Thursday, February 12, 2009

Diari buat Abah V

Selasa 28 Oktober 2008
Hari ini abah pergi scan otak. Doktor kata kepala abah ada jangkitan kuman sebab itu fikiran abah bercelaru dan mengamuk tidak tentu pasal. Abang bertegas perkara itu mungkin juga disebabkan tekanan ubat yang berlebihan dan juga sedikit gangguan di hospital. Abang cakap begitu sebab ikut pengalaman kawan-kawan yang ada ahli keluarganya koma, fikiran pesakit akan bercelaru apabila sedar. Itupun bergantung kepada nasib seseorang. Paling minimum 24 jam. Namun doktor tetap dengan pendiriannya dan minta kami tidak percaya perkara-perkara tahyul.

Abah beransur sedar dari lamunannya. Dia minta maaf sebab berkasar semalam. Tok saudara dari kampung datang melawat abah hari ni. Kami terharu dengan ziarah itu.

Rabu 29 Oktober 2008
Sejak abah ditempatkan di wad, sudah menjadi rutin saya setiap pagi mengambil syif menjaga abah. Pagi ini, saya nekad membersihkan abah setakat yang saya mampu. Saya bawa sendiri alatan dari rumah. Saya suruh abah gosok gigi, saya cuci rambutnya dengan sedikit syampu, lap badannya dengan tuala kecil, cuci kesan-kesan luka dengan baby oil, cukur misai dan janggutnya. Lega tengok muka abah sudah seperti dia sihat dahulu.

Usai kerja-kerja membersihkan abah, doktor biasa dan doktor pakar datang melawat. Abah sudah nampak sedikit ceria berbanding semalam. Walaupun ada sedikit kata-katanya yang agak mengarut tapi layankan saje.

Tengah hari, saya menerima kunjungan rakan-rakan pejabat. Terharu saya melihat kehadiran dan sokongan mereka. Sepanjang abah sakit, saya mengambil cuti wajib. Sudah hampir 2 minggu kerja-kerja pejabat saya lupakan.

Malam seperti biasa, pak andak akan mengambil alih jaga abah.

Khamis 30 Oktober 2008
Kesihatan abah belum betul-betul memuaskan. Dia masih lagi cirit birit. Apa yang menyakitkan hati saya, susah betul hendak dapatkan bantuan petugas hospital untuk tukar diapers abah. Setiap kali mohon pertolongan nurse dan pembantu lelaki ada sahaja alasannya. Tak cukup kakitangan lah. Sekejap lagi la. Sekejap lagi tu dalam 2 jam belum tentu lagi dapat bantuan. Adakalanya saya di balas dengan kata-kata sinis, sepatutnya ahli keluarga pun boleh tolong tukarkan diikuti dengan gelak-gelak kecil . Walhal saya hanya minta tolong tukarkan saje. Diapers, tisu basah, krim luka semua sudah saya sediakan. Lagipun masa saya minta tolong tu, kebanyakkannya duduk bergelak ketawa dan berbual di kaunter. Atau mungkin juga mereka fikir abah seorang yang nyanyuk maka dengan sewenang-wenangnya mereka ambil ringan urusan abah.

SubhanaAllah..Tuhan saje yang tahu betapa geramnya hati ini. Yang menghairankan saya, lebih senang dapatkan bantuan petugas bangsa lain yang sah-sah agamanya lain daripada petugas yang beragama Islam. Dalam hati saya merintih sendirian, dimanakah letaknya amanah yang dipertanggungjawabkan. Tidak takutkah mereka dengan hitungan di hari pembalasan nanti.

Mak telefon saya ketika doktor datang melawat abah. Saya cakap tidak kuat tapi cukup jelas didengari oleh doktor dan nurse yang melawat. Nurse itu, salah seorang yang ketawa siniskan abah. Saya beritahu emak, biasalah emak dorang lambat tukar diapers. Dia orang tidak fikir peristiwa ini bukan atas kemahuan kita. Ini ujian Allah. Tak apelah emak, suatu masa, lambat atau cepat Allah akan balas jua setiap perbuatan kita sesama manuasia. Allah kan maha adil pada hamba-hambaNya. Doktor perempuan itu hanya senyum tengok saya. Nurse itu tak berani bertentang mata dengan saya.

Petang ini, abah agak pelik sikit. Dia suka cakap yang bukan-bukan. Saya sms abang minta abang datang jaga sementara tunggu pak andak datang. Sebelum tinggalkan abah, saya dan emak bacakan abah ayat-ayat suci Al-Quran sebagai pelindung diri.

Malam, saya sms abang bertanyakan tentang abah. Abang kata ok tiada apa-apa berlaku.

Jumaat 31 Oktober 2008
Seawal pukul 6.15 pagi Pak Andak sudah telefon saya. Dia suruh datang hospital cepat tengok abah. Malam tadi abah cuba bangun hingga jatuh dari katil. Katanya nak balik rumah naik teksi. Dia minta RM 2 dari Pak Andak. Ubat yang disalurkan ditangan di cabutnya. Hingga doktor terpaksa cucuk di leher abah pula.

Kelam kabut saya bersiap dan keluar dari rumah. Sepanjang perjalanan saya merintih, apa kenanya dengan abah ini. Ya Allah lepas satu demi satu ujian Kau beri pada hambuMu ini. Tabahkan hati kami yang Allah. Air mata ini mengalir lagi.

Sebaik sampai di bilik abah, saya tengok budak penghantar makanan sedang menjenguk abah. Menjerit saya apabila saya tengok abah sedang cuba turun katil lagi. Bajunya sudah dibuka. Ya Allah kenapa ini abah. Abah bagi tahu ada dua orang lelaki janji nak bersihkan abah. Tu yang abah buka baju ini. Kelam kabut saya pasangkan kembali baju abah. Saya lega bila pagi tu, saya nampak Jerry bertugas.

Sementara menunggu Jerry dan kawan-kawannya membersihkan abah, saya duduk di luar wad menelefon emak memberitahu keadaan abah. Kebetulan doktor M, pakar yang tolong masukkan abah ke ICU dulu lalu di situ. Dia bertanyakan perihal abah. Saya ceritakan kelakuan abah. Dia lansung melawat abah. Abah terkejut bila doktor tanya tentang perihal jatuh katil. Sebaik saje doktor pergi, abah tanya saya macam mana doktor M tahu abah jatuh katil. Idea nakal saya datang tiba-tiba, doktor malam tadi lah yang bagi tahu dia agaknya. Habislah abah seluruh kawasan taman rumah kita tahu abah jatuh katil. Lepas ni, buatlah baik-baik. Jangan buat hal lagi, malu kalau ramai orang tahu. Abah diam saje. Sengaja saya beritahu begitu, sebab saya nak tengok reaksi abah. Saya yakin abah tidak nyanyuk, cuma kesan tekanan ubat yang buat abah jadi begitu.

Petang saya pergi jumpa kawan abah minta air penawar lagi.

Sabtu 1 November 2008
Abah demam. Lengannya merah-merah. Tapi doktor kata tidak ada apa-apa. Doktor hanya bagi vitamin. Alhamdulillah lepas itu, abah pulih. Doktor tanya saya keadaan abah. Saya jawab abah tenang malam tadi.

Hari ini ramai yang menzirahi abah.

Ahad 2 November 2008
Pagi je abah mesti demam. Tidak tahu mengapa. Doktor kata tidak ada apa-apa. Siap bagi balik lagi kalau kesihatan abah baik hari ini. Hairan juga saya.

Dalam hati saya, saya mengharapkan abah dapat keluar hospital. Sebab hari Selasa saya sudah mula bekerja. Saya tidak boleh lawat abah tiap-tiap hari lagi.

Isnin 3 November 2008
Doktor pakar beritahu saya abah sudah boleh balik. Tapi saya cakap abah masih belum kuat. Doktor kata dari segi perubatan semuanya sudah lengkap. Kekuatannya abah bergantung kepada semangat dia dan sokongan ahli keluarga. Dalam hati terbit rasa bimbang bercampur syukur kerana esok saya tidak perlu ke hospital lagi.

Saya telefon emak, abang dan Pak Andak. Sementara tunggu urusan keluar, abang dan Pak Andak beli wheel chair. Saya sempat belajar cara-cara suntikan insulin.

Masa kelam kabut hendak balik, saya risau juga sebab kami bertiga datang dengan kenderaan masing-masing. Abang terpaksa bawa abah seorang dalam keretanya. Kalau saya temankan abah, saya terpaksa patah balik ke hospital ambil kereta saya. Tetapi kuasa Allah sekali lagi datang membantu pada hamba-hambaNya. Sedang bersiap-siap hendak keluar, adik Pak Andak datang ziarah bersama besannya. Kesian melihat abah, besan adik Pak Andak menemani abah dalam kereta abang. Ya Allah, siapa sangka orang yang baru pertama kali berjumpa dan lansung tiada pertalian saudara datang menghulurkan bantuan.

Sebaik sampai dirumah, jiran-jiran turut membantu bawa abah masuk ke dalam rumah. SubhanaAllah syukur pada Allah yang Esa. Buat pertama kalinya abah dimandikan oleh Pak Andak dan Abang.

Selasa 3 November 2008
Jadual hidup saya mula berubah. Setiap waktu rehat tengah hari saya merempit dengan kereta pulangkan ke rumah. Saya uruskan abah takat mana yang mampu. Kalau kadar gula abah terlalu tinggi, saya cucukkan insulin.

Pak Andak setiap hari datang ke rumah untuk mandikan abah. Syukur abah sudah mula nampak perubahan.
Sabtu 7 November 2008
Mak dan along pergi ke pasar. Sedang sibuk mengemas, saya tengok abah dah terpacak berdiri tepi katil. Ya Allah terkejut saya tengok. Selama ini abah tidak berdaya hendak bangun. Hendak duduk pun terpaksa dibantu.

Abah senyum dan mengucapkan syukur. Saya letakkan kerusi tidak jauh dari katil abah. Saya minta abah cuba jalan ke arah kerusi tu. Setapak demi setapak abah berjalan. Alhamdulillah ya Allah. Abah sudah boleh berjalan walaupun lambat dan tak boleh lama tapi saya bersyukur kerana sekurang-kurang ada pembaharuan setelah empat hari pulang dari hospital.

Rumah kami masih lagi dikunjungi saudara mara dan sahabat-sahabat abah.

Ahad 8 November 2008
Abah sudah boleh berjalan ke bilik air. Dia tidak perlu bergantung pada diapers lagi. Pak Andak sudah tidak perlu datang membantu.

Abah juga sudah semakin ceria. .


Alhamdulillah kesihatan abah sudah beransur pulih hari ini. Dia sudah boleh urus diri sendiri dan memandu di kawasan yang berhampiran. Bagaikan mimpi semua ini terjadi. Teori perubatan yang sudah meminta kami bersedia sebarang kemungkinan. Namun kuasa Allah mengatasi segala-galanya. Apa yang berlaku pada abah, meningkatkan lagi keyakinan kami pada Tuhan yang Esa dan pentingnya menjaga hubungan baik sesama manusia. Pertolongan demi pertolongan datang tanpa kami jangkakan. SubhanaAllah!

Tamat.

7 comments:

Pa'chik said...

syukurlah alhamdulillah...
semuga terus baik lah...

achik said...

alhamdulillah..
moga abah iman sembuh sepenuhnya.. :)

akirasuri said...

Alhamdulillah.. :)

Bunga Rampai said...

Salam Iman,

Alhamdulillah, doa dan ketabahan/kesabaran Iman dan keluarga menjaga abah pada waktu-waktu sukarnya mendapat balasanNya. Semoga abah Iman terus sehat dan ceria :)

tegezoot said...

syukur.

umar_skyscooter said...

Aslkm,nice blog walking,erm kalau ade mase,silalah ke blog sye ni di http://chipmunk18.blogspot.com n jgn lupe linkkan blog ni yer,ok bye

Iman Mawaddah said...

Terima kasih atas segala doa dan semangat yang diberikan. Ujian Allah ini benar-benar menguji kekuatan dan kesabaran iman kami. Alhamdulillah, kini rahmatNya banyak yang kami rasai.