Ahad 19 Oktober 2008
Pagi ini, saya bawa kereta abah ke stesen minyak. Saya jumpa pakcik J, kawan abah. Terharu saya apabila pakcik J bagi tahu, kawan-kawan surau abah sudah 2 malam buat solat hajat untuk kesejahteraan abah. Allahuakhbar, tidak terucap rasa kesyukuran. Semoga Allah sahaja yang membalas jasa baik kalian.
Seperti hari-hari sebelum ini, seawal pagi kami sudah berkampung di hospital. Keadaan abah masih tidak berubah. Pakar bius memberitahu paru-paru belah kanan nampak macam ada jangkitan. Mukanya kelihatan gusar sekali. Kadar asid dalam badan masih belum berkurangan.
Lebih kurang pukul 12 tengah hari, dia panggil ahli keluarga untuk berbincang. Jantung saya berdegup kencang. Selalunya bila doktor panggil berbincang pasti ada sesuatu yang perlu diberitahu kepada ahli keluarga. Abang dan along segera bangun. Mak termanggu di sofa. Along memanggil saya masuk sekali. Entah kenapa kaki saya terasa berat untuk melangkah. Saya hanya menggeleng dengan alasan saya temankan emak.
Setengah jam kemudian, along keluar memanggil saya, emak dan kakak ipar. Jantung saya semakin pantas berdegup. Langkah yang di atur ke bilik perbincangan terasa begitu longlai. Usai sampai di bilik tersebut, doktor sudah tiada. Tinggal kami anak beranak. Wajah abang saya pandang dengan penuh tanda tanya. Dengan tenang abang memberitahu, abah kritikal. Tahap creatinine dalam buah pinggang hari ini meningkat sehingga ke 600. Manusia normal hanya dalam lingkungan 200 sahaja. Disebabkan faktor usia, buah pinggang abah gagal untuk bertahan lama. Dia perlukan bantuan minor dialysis. Persetujuan keluarga diperlukan.
Terpempan saya mendengar tutur abang. Emak menangis. Mukanya merah menahan sedu. Dia keluar sekejap ingin ke bilik air. Alasannya dia ingin buang air kecil. Tapi di hati kami, kami tahu dia ingin menangis sepuas hati, tanpa dilihat oleh anak-anaknya. Saya mengiringi mak dan menunggu mak di luar bilik air. Detik hati saya, kesian emak. Kalau abah tiada, mesti mak rasa kekosongan. Ya Allah ya Tuhanku jangan kau ambil nyawa abah. Aku rela pertaruhkan nyawa ku, sebagai ganti. Aku tidak rela melihat emak bersedih. Aku sanggup mendermakan buah pinggangku, kerana aku tahu, aku sahaja satu-satunya anak yang mempunyai gred darah yang sama dengan abah. Doa dihati terhenti tatkala melihat emak keluar dari bilik air. Matanya bengkak. Saya tidak tahan melihat dia. Air mata saya jatuh juga akhirnya.
Makcik dan pakcik adik emak dipanggil untuk bincang bersama. Abang menerangkan buah pinggang abah tidak rosak. Cuma dia tidak berapa aktif untuk proses sendiri dan dia perlukan bantuan. Untuk seketika lega hati saya mendengar. Persetujuan keluarga dicapai, lantaran kos dialysis yang tinggi, abah akan kami tukarkan ke hospital kerajaan. Tetapi masalahnya jika ditukarkan ke hospital kerajaan, abah perlu ditempatkan ke ICU. Tukaran hanya boleh dibuat jika ada kekosongan ICU dan mendapat persetujuan Anestesis hospital kerajaan. Abang dan kakak ipar sibuk menghubungi rakan-rakan doktor mereka. Saudara mara pun ramai yang menolong. Bermulalah pencarian kekosongan ICU di hospital kerajaan.
Petang itu, kami menerima ziarah daripada kawan-kawan surau abah. Terharu saya mendengar kata-kata emak semasa melayan tetamu-tetamu yang melawat abah. Kata emak "Ini ujian untuk anak-anak dia. Saya dan suami sering tekankan soal kejujuran, keikhlasan dan tanggungjawab dalam kehidupan. Jujur dan ikhlas daripada mereka, kami dah dapat. Kali ini Allah hendak uji tanggungjawab mereka pula. Sejauh mana mereka bertanggungjawab pada ayah mereka yang sedang sakit." Allahuakhbar, air mata saya menitis lagi.
Petang ini, tahap creatinine abah masih lagi tinggi. Kami masih lagi kelam kabut mencari kekosongan di hospital kerajaan.
Isnin 20 Oktober 2008
Seawal pukul 4 pagi saya sudah bangun. Saya lihat bilik emak sudah terang. Saya intai dan lihat emak sedang sujud. Saya kejut along untuk solat hajat. Awal pagi itu, terasa hening sekali. "Ya Allah ya Tuhanku, hanya engkau yang Maha mengetahui kegusaran hati kami. Ku mohon rahmat dan kasihMu ya Allah. Pulangkan abah ke pangkuan kami. Kami belum sedia kehilangannya ya Allah. Kami merinduinya ya Allah."
Usai solat Subuh, saya dan Along bergegas ke hospital. Kami perlu tukar shift dengan pak andak yang tidur di hospital. Sebaik sampai di hospital, kami belum dapat kebenaran untuk menjenguk abah sebab nurse sedang sibuk dengan proses pertukaran tukar shift malam ke siang . Sambil menunggu, mak berpesan suruh mengaji. Alunan yassin, al-kahfi, al-mulk, al-waqi'ah, al-rahman, al-dukhan sering berganti. Terasa tenang pagi ini.
Sambil membaca, ada seorang isteri datang menunggu sama. Suaminya tidak bangun-bangun, disyaki kerana masalah jantung. Along sempat berbual-bual dengan dia. Perut saya berkeroncong lapar. Saya turun membeli barang makanan. Teringat pesan mak, kalau ada orang menunggu sama, sedekahlah. Dalam hati niatlah supaya abah cepat sembuh. Mudah-mudahan dengan keikhlasan bersedekah, abah segera sembuh. Saya belikan kakak yang menunggu suaminya itu dengan segelas air teh tarik.
Dalam lebih kurang pukul 9.00 pagi kami dibenarkan masuk tengok abah. Tangan kanannya bergerak. Matanya sedikit terbuka. Along menjerit perlahan tengok perubahan abah. "Dia sedar ke doktor?" tanya Along kepada doktor. Dia mamai sikit. Tapi dia tahu ada orang tengok dia. Gembiranya hati tengok perubahan abah. Tahap creatinine abah pula sudah turun daripada 600 ke 500 lebih. Subhanallah, Maha suci Allah terhadap hamba yang taat kepadaNya. Doktor kata abah kuat. Belum dibuat dialysis sudah turun. Sebelum ini tahap creatinine nya semakin naik dari hari pertama dia dimasukkan ke hospital. Saya kucup dahi abah. Saya bisikkan kepadanya "Abah mesti kuat, kami rindu abah". Emak datang dalam pukul 9.30 pagi.
Berita gembira ini kami kongsi dengan ahli keluarga lain. Terkejut mendengar khabar, surau tempat kami tinggal dan surau tempat pak andak, turut mengadakan solah hajat berjemaah malam tadi. Subhanallah..tidak terucap rasa syukur pada Allah yang Maha Esa.
Pagi ini, kami masih menerima kunjungan sahabat-sahabat abah dan jiran-jiran. Makcik E yang rapat dengan emak tidak tahan menangis tengok keadaan abah. Dia peluk saya sambil menangis. "Kau mesti tabah ya dik. Allah bersama orang-orang yang sabar" "InsyaAllah makcik, Allah ada bersama kami." jawab saya tenang.
Usaha mencari kekosongan di hospital kerajaan masih lagi diteruskan.
Selasa 21 Oktober 2008
Aktiviti kami di awal pagi masih lagi berjalan seperti semalam. Usai solat hajat, saya terdengar suara sedu Along merintih dalam sujud pada Allah. Buat pertama kalinya saya tengok Along menangis terisak-isak. Selama hari ini, di antara kami, dia seorang yang cukup tabah. Air matanya tidak dipertontonkan kepada orang lain.
Kami pergi ke hospital seawal pagi. Tahap creatinine abah sudah turun kepada 400 lebih. Doktor sendiri tidak menyangka. Lebih kurang pukul 9.00 pagi, emak menelefon kami, kawan surau abah minta abang hubungi anak dia. Selagi lagi keajaiban Allah kami rasa. Anak kawan surau abah merupakan Anestesis di salah sebuah hospital kerajaan. Pagi tu, terdapat satu kekosongan di ICU. Urusan perpindahan abah, kami adik beradik uruskan. Emak, kami nasihatkan tinggal di rumah supaya dia dapat rehat sementara menunggu urusan perpindahan selesai.
Doktor mengingatkan kami tentang risiko perpindahan ke atas abah. Dalam hati kami penuh dengan doa agar semuanya berjalan lancar. Abah kelihatan comel berselimut di bawa ke dalam ambulance. Hujan tengah hari itu, mengiringi pemergian abah ke hospital kerajaan yang berhampiran. Abah diiringi seorang jururawat dan seorang doktor. Abang turut sama mengiringi abah. Saya dan along selesaikan urusan pembayaran. Kami balik ambil emak dan anak-anak buah dan terus ke hospital kerajaan.
Abah selamat dipindahkan ke hospital kerajaan. Peralatannya lebih canggih, almaklumlah baru sahaja 2 tahun usia hospital ini. Maka ianya tergolong dalam hospital kerajaan yang berwajah baru. Petang Uncle M, rakan joging abah datang bersama isterinya.
Saya dan abang diserang dengan Uncle M. Dia gaduh yang dia call handphone abah. Tetapi tidak seorang daripada kami menjawab. Sepupu saya yang ada bersama ketika itu terkejut melihat sergahan Uncle M. Saya diam sebab saya dah kenal perangai Uncle M. Seorang yang agak tegas bila berbicara tapi hatinya cukup baik. Abang yang pada mulanya agak bengang tapi berupaya jawab dengan tenang. "Sebenarnya Uncle, kami pun tidak tahu di mana abah letak handphone dia. Dia tak letak dekat tempat biasa. Banyak perkara pelik yang dia buat sebelum dia pengsan." Uncle M kata kami tidak percaya hospital kerajaan, tu sebab hantar hospital swasta. Mak menyampuk "Bukan kami tidak percaya, tapi keadaan mendesak. Dia perlukan rawatan segera. Hospital swasta yang dekat, maka kami hantar ke hospital tu". Uncle M terdiam. Keadaan kembali tenang. Isterinya mengalirkan air mata memeluk emak dan saya.
Rabu 22 Oktober 2008
Abah masih lagi tidak sedar. Tetapi tahap creatinine sudah kembali normal, denyutan jantung, darah tinggi dan kadar gula juga sudah beransur normal. Doktor sudah melakukan dialysis ke atas buah pinggang abah malam tadi.
Hati kami masih lagi menanti. Menanti dengan penuh kerinduan. Mengharap pada sebuah pertemuan.
...bersambung
Saturday, January 17, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
4 comments:
bila nak sambung lagi iman?
sambung la ... saya menunggu ...
....terasa rindu juga ...
saya pun menunggu sambungannya..
salam kepada admin..
saya nak berkongsi sedikit pasal creatinin...kalau ikut cakap doktor saya dah terpaksa dialisis sebab creatinin saya dah sampai 1041..
anytime jer boleh collapse...kaki dah setat bengkak..mata bengkak...kulit tegang..kita rasa badan kita macam nak meletup..
tapi setiap penyakit ada penawarnya..dengan bantuan dari orang2 yg pakar..alhamdulillah..sekang saya dah x perlu dialisis...
Post a Comment