Friday, November 09, 2007

Sebuah coretan kehidupan

Tengah hari semalam, kami dikunjungi tetamu istimewa. Abang D, bekas pekerja abah datang bersama dengan dua orang adik-beradiknya. Sudah empat tahun dia tidak datang menjenguk ke teratak ini. Kali terakhir kami bertemu lebih kurang 3 tahun sudah iaitu semasa abangnya mengahwinkan anak di Sabak Bernam.

Bergetar tangannya menyalami abah, memeluk dan mencium abah. Tangan emak turut diciumnya. Suasana sayu dan hening seketika. Ada air jernih yang mengalir perlahan dari kelopak matanya. Begitu juga dengan abah, mak dan adik beradik Abang D.

Abang D sebaya dengan abang kedua saya. Dia berkahwin pada usia awal 20an dengan seorang mualaf, Kak E. Orangnya rajin dan jujur. Semua pakcik dan makcik saya mengenalinya. Kami mengenalinya sejak saya berada di sekolah rendah lagi. Pendek kata, dia salah seorang saksi yang melihat saya membesar dari zaman kanak-kanak hinggalah dewasa kini.

Tetapi kesian dia, atas kejujuran dia, ada insan lain yang mengambil kesempatan. Perkahwinan pada usia muda dilanda badai apabila ada orang ketiga yang mengetuk pintu hatinya. Isterinya diceraikan. Dia berkahwin dengan J yang sebelum itu isteri orang dan juga bekas pekerja abah. Adik beradiknya puas menghalang, abah juga turut terkilan kerana J sangat terkenal dengan perangai peliknya. Ketika itu Abang D terlibat dengan satu perniagaan makanan. Perniagaannya sangat maju. J, sanggup tinggalkan suaminya untuk bersama-sama dengan Abang D. Tidak tahan menanggung malu, mereka berpindah ke sebuah negeri yang jauh dari kelompok orang-orang yang mengenali mereka.

Tahun 2006, kami mendengar khabar tentang penceraian Abang D. J difahamkan telah kembali ke pangkuan bekas suaminya yang masih setia menantinya. Tinggallah Abang D keseorangan. "Saya silap, masa itu saya terlalu ikut perasaan", begitulah keluhannya. "Sudah lah D, yang sudah itu sudahlah. Fikirkan tentang masa depan kamu dan anak-anak. Kerja baik-baik, solat jangan tinggal, insyaAllah Allah akan tolong kita," pujuk abah. Abang D mengangguk perlahan.

***************************************************************
Teringat kata-kata Safura dalam drama Jelatang yang lebih kurang begini bunyinya :-
"Takdir dan ujian hidup manusia tidak sama. Ujian Allah datang mengikut kemampuan manusia. Allah pilih kamu untuk ujian yang besar kerana Allah tahu kamu seorang yang kuat. Kamu sepatutnya bersyukur kerana kamu insan yang terpilih."

7 comments:

Kemat said...

saya takut sekali jika diuji dengan ujian sebesar ujian Abang D.

Iman Mawaddah said...

Kemat,
Berdoa, berdoa dan terus berdoa.
InsyaAllah kita terpelihara.

Anonymous said...

tapi bila ujian sudah berlalu, kita acap kali terlupa dan terus lalai dgn pesona dunia yg tak pernah berakhir..

p/s:peringatan ini lebih kepada diri saya sendiri

cempakabiru

blackpurple @ jowopinter said...

Kes-kes wujudnya orang ke-3 seperti ini memang benar-benar menguji....

BaYu SenJa said...

semoga ketabahan menemani abang D.

akirasuri said...

Mudah-mudahan abang D kuat menghadapinya..

Iman Mawaddah said...

Cempaka,
Apa khabar? Ermm..ibarat lagu Akhbar, Manusia lupa asal usulnya, yang terleka itulah manusia :D

p/s: Bro AKMA berkelana lagi. Kali ini ke negeri penyu.

BP,
Mudah-mudahan kita tidak terjebak.

Bayu,
Ameen.
p/s: Cepat buka ym. Ada perkhabaran dari bumi Kaherah ;D

Akira,
Iye mudah2an dia kuat. Ameen.