Sunday, January 04, 2009

Diari buat Abah II

Khamis 16 Oktober 2008

...sambungan

Abah mula sedar kembali sebaik sahaja Pak Andak dan Mak Andak selesai membaca Yassin. Abang kucup pipi kanan dan kiri abah. Air mata lelakinya bercucuran laju tanpa dipinta. Ambulance tiba tepat pada masanya. Lantaran keadaan mendesak, kami bersepakat membawa abah ke hospital swasta yang berhampiran.

Tanpa kami sedari, jiran-jiran sudah memenuhi rumah. Mereka turut membantu mengangkat abah. Saya dan abang turut mengiringi abah ke dalam ambulance. Pengalaman kali pertama yang cukup berharga buat saya. Sebagaimana pantasnya ambulance yang meluncur laju, sepantas itulah harapan saya untuk dapatkan bantuan segera buat abah.

Tepat jam 7.30 pagi, kami tiba di hospital. Abah diberikan segala bentuk bantuan. Rekod kesihatan abah diambil. Apa yang mengejutkan, bacaan gula abah terlalu tinggi sehingga tidak dapat dibaca. Kami di arah ke kaunter pendaftaran sementara doktor melakukan pemeriksaan. Mak, Mak Andak dan Pak Andak menyusul di bahagian pendaftaran. Abah akan dimasukkan ke wad biasa.

Pukul 8.00 pagi, kami dibenarkan melihat abah. Kadar gula sudah boleh dibaca. Tapi masih tinggi iaitu 22.7. Saya genggam tangan kiri abah, abang di tangan kanan. Mak bisik ke telinga abah menyatakan abah selamat di hospital. Abah merayu hendak balik. Jemu katanya. Mungkin tidak biasa dengan keadaan wayar yang bersambungan di badannya. Saya kucup kepala abah, saya belai dengan penuh kasih sayang. Saya titipkan ayat sabar dan selawat syifa di telinganya. Saya nyatakan kepadanya supaya banyak bersabar, ingat Allah. Allah sentiasa bersama orang yang bersabar. Abah mengangguk lemah. Dia tenang kembali. Mulutnya kumat kamit menyebut La illahaillAllah. Tidak berapa kuat tapi cukup jelas di telinga kami yang mendengar. Melihat dia tenang, kami keluar jalan kaki ke kedai mamak berhampiran untuk bersarapan. Hanya Pak Andak yang tidak pergi sebab dia puasa hari itu.

Dalam perjalanan balik, Pak Andak telefon Mak Andak. Abah pengsan lagi! Kritikal! Lemah kaki mak berjalan. Abang berkejaran ke bilik kecemasan. Malangnya doktor tak bagi masuk. Tiga orang doktor sedang berusaha. Pak Andak cakap abah terpaksa masuk ICU. Dari jauh kami lihat doktor dan jururawat kelam kabut keluar masuk tempat rawatan abah. Saat yang betul-betul mendebarkan. Bagaikan melihat sebuah drama di alam realiti. Air mata kami bercucuran lagi. Pukul 10.00 pagi abah di hantar ke ICU di tingkat 2. Kami iring abah dan "berkampung" di ruang menunggu. Pukul 10.30 pagi, Along sampai, dia terus masuk ke ICU. Tika itu abah masih lagi boleh bercakap perlahan. Sempat memanggil nama Along perlahan-lahan. Tidak lama selepas itu abah di"tidur"kan.
Abah mengalami kekeringan. Tangan kiri, tangan kanan dan leher terpaksa dicucuk untuk di masukkan air. Mulutnya diberi bantuan pernafasan. Tidak cukup dengan itu, hidungnya di sumbatkan wayar untuk menyedup darah yang ada dalam perutnya. Allahuakhbar!! Tuhan sahaja yang tahu keadaan hati ini tatkala melihat keadaan abah.

Waktu tengah hari, saudara mara terdekat sudah berkumpul. Bergilir-gilir masuk melihat abah. Semuanya bagai tidak percaya. Air mata mengalir melihat keadaan abah. Kami harus sabar menunggu. Malam itu buat pertama kalinya saya dan along tidur di hospital.

Jumaat 17 Oktober 2008

Keadaan abah masih tidak berubah. Masih tidak sedarkan diri. Tekanan darahnya rendah. Doktor tidak berani memberi harapan. Dia bagi tau abang, paru-paru abah macam ada masalah. Kami masih menunggu dan terus menunggu.

Yong cucu sulung abah, di bawa pulang dari asrama tanpa diberitahu cerita sebenar. Pucat mukanya tatkala melihat abah yang dipenuhi wayar.

Setiap kali saya tengok abah, saya kucup dahinya dan usap kepalanya. Saya bisikkan ayat sabar buat abah. Dalam keadaannya yang tidak sedarkan diri, saya dapat lihat air mata abah mengalir perlahan. Denyutan nadinya meningkat laju. Abah kena kuat, bisik saya. Kami juga kena kuat. Ini ujian Allah untuk hamba-hambaNya.

Malam ini Pak Andak menawarkan diri untuk tidur di hospital.


Sabtu 18 Oktober 2008
Hari ini ramai saudara mara dan kawan-kawan abah datang melawat. Kami memang sentiasa berkampung di situ. Petang itu masa saya jenguk abah. Saya lihat matanya terbuka sedikit. Tapi sebenarnya dia masih tak sedar. Saya pegang tangan kanannya. Abah sambut genggaman tangan saya seolah-olah menahan kesakitan. Tangan saya dia genggam kejap-kejap. Along yang disebelah kanan abah, mengusap rambut abah dan mengucup dahinya. Kami tunggu abah, kami sayang abah. Abah mesti kuat berjuang, bisik Along perlahan. Air mata ini tumpah lagi.

Pak da, satu-satunya adik yang rapat dengan abah sampai dari Ipoh hari ini. Menggeletar dia tengok abah. Dikucupnya dahi abah, diciumnya pipi kanan dan kiri. Air mata abah mengalir. Denyutan nadi abah meningkat laju. Sayu melihat Pak Da. Saya pegang bahu Pak da, saya tarik tangannya, "Sudahlah Pak Da. Abah hendak rehat. Esok kita tengok dia lagi ya" Pak Da mengangguk perlahan. Saat memegang tangan Pak Da, terasa saya memegang abah. Ya Allah, saya rindu pada abah. Jangan Kau tarik dia dari kami ya Allah. Kami masih memerlukan dia. Rintih hati kecil saya.

Malam itu, pakar bius sibuk mencari Abang. Kebetulan Abang masa tu menghantar anak-anaknya makan. Saya masuk dengan mak. Abah cirit lagi, kata doktor. Doktor jangkakan abah terkena kuman taun. Dia tak berani bagi harapan.

...sambung lagi nanti.

4 comments:

Anonymous said...

Sedihnya :|

Berdebar menanti sambungannya.. :(

pB said...

mengalir air mata ...

achik said...

salam iman..

lama x menjengah sini.. apa khabar abah iman? mudah2an abah iman dah sembuh.. insya-Allah..

ariapertama said...

surf www.reverbnation.com/ariapertama