Saturday, July 28, 2007

Lima Cara Memilih Sahabat


NASIHAT yang boleh diikuti dalam membina persahabatan ialah sebagaimana pesanan al-Qamah (seorang sahabat Rasulullah SAW) kepada anaknya:
Pertama
Pilihlah sahabat yang suka melindungi sahabatnya, dia adalah hiasan diri kita dan jika kita dalam kekurangan nafkah, dia suka mencukupi keperluan.
Kedua
Pilihlah seorang sahabat yang apabila engkau menghulurkan tangan untuk memberikan jasa baik atau bantuanmu, dia suka menerima dengan rasa terharu, jikalau ia melihat kebaikan yang ada pada dirimu, dia suka menghitung-hitungkan (menyebutnya).
Ketiga
Pilihlah seorang sahabat yang apabila engkau menghulurkan tangan untuk memberikan jasa baik atau bantuanmu, ia suka menerima dengan rasa terharu dan dianggap sangat berguna, dan jika ia mengetahui mengenai keburukkan dirimu ia suka menutupinya.
Keempat
Pilihlah sahabat yang jikalau engkau meminta sesuatu daripadanya, pasti ia memberi, jikalau engkau diam, dia mula menyapamu dulu dan jika ada sesuatu kesukaran dan kesedihan yang menimpa dirimu, dia suka membantu dan meringankanmu serta menghiburkanmu.
Kelima
Sahabat yang jikalau engkau berkata, ia suka membenarkan ucapan dan bukan selalu mempercayainya saja. Jikalau engkau mengemukakan sesuatu persoalan yang berat dia suka mengusahakannya dan jika engkau berselisih dengannya, dia suka mengalah untuk kepentinganmu.
Dalam memilih sahabat kita hendaklah memilih sahabat yang baik agar segala matlamat dan hasrat untuk memperjuangkan Islam dapat dilaksanakan bersama-sama sahabat yang mulia.
***Hasil salin tampal bermanfaat sempena hari persahabatan 5 Ogos 2007

Friday, July 20, 2007

Bila lelaki hendak belajar memasak

A, rakan pejabat saya sedang tersengeh-sengeh mengadap pc seorang diri. "Pesal pe tersengeh-sengeh tu?" saya menegur. "Aku nak masaklah weekend ni," katanya antara dengar dengan tidak dengar. "Apa? Kau pandai masak ke?" "Ni aku nak cuba lah ni," katanya tersipu-sipu. Saya tergelak besar dan bertanya lagi, "Nak masak apa?" "Spaghetti," jawabnya ringkas. Saya tergelak lagi. "Ni aku tengok internet ni haa, nak belajar la cara masaknya. Kau nak ke nanti aku forwardkan," jawab dia sambil turut ketawa. "Tak pe..tak pe..aku dah terer bab spaghetti ni," jawab saya selamba. "Nak belajar masak, terus belajar masak spaghetti tu?" sakat saya. A hanya tersengeh.

"Sos dia, kau guna apa?" dia bertanya lagi. "Kalau nak buat sos sendiri, guna tomato puri. Kalau malas, beli je sos spaghetti kimball tu." jawab saya. "Lain-lain bahan kau bubuh apa?" tanya dia lagi. "Nak rasa macam italian tu campurkan keju parmesan. Tapi aku tak suka. Bahan-bahan lain macam biasa lah daging atau ayam cincang, cendawan butang, capsicum, tomato yang dipotong dadu. Ikut je apa yang kau rasa sesuai nak campur. Campak je semuanya. Lagi satu aku suka bubuh cili boh. Rasa macam tradisional sikit."

"Capsicum? Capsicum tu lada sulahkan? " tanya A. Saya dan seorang kawan perempuan, F tergelak besar mendegar pertanyaan tersebut. "Apalah kau ni, capsicum pun tak tau," kata F. "Ala lada benggala, tau tak?" tanya saya. "Lada benggala?" giliran A pula gelakkan saya. Saya dan F saling berpandangan. "Apasal kau gelak?" tanya saya. "Kelakarlah nama dia. Abis tu kalau dekat kedai, minta lada benggala orang tau ke eh?" "Lahai, tanya lah bini kau sure dia tahu punya," F menyampuk. "Macam mana ya rupa dia," tanya A. "Ala, bulat-bulat warna hijau tua yang selalu ada atas pizza tu. Kadang ada yang warna merah," jawab saya. "Ooo yang tu..aku tau la," jawab A. "Abis tu, lada sulah tu macam mana pula rupanya," tanya A lagi. Saya dan F berderai ketawa. "Tu white pepper, black pepper pernah dengar tak?" tanya F. "Ooo yang tu dalam botol macam serbuk," jawab A. Kami ketawa lagi.

"Kalau kau nak rasa sedap lagi, kau ambil sos Prego yang ada daging masin-masin tu," kata F. "A'a ye la, pastu aku bagi kau makan. Tak makan siap kau," jawab A. "Tau pun kau ya benda tu, ingatkan blur lagi," jawab F. Tempat kami berbual meriah sekali lagi dengan gelak ketawa kami.

***Adakalanya ketawa itu pengubat duka, penghibur hati tetapi jangan keterlaluan. Orang yang banyak ketawa akan menjadi orang yang paling banyak menangis di akhirat kelak.

Thursday, July 19, 2007

Masih tidak serik

Nuri kemalangan lagi,
Enam perajurit menjadi korban,
Kenapalah masih tidak serik-serik lagi,
Mengumpul statistik nyawa terkorban.


Ajal dan maut, Allah jua yang menentukan. Mungkin sudah suratan nyawa mereka berakhir sebegitu rupa. Nuri hanyalah penyebab kejadian. Teringat pada arwah pakcik J yang menjadi korban Nuri di Sarawak. Arwah dan keluarga sahabat baik keluarga kami. Malah, kakak isterinya berkahwin dengan sepupu mak. Hingga kini, isterinya masih setia bersama cintanya yang telah pergi. Anak-anaknya yang seramai lima orang telah dididik sehingga berjaya ke menara gading dan berkerjaya hebat. Tetapi tidak seorang pun mengikut jejak langkah arwah ayahanda mereka. Mungkin juga makcik Z bimbang kisah lama akan berulang kembali.

Al-fatihah untuk semua yang telah terkorban.

Monday, July 16, 2007

Lagu untuk Adindaku, Aliyya

Dekat DiHatiku
Hatiku kembali tersentuh
Membisik untukku pulang ke sana
Di bayu pergunungan itu
Di laman kedamaian kita

Biar pun ku jauh di sini
Namun tak pernah lupakanmu
Itulah sebagai tandanya
Tidak selalu dari ini
Hanya kau yang sangat ku sayang

Andai kau dengar lagu ini
Walau di mana dikau berada
Yang hidup atau yang telah tiada
Mengertilah wahai saudaraku
Dikaulah yang amat ku rindu
Yang ku sayang buat selamanya

Tapi apalah daya diriku
Tak terucap lagi di bibir
Walau airmata mengalir
Ku tabahkan demi mereka
Kernaku tahu ku kan pulang jua

Andai kau dengar lagu ini
Walau di mana dikau berada
Yang hidup atau yang telah tiada
Mengertilah wahai saudaraku
Dikaulah yang amat ku rindu
Yang ku sayang buat selamanya

Kerna ku tahu ku kan pulang jua
Kerna ku tahu ku kan pulang jua
Kerna ku tahu ku kan pulang jua
-Nazrey Johari

Thursday, July 12, 2007

Terkenang


Kawan: ABC ada?
Pelayan: ABC tiada. Cendol ada. Mau?
Kawan: Cendol tak mau lah. Kasi air tembikai satu.

Saya termenung tengok pelayan.
Pelayan: Mau cendol ke?
Geleng sambil tersengeh.
Pelayan: Mau minum apa?
Geleng dan sengeh lagi.

Pelayan berlalu keliru.
Kawan: Kau apahal. Tergeleng-geleng pastu tersengeh-sengeh.
Saya: Hehe..tak de apa. Cuma terkenang penjual cendol.

Sunday, July 08, 2007

Kisah Di Petang Jumaat

Kota Lumpur setiap petang Jumaat pasti kesesakkannya luar biasa dari yang biasa. Semua berpusu-pusu untuk pulang segera. Ada dua jalan di tengah kota. Jalan terus dinamakan Jalan A. Jalan yang membelok ke kiri pula dinamakan Jalan B. Kenderaan di Jalan B hanya boleh bergerak sekiranya kenderaan di Jalan A bergerak. Pendek kata, kenderaan-kenderaan di Jalan A dan B ini pasti seiring dan sejalan.

Petang itu bapak polisi sibuk mengawal lalu lintas. Dengan kuasa lambaiannya, kenderaan di Jalan A dibenarkan berjalan tanpa menghiraukan cahaya merah bergemerlapan di tiang jalanan. Tetapi kenderaan di Jalan B masih lagi patuh menanti saat cahaya hijau merasmikan perjalanan. Seorang perempuan dengan selamba telah melintas Jalan B tatkala melihat kenderaan-kenderaan di Jalan B masih tidak berjalan kerana begitu patuh dengan sang lampu. Tanpa disedarinya, seorang mat motor menegur "Cepatlah jalan, orang nak jalan ni." Perempuan itu melihat ke arah mat motor. Rupa-rupanya mat motor tersebut adalah rakan sepejabatnya.

"Siapa suruh berhenti. Dah orang sana polis suruh jalan. Jalan je la." Dengan selamba, perempuan itu melambai-lambaikan tangan sebagai isyarat menyuruh jalan. Kenderaan-kenderaan di Jalan B pun berjalan setelah melihat lambaian tangan perempuan tersebut. Maka terciptalah sejarah, polis traffik pertama seorang perempuan berbaju kurung dan bertas tangan. "Kau memang selamba," kata si mat motor sambil tergelak sakan. "Dah tu nak tunggu sampai bila. Dah memang sah-sah boleh jalan," jawab perempuan itu sambil tergelak sama. Si mat motor hanya menggeleng-geleng kepala dengan gelak yang masih bersisa, melambai tangan ke arah perempuan tersebut dan meneruskan perjalanannya.

***Dalam hati perempuan itu, jangan orang fikir dia gila sudahlah.

Wednesday, July 04, 2007

Mungkinkah kiamat sudah hampir?

Kisah ini berlaku ketika saya menuntut di negara matahari terbit. Suatu hari, saya bersama dua orang rakan baik saya, Erma dan Ina pergi bersiar-siar di tepian pantai. Cuaca ketika itu sangat panas. Namun begitu ia tidak mengugat ketenangan kami bertiga untuk berbual-bual di sebuah wakaf yang dibina berhampiran pantai. Beberapa orang bangsa Jepun sibuk dengan aktiviti riadah di petang hari. Dalam kepanasan itu, datang angin sempoi-sempoi bahasa menyerpa suasana pantai. Damai dan nyaman sekali. Percikan air yang dipukul ombak terkena pada wakaf kami. Bangsa-bangsa Jepun yang berhampiran kami seronok tidak terkira. Saya pada mulanya turut merasa gembira. Tetapi merasa tidak sedap hati apabila saya melihat air di dalam kolam yang berhampiran wakaf menggelegak perlahan.

Cuaca semakin sejuk. "Sejuk sangat ni lain macam je aku rasa. Jom kita balik asrama," usul saya ketika melihat keadaan itu. Sebaik sahaja habis bercakap, saya melihat ombak besar memukul pantai. "Tsunamilah, lari! " perintah Ina. Semua yang ada di situ kelam kabut lari menyelematkan diri. Geledakan air kolam yang berhampiran semakin lama semakin kuat. "Kita balik asramalah," pinta saya. "Jangan. Bahaya kena lalu kawasan pantai. Kita ke Pusat Islam," sambung Ina. Kami bertiga berlari sekuat-kuat hati menuju ke Pusat Islam yang berhampiran. Ombak makin lama semakin mengganas. Suara deruannya amat menyeramkan. Wakaf yang kami duduk habis musnah. Bumi yang kami pijak terasa gegarannya. Takutnya Allah sahaja yang Maha Mengetahui.

Saya terjaga dari lena yang panjang. "Syukur alhamdulillah, kau dah sedar." "Kita di mana ni?" tanya saya. "Kita masih di Pusat Islam. Kau terkejut sangat hingga pengsan 2 hari setelah peristiwa Ahad lepas," sambut Erma. "Erma, aku nak balik Malaysia, aku rindukan mak," pinta saya. "Sabarlah dalam keadaan begini kita semua hendak balik," jawab Erma. "Kau makan la dulu, nanti kau tak de tenaga," pinta Ina. "Kenapa kita tidak boleh balik asrama kita?" soal saya. "Asrama itu sudah dibiarkan kosong. Seorang pelajar kita hilang, kemungkinan besar dia mati," jawap Ina. "Bersiaplah, lepas ini kita ke tempat Kak Su. Pusat Islam ini juga sudah terputus bekalan air dan api. Tempat Kak Su tu lebih selamat" Petang itu kami bergerak ke tempat Kak Su, salah seorang senior kami.

Suasana sekeliling kelam kabut sekali. Kesan dari pukulan ombak tsunami jelas kelihatan. Benar-benar seperti tamatnya sebuah peperangan. Di rumah Kak Su, kami mengambil kesempatan menyucikan diri. Saya sempat menghantar sms ke Malaysia, "Mak jangan risau, saya selamat di sini." Hati saya ketika itu sangat sayu. Saya bimbang saya tidak dapat berjumpa dengan keluarga saya lagi selepas ini. Sedang asyik melayan perasaan, tiba-tiba ada arahan dari pihak berkuasa tempatan untuk berpindah. Kami berkumpul di satu kawasan lapang. Macam-macam keadaan manusia yang saya lihat. Masing-masing sibuk dengan hal masing-masing. Persis bayangan di padang masyar, hati kecil saya terdetik. Dalam keadaan berkumpul itu, bumi tiba-tiba terasa bergegar lagi. Semuanya termasuk kami kelam kabut lari ke kawasan yang tinggi. Siren berbunyi menandakan ombak tsunami yang kedua datang. Kami sempat sampai ke kawasan bukit. Saya dapat lihat dengan jelas, ombak tsunami menarik mereka yang tidak sempat lari ke atas bukit. Seorang demi seorang di telannya. Kereta menjadi tunggang terbalik. Kami bertiga menangis sambil berpelukan. Tidak lama kemudian suasana kembali tenang. Ada beberapa mayat yang bergelimpangan di bawah bukit.

Dalam keadaan tenang itu, tiba-tiba bukit tempat kami berlindung pula bergegar dan hujan turun selebat-lebatnya. Cuaca menjadi sangat gelap. "Lari!!!," jerit rakan-rakan dari Malaysia. Kelam kabut kami turun menuju ke bahagian yang bukit yang sebelah lagi. Masing-masing sibuk menyelamatkan diri. Saya, Erma dan Ina terpisah. Puas saya menjerit nama mereka tapi bayangan mereka tidak kelihatan. Tidak lama kemudian saya ternampak kelibat Erma. Kami berpegangan tangan, sambil mata melilau-lilau mencari Ina. Akhirnya Ina kami temui dalam keadaan yang sangat-sangat kepenatan. Kami berusaha membawa dia untuk menyelamatkan diri. "Pergi lari, tinggalkan aku," pinta Ina perlahan. Kami berdegil masih lagi cuba mengheretnya sedangkan kami sendiri kepenatan. Setelah puas berusaha, kami terpaksa tinggalkan Ina. Tiada kata yang dapat diucap hanya linangan air mata yang memahami situasi itu.

Saya dan Erma meneruskan perjalanan. Ina, kami tinggalkan di bawah perlindungan Allah. Kami terserempak dengan Kak Su dan rakan-rakannya. Mereka mengajak kami berlindung bersama-sama mereka hingga hujan lebat reda. Setelah hampir sejam menunggu, keadaan menjadi tenang seketika. Seorang senior lelaki mencadangkan agar kami menaiki bas untuk keluar dari kawasan tersebut. Maka, berebut-rebutlah kami semua menaiki sebuah bas. Jalan raya di tepi lereng bukit itu begitu sesak sekali. Tidak lama kemudian, siren amaran tsunami dan gempa bumi yang ketiga berbunyi. Lalu, kami berpusu-pusu turun dari bas dan menyelamatkan diri.

Saya dan Erma memilih untuk berlindung di sebuah lereng bukit. Sebahagian pelajar-pelajar senior lelaki cuba berselindung di kawasan lereng yang berhadapan kami. Saya dan Erma nampak ada gegaran kecil di bahagian atas tempat mereka berlindung. Tetapi kami tidak berupaya untuk memberitahu. Perasaan bercampur baur. "Ya Allah, musibah apakah ini? Apakah dosa kami ya Allah sehingga bumi ini tiada lagi ketenangannya," detik hati kecil saya. Bagaikan mendengar suara hati saya, tiba-tiba satu suara menjelma di sebalik awan yang kelam "Kamu semua adalah manusia yang tidak mengenang budi. Kamu mengaku Islam tapi kamu tidak mengamalkannya. Kamu melakukan kecelakaan di muka bumi. Kamu tidak menunaikan solat. Kamu berzina tanpa segan silu. Kamu anak derhaka. Sekarang rasakan kamu semua. Bumi ini sudah tidak dapat lagi menerima kamu." Semua yang mendengar suara itu terasa kecut perut. Tidak lama kemudian, berlaku gegaran yang amat kuat di kawasan lereng yang berhadapan kami. Habis semua pelajar-pelajar senior lelaki tersebut mati di timpa batu-batu besar bukit. Saya dan Erma menangis berpelukan tatkala menyaksikan kejadian tragis itu.

Hari sudah menjelang maghrib. Kami berdua mengambil keputusan turun dari lereng bukit tersebut dan berjalan-jalan mencari tempat yang sesuai untuk berlindung. Keadaan diri pula semakin lemah. Kuasa Allah, kami bertemu dengan rakan lama yang juga menuntut di bumi asing itu. Namanya Tini. Dia membawa kami ke tempat perlindungannya yang dijaga oleh seorang ustaz. Tempat itu terletak di celah-celah runtuhan bukit, sungguh sederhana tetapi cukup mendamaikan. Ada beberapa pelajar lelaki dan perempuan yang berlindung sama. Pelajar perempuan diletakkan ke bahagian dalam bukit manakala pelajar lelaki di bahagian luar bukit. "Ustaz, ini sahabat-sahabat saya. Boleh ke mereka tinggal di sini?" Tini memperkenalkan kami kepada ustaz sambil meminta izin daripada ustaz tersebut. Ustaz melihat kami sambil berkata "Anak berdua tinggallah di sini. Bersabar dan bertenanglah menghadapi ujian Allah ini," kata ustaz tersebut. "Sekarang pergi cucikan diri dan bersolat. Di sini ada kedamaian, jangan risau. Orang yang beriman tidak akan gentar untuk mati."

Saya terjaga dari mimpi yang panjang. Jam sudah menunjukkan pukul 4.30 pagi. Astaghfirullahalzim..saya bermimpi rupanya. Ya Allah, itukah bayangan hari kiamat? Ngerinya ya Allah. Saya benar-benar merasainya. Sepanjang hayat saya, ini kali pertama saya bermimpi seumpama ini. Syukur alhamdulillah ya Allah kerana ianya hanya sebuah mimpi. Syukur jua kerana diri ini masih lagi berkesempatan memperbaiki kelemahan iman dalam diri.

Mungkin juga saya terbawa-bawa dengan kisah kaunseling seorang rakan saya dengan seorang suami orang yang menjalinkan hubungan terlarang dengan isteri orang. Atau mungkin juga saya terbawa-bawa dengan kisah seorang remaja perempuan yang membelakangkan ibu bapa dan bergaul tanpa batasan dengan mat-mat rempit. Terlampau memikirkan "keberanian" mereka sehingga terbawa-bawa ke alam mimpi yang sungguh menginsafkan.

***Terfikir...andai kiamat sudah tiba, bersediakah kita menghadapinya?