Friday, January 23, 2009

Diari buat Abah IV

Khamis 23 Oktober 2008
Sejak abah dipindahkan ke hospital kerajaan, menjadi rutin saya dan mak setiap hari melawat abah pada waktu melawat di sebelah petang. Abang mengambil syif tengah hari. Tengah hari itu, lebih kurang pukul 1.00 makcik menelefon mak. Dia menyampaikan berita daripada abang sepupu yang melawat abah. Abah dah buka mata! Saluran pernafasan yang bersambung di mulut telah dibuka. Abang sepupu saya tidak dapat menahan mengalirkan air mata melihat abah.

Tidak lama kemudian abang telefon. Suaranya sebak bercampur gembira. "Abah dah buka mata mak. Syukur alhamdulillah. Dia masih lemah tetapi semuanya terkawal. Saluran pernafasan di mulut dan saluran makanan di hidung telah dibuka." Menangis mak kesayuan mendengar suara abang.

Di hati kami tidak sabar-sabar menanti waktu melawat petang.

Petang ini, kami datang awal. Sebaik sahaja diizinkan melawat, langkah kami laju menuju ke ICU. Semasa kami sampai, abah sedang tidur. Dia hanya pakai alat biasa bantuan oksigen. Di sebelah abah, doktor pakar bius sibuk mengisi data-data abah di komputer. Mak datang perlahan rapat ke sebelah kiri abah. Melihatkan abah sedang tidur, kami tidak berani menganggu. Doktor yang baru perasan kehadiran kami, memberikan salam dan bertanya dengan emak. Sebaik sahaja tahu emak adalah isteri abah, doktor segera mengejutkan abah. "Pakcik..pakcik..bangun. Tengok siapa datang", doktor menepuk-nepuk lengan abah. Perlahan-lahan abah membuka matanya.

"Assalamualaikum..." lembut suara emak memberi salam pada abah. Sejurus selepas mendengar suara dan melihat wajah emak, abah sebak. Dia menangis hingga nafasnya tersekat-sekat. Denyutan jantungnya naik mendadak. Kami juga tidak dapat menahan air mata. Emak dan saya terdiam. "Cakap makcik, bagi motivasi. Dia kenal makcik tu, cuma dia mamai sikit. Maklumlah dah lama tidur. Kita yang tidur sekejap pun kadang-kadang mamai. Inikan pula dah 8 hari dia tidur," kata doktor kepada emak.

"Abah, syukur alhamdulillah abah dah sedar. Kami semua rindu abah. Abah ingat kami tak? Abah mesti kuat. Abah mesti azam untuk bangun dan sihat semula. Kami semua rindukan abah. Ujian Allah ini kita tempuh sama-sama. Semua orang doakan abah. Semua orang sayang abah." Suasana di wad ICU hening seketika. Tanpa saya sedar, di belakang saya ada 2 orang doktor pakar dan beberapa orang jururawat yang asyik mendengar emak berbicara. Abah masih lagi sebak. Dia menoleh ke arah saya. Tiada kata yang mampu saya ucap. Hanya kucupan di dahi abah saya hadiahkan sebagai tanda kesyukuran.

Melihat keadaan abah yang semakin susah hendak bernafas, kami mengambil keputusan meninggalkan dia seketika untuk bagi dia tenang. Adik sepupu saya menyusul melawat kemudiannya. Dia sudah dapat mengenali adik sepupu saya. Keadaannya juga sudah tenang kembali.

Kami masuk semula ke ICU sebelum kami pulang. Abah sudah semakin tenang. "Abah, minta maaf banyak-banyak ya, kami balik dulu. Esok kami datang lagi," ucap emak sambil mencium tangan dan dahi abah. Abah hanya mengelip-gelipkan mata tanda mengangguk.

Jumaat 24 Oktober 2008
Tengah hari abang telefon. Hospital telefon katanya. Berderau darah saya mendengar. "Kenapa?" tanya saya. "Abah hendak cermin mata," kata abang. Lahai kecut perut saya mulanya kembali normal. Syukur alhamdulillah abah dah boleh bercakap.

Petang itu kami datang melawat. Abah dah boleh bercakap tapi perlahan-lahan. Nada suaranya masih kurang jelas. Along dan keluarga turut ada petang itu.

Alhamdulillah, syukur atas rahmat dan kasihMu ya Allah.


Sabtu 25 Oktober 2008
Tengah hari abah dibenarkan keluar ke wad biasa. Syukur alhamdulillah. Suaranya pun sudah mulai jelas.

Dengan keluarga dan kawan-kawan yang menziarahi, abah sibuk bercerita yang dia seolah-olah duduk dalam kotak bercahaya. Ada tiga hospital yang dia pindah. Hospital Kampung Gajah, Hospital Ipoh dan Hospital Penang. Dia datang hospital naik basikal. Tanpa syak apa-apa kami hanya ketawa sahaja mendengar celoteh abah.

Ahad 26 Oktober 2008
Hari ini, saudara mara dan rakan-rakan abah yang sudah mendapat berita abah keluar ke wad biasa datang melawat. Abah masih lagi bercerita tentang khayalannya selama 8 hari ditidurkan. Kami yang menziarahi abah masih tidak syak apa-apa. Hanya geli hati bila mendengar celoteh abah. Habis waktu melawat kami pulang ke rumah masing-masing.

Malam dalam pukul 11 lebih, abang menelefon. Along yang menjawab panggilan tersebut. Hospital telefon, minta tolong tengokkan abah. Pesan Abang pada Along. Berderau darah saya mendengarnya. Abang tidak dapat pergi sebab dia di pejabat menyelesaikan kertas kerja yang perlu diselesaikan segera.Emak sudah masuk tidur. Kami sengaja rahsiakan. Along segera keluar ke hospital. Saya temankan mak dan anak-anak buah di rumah. Air zam-zam saya bekalkan untuk Abah.

Isnin 27 Oktober 2008
Abah meracau! Puas jururawat dan pak guard memujuk. Dia katakan jururawat itu semuanya penjahat. Abah menjerit-jerit memanggil polis. Suaranya kuat. Sebaik sahaja Along sampai dalam pukul 12 malam, dia panggil Along polis. Dia minta Along selamatkan dia. Along juga gagal memujuk. Saluran air di tangannya, dicabutnya sendiri. Jururawat terpaksa mengikat tangan abah di palang tepi katil. Ubat tidur yang dicucukkan dua kali ke badannya juga gagal berfungsi.

Saya telefon Along. Along bingung. Saya telefon Pak Andak untuk minta bantuan. Pak Andak sampai dan solat hajat di hospital. Sepanjang malam Abah meracau. Dia sibuk minta Along lepaskan ikat tangannya sebab dia hendak pergi ke bilik air, hendak mandi dan solat. "Kamu berdosa sebab tak izinkan abah solat". Kemudian dia berceloteh bab agama. Along dan Pak Andak hanya diam. Mereka hanya membaca ayat-ayat suci Al-Quran untuk bagi Abah tenang.

Siangnya, saya minta air penawar daripada seorang kawan abah yang alim. Dalam pukul 10 pagi saya datang ke hospital dan bagi abah minum. Tangannya sudah dilepaskan. Abah nampak keletihan angkara semalaman tidak tidur. Dia tidak lagi meracau macam malam tadi. Emak turut ada bersama saya. "Abah, kenapa ni," tanya emak memujuk."Tak de apa lah, " ujar abah sambil menepuk-nepuk pipi emak. Emak ajar abah doa Nabi Nuh. Abah ikut baca dengan senyumannya yang pelik. Tengah hari Abang pula datang memujuk. Abah ketawa-ketawa pelik. Sibuk lagi bercerita perihal dia tukar-tukar hospital. Jenuh kami memujuk abah supaya tidur. Dia masih tidak mahu tidur.

Pada saudara mara dan kawan-kawan abah yang datang menziarahi, kami ingatkan supaya layan je cakap abah. Fikirannya agak bercelaru. Geli hati pun ada sedih pun ada tengok abah macam tu.

Jururawat pesan supaya kami menunggu abah malam ini. Hari sudah beransur senja. Waktu ini saya dan Along menjaga abah sementara menunggu Abang dan Pak Andak datang pada malam harinya. Usai semua orang balik, Abah mula menunjukkan tanda-tanda racau. Dia menyosong ke sudut kiri katil hendak turun katil. Saya tanya dia hendak ke mana. Dia kata hendak beli mee goreng. "Aik bukan ke baru makan," tanya saya selamba. "Mana ada makan," sergah abah. "Kita kan hendak beli mee. Pakcik..oo pakcik, minta mee goreng," jerit abah. Dalam diam saya bacakan ayat-ayat Kursi dengan 10 kali ulangan pada ayat yang terakhir dan hembuskan ke ubun-ubunnya. Abah jengil mata tengok saya. "Apasal kamu baca dekat sini," sambil menunjuk ke arah mukanya. "Kamu patut baca ke arah sana," sambil menunjuk ke arah atas sudut belah kiri. "Yelah..yelah," saya lawan jengil mata abah.

Saya kelip mata pada Along. Along faham. Along pun sama turut lawan. Along paksa abah baca doa Nabi Nuh dan ayat Kursi. Dia tak berapa mau nak ikut. Kami paksa gak suruh ikut. Abah sibuk hendak beli mee lagi. "Kamu nak makan pasir ke? Abah dah order mee tadi" Abah dah mula berkasar. Along pegang tangan kanan abah dan saya di tangan kiri. Abah jerit-jerit panggil pakcik jual mee. Yang saya geram ada seorang laki yang dalam lingkungan umur 40an menjawab panggilan abah. Dia duduk sama bilik dengan abah. "Mee dah habis pakcik. Kesian pakcik ni," sambil gelak-gelakkan abah. Lelaki itu ingat abah nyanyuk. Membara betul rasa hati ini.

"Tengok mee dah habis. Apa nak makan? Kamu la ni, tak bagi abah turun beli tadi". Abah dok bercakap-cakap pasal mee lagi. Dia injut-injutkan katil tu nak bagi turun. Ada masa dia berhenti bercakap, kami bagi minum air penawar. Diam dia kejap. Tangan kami, sebelah tangan abah dan sebelah lagi pegang buku kecil yang ada surah-surah untuk diamalkan. Bacaan Al-Mulk, Ar-Rahman, Al-Kahfi kami alunkan. Tiada daya kami lagi ya Allah. Abah sudah mula meracau perlahan. Lelaki di sebelah sudah mula diam.

"Abah, sabarlah. Hidup ini penuh ujian. Allah menguji abah, menguji kita semua untuk tengok kita beriman kepadaNya ataupun tidak. Hari ini hari kita untuk diuji. Semua orang tidak terlepas dari ujian. Tenanglah abah. Abah ahli masjid, tidak pernah tinggal solatkan. Allah sayang abah. Maka Allah uji untuk tengok keimanan abah. Selama ini kita sudah diuji hebat. Kita boleh hadapinya bersama-sama. " Sengaja saya kuatkan suara saya supaya jelas kedengaran oleh lelaki yang ada dalam bilik itu.

Abah mulai tenang sedikit. Dia tenung wajah saya di kiri dan Along di kanan. Along sudah mula mengeluarkan air mata. Sepupu saya sms minta baca surah al-Jin. Kelam kabut saya ke surau cari Al-Quran dan baca. Along baca ayat-ayat ringkas sambil tangannya mengusap-usap kepala abah dan mencium dahi abah. Abah senyum pada Along, kemudian menoleh dan senyum ke arah saya. Begitulah keadaannya dalam beberapa minit. Bacaan surah Jin sengaja saya kuatkan sebagai pendinding. Azan Isyak dari masjid berdekatan kedengaran jelas di tepi tingkap. Abah senyum sambil bergilir-gilir memandang kami lagi. Akhirnya dia tertidur kepenatan. Kami juga kepenatan angkara "berlawan".

...cerita lagi nanti..maaf sudah mengantuk...



5 comments:

Anonymous said...

Oh! Sambung-sambung.. Mahu tahu sambungannya :(

izinni said...

ya ya ... sila sambung.

Pa'chik said...

ya ya ... sila sambung.

Anonymous said...

hi ,can we exchnage our banner,if u done have banner i still can postyur link,please let me know after it done.my blog about my addicted making wire jewelry.thank
http://www.riqzmiecreation.blogspot.com/

AKMA said...

:)

AKMA