelajar-pelajar senior lelaki tersebut mati di timpa batu-batu besar bukit. Saya dan Erma menangis berpelukan tatkala menyaksikan kejadian tragis itu.

Hari sudah menjelang maghrib. Kami berdua mengambil keputusan turun dari lereng bukit tersebut dan berjalan-jalan mencari tempat yang sesuai untuk berlindung. Keadaan diri pula semakin lemah. Kuasa Allah, kami bertemu dengan rakan lama yang juga menuntut di bumi asing itu. Namanya Tini. Dia membawa kami ke tempat perlindungannya yang dijaga oleh seorang ustaz. Tempat itu terletak di celah-celah runtuhan bukit, sungguh sederhana tetapi cukup mendamaikan. Ada beberapa pelajar lelaki dan perempuan yang berlindung sama. Pelajar perempuan diletakkan ke bahagian dalam bukit manakala pelajar lelaki di bahagian luar bukit. "Ustaz, ini sahabat-sahabat saya. Boleh ke mereka tinggal di sini?" Tini memperkenalkan kami kepada ustaz sambil meminta izin daripada ustaz tersebut. Ustaz melihat kami sambil berkata "Anak berdua tinggallah di sini. Bersabar dan bertenanglah menghadapi ujian Allah ini," kata ustaz tersebut. "Sekarang pergi cucikan diri dan bersolat. Di sini ada kedamaian, jangan risau. Orang yang beriman tidak akan gentar untuk mati."

Saya terjaga dari mimpi yang panjang. Jam sudah menunjukkan pukul 4.30 pagi. Astaghfirullahalzim..saya bermimpi rupanya. Ya Allah, itukah bayangan hari kiamat? Ngerinya ya Allah. Saya benar-benar merasainya. Sepanjang hayat saya, ini kali pertama saya bermimpi seumpama ini. Syukur alhamdulillah ya Allah kerana ianya hanya sebuah mimpi. Syukur jua kerana diri ini masih lagi berkesempatan memperbaiki kelemahan iman dalam diri.

Mungkin juga saya terbawa-bawa dengan kisah kaunseling seorang rakan saya dengan seorang suami orang yang menjalinkan hubungan terlarang dengan isteri orang. Atau mungkin juga saya terbawa-bawa dengan kisah seorang remaja perempuan yang membelakangkan ibu bapa dan bergaul tanpa batasan dengan mat-mat rempit. Terlampau memikirkan "keberanian" mereka sehingga terbawa-bawa ke alam mimpi yang sungguh menginsafkan.

***Terfikir...andai kiamat sudah tiba, bersediakah kita menghadapinya?

25 comments:

Pa'chik said...

bila masa mimpi ni mula? dari atas sekali ke tengah neh?

Iman Mawaddah said...

Hehe perli la tu eh..sebab panjang sangat. Semua tu mimpi, yang italic je yang bukan mimpi.

Butaseni@Wan Raja said...

aduh!degupan jantung ku bergegar maksima.nasib baik mimpi.

blackpurple @ jowopinter said...

Agaknya insan terpilih sahaja menerima mimpi sebegini. Bertuah kamu.

- G O R O - said...

mimpi yang begitu precise sekali olahannya..

kakLuna said...

tanbihul ghofilin

peringatan bagi diri yang lupa

izinni said...

wow! bagai satu peristiwa yang benar2 terjadi kerana mimpi lazimnya melompat2 serta tidak masuk diakal tapi mimpi kamu sangat jelas ...

Terima Kasih

Achik_Sufi said...

mimpi ade mimpi baik ade mimpi buruk...mimpi baik disuruh untuk dihebahkan, mimpi buruk lebih baik dipendamkan...

Iman Mawaddah said...

Buta Seni,
Sukar hendak dibayangkan betapa kuatnya gegaran jantung jika mengalaminya sendiri. Sehingga hari ini, saya masih terasa gentarnya.

BP,
Mungkin juga ada kesilapan saya. Allah datangkan peringatan dalam bentuk mimpi.

Goro,
Saya cuba olah sebaik mungkin supaya apa yang saya rasa dapat dikongsi bersama di sini.

Kak Luna,
Sama-samalah kita jadikan iktibar.

Izinni,
Memang benar semuanya sangat jelas. Allah sahaja mengetahui perasaan saya ketika itu. Tetapi ada juga terselit sedikit unsur-unsur yang tidak logik. Contohnya saya tidak belajar di Jepun dan watak Ina, Kak Su dalam mimpi itu pun saya tidak kenal.

Memandangkan suasana kiamat itu yang menjadi isu utama maka saya abaikan perkara-perkara yang tidak logik dalam mimpi saya.

Iman Mawaddah said...

Achik Sufi,
Yang baik jadikan tauladan, yang buruk jadikan sempadan.

Zetty said...

Sama2lah kita peringatkan dan perlihatkan akan tanda2 kekuasaan Allah kepada mereka2 yg tidak mengetahui .. sama2lah kita peringatkan dan perlihatkan kebesaran Allah kepada mereka2 yg mengetahui tetapi tidak mengambil iktibar daripadanya .. semoga kita sama2 mengejar kebaikan dan menjauhi kemungkaran .. Amin ..

izinni said...

iman,
insyaAllah mungkin satu hari nanti akan berjumpa dengan watak2 yang di dalam realiti tidak iman kenali. Allah tu Maha Besar :)

13may said...

hmmm....dasatnya mimpi...

CerminDiri said...

salam kehidupan,

ala....buat suspen aje.ingatkan cerita betul. tak basuh kaki waktu nak tidur kot?.....
(itulah remaja sekarang, pesan orang tua tak diendahkan)

INDERA KENCANA said...

Kiamat itu memang sudah hampir..

Pa'chik said...

ler. kamu neh.. suka buruk sangka ngan aku tau..

aku tanya pasal, mungkin kejadian pertama tu betul, pingsan, dan mimpi pasal kejadian kedua tu...

atau memang semua tu mimpi.


ko kat jepun kan masa tu... apa takde otromen dalam mimpi tu? mas raider, kesatria baja hitam, gaban...

achik said...

oh2 saya ingatkan betul2 berlaku.. meremang bulu roma membacanya..

tsunami buat saya fobia ngan laut sekejap padahal saya cuma tgk kat tv, baca akhbar je.. macam mana la mereka2 yg melaluinya.. trauma mungkin.. huhu..

Iman Mawaddah said...

Yatie,
Amal Makruf Nahi Mungkar..Amin ya rabb.

Izinni,
A'a kan saya selalu juga macam tu. Kadang-kadang bila saya jumpa seseorang di dunia realiti, datang unsur-unsur deejavu (orang/insiden itu pernah kita temui/lalui sebelum ni di alam roh).

13 May,
Tu la sehingga kini masih terbayang-bayang. Bonda saya pun ngeri bila saya ceritakan padanya.

Cermin diri,
Erkk..remaja ke? hehe kalau begitu awek muda la saya ni ;D

Indera,
Apa khabar? Lama tak nampak. Memang benar sudah banyak tanda-tandanya kini.

Pa'chik,
Lerr mana ada buruk sangka. Pa'chik kan baik macam M____ (sile isi tempat kosong dengan jawapan yang berakal bernas). Lain kali nak tanya biaq terang.

Otromen, mas raider semua tu sape? Kawan sekolah pa'chik ke? Tak kenal la..ngeh..ngeh. (buat-buat pandai.)

Achik,
Saya yang merasainya lagi meremang. Masa tu rasa tak tau nak lari mana dah. Sampaikan masa saya terjaga tu saya ingatkan saya sudah mati dan dihidupkan semula di alam lain.

banggugar said...

salam,

sesungguhnya sesiapa yg dihatinya ada iman sekecil zarah sekalipun.. tika berlakunya kiamat.. dia masih terselamat..

kerana kiamat itu akan berlaku keatas mereka2 yg kufur dan mensyirikkan Allah..

tapi apakah persedian kita..
(".)

Iman Mawaddah said...

Bang Gugar,
Persoalannya, sejauh manakah keimanan yang ada dalam diri kita dapat menyelamatkan kita? Yakin ke kita yang kita telah cukup bersedia?

khairyn said...

selalunya kalau saya mimpi yang 'seram-seram' macam ni, dalam mimpi tu mesti saya baca surah al-ikhlas. betul dan tersusun bacaannya.

Pernah mimpi mati dan ditimbang amalnya.. aduh!

Iman Mawaddah said...

Khairyn,
Ajaib kan? Apa-apa hal pun mungkin ada hikmah Allah di sebaliknya yang kita sendiri tidak tahu. Mudah-mudahan ia merupakan petunjuk yang baik.

Guane said...

Ingatkan betol tadi...rupa2nya mimpi...suspen betolll..heeee....

Boleh tulis novell...menarik jalan citenya...

nurwangi said...

mimpi in tahun 2007 tapi tsunami jadi 4 tahun kemudian?
hanya Allah swt saja yg tahu bila akan datang hari kiamat tapi kita harus berjaga2 setiap hari kerana mmgkin itula hari penghabisan kita didunia yg fana ini. walauapa pon jgn la takut mati kerana mati itu bererti pertemuan kita dgn Allah. Buatla persedian utk penemuan itu..insyaallah kita akan pulang didalam keadaan suci sebagaimana kita mula2 dilahirkan didunia ni.

Anonymous said...

Dah x lama agaknya...kadang2 org tuh dah nak balik...balik ke tempat asalnya..Amin..