Thursday, August 30, 2007

Erti Kemerdekaan

Merdeka 1
“Merdeka! Merdeka!” Kah..kah..kah ..
“Woi apa korang gelak-gelak.” Sunyi seketika.
“Lain kali kalau nak gelak, ajak aku sekali”

Ketawa beramai-ramai

“Eh kita nak ke tingkat mana?”
“ Tingkat 8 la..”
“Eh tingkat 2 la”
“A’a jom tingkat 2. Belasah je la”

“Tanggal 31, bulan 8.. 57 ..merdeka..merdeka”

Bingit sungguh suara kanak-kanak sekolah itu berbicara dan menyanyi memecah sepi ruang lif yang sempit. Rimas saya dibuatnya. Mereka semua yang masih berpakaian sekolah merayau-rayau sekitar pusat membeli belah. Umur mereka masih lagi hijau, sekitar 9 ke 10 tahun. Jauh di sudut hati saya tertanya, mak ayah adik-adik ini tahu ataupun tidak akan aktiviti anak-anak mereka.

Merdeka 2
Suasana pagi hari di pejabat mulai tenang hari ini. Tiga hari sebelum ini, suasana hinggar bingar dengan jet-jet pejuang yang melintasi ruang udara sempena latihan hari kemerdekaan. Ditambah lagi dengan suara keterujaan kami, maka makin berserilah kekecohan di pagi hari. Asyik memang asyik.

Tiba-tiba terlintas di benak fikiran, jikalah jet pejuang ini melanggar bangunan tempat saya bekerja, maka tragedi seperti 911 akan berulang. Syahid ke saya andai ditakdirkan mati sedemikian rupa?

Kemudian terfikir pula, di Malaysia kita seronok melihat aksi dan bunyi jet pejuang memecah udara. Tetapi jika di bumi Palestin, Iraq dan beberapa negara Islam yang tertindas, bunyi ini adalah amaran yang amat menakutkan. Pasti bertempiaran manusia berlari menyelamatkan diri, anak-anak kecil menangis ketakutan dan banyak nyawa yang akan terkorban angkara jet-jet pejuang tersebut. Saya bermunajat sendirian.

Merdeka 3
Senja telah berarak lalu, saya masih dibelenggu dengan tugasan yang perlu diselesaikan. Perjalanan pulang saya diserikan dengan neon-neon indah malam kemerdekaan. Anak-anak muda pelbagai gaya, berpakaian tidak cukup kain, beriringan dengan pasangan masing-masing telah bersiap sedia menanti detik 12 belas malam.

Sayu sungguh hati ini. Melihat kealpaan dalam mendalami erti kemerdekaan. Sehingga entri ini ditulis, pasti makin ramai yang berpusu-pusu pergi menyambut merdeka ke tempat-tempat yang menjanjikan hiburan kemerdekaan yang mengasyikkan. Terlupakah mereka bahawa malam kemerdekaan jatuh pada malam jumaat. Satu malam yang patut di jaga kesuciannya dengan amal ibadat. Bukankah lebih baik sekiranya malam kemerdekaan dipenuhi dengan doa kesyukuran dan kesejahteraan negara. Hati hanya mampu merintih sendirian.

Salam merdeka untuk semua. Semoga menjadi manusia yang waras dalam menilai erti kemerdekaan.

Friday, August 24, 2007

Alahai kesian dia

Telefon berbunyi, tuannya tiada di tempat. Dia cuba menarik line telefon tersebut dari tempatnya. Malangnya setting yang biasa dilakukan tidak menjadi. Lalu dia kelam kabut berlari-lari anak ke tempat rakan sekerjanya untuk mengangkat telefon tersebut.

"Hello". Tiba-tiba...Gedebuk!!! Semua mata tertumpu ke arah bunyi yang kuat itu. Kemudian masing-masing buat-buat tidak tahu. Walhal masing-masing menahan gelak. Dari tempat saya, kelihatan kepalanya sahaja. Saya yang sedang bercakap telefon terhenti sebentar menahan ketawa. Hendak gelak lebih-lebih tidak baik pula. Seorang rakan lain sibuk mencari kerusi yang baru. Dia masih lagi control macho menjawab panggilan dengan selamba sambil bangun dari tempat jatuhnya.

Usai menjawab telefon, dia menghampiri saya.
"Aduh!!! iman, sakit tulang rusuk aku, " dia mengadu.
"Aku rasakan, kau patut ambil life insurance la," jawab saya selamba.
"Tak kan aku nak amik life insurance semata-mata sebab aku jatuh kerusi kot," katanya sambil menjuihkan bibirnya.

Saya tersengeh sambil tergelak kecil. Terpandang pada wajah rakan-rakan setugas yang lain, semuanya turut tersengeh. Rupa-rupanya ramai yang mencuri dengar perbualan kami.

Alahai kesiannya dia.

Sunday, August 05, 2007

Kemaafan Itu Suatu Yang Indah

Suatu hari, Rasulullah SAW pergi bertemu dengan Jin di malam hari. Siti Aisyah pula tinggal keseorangan menunggu kepulangan baginda di rumahnya. Rasulullah pulang agak lewat pada malam itu. Aisyah yang puas menunggu akhirnya tertidur.

Ketika Rasulullah sampai ke rumahnya, baginda memberi salam. Salam pertama tiada sahutan. Begitu juga dengan salam kedua dan ketiga. Sebaik sahaja ketiga-tiga salam baginda tiada sahutan, maka baginda dengan rendah hati telah menanggalkan serbannya untuk dijadikan lapik tidur. Baginda Rasulullah tidur di hadapan pintu rumahnya. Aisyah yang tersedar dari tidurnya, terkejut memikirkan Rasulullah yang masih belum pulang walaupun hari sudah menjelang subuh.

Siti Aisyah kelam kabut membuka pintu. Sedang ia hendak melangkah keluar, kakinya hampir hendak terpijak kepala Rasulullah. Lantas ia terduduk mengadap Rasulullah. Baginda Rasulullah yang ketika itu sedang terkejut mendengar pintu terbuka juga terduduk mengadap Siti Aisyah. Lantas mereka saling bermaafan secara spontan. Rasulullah memohon maaf kerana pulang lewat malam, manakala Siti Aisyah pula memohon maaf kerana tertidur semasa menunggu kepulangan baginda sehingga menyebabkan baginda tidur di luar rumah.

Kemaafan itu suatu yang indah. Tetapi tidak ramai di antara kita yang boleh meruntuhkan tembok keegoaan dalam diri, bersedia untuk memohon maaf dan belajar memaafkan. Persepsi negatif bahawa memohon maaf itu bererti kalah terus berakar tunjang dalam diri.

Seseorang yang bersedia merendahkan dirinya dan memohon maaf adalah seorang yang hebat. Ini kerana ia meletakkan dirinya di tempat yang adil bukan sahaja untuk dirinya bahkan untuk diri orang yang berada di sekelilingnya. Seseorang yang hebat juga mesti berlajar memaafkan dan melupakan. Buktinya jelas ternyata seperti kisah Rasulullah, seorang manusia terhebat dengan Siti Aisyah, seorang muslimah yang bertaqwa di atas.

Saya tersentak dan tersedar ketika mendengarnya dalam satu program bina insan.

***Mohon maaf kerana akhir-akhir ini masa amat terhad untuk saya membalas kunjungan ke blog sahabat-sahabat. InsyaAllah bila ada kelapangan saya akan datang menziarahi.